Monday, May 4, 2009

CERPEN ZAINI OZEA : DIA AHLI POP?


Zaini Ozea di Mukah, April 2008



DIA AHLI POP

Oleh Zaini Ozea

Berita Harian 3 Mei 2009

URL: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20090502093153/Article/



MEREKA secara kebetulan bertemu di Bangunan Satok.

“Setahu saya POP itu singkatan bagi kata popular. Jadi, penyanyi popular itu penyanyi pop. Tahun 60-an dulu kita banyak penyanyi poplah: Jefri Din, A Ramli, L. Ramli, A Rahman Hassan, Azizah Mohammad, Sanisah Huri….”

“ Ehhhh …bukan itu yang kumaksudkan….”

Perlahan, “ … dan baru-baru ini … pop ye-ye …”, dengan gerak dan gaya.

“Bukan itu.”

“Habis, apa ?”

“Persatuan Orang Pencen.” Ketawa berdekah-dekah.

“Jadi, kawan kita di Jabatan Pelajaran ‘tu tak lama lagi jadi YABlah, ya?” Ketawa lagi.

“Tidak. Saya dengar dia tidak akan bertanding. Apatah lagi jadi YAB.”

Bertambah ketawa. Didengarnya macam YB, agaknya, maka terus dijawabnya tadi.

Seorang menyampuk, “ YAB itu maksudnya Yang Akan Bersara.”

“ Oh, gitu.” Ketawa bersama-sama.

“Tidak mengapa. Dia YAB, kita pula YB.”

“YB itu apa pula?”

“ Yang Bersara.” Semua ketawa lagi.

Ada antara mereka baru bersara beberapa bulan yang lalu dan ada yang sudah setahun dua yang lalu. “ Kita ‘ni NGO.”

“Yalah. Tentulah kita bukan orang pemerintah lagi ... kecuali kalau kita diambil balik bekerja. Nak jadi ahli NGO pun mestilah mendaftar…..”

Mungkin difikirnya NGO bermaksud non-government organisation.

“Bukan itu maksud dia. NGO maksudnya nadai guna orang.”

“Ohhh…., ” semakin hebat ketawa.

Ada orang kata orang pencen macam kita ni, RTM: rehat , tidur, makan.” Ketawa lagi.

“Bermacam-macamlah. Kita ‘ni berguna tau?”

“Banyak kita boleh buat masa bersara ini.“

“Yalah, macam mana geng kita mengatakan boringlah, bosanlah ....”

“Tergantung pada bidang masing-masing.”

“Ada geng kita terus kaya dengan gratuiti, golden hand-shakenya, KWSPnya….”

“Dalam bahasa Melayunya, salam kencana.”

“Salam kencana aku dah habis. Sebelum raya pula tu. Gratuiti aku kena potong RM40,000. Bayar loan rumah, KWSP aku kena potong daripada pencen aku, RM76,000. ”

“Apa ? ”

“RM76,000.”

“Eh, apa pasal?”

“Mereka tersilap bayar. Bayar balik. Terlebih beri, wang kerajaan.”

“Jadi, kau terima berapa daripada pencen kau?”

“Zero sen.”

“Hah ? Betul? Bagaimana tu?”

“Bah, kau hidup bagaimana?”

“Nasib baik bini aku masih lagi bekerja. Anakku yang menjadi doktor pula menolong aku. Aku juga menulis sekali sekala untuk akhbar dan majalah.”

“Tentu ada usaha lain.”

“Setelah aku tulis surat. Merayu, minta dikurangkan bayaran bulanan. Barulah aku boleh bernafas sedikit.”

“ Hingga bila tu?”

“Hingga Ogos 2011.” Pandangannya kosong ke depan, tampaknya.

“Bah, mana perginya wang kau selama ini, sebelum tuntutan balik itu?”

“Waktu itu pula betul-betul persediaan untuk raya. Bayar cukai rumah, selesaikan bil telefon, bayar bil elektrik, baiki rumah. Keretaku pula hilang di KL … bermacam-macam … ahhh ... lupakan saja …. Bayar saja.”

“Takkan kau nak belanja wang itu, jika kau tahu.”

“Jika aku tahu. Surat tuntutan itu datang kemudian.”

“ Jadi … tak dapatlah kaya, ya ?” Bergurau.

“Tak dapatlah. Hari ini saya tak bernasib baik. Esok, entah anak saya ….”

“Engkau ni,Udin, mulia sungguh hatimu. Inilah balasan orang yang baik seperti engkau.”

“Kita hidup hanya sekali, Li.”

“Berapa orang anak? Dah bekerja semua?”

“Seorang doktor perubatan, seorang arkitek, seorang dalam bidang fesyen, seorang filem, seorang tiada kerja. Mungkin perniagaan. Yang arkitek dua tahun lagi habis belajar. Yang pereka fesyen setahun lagi. Kursus kedua-duanya mahal.”

“Bah, PTPTN tak minta?”

Ada. Sewaktu itu masih kerja. ”

“Jadi ...?”

“Anakku pernah berkata, “Macam mana ni , pak? Anak si Anu bin si Anu yang pendapatan sebulan berpuluh ribu terima PTPTN lebih daripada saya.” Aku jawab, “Business. Mungkin dalam borang dia isi RM500 sahaja pendapatan bulanan. Business ‘kan bebas menyatakan pendapatan. Tak apa, banyak hutang, banyak bayar.”

“ Yalah. Apa ada pada kita?”

“Biarkan geng kita yang ingin kaya itu, bertambah kaya.”

“Ikhlas?”

“Ikhlas. Biarkan.”

“Katalah kau sempat menerima sepenuhnya pencen kau nanti, apa kau nak buat?”

“Aku nak tubuhkan syarikat. Itupun dalam proses sekarang ini?”

“Eh, kau juga nak macam geng kita tu, nak kaya.”

“Tidak, David. Untuk anak aku. Aku nak RTM .” Ketawa.

“Jadi, engkau nak rehat, tidur, makan.”

“Tidak. Rehat, tunggu, mati.”

Senyap. Tampak gelisah. Tampak macam ingat pada Tuhan.

“Semua kita mesti mati.”

Kedengaran nada perlahan, “Jadi, apa kau nak buat dalam RTM itu ?”

“3 perkara: selesaikan segala-gala hutang, naik haji, tolong orang.”

“Betul ini, Udin?”

“Sungguh.”

“Maka kau nak buka perniagaan tadi?”

“Insya-Allah, mungkin juga sebahagian daripada sebab.”

“Selain untuk anaklah, ya?”

“Ya, bagus. Lagi mulia hatimu, Udin . ”

Sembang-sembang berlarutan. Maklumlah jarang-jarang bertemu. Entah esok, lusa, seorang daripada mereka tiada lagi.

“Terus terang saya katakan, semakin bersara ini, semakin masa kita suntuk. Mana ada boring, mana ada bosan.”

“Yalah, saya pun hairan. Geng kita tu kata begitu.”

“ Di rumahku, bukuku yang banyak di rak ‘tu ingin kubaca, apatah lagi buku agama yang bertimbun itu. Surah Yasin belum lagi kuhafal benar, buku Bey Arifin ‘Hidup Sesudah Mati’ belum lagi habis kubaca, ehh ... banyak , banyak lagi perlu dibaca.” Geleng kepala.

Dapat diteka dalam hatinya . Tentu dia terfikir bahawa adakah tidak masa untuk dia membaca semua buku itu. Dia pun hairan, nampaknya, mengapa kawan-kawannya mengatakan bosan hidup sebagai ahli POP atau NGO atau….

Seorang lagi rakan mereka muncul. Ketawa lagi. Nampak gembira.

“Apa dibawa dalam tangan tu?”

“Inilah DVD Jackie Chan yang cucuku pesan. Dia peminat nampaknya.”

“Eh, elok kita minum dan makan sekali di restoran itu.”

Dalam perjalanan menuju ke restoran, “ Apa you buat selama ini?”

“Beginilah, kayo-kayo kata orang Sarawak.”

“Oh, jadi you ni OKK-lah, ya?”

“Eh, apa OKK pula? Setahu aku pangkat besar orang Sabah tu.”

“Ha, apa maknanya? ”

“Orang Kaya-kaya. Sekarang ini menjadi gelaran OKK. Macam Darus ini, menjadi penghulu sekarang.”

“Yalah pangkat seseorang kita hormatlah. Main-mainan saja, boleh.”

“Ya, betul juga kata kau, Li. Kita hormatlah nama-nama seperti DBP, JPA, MIS dan lain-lain, main-main saja. Apa salahnya, ‘kan?”

“Jadi kau selama ini, Suf, tinggal di Sabah?”

“ Tidak. Secara kebetulan memang seorang cucu lelaki saya kahwin dengan orang Sabah dan diam di sana. Morse ni secara berseloroh menggelar saya OKK. Maksudnya ‘orang kayo-kayo’ atau ‘orang kayo kulu-kilir’. Dia bisik pada saya tadi .” Ketawa mereka bukan main lagi.

Di restoran. Duduk. Pesan minuman dan makanan. Sambil menunggu pesanan untuk lima orang, mereka bercerita lagi.

“Ya, on a serious note, semakin kita berumur begini semakin berguna. Kita bukanlah NGO, bak kata David tadi.”

“David tadi berjenaka saja,” ketawa kecil.

Ya, saya tahu. Kita mesti menurunkan ilmu kita kepada generasi kita yang akan datang - kepada anak cucu kita.”

“Saya beria-ia benar supaya masyarakat saya jangan meninggalkan rumah panjang”

“Oh,ya. Itu suatu ilmu dan usaha sebenarnya.”

Masing-masing mereka melihat pelayan yang menghidangkan minuman dan makanan yang dipesan mereka. Lepasan SPM, barangkali, mungkin kata sebahagian daripada mereka dalam hati. Mungkin dalam fikiran mereka masing-masing, ke mana anak-anak muda nanti akan pergi? Mereka yang duduk makan itu sudah bersara. Ada wang setiap bulan. Terselamat dan beruntung. Anak-anak muda ini?

Tiga orang daripada mereka yang bersara itu dari Jabatan Pelajaran, termasuk yang ada bermacam-macam buku di rumah tadi. Seorang dari Jabatan Ketua Menteri dan seorang dari Jabatan Penyiaran. Mereka itu mantan pemegang jawatan yang senior di jabatan masing-masing.

“Ilmu daripada buku, tetapi jangan lupa, kita menggarapkan ilmu dalam kepala kita. Memasukkannya ke dalam pemikiran masyarakat dan itu semua berdasarkan pengalaman, inovasi dan apa yang dikatakan sebagai interteks.”

“Wah, masih bersemangat dan berhujah nampaknya.”

Ketawa kecil sambil makan. “Kita masih berguna. Apa-apa agama pun, kita masih berguna.”

“Elok tulis dalam rencana, fiksyen atau puisikah.”

“Apa-apa pun, kita perlu menurunkan ilmu kita.”

“Kita semua ini belum sampai 65. David kau berapa? Rus? dan kau, Suf ?”

“Aku baru 58.”

“Aku dah 63. ”

“Aku baru 60. Engkau pula, Morse?”

“Aku hampir mencecah 57 dan Udin ni dah hampir dua tahun bersara. David saya fikir sebulan dua lebih awal daripada Udin.”

“YAB. kita nanti, 56-kah atau 58?”

“Aku dengar 56.”

“Aku dengar dia nak bersara. Bercuti. Tapi dipanggil balik. Dia kena bayar balik kerajaan cutinya. Tak banyak.”

“Beruntunglah dia.”

“Itulah dunia.”

“Survival of the fittest.”

“Bagi sesetengah orang, ya. Tapi bagi saya, survival together.”

“Wow, ke situ pula.”

“Hasil daripada membacalah ‘tu.”

“Membaca dan berfikir sendiri.”

“Lagi, lagi, Din.”

“Orang kata, whom you know, bukan how much you know dan work smart.”

“Jadi ? Bagi kau pula ?”

“ Saya kata, how much you know, bukan whom you know, saya kata work smart and hard ….”

“... dan masih macam ‘tu juga. Macam kita ‘ni semua.” Ketawa lagi.

“Ya, di dunia ada orang yang senang. Dapat rumah tiga empat buah. Tanah dan kereta besar-besar. Biarkan. Rezeki mereka. Kita menanti hanya akhirat nanti ”

“ Eh, kau sudah Haji ‘kan, Din ?”

“Akan, insya-Allah. Setelah anak-anak terjamin dan selamat.”

“Hey, Din, aku dengar kaupelihara kucing?”

“Tidak. Kucing orang buang ke rumah aku. Aku bela. Aku beri makan. Aku belajar daripada kucing.”

Ketawa mereka berdekah-dekah.

“Tentang kesabaran. Perhatikan kucing.”

“Hai, macam-macam kisah orang pencen macam kita ‘ni .… ”

“ … dan menimbulkan banyak salah sangka orang.”

“Eh, kau ada pengganti … maksud aku dari segi kebolehan kau?”

“Tidak ada.“

Mereka makan-minum dan berpisah. Lama tidak berjumpa, tetapi kesemua masih ‘segar - bugar’. Masih aktif. Mereka pulang ke rumah masing-masing atau … entah ke mana….

Biodata:

ZAINI Oje atau nama penanya, Zaini Ozea, dilahirkan di Kampung Rajang, Mukah, Sarawak, pada 12 Februari 1957. Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Sosiobudaya, Majlis Islam Sarawak (MIS) di Kuching. Dramanya yang diterbitkan ialah Bumiku Oh Bumiku, Bila Datang Semangat Si Guntur dan Dunia Di Atas Ranjang. Antara bukunya yang bakal terbit Ogos ini ialah Kumpulan Cerpen Tur Tur Tur yang bermaksud Bunga dalam bahasa Sinhala, Sri Lanka, selain Kumpulan Esei Sedikit Bicara Tentang Teater dan Kumpulan Puisi Gedung, Gudang, Degung serta Kumpulan Puisi Terkunci dan Terbelenggu. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Sarawak kategori drama pada 1994 dan Hadiah Sastera Sarawak kategori Penggiat Sastera (2004).

 

No comments: