Thursday, February 21, 2008

MOLUSKA - S M Zakir

Oleh S.M. Zakir
Mingguan Malaysia, 27.7.2007


Suatu pagi Mustofa membuka jendela. Matahari tiba-tiba jatuh terjelepuk di hadapan matanya. Mustofa mengambil matahari dan menyangkutnya kembali ke langit.
Perlahan-lahan Mustofa menutup jendela, khuatir matahari terjatuh lagi. Mustofa kemudian beredar dari jendela dan mengambil tempat di sudut rumah yang besar itu. Rumah ini adalah sebuah rumah Melayu yang besar, disebut rumah Limas. Kata orang limas itu bermaksud lima emas, iaitu lima kata-kata emas atau lima prinsip utama. Keagungan, kedamaian, kesopanan, kemakmuran dan kesejahteraan: Lima prinsip atau lima kata emas inilah menjadi pasak kepada rumah ini. Dan ia disebut kemudiannya sebagai rumah limas. Tidak tahu mengapa, Mustofa mendengar kata-kata itu sebagai sebuah romantisme dari zaman yang sudah lama mati. Rumah ini sudah begitu lama berdiri. Walaupun masih teguh dan utuh namun warna tuanya jelas kelihatan. Sudah tiada emasnya lagi; romantismenya sudah lama mati.
Rumah yang didirikan pada hari Isnin menghadap matahari terbit ini dibina tidak berpaku dan disambung kepingan kayunya dengan suguan lanang betina. Rumah ini mempunyai empat belas ruang dalam rumah ini. Besar kecilnya beragam. Keempat-empat ruang itu pula diisi oleh empat belas orang manusia yang juga beragam sifatnya. Penghuni rumah ini sudah berkali-kali bertukar ganti, hingga akhirnya menetap sejumlah empat belas orang manusia sejak lima puluh tahun yang lalu.
Mustofa berjalan ke ruang gegajah, ruang induk rumah ini. Di situ Mustofa melihat dua orang penghuni rumah ini sedang berduaan memadu kasih. Piere Mungge Andre dan Amani Tatou, dua teruna dara yang tidak segan silu untuk berpelukan walau di mana mereka berada. Terutamanya Amani Tatou, gadis Melayu yang dikatakan keturunan syariff Arab cucu cicit Rasulullah yang bukan sahaja tidak tahu lagi memakai pakaian yang boleh menutup tubuhnya tetapi juga (sengaja) tidak tahu lagi bercakap bahasa Melayu. Piere Mungge Andre, pemuda Melayu tetapi oleh ketololan ibu bapanya memberi nama akhirnya menjadi Portugis cucu-cicit Alburqueque yang berperang menakluki Melaka untuk membawa agama Kristian itu. Amani Tatou, yang keliru untuk menjadi bangsa apa itu akhirnya memilih untuk menjadi bangsa Eropah Perancis dengan nama Tatounya. Walaupun suatu ketika dia berada di Eropah, dia pernah diludah oleh pemuda-pemudi skinhead Eropah yang membenci orang- orang Asia. Piere Mungge Andre yang sentiasa menyumpah-nyumpah ketololan ibu bapanya memberinya nama itu, bersama seorang lagi kawannya juga senasib mempunyai ibu bapa Melayu yang tolol memberi namanya Hitler berkongsi membuka syarikat filem. Mereka berdua kemudian menghasilkan filem-filem hantu yang cukup menguja jiwa orang-orang Melayu yang sentiasa hidup dalam tahyul. Anehnya filem-filem mereka mengaut keuntungan yang begitu besar, walau mereka hanya mencelup wajah Amani Tatou dengan arang untuk menjadi hantu diterbangkan dengan tali yang terjulur. Lalu ketika mereka bertiga ketawa besar-besar, mereka sepakat bersetuju bahawa ketololan ibu bapa mereka dan ketololan orang-orang Melayu adalah perkara yang paling berharga dalam hidup mereka. Maka mereka kekal dengan nama dan kehidupan mereka yang tidak mempunyai apa-apa kecuali keseronokan yang tolol itu. Ketika rumah ini hancur dibelit ular cap raya, Piera dan Amani mati berpelukan.
Mustofa terdengar bunyi bising terhentam di luar. Mustofa keluar ke ruang pagar tenggalung atau serambi rumah itu. Mustofa melihat angin jatuh bergulung-gulung di ruang tenggalung itu. Cuba melepaskan dirinya. Mustofa menyepak angin hingga terlempar ke tanah. Angin pun terlepas dan berlalu pergi. Di pagar tenggalung itu Mustofa melihat Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Basuk sedang bermain terup. Mereka bermain tanpa ingin menyedari apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka berdua memang telah kaya-raya dengan segala projek mega di samping perniagaan judi, cetak rompak, lari cukai dan segala macamnya. Tetapi seperti lubang hitam, tenggorok mereka terus menelan dan menelan tanpa henti. Terus menelan dan menelan tanpa mengira-ngira. Sedang bermain terup itu juga, mulut mereka ternganga dan menelan apa-apa sahaja yang lalu di hadapan mereka. Kedua-dua mereka adalah tokoh politik dan korporat yang sangat berkuasa. Dengan kuasa politik di tangan mereka, apa-apa sahaja mudah untuk mereka telan.
Berkuasa
Asalnya Tan Sri Pek Kung ini keturunan ketua kongsi gelap Ghi Hin yang berkuasa di Larut pada zaman pembukaan lombong bijih timah dahulu. Larut ketika itu terkenal dengan kegiatan samseng dan samun-menyamun. Pada suatu ketika berlaku pertempuran besar antara kongsi gelap Ghi Hin dengan orang-orang Melayu di situ. Puncanya seorang hartawan Melayu dan keluarganya telah dirompak dan dibunuh oleh samseng Ghi Hin. Maka orang-orang Melayu membalas dendam dengan merompak pejabat samseng Ghi Hin dan membunuh beberapa orang samseng Ghi Hin di situ. Kejadian rompakan itu begitu besar kesannya kepada pedagang-pedagang Cina di Melaka, yang menjadi penyalur modal kepada lombong-lombong di Pantai Barat Tanah Melayu termasuk di Larut. Ramai pemodal Cina di Melaka jatuh bankrap oleh kehilangan wang dan emas mereka di Larut, yang disimpan dalam perlindungan samseng Ghi Hin. Marah dengan keadaan itu, samseng Ghi Hin lalu menyerang semua orang Melayu di Larut dan membunuh tidak kira lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Apabila terdengar peristiwa itu, orang- orang Melayu menjadi sangat marah. Seorang Daeng dari Riau datang bersama pengikut-pengikutnya menyerang samseng Ghi Hin habis-habisan. Daeng ini berperang dengan ketua samseng Ghi Hin yang bernama Ah Chong sehari suntuk, akhirnya berjaya membunuh Ah Chong dalam kedai kopi. Daeng itu kemudian melurut kapak Ah Chong menjadi sebilah keris. Samseng Ghi Hin terhalau keluar sebelum masuk kembali tidak lama kemudian dan berbaik-baik dengan orang Melayu. Samseng Ghi Hin inilah juga kemudian bersama-sama pembesar-pembesar Melayu membuka lombong di Kuala Lumpur, menguasai kekayaan dan kuasa sehingga sekarang ini.
Inilah Tan Sri Pek Kung, cucu cicit kepada Ah Chong ketua samseng Ghi Hin yang sekarang bersama-sama Datuk Seri Basuk, keturunan Daeng dari Riau itu yang kini menguasai politik dan ekonomi yang berakar kukuh tanpa dapat digoncang lagi. Keris kepunyaan moyang Datuk Seri Basuk itu kini dijadikan lambang kepada perpaduan kuasa dan kekayaan mereka berdua. Tan Sri Pek Kung tetap menjadi ketua samseng Ghi Hin yang melindung segala modal saudagar Cina, sementara Datuk Seri Basuk, tetap menjadi pembesar Melayu yang mengawal segala tanah di sini. Kedua-dua mereka adalah sahabat yang paling rapat dalam kegiatan menelan segala kekayaan dan kuasa di sini.
Di samping Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Busuk, berkumpul Nashlee Ya, Enrique Chan, Salvatore Dionisyus Linggam, Herman Selulosa dan Penelope Gonzalez. Mereka menunggu setiap masa untuk menelan sisa-sisa yang dilepaskan Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Basuk. Nashlee Ya, hidupnya hanya untuk mengiakan apa sahaja dan menjadi pegawai yang memungut rasuah untuk pihak Datuk Seri Basuk. Enrique Chan menjual isteri, anak dan ibu bapanya untuk menjadi kaya dan kemudian datang menetap di rumah ini menjadi pengikut setia Tan Sri Pek Kung. Salvatore Dionisyus Linggam, seorang peguam yang tidak henti-henti bercakap dan akhirnya terlupa dia bukan seorang Inggeris atau Eropah. Herman Selulosa asalnya Melayu-Jawa yang bekerja melapah kulit lembu, kini menjadi jutawan lebuh raya dan teknologi maklumat oleh hubungan baiknya dengan Datuk Seri Basuk, walau sehingga kini Herman tidak pernah tahu menggunakan komputer dan tidak pernah mengenal antara simen untuk membuat bangunan dengan simen yang membalut pesakit patah. Penelope Gonzalez, katanya keturunan kacukan 20 bangsa, tetapi pipinya yang terbonjol oleh Botox dan hidung mancung oleh pembedahan plastik tidak dapat menghilangkan penyakit bau badannya yang akan tiba-tiba mengeluarkan bau seperti ikan masin apabila matahari jatuh. Kesemua mereka adalah juak setia sesiapa yang berkuasa dan penghuni rumah ini. Semasa rumah ini hancur dibelit ular cap raya, kesemua mereka berada dalam rumah ini dan disyaki terkorban.
Mustofa tiba-tiba teringat akan mesin yang dipasangnya semalam di ruang kiyam. Mesin itu adalah tuil dan takal yang diberikan oleh seorang fakir yang singgah di rumah ini suatu ketika dahulu. Kata fakir itu, tuil dan takal yang patah-patah dan berserakan itu adalah sebuah mesin peninggalan seorang jurutera pelayar Arab yang datang bersama Maulana Syed Abdul Aziz yang mengislamkan raja Melaka yang kemudian digelar Sultan Muhammad Syah. Mesin ini, kata fakir itu lagi adalah alat cerap pergerakan alam semesta raya, yang dapat memberikan haluan dan kadar perjalanan angin, bulan, bintang, yang berhubungan dengan pergerakan bumi mahupun manusia di dunia ini. Mesin ini diperbaharui daripada mesin ciptaan seorang jurutera pelayar Arab terdahulu yang mula mengetahui tentang angin mawsim yang kemudian digelar sebagai angin monsun. Mesin ini, lantaran keupayaannya mencerap pergerakan semesta membolehkan penggunanya mengetahui bukan sahaja apa-apa yang berlaku di seluruh dunia tetapi juga apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semalam Mustofa mencuba teori baru tentang kaedah pemasangannya setelah hampir enam bulan berhempas pulas berusaha memasangnya. Hari ini Mustofa mahu menyambung kerjanya.
Mustofa yang bergegas ke ruang kiyam hampir berlanggar dengan Auntie Khatty yang berambut perang dan berbaju sendat hingga menampakkan seluruh alur tubuhnya itu. Auntie Khatty ini akan mengamuk apabila dipanggil nama sebenarnya Mak Tijah. Auntie Khatty sudah berumur 50 tahun tetapi masih melaram seperti gadis belasan tahun itu selalu buat-buat terlupa apabila bila ditanya usianya. Dia cuma teringat usianya ketika malaikatulmaut datang kepadanya semasa ular cap raya turun membelit dan menghancurluluhkan rumah ini. Dia gemarkan lelaki muda kerana katanya Syaiditina Khadijah isteri Rasulullah juga mengahwini Rasullullah yang lebih muda usianya. Mustofa meninggalkan Auntie Khatty tanpa sempat menegur.
Mustofa masuk ke ruang kiyam, iaitu ruang tempat menelaah ilmu di rumah ini. Di situ Mustofa melihat Profesor Alam sedang santai menyalin kata-kata di kulit-kulit buku. Profesor Alam, walaupun tidak pernah menulis hatta sebuah buku pun tetapi diangkat tinggi sebagai tokoh intelektual negara. Ini tidak menghairankan kerana kebanyakan profesor dan sarjana hanya bekerja untuk menyelesaikan tuntutan perut mereka. Selebihnya mereka cuma berusaha menambah gelar di hadapan nama mereka sepanjang yang mungkin dan mengangguk sebanyak yang mungkin. Cuma satu kehebatan Profesor Alam iaitu kebijakannya menampal segala kata-kata orang lain dalam kertas-kertas kerjanya. Suatu ketika, Profesor Alam meninggal dunia, otaknya dibedah untuk mengetahui isinya. Alangkah terkejutnya para doktor melihat otak Profesor Alam hanya kosong berisi hampas kelapa. Profesor Alam mati sebelum ular cap raya datang memusnahkan rumah ini.
Mustofa sampai kepada tuil dan takal yang mula disusun itu. Mustofa mula menekuni kerjanya memasang mesin itu. Sambil itu otak Mustofa menjalar ke merata. Rumah ini berdiri begitu lama, tetapi sejarahnya mula ditulis kira-kira 50 tahun yang lalu setelah bahasa dan budaya asal rumah ini dipunahkan dengan dahsyat sekali. Maka segala orang pun mengaku mempunyai hak yang sama rata di rumah ini. Mustofa ada kalanya tidak tahu berapa penghuni sebenar rumah ini. Mungkin Mustofa terlupa mengira Imam Rasu dan Thulug Beg yang mengurung diri di kamar masing-masing itu. Mustofa teringat Thulug Beg. Ya, Thulug Beg mempunyai formula yang menarik tentang mesin ini. Thulug Beglah satu-satunya penghuni rumah ini berminat tentang mesin yang dipasang Mustofa.
Membantu
Thulug Beg banyak membantu Mustofa menterjemah tulisan Arab lama yang ditinggalkan oleh si fakir bersama tuil dan takal itu. Pada suatu hari, ketika saat bintang Zuhrah berada dalam posisi 27 darjah dari bintang pisces, Thulug Beg menulis huruf dalam kotak rajah dengan misik dan zakfaran di atas sehelai kain putih. Kemudian Thulug Beg mencuci kain putih itu dan memberi Mustofa minum airnya. Tiba-tiba, Mustofa berasa tubuhnya ringan, otaknya berputar cerdas dan pekertinya bertukar baik sekali. Kata Thulug Beg, kini Mustofa sudah bersedia untuk memasang mesin itu.
Sebenarnya Mustofa tidak pernah memberitahu sesiapa tentang apa yang dilihatnya. Cuma kemudian ketika Mustofa menggelupur kesakitan semasa dibawa ke rumah sakit akibat dihempap segala tuil dan takal yang disusunnya seperti piramid itu, barulah dia bercerita kepada atendan di situ. Mustofa menceritakan bahawa penghuni-penghuni rumah itu sebenarnya bukan manusia, tetapi adalah moluska. Ya, mereka semua adalah moluska yang keluar masuk dari satu cangkerang ke satu cangkerang hingga kemudiannya tidak dapat dipastikan yang manakah cangkerang sebenar masing-masing.
Suatu hari Khamis, Mustofa menemui kaedah memasang mesin itu, setelah kod Arab lama itu dipecahkan oleh Thulug Beg. Ketika bintang zuhrah bertemu dengan bintang Musytari dan membentuk buruj beruang di langit tepat pada waktu asar, maka kain putih yang ditulis dengan huruf dalam rajah oleh air raksa diletak di tanah. Kain putih itu pula ditulis pada saat qomar bertemu athorid pada hari Khamis dalam bulan empat adik-beradik. Tujuh batu kecil diletak di empat penjuru. Ketika itu sebuah rajah muncul seperti warna pelangi terpampang di udara. Thulug Beg segera menyuruh Mustofa menyalin rajah yang terapung di udara itu. Berpandukan rajah itu, Mustofa kemudian berjaya memasang mesin itu menjadi seperti sebuah piramid.
Dari mesin itu, alangkah terkejutnya Mustofa apabila dia melihat semua penghuni rumah termasuk dirinya bukannya manusia sebaliknya adalah moluska yang merangkak masuk dari satu cangkerang ke cangkerang yang lain. Mustofa tidak dapat mengetahui yang mana sebenarnya cangkerang asli masing-masing. Mustofa teringat Imam Rasu. Ya, kata Thulug Beg dahulu, hanya kerana Imam Rasu masih ada, Tuhan tidak menurunkan ular cap raya yang besarnya boleh membelit tujuh kali rumah ini dan mengerapnya hingga hancur. Tetapi, Imam Rasu telah hilang pada suatu hari, dan sebulan selepas itu ular cap raya turun membelit dan menghancurkan rumah ini termasuk semua penghuninya sekali. Mustofa memasuki ruang belakang tempat Imam Rasu bersuluk. Imam Rasu yang tahu tentang tujuan kedatangan Mustofa itu mengatakan memang sebenarnya mereka telah bertukar menjadi moluska sejak rumah ini mengamalkan dasar liberal dan sekular, setelah Islam dipisahkan, setelah bahasa Melayu dibunuh, setelah budaya Melayu dikacaubilaukan, dan setelah kata-kata Melayu ditiada dan dipadam dari semua tulisan dan tutur kata. Mustofa melihat moluska-moluska begitu banyak merayap ke sana ke sini dalam rumah itu. Mustofa lari keluar meninggalkan Imam Rasu.
Mustofa kini cuba memahami wajah-wajah moluska di rumah ini dengan melihat buruj-buruj di angkasa. Namun malangnya, Mustofa terlupa memasukkan sebutir delima merah di mata piramid itu pada saat bintang zuhal muncul dikelilingi 13 bintang. Mesin itu bergegar dan runtuh menimpa Mustofa.
Itulah sahaja yang diketahui oleh orang ramai dan pekerja di rumah sakit itu tentang sebuah rumah Melayu yang pernah wujud di satu daerah yang terletak di bawah titik jejari matahari. Iaitu daripada mulut atendan yang mendapat cerita daripada seorang pesakit yang mendakwa datang dari rumah yang telah lama mati itu. Rumah itu hancur dibelit oleh tujuh lilit badan ular cap raya. Mereka kemudian hanya menjumpai moluska-moluska yang merayap di merata tempat beribu-ribu, berjuta-juta. Dan mereka semua pun tidak lama kemudian menjadi moluska merayap di merata tempat beribu-ribu, berjuta-juta.
Keluar masuk dari satu cangkerang ke satu cangkerang lain dan tidak pernah lagi menemui cangkerangnya sendiri!

ORANG-ORANG BE4RJUANG - Muhammad ASli Atan

Oleh Muhammad Ali Atan
Mingguan Malaysia 4.8.2007


AKHIR-AKHIR ini sesudah solat subuh mata Lukman Hashim tidak mahu terkatup lagi seperti pagi-pagi sebelumnya. Halimah, pembantu rumah yang setia akan mendudukkannya di atas kerusi roda dan menyorongnya ke sisi jendela, menanti kunjungan cahaya mentari pagi.
Dalam keheningan itu memori masa lalu mengunjunginya membawa panji-panji kebangsaan berkibar megah di puncak hidupnya, apabila satu demi per satu yang diperjuangkannya terlaksana dan seluruh masyarakat menikmati sejahtera. Dan cahaya mentari pagi yang menyimbahi alam dinikmatinya penuh asyik bagai burung yang terbang bebas di angkasa dan berkicau ria di ranting pohon yang merendang.
Tok!Tok!Tok! Lamunannya terputus. Halimah masuk ke bilik menatang dulang berisi secawan kopi, segelas air kosong, roti bakar dan berbagai-bagai jenis pil serta kapsul.
“Bawa aku ke bilik stor...”
“Tuan mesti bersarapan dan makan ubat.”
“Hah, aku tak lapar, buat apa makan. Bawa aku nak ke bilik stor.”
“Nanti Datuk Yusof marah.”
“Aku ini,” katanya sambil memandang tajam ke muka Halimah.
“Ayahnya... dia tidak berhak paksa aku... marah aku... juga engkau...”ujarnya mencari nafas di antara sela-sela kata yang terputus menandakan keuzurannya. Halimah serba salah. Lukman Hashim mempamerkan kedegilan dengan cuba memegang alat kawalan kerusi roda dengan tangan kanannya. Tangannya menggigil. Dicuba juga. Gagal. Apakah tangan kanan ini juga akan mengikut jejak kematian tangan kiriku? Jerit hatinya .
Halimah mengalah. Lukman Hashim membisu. Dia merenung tangan kanannya. Tangan inilah yang dahulu teramat gagah memecahkan belenggu di leher rakyat. Tangan inilah yang telah membangunkan rakyat dari tidur lena yang panjang. Tangan inilah yang meniup semarakkan semangat kebangsaan di dada rakyat. Tangan ini juga dahulu yang membela hak-hak dan nasib rakyat! Kini tangan ini telah hilang upayanya seperti tunggul mati yang tidak berguna!
Halimah membuka pintu bilik stor. Kebimbangan mengelabut hatinya. Datuk Yusof sudah mengingatkannya berulang kali agar memastikan bapanya bersarapan pagi dan makan ubat seperti yang dipreskripsikan oleh doktor peribadinya. Datuk Yusof juga melarang Halimah menurut kehendak Lukman Hashim yang mahu ke bilik stor itu. Dia tidak tahu mengapa larangan itu dikenakan. Namun hati Lukman Malaya sekeras kerikil. Terpaksalah Halimah melayan.
“Kau ambil itu,” kata Lukman Hashim menunjuk ke satu arah dengan bibirnya. Halimah menurut. Berhati-hati dikeluarkan buku skrap daripada selitan buku-buku lama yang diselimuti habuk. Hati Lukman Malaya diruntun keharuan. Buku-bukunya tersepuk seperti barang tidak berguna.
Halimah membuka buku skrap yang berisi keratan akhbar lama di depan Lukman Hashim. Pada setiap halaman itu terlekat keratan-keratan akhbar yang sudah kekuningan Dan matanya yang dibantu oleh cermin mata berkanta tebal berbingkai besar itu cuba menjamah ayat demi ayat dan gambar demi gambar yang kabur. Ada keratan yang menolak otot pipi kendurnya ke kiri dan ke kanan menayangkan gusi yang tak bergigi.
Ada keratan yang menarik keningnya bercantum kanan dan kiri. Ada keratan yang mendorongnya bermonolog sendirian. Ada keratan yang menekan kepalanya ke bawah, dengan keharuan yang meramas-ramas sukmanya sehingga menzahirkan air mata. “Halimah,” panggil Lukman Hashim setelah beberapa ketika dihanyutkan kenangan lampau. Bibi membawa Lukman Hashim ke biliknya. Dan merebahkan tubuh uzurnya di atas katil. Inilah dunianya kini. Antara bilik tidur, bilik air, bilik stor sejak akhir-akhir ini dan ruang tamu sekali sekala. Roti bakar dimakannya separuh. Kopi diteguknya setengah cawan. Dan sewaktu Halimah menyuakan ubat kepadanya, dia merenung butir-butir ubat itu lalu berpaling ke arah lain.
“Tuan, nanti Datuk Yusof marah sama saya.”
“Buangkannya,” Halimah serba salah apabila berhadapan dengan kedegilan Lukman Hashim. Lukman Hashim pasti memaki dan mencarutnya tidak tentu biji butir jika dipaksakan sesuatu. Tiada sesiapa dapat membantahnya melainkan Datuk Yusof. Setelah Halimah keluar dari bilik, Lukman Hashim menatap bolong syiling biliknya. Sungguh itulah yang diingininya. Merdeka daripada kesan dadah ubat moden. Merdeka daripada tangan-tangan yang membelenggu.
Biarpun kesunyian memenuhi biliknya. Biarpun kematian sentiasa mengintai dari segala penjuru. Kedegilan hati menjadikannya kebal terhadap kegentaran pada bayangan kematian. Namun tubuh uzurnya tidak mampu untuk terus melayan semangatnya yang sentiasa menyala-nyala itu. Sebelum kesedarannya hilang, dia berharap mimpi yang bakal mengunjunginya adalah babakbabak perjuangan lalu yang telah mengisi hampir seluruh hayatnya!
Malam itu setelah makan bersama, Datuk Yusuf dan Lukman Hashim duduk di ruang tamu menonton berita. Berita Semasa TV 4 menyediakan laporan khas sempena kemerdekaan negara. Wajah para pemimpin dan politikus menghiasi laporan itu dengan kronologi peristiwa semasa hendak merdeka.
“Ketika ini saya masih lagi seorang guru dan perkembangan inilah membangkitkan semangat saya untuk menjadi ahli politik yang berjuang demi negara,bangsa dan agama,” kata Datuk Yusof cuba memancing minat bapanya untuk berbual. Lukman Hashim tidak bereaksi dengan kata anaknya itu. Fikirannya melayang jauh ke masa lalu. Lukman Hashim tidak akan lupa zaman itu.
Zaman perjuangan golongan wartawan-sasterawan menyeru kebangkitan umat Melayu, memperjuangkan kepentingan dan hak-hak Melayu serta menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Lukman Hashim memejamkan mata serapat-rapatnya. Gambar peristiwa dan suara rakan wartawan seperjuangan berbahas bercampur gelak tawa bersilih ganti dalam memorinya. Dan orang yang paling disanjungi dan dianggapnya bapa pejuang bangsa, agama dan negara terpacul di hadapan matanya. Dialah Abdul Rahim Kajai wartawan-sasterawan dan mahaguru kepada para wartawan sezaman.
Benar. Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin dengan Al-Imam dan Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi bersama Al-Ikhwan mendahuluinya. Bezanya terletak kepada keluasan medan juangnya. Kajai bukan sekadar reformis agama malah Kajai juga nasionalis bangsa. Walaupun Kajai menentang kejumudan, taklid buta serta adat resam yang menyekat kemajuan Melayu seperti seruan Syeikh Jalaluddin dan Syeikh Al-Hadi, Kajai pada masa yang sama juga menyeru Melayu mempertahankan adat dan budaya selari dengan Islam. Kajai menyedari kepentingan jati diri sebagai pasak peribadi Melayu agar tidak melayang-layang disapu ribut pembaharuan seperti sesetengah reformis muda yang jahil dengan keperibadian dan wajah bangsanya!
Lukman Hashim menarik nafas panjang mencari jejak-jejak pemikirannya yang diselaputi habuk zaman. Ketika cengkaman imperialis kukuh mendarahi Tanah Melayu, Kajai dengan bersungguh menolak satu per satu jari raksasa Inggeris itu dengan obor kewartawanan. Begitu bijaksananya Kajai.
Kajai memanfaatkan bidang kewartawanan sebagai wadah perjuangan untuk membakar semangat Melayu. Kajai menegaskan bangsa Melayu adalah bangsa termulia dan amat taat kepada pemerintahnya ketika Melayu diikat dengan rasa rendah diri yang dicipta oleh kolonial. Masih segar di ingatan Lukman Hashim pada rencana akhbar dan rencana pengarang yang ditulis oleh Kajai menyeru semua lapisan masyarakat bersatu dan bekerjasama demi kemajuan bangsanya.
Kajai menegaskan tugas utama Raja-Raja Melayu adalah mempertahankan hak-hak mutlak orang Melayu. Dan sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu bertindak memelihara kepentingan Melayu dan melindunginya daripada dirampas bangsa-bangsa asing. Lukman Hashim dapat merasakan gelombang kekhuatiran Kajai bahawa pada suatu masa nanti berkemungkinan besar orang Melayu akan hilang rumahnya, perniagaannya, kampung, tanah-tanahnya dan hak-hak Melayu di bandar-bandar akan bertukar tangan. Api semangat yang direbakkan melalui akhbar-akhbar ketika itu benar-benar membakar jiwa mudanya sehingga dirinya ditarik ke medan kewartawanan kerana jelas di mata hatinya perjuangan maha penting bangsa dan tanah air ketika tahun-tahun 30-an hingga 40-an itu.
“Parti politik adalah punca kekuatan perpaduan dan medan juang umat Melayu,” getus Datuk Yusof sewaktu televisyen menayangkan sejarah penubuhan parti-parti politik tanah air. Lukman Malaya merengus keras. Selalunya apabila melihat pada pohon yang rendang dan buah yang ranum, orang akan mudah melupakan pada akar yang menjalar ke dalam bumi mencari air dan mineral buat menegakkan batang, mengukuhkan dahan, mengembangkan ranting dan menghijau sihatkan daun.
Lukman Hashim merenung tangan kanannya. Dia mengembangkan jari jemarinya sambil melawan kegigilan otot tangannya. Sewaktu tangan ini masih gagah, tangan ini juga seperti tangan Kajai. Dan ungkapan Kajai dalam sebuah rencana pengarangnya yang menyatakan bahawa ‘selagi roh kebangsaan itu belum bertiup maka tiadalah boleh diharap pergerakan yang dibanggakan kepada kebangsaan itu boleh berjaya’ menari-nari di depan mata Lukman Hashim.
Walaupun Kesatuan Melayu Singapura telah wujud sejak tahun 30-an lagi perjuangannya hanya bersifat semi-politik. Sementelah pula Kajai mahu melihat persatuan Melayu tumbuh di Semenanjung Tanah Melayu itu sendiri. Justeru Kajai dan wartawan seangkatan termasuk dirinya telah melibatkan diri dalam pergerakan berunsur politik dan memberikan pandangan yang membina terhadap penubuhan persatuan serta mencari pemimpin yang betul-betul berminat kepadanya. Sesudah itu tumbuhlah Persatuan Melayu Perak dan Persatuan Melayu Selangor. Tetapi bagi Kajai ia umpama ‘kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu’.
Kajai mahu persatuan-persatuan Melayu digerakkan oleh orang-orang yang tulus ikhlas. Akhirnya seruan itu disahut dengan terlaksananya Kongres Melayu se-Malaya diadakan pada tahun 1939. Pada tahun itu juga akhbar Utusan Melayu didirikan. Kajai bersama kakitangan-kakitangan akhbar Warta Malaya termasuk dirinya menyertai Utusan Melayu kerana didorong semangat untuk berkhidmat kepada bangsa dan agama.
Dimiliki
Benar. Akhbar Warta Malaya terlebih dahulu memperjuangkan hak dan nasib Melayu namun ia dimiliki oleh Syed Hussein Al-Sagof yang berketurunan Arab. Utusan Melayu dimodali dan dikendali oleh orang Melayu jati. Kajai memberikan nyawa kepada Utusan Melayu sebagai penyambung lidah cita-cita nasionalisme, agama dan bangsa. Kajai berada di kemuncak keunggulan sebagai wartawan ketika di Utusan Melayu. Dan Utusan Melayu simbolik puncak kemajuan bangsa Melayu pada masa itu. Ya! Aku menyaksikannya Yusof. Aku sanggup membuktikannya sebagai benar. Jerit hati Lukman Hashim yang sekadar bersiponggang dalam diri sendiri.
Dan Kongres Melayu se-Malaya pada 1946 yang diketuai Dato’ Onn adalah detik penting sejarah perjuangan bangsa apabila UMNO ditubuhkan. Mata Lukman Hashim bergenang. Inilah benih dan akar kepada kewujudan parti-parti politik. Air dan zat mineralnya adalah kesedaran berpolitik yang digerakkan golongan wartawan ketika itu.
Dan engkau Yusof, pemimpin-pemimpin politik terkemudian dan orang-orang Melayu yang telah sedar akan hak-haknya adalah dahan, ranting dan dedaunan yang harus berterima kasih kepada kami! Kerana buah-buah yang berbagai-bagai jenis dan rasa tidak akan ranum dan sihat dinikmati generasi kini tanpa akar, air dan zat mineral yang dibekali kami. Tegas sukma Lukman Hashim lalu merapatkan jari-jemarinya menjadi satu genggaman padu yang menggigil-gigil.
Berada di atas pentas itu bersama Datuk Yusuf dan pemimpin-pemimpin parti yang lain bukanlah sesuatu yang asing bagi Lukman Hashim. Dalam beberapa tahun belakangan ini itulah yang diamanahkan Datuk Yusof kepadanya. Berucap di hadapan rakyat tentang perjuangan menegakkan kemerdekaan di bumi bertuah ini. Namun entah mengapa pula pada malam ini Lukman Hasim merasakan kekosongan mengisi segenap ruang hatinya. Mata tuanya menatap seluruh wajah rakyat berbilang bangsa dan agama yang menengadah memandang ke pentas.
Lukman Hashim merasakan beribu-ribu pasang mata menghunjam ke arahnya adalah mata rakan-rakan seperjuangan yang menjadikan pena sebagai api penyedar yang marak membakar jiwa-jiwa rakyat. Mereka hanya mempunyai akhbar dan majalah sebagai medan juang. Dan wartawan sebagai nakhoda dan pejuangnya. Lukman Hashim merenung tangan kanannya bersungguh-sungguh. Tangan yang mengingatkannya kepada satu tangan yang mendidiknya mengarang demi memerdekakan jiwa rakyat. Tangan Kajai yang mengetuai dan menginsipirasikan tangan para wartawan dan sasterawan terkemudian berjuang dan terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Tangan yang berohkan kejujuran dan kecintaan.
Tiba-tiba hati Lukman Hashim dibisikkan sesuatu. Sesuatu yang amat penting untuk disampaikannya di saat keemasan itu. Kerusi roda Lukman Hasim disorong di hadapan dan mikrofon sedia menggemakan suaranya ke seluruh pelosok padang yang penuh sesak Skrip ucapan yang terbentang di depannya dipandangnya sekilas. Ah, inilah masa terbaik untuk mengetepikannya! Semangat Kajai tiba-tiba merasap dalam hatinya. Lukman Hashim menegakkan tubuh tuanya setegak-tegaknya sebagaimana kemudaan yang meremajakan usianya dahulu. Dan matanya di bulat besarkan menatap seluruh wajah-wajah yang menanti ucapan daripada mulutnya.
“Kehidupan adalah perjuangan. Perjuangan yang akan berterusan dari zaman ke zaman dan saya sebagai wartawan yang hidup pada era kolonial, memperjuangkan kemerdekaan, kesedaran dan pengisian kemerdekaan itu ingin menyatakan bahawa janganlah sesekali kami dilupakan. Tidak mengapa saudara saudari sekelian tidak mengenali saya.
Tetapi kenali, hayati, contohi dan hargailah siapa dia Abdul Rahim Kajai Bapa Kewartawanan Melayu Moden yang mengorbankan seluruh usia dan tenaga fikirannya demi kemerdekaan dan negara tercinta ini,” kata Lukman Hashim terhenti. Air matanya mengalir. Pembantu Datuk Yusof memandang Datuk Yusof menagih kepastian. Datuk Yusof hanya mendiamkan diri dan menahan sebaik sahaja pembantunya itu mahu mengambil tindakan. Barisan pemimpin parti terpaku mendengar kata Lukman Hashim itu seolah-olah baharu mengenal satu episod sejarah lama. Lukman Hashim meneguhkan hatinya. Rakyat di bawah turut sama dipukul ombak simpati dan keterharuan.
“Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhammad, A. Samad Ismail, Zainal Abidin Alias, Ramle Hj. Tahir, A. Samad Ahmad, Ibrahim Hj. Yaakub, Syed Abdullah Abd Hamid, Mohd Dahlan Mas‘od, Mohamad Sallehuddin dan seterusnya para wartawan sezaman adalah pejuang bangsa dan negara. Kenangkan kami sebagai orang-orang berjuang walau sedetik cuma menjelang kemerdekaan negara kita, agar kita tahu dari mana kita bangkit dan berjuang. Daripada tangan kamilah terasuh jiwa dan lahirnya para pemimpin yang disanjung dan dikenang oleh kita sehingga kini sampai bila-bila. Ya kenanglah kami sebagai orang-orang berjuang!”
Sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya itu Lukman Hashim merasakan dadanya bagaikan ditumbuk dengan seribu tumbukan. Tubuh tuanya tersentap-sentap. Datuk Yusof menerpa kepada ayahnya itu. Dalam simbahan cahaya lampu di atas pentas itu, Lukman Hashim menggenggam tangan anaknya. Dia berbisik. “Anakku, aku menyayangimu seperti kami menyanyangi agama, bangsa dan negara kami.” Air mata Datuk Yusof berderai. Tanpa penafian. Tanpa perdebatan. Dan berangkatlah roh Lukman Hashim ke hadrat Tuhan Semesta Alam setelah kalimah syahadah diucapkannya dengan sempurna. Sesempurna cintanya terhadap tanah air!

BILA ADIK PULANG ...


Oleh Ummu Hani Abu Hassan
Mingguan Malaysia 04.10.2007


Mentari sangat elok. Cahayanya menerobos ke ruang kamar, terus menerangi wajah kami yang sedang tidur. Aku berasa perlu bangun kerana suara burung sudah kedengaran, bermakna burung telah memulakan kehidupan.
“Dik Lin bangun,” lirihku. “Dik Nur bangun,” jeritku. Dua tubuh berkelubung dalam selimut kukodek-kodek dengan tangan. “Bangun sayang-
sayang kakak,” kataku. “Umppp...” balas suara dalam selimut. Entah Dik Lin, entah Dik Nur. “Kalaulah kakak burung, kakak sedang terbang cari makanan. Bukan tidur lagi di sini,” kataku.
Pintu kamar terkuak, tubuh montel berambut panjang berlari ke sisiku. Mencium pipiku berkali-kali. “Kakak bangun lambat...” katanya. Aku tersenyum. Dik Nur sudah bangun rupanya. “Kejutkan Lin. Malu dengan burung, sudah terbang cari makanan Lin masih berdengkur.” Dik Nur gelak-gelak, tangannya merentap selimut Dik Lin. “Bangun Lin, kakak kata kau tak malu dengan burung?” Dik Nur melempar selimut Dik Lin ke pintu. Dik Lin masih merengkut. Rambut panjangnya berjurai menutupi bantal. “Biarlah, burung tu bukan puasa. Kalau bangun pun tak boleh makan,” kata Dik Lin. Matanya terpejam rapat. Aku senyum. Adik-adikku jika tidak ke sekolah selalu saja lambat bangun tidur.
Aku disorong ke bilik air. Kerusi rodaku menjadi laju ditolak Dik Nur. Rambutnya yang selalu lepas ke bahu berjurai panjang. “Kakak puasa tak?” tanyanya. Mataku menjeling ke atas. Dik Nur gelak-gelak kecil. “Mama tinggalkan nasi goreng bawah tudung saji untuk kakak tapi dah tinggal sikitlah,” katanya. Aku sudah menerka. Sebelum kerusi roda mencecah lantai bilik air, aku sempat mengutil lengan Dik Nur. “Makan dengan siapa ha? Pagi-pagi sudah buka puasa,” cecehku. Dik Nur tidak mengendahkan.
Menggosok
Dia menyalin tubuhku dengan kain basahan sebelum menjurus rambut dan badanku. Sejuk. “Sebelum mama keluar tadi, mama pesan jaga kakak baik-baik,” cerita Dik Nur. Tangannya ligat menggosok tubuhku dengan sabun. Hatiku terusik. Kasihan mama dan abah, hari minggu pun terpaksa bekerja kuat. Apakah kerana hari raya yang bakal menjelma? “Mama kata nak beli baju gaun putih dan kasut tumit tinggi untuk Dik Nur,” kata Dik Nur. “Kalau Dik Nur puasa penuhkan?” aku menyampuk. “Alah kakak tu tak pernah puasa pun...” Dia mencebik. “Kakak lain.” aku mengetap bibir. Dik Nur mengeringkan rambutku yang tinggal beberapa helai. Badan kurusku dibalut tuala bersih sebelum disorong kembali ke bilik.
Kamar sudah bersih. Tilam tempat baringku berganti cadar putih. Hatiku bergetar kala tubuhku dibaringkan Dik Nur ke tilam. Entah mengapa, bila melihat saja warna putih serasa ajalku semakin dekat. Walaupun Dik Nur selalu berkata, “Kak Hana akan cantik nanti bila rambut Kak Hana panjang.” Tetapi, sempatkah rambutku panjang? “Rambut Kak Hana panjang dalam kubur saja Dik Nur,” balasku selalu lantas dijerkah Dik Lin, “Kak Hana jangan tinggalkan kami,” katanya sambil menangis teresak.
“Dik Nur, entah-entah esok Kak Hana masuk kubur.” Tiba-tiba dadaku berasak. Sudah setahun aku menderita kanser tulang. Sejak umurku 10 tahun. Kematian yang selalu digambarkan dalam televisyen sering mengganggu tidur malamku. “Dik Nur takutlah Kak Hana. Jangan sebut lagi,” kata Dik Nur. Perkataan kubur mungkin amat rapat dengan ‘hantu’ bagi kami kanak-kanak. Tetapi, sejak aku sakit, sering aku berfikir bahawa kubur paling aman untukku melepaskan diri daripada kesakitan. Mengapa orang dewasa jarang untuk bercerita tentang kubur dan kehidupan kekal di akhirat? Malahnya, apabila aku bertanya pada mama atau abah, mereka diam dan memujukku, “Hana akan kembali sihat.” Sebenarnya, aku ingin tahu wajah alam yang bakal manusia tuju bila mereka mati. Allah itu Maha Penyayang, tentu aku akan bahagia di sana. Bertemu dengan Allah, bertemu dengan Rasulullah s.a.w.,bermain-main dalam syurga bahkan boleh meminta apa sahaja hatta kapal terbang sekalipun akan dimakbulkan. Ah! Mengenangkan impianku untuk naik kapal terbang, semangat hidupku kembali cerah.
“Lin, siapa makan nasi goreng bawah tudung saji?” Aku terdengar Dik Nur memekik kepada adik kembarnya di dapur. Aku memejam mata, membayangkan kapal terbang MAS sedang mendarat. “Kenapa kau makan? Itu nasi Kak Hana. Kau ni Lin...” Aku membuka mata. Suara Dik Nur kuat di dapur. Aku tidak pula mendengar suara Dik Lin. Sudah-sudahlah adik-adikku, kakakmu ini lebih kepingin naik kapal terbang daripada nasi goreng sejuk tu, rungut hati kecilku. “Mana Lin tahu, Lin lapar sangat tadi,” tingkah Dik Lin. “Habis Kak Hana nak makan apa? Nanti mama marah tak jaga kakak baik-baik.” Aku tersentuh mendengar suara Dik Nur. Sedih sekali jika aku mati awal dan berpisah dengan adik-adikku.
“Kak Hana, Dik Nur turun kedai belikan kakak roti. Lin dah habiskan nasi goreng kakak...” kata Dik Nur. Aku senyum. Mengejip-ngejipkan mata. “Rupanya, dua-dua adik kakak tak puasa,” balasku. Dik Nur tersengih malu sambil menggaru rambutnya yang mengurai. Dik Nur keluar. Entah di mana Dik Lin? Mataku terpandangkan tiga kuntum bunga plastik yang disepit Dik Nur di belakang pintu bilik kami. Sekuntum berwarna hijau, dua kuntum berwarna merah. Agakanku, sekuntum yang hijau itu adalah aku, manakala dua kuntum yang merah itu buat sepasang kembar yang comel, Dik Nur dan Dik Lin. Tapi, agakanku silap kerana kata Dik Nur, “Yang hijau itu Dik Nur, kakak dan Lin dua bunga merah.”
Menguji
“Kenapa? Kakak bukan kembar Lin,” aku pernah mengujinya. “Dik Nur nak juga rasa tak ada pasangan kembar. Nak sorang-sorang,” jawapannya buat aku ketawa. Mengenangkan kata-kata itu, aku jadi bimbang semula, aku bakal seorang-seorang bila aku mati. Mama, abah, Dik Nur dan Dik Lin akan menghantarku ke kubur. Sebaik sahaja aku masuk ke liang lahad, mereka akan pulang meninggalkan aku kegelapan dalam tanah yang sempit.
Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak masakan Allah memberiku mama yang baik, abah yang baik juga Dik Nur dan Dik Lin yang baik. Allah memberi kami rumah sebagai tempat tinggal. Allah memberi kami makanan dan pakaian. Allah menyelamatkan hidup kami dari orang-orang jahat. Ah! Tak terhitung nikmat Allah. Nyawaku yang masih berdenyut ini juga pemberian Allah.
“Mama, bagaimana kalau tiba-tiba ada orang jahat kacau keluarga kita? Allah tak kasihan pada kitakah?" Tanya Dik Nur suatu ketika. Aku teringat lagi jawapan abah bagi pihak mama.
“Allah selalu kasihan pada kita sayang. Kalau ada orang jahat kacau keluarga kita, bukan Allah tak jaga tapi Allah nak uji supaya kita jadi orang yang sabar. Orang sabar ni dekat dengan Allah. Di akhirat, Allah bagi dia syurga yang paling besar dan cantik.”
“Jadi, Kak Hana sakit ni sebab Allah nak uji dialah?” Tanya Dik Lin pula. Mama mengangguk. Kali ini mama pula menjawab “Sebab Allah sayang sangat pada Kak Hana. Kita pun tak boleh sayang Kak Hana macam Allah sayang pada dia.”
Aku tenang sekali dengan jawapan mama. “Nanti Kak Hana dapat syurga paling besar dan cantik, jelesnya,” teringat lagi kata Dik Nur.
“Dik Nur pun boleh dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana tapi dengan syarat…” kata-kataku dipotong abah “Dik Nur kena sabar setiap kali ada kesusahan menimpa.”
“Termasuk kena kacau dengan orang jahat?” Tanya Dik Nur. Kami semua mengangguk dan tersenyum kepada Dik Nur. Entah mengapa, air mataku mengalir deras. Terbayang wajah Dik Nur sedang menggosok tubuhku dengan sabun di bilik air tadi. Tuhan, peliharalah adik-adikku kerana aku tidak mampu bergerak untuk menjaga dan mengawasi mereka.
Senja mulai merona suram. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang di ufuk Kampung Kerinchi. Abah dan mama pulang dengan menjinjit plastik makanan begitu banyak. Aku terbaring lemah kerana memikirkan Dik Nur yang masih tidak pulang-
pulang sejak awal pagi. Dik Lin sudah tiga kali meronda seluruh kawasan flat kami, tapi bayang Dik Nur tidak kelihatan. Kami berdua serba-salah di hadapan mama dan abah.
“Dik Nur hilang?” Mama mengerut dahi.
“Adalah tu dekat-dekat kawasan ni. Dia nak hilang ke mana? Agaknya di rumah Imron” kata abah menyusun kuih dalam pinggan.
“Tak ada, Lin dah cari rumah Imron, rumah Dina, rumah Nora, semua tak ada abah,” jelas Dik Lin. Abah diam meneruskan suapan makanan.
“Dik Nur belum balik?” Wajah abah terjengul di muka pintu. Kali ini tona mukanya tidak setenang tadi. Mama yang resah bertambah kacau dengan tangisku.
“Dia turun nak beli roti untuk Hana tapi tak balik-balik.” Entah mengapa aku berasa paling bersalah apabila melihat gelisahnya abah dan mama.
“Saya cuba cari dulu dengan orang surau,” kata abah kemudian turun semula ke surau flat kami.
“Mama, kalau Nur tak balik, dia tidur mana malam ni?” tanya Dik Lin. “Kalau mama tahu, mama suruh dia tidur di rumah sayang,” jawab mama. “Kawan-kawan Lin tak nampak Nur kat kedai pagi tadi?” Dik Lin menggeleng.
“Abang kedai tu kata Dik Nur datang kedai semalam je, hari ni tak datang,” kata Dik Lin. Mama mengerut dahi. “Abang kedai mana?” “Yang selalu bagi gula-gula pada kami. Abang yang ada kucing comel tu.” Aku memandang Dik Lin, abang itukah yang selalu berkirim salam padaku melalui Dik Nur atau Dik Lin? Kata Dik Nur, abang itu sangat baik. “Pelik betul. Semalamkan kita semua teman Kak Hana di hospital,” jawab mama. “Lin nak panggil kawan-kawan sekejap.” Dik Lin berlari ke pintu.
Memerhati
“Mama! Beg siapa ni?” Aku hanya memerhati langkah mama yang laju. “Mama!!! Dik Nur!!” jerit Dik Lin sehabis suaranya.
Segala-galanya sangat pantas. Seperti seekor burung yang terbang bebas kemudian dilastik batu, ia jatuh ke bumi lalu mengerang mati. Aku memang suka memerhatikan burung. Cicipnya menemani hari-hariku di jendela flat ini. Burung selamat kembali ke sarang malam ini tapi Dik Nur hanya singgah sebentar di rumah kemudian akan kembali ke sarang yang abadi; kubur! Ya Allah, betulkah apa yang terjadi hari ini? Kami tidur bersama semalam, Dik Nur memandikan aku, menyiapkan aku dan melayaniku. Matanya yang bulat, senyum begitu mesra dan rambutnya yang berjurai panjang kini hanya terpotret di gambar. Di hadapan kami sekarang adalah Dik Nur yang malang seperti mayat seekor kucing yang ditoreh sesuka hati. Siapakah manusia yang memiliki akhlak begitu dahsyat meratah kehormatan kanak-kanak Dik Nur? Sampai hati dia. Sampai hati sanggup menerima kutukan alam dan menyerah diri kepada kemurkaan Allah. Mama pengsan lagi. Abah di sisi jenazah Dik Nur tidak bersuara apa-apa. Matanya yang merah bak saga menjelaskan sengsara hatinya menerima kematian Dik Nur dengan cara begitu zalim. Mayat Dik Nur dijumpai dalam beg atas rak kasut depan rumah kami sahaja. Apakah manusia sekarang bebas melakukan apa sahaja termasuk meratah tubuh kanak-kanak, membunuhnya kemudian memulangkan kembali kepada kami? Manusiakah itu?
Dik Lin menyembam muka ke bahuku. Tangan tulangku mengelus-ngelus rambut panjangnya seperti aku mengelus-ngelus rambut Dik Nur. “Kak Hana, Dik Nur dah pergi, Kak Hana jangan pergi,” katanya. Aku mengucup Dik Lin. “Abah dan mama masih ada. Mereka akan jaga Dik Lin baik-baik.” “Kalau abah dan mama tak ada?” “Kenapa pula?" aku mengerut dahi. “Lin dengar abah dan mama nak kena tangkap sebab tak jaga Dik Nur baik-baik...” tangisnya makin tinggi. “Dik Lin, Allah ada. Allah akan jaga kita semua sayang. Jangan bimbang. Orang sabar akan dapat syurga besar tau,” pujukku. Dik Lin memelukku erat. Suara bacaan yasin semakin kuat berseli ingatanku pada kata-kata Dik Nur, “Kalau ada orang jahat kacau, Dik Nur nak sabar sebab Dik Nur nak dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana.” Aku mengetap bibir yang basah. Dik Nur, selamat pulang ke syurga yang abadi. Tunggu kakak di sana.

PETALA RENGSA DALAM DADA

Oleh Mawar Shafei
Mingguan Malaysia, 16.12.2007



“ISTERI saya belum mahu bercakap. Maaf. Mungkin masih terkejut dengan apa yang dilihatnya.” Dia memeluk isterinya yang masih membatu. Perut godang itu diusap-usap. Sekali sekali ada esakan yang masih bersisa. Tangan lelaki itu digenggam.
Belum pernah dia merasa genggaman sebegitu padu, sebegitu dingin. Masih berbaki ketar yang beralih ke tangannya. Dan dia tahu genggaman itu bersatu pula dengan seribu rasa cemas dan kejutan yang tidak terucapkan. Sekali-sekala silau cahaya dari kamera jurugambar bagai kilat di tengah malam yang begitu menyeramkan. Wartawan yang masih memegang buku catatan masuk ke klinik.
Dinihari itu dia membaca surah ar Rum, barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat. Seusai membaca ayat 20 itulah dia disergah isteri yang kelihatan menahan sakit yang amat. Dia separuh gelisah dan selebihnya begitu bimbang. Sudah tibakah saat untuk bayi mereka keluar dari kantung rahimnya? Namun menurut hitungannya, tarikh lahir bayi ialah pada dua bulan menjelang. Sekonyong-konyong sahaja dia berasa terlalu ngilu yang belum pernah terasakan. Dia hampir mendengar debar dalam dada sendiri. Petala rengsa begitu menyesakkan setiap inci ruang yang ada. Perempuan yang menjadi teman jiwanya hampir tiga tahun ini, didakap seraya memujuknya berkali-kali. Ingatkan Tuhan, katanya. Dalam perjalanan ke klinik, setiap kali pedal minyak yang ditekan, seperti masa pula yang menekan belakang lelaki itu berkali-kali.
Mereka akhirnya tiba di hadapan klinik. Tanpa menunggu dibukakan pintu kereta seperti biasa, si isteri keluar sendiri dengan perut godangnya. Dia segera mengunci pintu. Sejurus itulah jeritan perempuan itu menguasai sepanjang jalan kecil yang dikepung deretan rumah kedai yang antaranya merupakan klinik saya. Dia melihat saya yang terlentang di hujung sandal isterinya. Dari cahaya lampu jalan dan klinik, dia pasti dapat melihat bahagian dada kemeja putih saya yang penuh dengan serakan warna merah kehitaman. Ada tompokan warna yang sama di simen jalan. Maha Suci Tuhan! Dan lelaki itu ialah sahabat lama saya.
Dia masih merangkul isterinya yang terasa sangat di dadanya bahawa dia sangat perlu melindungi. Ada riuh-rendah di bank berhampiran. Dia langsung tidak mahu peduli. Saya tahu dia hanya mahu isterinya kembali tenang dan bayi mereka tidak mengalami kesan kejutan. Saya tahu juga dia pastinya terkaku dengan kematian saya di hadapannya. Sebelum beredar wartawan tadi sempat bersalaman dengan sahabat saya itu seraya berkata, “Ada rompakan di mesin wang. Perompak cemas dengan bunyi penggera lalu lari ke klinik!"
(i) Kisah kami
BEBERAPA malam ini saya pasti tertidur seusai maghrib. Sama ada masih lengkap bersarung, saya boleh sahaja terbaring di atas sejadah. Atau dengan al-Quran yang masih terbuka, saya boleh tersandar di kerusi rehat di kamar peribadi. Akhirnya isteri yang akan membangkitkan sama ada menggerakkan lengan atau menutup halaman al-Quran yang entah di mana saya terhenti sebelum terlena. Entah mengapa saya mudah sahaja melelapkan mata. Termasuk malam tadi sudah seminggu, saya mempunyai rutin baru. Serasi dengannya, saya mula membawa balik beberapa kerja pejabat yang perlu diteliti.
Benarlah, dinihari begini merupakan saat yang paling menenangkan. Dan ia mudah sahaja pecah dengan bunyi apa sekalipun. Tiba-tiba telefon tangan saya berbunyi. Ada mesej nakal dari sahabat saya. Dia doktor di sebuah klinik 24 jam. Tulisnya, klinik terlalu sunyi, hanya dia dengan pembantu di luar. Hah, giliran saya mengusik, ada pengawal CCTV yang perhatikan kau! Dia sahabat lama, sahabat sejak di kampung. Bermain-main waktu kecil dia sebagai doktor, menjadikan sahabat saya begitu apabila dewasa. Berkahwin pula dengan teman sekuliah, mereka kini mempunyai klinik sendiri. Saya menumpang bangga, pastinya. Isteri saya sering juga ke klinik mereka. Sehinggalah akhirnya isteri saya berbadan dua, dia menjalani pemeriksaan bulanan di sana. Kata isteri saya, menyokong perniagaan sahabat sendiri. Saya menyanggah, bukan perniagaan, itu perkhidmatan, mereka memulangkan apa yang dipinjam dari masyarakat. Namun suatu yang mencelah antara kemanisan kami menanti zuriat ini, menurut isteri saya, bayaran yang tinggi dikenakan isteri sahabat saya itu. Maka saya mengusiknya kembali, itu baru benar perniagaan dan bukan perkhidmatan.
“Tapi bagaimana dengan layanannya? Memuaskan?"
Isteri saya mengangguk. Namun masih bertapi. Ubat, masa rawatan dan tujuan rawatan yang sama diperoleh temannya yang lain dengan harga yang jauh lebih murah.
(ii) Kisah Dia
Saya tidak tahu ke mana lagi harus saya melangkah. Ternyata luka di kaki yang kian membiak, tidak membenarkan saya berjalan lebih jauh. Akhirnya saya berhenti di hadapan klinik 24 jam berhampiran bank. Saya pernah bekerja di bank itu beberapa tahun sudah sebagai pengawal. Namun selepas saya mendapat musibah dan kaki saya tidak dapat mempertahankan kedudukan tugas itu, saya diberhentikan. Apa lagi yang boleh saya lakukan. Dengan kemahiran dari almarhum datuk saya pengukir batu yang banyak membuat kerja untuk rajanya, saya mewarisi kehandalan itu. Namun untuk terus bersama Tuhan yang saya cinta dan isteri saya yang pergi dahulu bersama anak sulung kami, saya memilih jurus mengukir batu untuk kematian. Ya, sekarang saya adalah pengukir batu nisan.
Saya mendengar cerita doktor di klinik 24 jam ini, sangat budiman orangnya. Doktor perempuan yang murah dengan senyuman dan selalu beramah tamah dengan pesakitnya. Setelah berkira-kira, saya melangkah masuk. Dia mungkin tidak mengingati saya. Kami pernah berselisih jalan sewaktu saya masih bekerja di bank. Kadangkala dia bersama lelaki yang saya percaya suaminya yang juga seorang doktor. Saya percaya doktor budiman itu dapat membantu kaki saya. Saya bernasib baik tidak ada pesakit yang menunggu. Maka cepatlah saya dapat berjumpa doktor dan menceritakan tentang kaki saya yang sudah hampir berlubang ini. Oh, dia ternyata ciptaan Tuhan yang luar biasa. Dia mempunyai mata yang cantik, hidung yang molek, bibir yang mengeluarkan kata-kata yang begitu memujuk dan meleburkan segala kesakitan yang ada. Denyutan dan bisa di kaki saya hampir sahaja tidak terasakan sehinggalah saya terlihat lubang yang bila-bila sahaja akan terbentuk.
Ubat
Dengan menggunakan sarung tangan, dengan lembut kaki saya ditekan-tekan. Tidak sakit akibatnya, hanya denyut dan bisa seperti biasa yang masih merayap di kaki kiri saya. Sesekali berkerut keningnya. Sesekali dia melihat muka saya dan mengaju soalan. Antara katanya, saya perlu menghentikan pengambilan gula, kurangkan nasi, roti, jus dan daging kambing. Saya akan diberi ubat. Saya tidak tahu menyebut nama ubat yang keluar dari mulut manis doktor cantik ini. Setelah mengucap terima kasih, saya terus diserang petala rengsa dalam dada. Berdiri di hadapan kaunter ubat, membuat saya seperti orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin. Bagaimana kalau bayarannya begitu tinggi. Saya tidak berfikir langsung tentang duit. Sepanjang berjalan sebelum masuk ke klinik ini, bekal saya hanya doa dan harapan bersandarkan cerita doktor budiman ini. Segera saya menyeluk saku seluar yang sudah berhari-hari dipakai. Ada sehelai, dua helai kertas.
Perempuan muda yang memanggil nama saya, menghulur beberapa bungkusan ubat. “Pak cik makan dulu yang ini, nanti datang lagi,” seraya menyisip sehelai kertas jumlah wang yang harus saya bayar. Menurutnya dengan wajah manis, bayaran adalah untuk perundingan dan harga ubat. Ah, dari mana kekuatan untuk saya katakan bahawa jumlah bayaran ternyata berganda-ganda daripada wang yang ada dalam saku seluar saya. Mata perempuan muda itu sedikit terbeliak. Ada beberapa pesakit lain yang sedang menunggu giliran. Pasti saya disumpah dalam hati mereka, kerana saya urusan rawatan tergendala. Perempuan muda di kaunter farmasi keluar masuk kamar doktor. Saya masih berdiri sebagai orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin namun amat memerlukan rawatan. Saya berkira-kira, bagaimana saya boleh melunaskan bayaran. Sementara menunggu perempuan muda itu, debar dan petala rengsa dalam dada kembali reda. Saya bersyukur kepada Allah yang memberi jalan.
“Lain kali pak cik fikir dulu sebelum datang. Ini klinik swasta, bayarannya mahal. Doktor kata, pak cik boleh bayar esok. Tapi mesti esok.” Saya teragak-agak. Doktor yang manis itu berkata begitu? Entah dari mana kekuatan yang ada, saya minta izin dari perempuan muda di kaunter farmasi, saya ingin berjumpa doktor sebentar. Saya mahu katakan kepadanya begini, “Saya tidak dapat membayar wang hampir seratus ringgit itu esok, doktor. Tapi saya boleh membayarnya dengan beberapa batu nisan yang akan saya ukir cantik untuk ahli keluarga doktor dan doktor sendiri. Saya harap ia dapat melunaskan bil rawatan saya tadi.”
Takdir Tuhan melangkaui segala yang ada.
Mahal
Sesungguhnya, saya tidak sempat menelan ubat mahal itu. Dengan kaki luka dan bisa yang hampir menampakkan lohong, saya memaksa diri melangkah pulang ke rumah kecil saya yang bersebelahan dengan kawasan perkuburan. Sepanjang perjalanan menyelusuri tepian jalan raya dengan lampu kereta atau lori yang merejah cahaya, saya berulangkali membaca surah Tuhan, barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat. Perlahan-lahan seperti surah Tuhan itu luruh ke dalam diri orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin ini bersama rebas hujan malam. Ternyata ketika itu saya terlalu rindukan Tuhan dan isteri bersama anak sulung kami. Kali terakhir saya melihat lampu lori yang besar seperti hilang kawalan dan mengepung pandangan.
(iii) Kisah Saya
Seperti biasa saya mengambil alih menjaga klinik selepas pukul 10. Isteri saya bersama anak-anak di rumah. Kadangkala mereka tidur di klinik juga. Malah kami bercadang untuk membeli tingkat atas klinik ini untuk didiami dan itu akan memudahkan kami menyelenggara klinik. Itulah usul isteri saya yang menggunakan wang simpanannya membeli klinik ini dua tahun lalu. Ah, isteri saya memang penjimat, mewarisi sifat ayahnya. Dia amat kritis tentang kewangan.
Sedang melayan kantuk yang bergantungan di hujung mata, lewat SMS saya mengusik seorang sahabat lama yang akhir-akhir ini juga berjaga waktu dinihari. Mengirim dan menerima mesej, pintu bilik rawatan diketuk setelah pembantu memaklumkan ada pesakit sedang menunggu. Jarang sekali ada pesakit pukul tiga pagi.
Saya didatangi seorang tua yang lohong kakinya. Berdasarkan rekod dia datang minggu lalu dan dirawat isteri saya. Ternyata nanar diabetes mellitus sudah menular dan saya tahu petala rengsa dalam dadanya yang tebal, dari matanya yang mohon dirawat segera. Saya melihat dia seperti almarhum ayah saya. Setelah memberi satu dua nasihat antaranya dia memerlukan suntikan insulin, saya masih berasa aneh, mengapa dia datang dinihari begini.
Jawabnya, dia sudah mengambil ubat dari isteri saya minggu lalu. “Saya hanya datang untuk membayar hutang.” Lelaki tua itu meriba bungkusan surat khabar. Kelihatan isinya agak berat dan bersaiz satu hasta Sebelum menyudahkan kerja meleraikan ikatan bungkusan itu, dia tersenyum dan saya berasa sedikit hairan. Dia membaca satu ayat dan saya tahu itu dari kitab suci Tuhan. “Barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat.”
Saya melihat isi bungkusan itu. Separuh menjerit, saya bangun keluar dari bilik meninggalkan orang tua itu. Berlari ke arah pintu utama, saya hampir tidak melihat pembantu di kaunter pendaftaran. Wah, ini memang petala rengsa yang penuh petaka dalam dada saya! Hasrat saya hanya satu, mahu lari keluar dan melepaskan rengsa ini. Belum sempat saya menolak pintu, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali dengan muka separuh ditutup dan parang di tangan, menolak pintu dari luar. Saya dapat merasakan antara teragak-agak akhirnya parang itu tenggelam dalam dada saya. Lelaki itu berpaling ke arah kaunter dan terus keluar semula. Segalanya berlaku sepicing mata. Saya dengan tangan menekap dada, mahu mengejar lelaki itu. Tapi saya jatuh di hadapan klinik sendiri.
Siapa yang pernah menduga, suatu ketika setelah bersahabat lama, saudara akan bersama dengan sahabat itu pada saat kematian saudara sendiri. Nah, itulah yang saya depani saat ini. Saat kematian saya, di hadapan sahabat saya sendiri dan isterinya. Saya tahu dalam ketika begitu petala rengsa bersusun dalam dada sesiapa sahaja.

INI CHOW KIT ROAD, SUDILAH MAMPIR


Oleh Malim Ghozali PK
Mingguan Malaysia 27 12 2007


PADA tempat-tempatnya tengik longkang tersumbat mampu juga menumpaskan bau keretek yang memberat di udara pagi yang lembap. Sejak dulu longkang-longkang di situ tidak pernah lancar arusnya. Ada saja yang menyekat. Sampah, bangkai ayam, sayuran busuk yang dicampakkan oleh peniaga-peniaga di pasar basah yang berlintang kalang dan lampin-lampin wanita tersangkut di longkang, menggambarkan suasana yang menghampiri entropi.
Pernah mayat manusia tertampan di longkang itu. Ia membuatkan orang di sekitar longkang geger seketika. Hanya seketika. Denyut kehidupan lebih penting dari kematian. Ayuhlah, cepat lupakan. Meski di sini ada sejarah yang panjang, terbina dari keringat saudagar-saudagar tempatan atau mendatang, longkang-longkang tetap kotor dan hanyir. Tetap longkang. Ya, cubalah cicip kehidupan sebagai penulis!
Di wilayah busuk inilah tikus-tikus dan para gelandangan membina istana, walau mereka tahu ilusi itu tidak kekal. Semua pasti hangus dan menjadi hitam, seperti hitamnya air longkang. Pandanglah dari sudut mana saja yang kalian suka, paradoks tetap paradoks, begitu pernah dinukilkan oleh seorang penyair yang tumpang kencing di longkang. Pedulikan. Semua memang kencing di longkang, sama ada orang atau binatang, bintang atau jalang, penyanyi atau petualang. Kalau longkang sudah tepu, bolehlah kencing di Chow Kit Road.
Di sini syurga sang tikus dan syurga para gelandangan bertemu, walau di dalam mimpi dini hari. Akhirnya ia terendam di tengah air longkang yang pekat dan kelam.
Sangat jelas pemain-pemain di sini sudah bertukar. Pemain-pemain lama sudah pencen. Atau meminjam seni kata Almarhum Sudirman – ‘balik kampung’. Mula-mula ramai Abang Dolah, Kak Yam, Syed Nontak, ane Ratnam, Ah Seng dan Kam Chong. Sekarang senario sudah banyak berubah. Tempat mereka sudah diambil alih oleh Sutinah, Wak Parjo, Superman, Sutikno dan Hendrik Budiman. Samalah, mereka juga pemain-pemain di jalan yang dibibiri longkang-longkang yang menjijikkan. Mujur bau keretek dapat membunuh rasa loya. Sama ada yang berpenapis atau tidak, bau cengkih mengertup, membakar tembakau lalu mengapungkan semacam aroma musim panen.
- Bapak dari mana?
- Malim Nawar.
(Eh, kenapa aku pulak yang ditanya dari mana?)
- Kamu?
(Kamu yang datang entah dari mana-mana!)
- Jawa Timur. Banyuwangi. Desanya, Teluk Ketapang.
- Kerja di sini?
- N‘ggak...cuman bisnis kecil-kecilan...
- Bisnes?
- Ya, ejen...
- Ejen?
- Apa-apa saja...di sini, di jalan ini, apa-apa pun boleh...
(Celaka! Kamu sudah menambahkan kotoran longkang di jalan ini!)
- Masuk sebagai businessman?
- N‘ggak Pak...biasalah...
- Pas lawatan sosial?
- Iya Pak...tapi itu kan cuman peraturan...?
(Apa, peraturan bukan untuk diikuti? Hei Mat Indon, ini bukan peraturan terpimpin, tau!)
- Kamu tau ini bukan menteng, kan?
- Oo...bapak sudah ke sana rupanya... menteng sungai besar...maksud saya sungai kehidupan yang besar...ia bisa mengangkut dan menelan apa saja...
- Longkang besar!
- Longkang besar? N‘ggak ngerti saya. Tapi kalau longkang sebesar seperti Chow Kit Road, ia bisa menyembunyikan apa saja...
- Habis, kamu sekarang tinggal lebih masa? Apa kamu tidak takut ditangkap polis atau imigrasi?
- Saya punya kad merah, Pak...
- Pekat sangat loghat Indon kamu. Dah berapa tahun tinggal di sini?
- Lapan bulan.
- Lapan bulan dah dapat kad pengenalan merah?
- Nomor dua, Pak.
- Ooo...
(Agaknya Chow Kit Road sememangnya longkang besar yang melahap dan menyembunyikan apa saja. Betul juga kata Mat Indon ni. Kalau Jakarta ada Menteng, Singapura ada Sungai Road, Bangkok ada Pat Pong, Kuala Lumpur tentulah perlukan Chow Kit Road. Semuanya sungai kehidupan....Yang bener mas...)
Chow Kit Road seperti membangunkan sebuah delta besar yang meliputi Jalan Tuanku Abdul Rahman serta lorong-lorongnya, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Laut, Lengkok Raja Laut, Lorong Haji Taib serta lorong-lorongnya yang berselirat, Lorong Kampung Periuk dan pangkal Jalan Ipoh. Ia mengingatkan aura sawah yang tersangat lebar, yang terbina dari siratan sungai-sungai yang menjunjung sunnatullah. Mewah hasil mahsulnya.
Musim panen? Di Chow Kit Road?
Tentulah. Di sini orang menuai setiap hari. Usah hiraukan yang tewas dan lari. Setiap hari ada saja pencuba nasib yang baru ke sini. Merekalah yang harus diambil kira. Ada pedagang dan ada juga penjual temberang. Di sini, kalau kena strateginya, temberang juga ada pembelinya. Pokoknya di sini terlalu ramai orang yang bersedia untuk ditemberang. Saban hari ada ribuan pengembara dari desa yang baru pertama kali menjejakkan kaki di ibu kota. Dan mereka mencari Chow Kit Road. Di sini semua ada, dan semuanya murah, kalau kena caranya.
Namakan ia apa saja – longkang, delta atau pentas.
(Ingat pentas skylift Almarhum Sudirman Haji Arshad?)
Semua memerlukan pemain-pemain. Chow Kit Road bukan calang-calang pentas. Hanya yang berani dan berpengalaman saja yang mampu meraih kemenangan. (Kata Mat Indon malam nanti dia akan buktikan). Yang takut dan pengecut tidak ada tempat di longkang besar ini. Di sini keberanian luar biasa amat diperlukan.
- Kamu tentu orang berani...
- Berani saja belun cukup Pak...
- Masa?
- Perancangan dan ketekunan. Nah, itu pokoknya!
- Ooo...
(Aku memang bukan peniaga. Cuman cerpenis sengkek yang singgah minum cendol di tepi longkang. Ah, kok cepat bener ngomong bahasa Chow Kit Road?).
Kalau boleh mahu saja dia mengandaikan wilayah ini sebagai sebuah lautan, yang sudah tentu ada pasang surutnya. Lautan kehidupan. Ia mampu menelan apa saja. Ia juga sering kali membawakan harapan-harapan baru ke pantai, walau harapan-harapan itu selalunya tak lebih buih-buih yang dioleng semula ke tengah samudera.
Rupanya malam juga cantik di sini, walau tidak seindah dan seaman di kampung. Di sana gemersik angin di daun bambu seolah menggesekkan C Natural, mengiringi sang pungguk menyanyikan lagu rindunya untuk bulan. Tapi di sini limpahan cahaya dari jutaan neon membuatkan seluruh wilayah seakan mahu disuluh dan ditelanjangkan. Longkang- longkang dan orang-orang. Dengan latar deru enjin kereta, lori dan bas serta segala macam hiruk-pikuk, tentu sekali berhasil menobatkan Chow Kit Road dan longkang-longkangnya sebagai kota di dalam kota.
Sungguh istimewa, kau!
Janji Mat Indon tepat. Lagipun Mat yang seorang ini bukannya PATI. Dia ada gaya. Lagi- pun bukankah dia seorang ejen?
Dia datang dengan seorang wanita awal dua puluhan, berkulit sawo matang, bermata galak dan cukup pemurah dengan senyuman. Ada kamera jenama tersohor tersendeng di tengkuk dan celah ketiaknya. Dia kelihatan seperti datang dari keluarga orang berada. Maklum, gerak dan lagak orang berada selalunya ada sedikit kelainan.
Tapi kenapa harus berada di lorong ini?
- Kenalkan, Pak...Yanti. Nama paspornya Heryanti.
- Kamu ejennya?
- Jangan gitu Pak...dia pelajar tahun akhir di kolej swasta...kami cuman kenalan...
- Oo, maaf...Belajar apa ya?
Mat Indon mengalihkan pandangan ke arah Yanti, seolah memintanya menerangkan sendiri.
- Kewartawanan Pak...Kalau Mas yang bawa saya mutar-mutar di sini, saya rasa selamat. Orang-orang kenal dia...mau motret pun tak genter...
- Di Belakang Mati?
Yanti tunduk tersipu. Dia tahu stigma yang tertancap di lorong suram itu. Semua orang Kuala Lumpur tahu setiap gelandangan dan kalangan jembel ada di situ. Lihatlah di kaki- kaki lima. Mereka berbaringan tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Meski ramai yang menari dan menyanyi dengan irama yang tersendiri, dengan kepala yang terhangguk- hangguk, ada juga yang menangis tidak henti-henti. Seorang lelaki bersongkok putih yang sejak tadi berteriak menjajakan pil-pil pengeras anu mengangkat tangan kepada Mat Indon, sebaik mereka melintasinya.
- Kenal?
- Iya. Pak Zahir. Dia dari utara dan masih bujang. Dia senior di sini...sudah lebih tiga puluh tahun...Ungkapannya sudah terkenal di lorong ini...
- Apa?
- “Beli satu percuma satu, belum cuba belum tahu, beli sekarang, cuba sebelum siang!"
Dia terfikir, alangkah hebatnya pak Zahir. Tiga puluh tahun meneriakkan ungkapan yang sama, di lorong yang sama. Tentu calon yang baik untuk disenaraikan di dalam Guinness Book Of Records!
Ah, seperti setiap langkah di lorong itu akan ada sebuah cerita, baik yang lama maupun yang baru. Belakang Mati rupanya berdenyut dan berdetak, segar dan mendebarkan.
(Kata Mat Indon Belakang Mati tidak pernah mati)
Dia sudah diperingatkan oleh Mat Indon supaya hati-hati ketika menyusuri lorong. Sang pencopet sudah lama menjadikan sudut itu sebagai pusat latihan mereka. Penjualan pil-pil psikotropik, viagra tiruan, pengeras anu dan cakera padat seks tentulah tidak lengkap tanpa para sundal yang menawarkan perkhidmatan mereka secara terbuka. Bermacam warna kulit dan beraneka bentuk tubuh – yang tinggi, yang pendek, yang kurus dan gemuk mundar-mandir di lorong ini. Ada juga yang menanti di muka-muka pintu rumah-rumah tumpangan kecil yang biasanya ditandai sebiji mentol berwarna merah. Tidak perlu sewa bilik semalaman. Boleh bayar ikut jam. Lagipun bukannya lama benar proses menguji ubat pengeras anu Pak Zahir.
Pilihlah!
Di sini siapa yang pedulikan tentang penyakit? Ini Chow Kit Road!
- Hati-hati dengan mak nyah, Pak...
- Jangan benarkan mereka memeluk...
- Itu kan tugas mereka?
- Jari-jemari mereka tersangat pantas... sedar-sedar dompet sudah terbang!
Dan Yanti pelajar kewartawanan memilih daerah ini?
- Tak... ah... maksud saya di Chow Kit Road. Di daerah ini banyak yang boleh dilihat dan ditulis. Saya bercadang menyelesaikan tesis dengan menggunakan bahan di sini.
- Chow Kit Road?
Hmnn...
Sepatah kata Mat Indon, lorong belakang yang dikatakan ‘mati’ itu sebenarnya tidak pernah mati. Persis kedai mamak, ia sibuk dua puluh empat jam. Ia adalah contoh dinamika kehidupan itu sendiri. Ada seribu satu macam kisah di lorong ini – dari cerita langit ketujuh, kain cindai dan buluh perindu yang turun dari pusat tasik pauh janggi dan dakwaan mengenai artis-artis yang berjejal ke rumah sang bomoh meminta diturunkan ilmu pelaris. Boleh cari apa saja di sini – dari cop imigresen bagi menyahihkan kemasukan ke negara ini (pilih saja pintu masuk), pisau rambo atau tongkat Sukarno.
Tiga empat orang lelaki Afrika bertubuh sasa menyelinap masuk ke hotel murah ikut pintu belakang. Salah seorang dari mereka mempunyai ketinggian melebihi enam kaki. Apa pun kesemua mereka layak bertarung di dalam kategori heavy weight WBC.
Ini lorong kehidupan yang mengalirkan madu, darah dan nanah. Peduli apa dengan warga dan bangsa! Peduli apa sama ada kamu warga Vietnam, Myanmar, Kazakhstan, Rusia, Filipina, Thailand atau Kampuchea!
Ini Chow Kit Road!
Dia yang berjalan beberapa tapak di hadapan tersentak sedikit ketika laungan dagangan yang sama sekali asing dengan lorong itu mengatasi gelombang celoteh penjual- penjual ubat anu dan bomoh-bomoh artis.
Kitab, kitab! Riadus Salihin, Nurul Huda, Najmul Huda, Qamar Huda, Sayap-sayap Jibril!!
Masaalahtul Subian, Matla‘il Badrin, Rahsia Wajah Suci Ilahi, kitab penawar hati...
Yaa Siin... Yaa Siin...!!
Mahu tidak mahu, dia mematikan langkah dan berpaling ke belakang. Seorang lelaki muda berketayap putih dan berjanggut sekompot tekun dengan dagangannya, tanpa mempedulikan prospek dagangannya terjual atau pun tidak. Dia hanya tersenyum melihat lelaki muda itu. Dia tahu semua nilai ada nilai lawannya.
- Siapa?
Dia mengajukan pertanyaan kepada Mat Idon.
- Kurang periksa Pak. Belum pernah saya lihat dia di sini.
Sebelum meninggalkan belakang mati dia mendongak ke langit. Ada sebutir bintang berkedip dengan galak di langit yang hitam.
Pagi ini longkang besar agak tepu. Ada hujan turun sebelum subuh.
Dia sudah menjelajahi belakang mati yang ‘hidup’ semalam. Dia setuju dengan pendapat Mat Indon. Keberanian yang luar biasa diperlukan untuk hidup di Chow Kit Road. Cahaya subuh baru saja tercalit di dinding langit. Hei mamak sup ayam, kamu tidak perlu bangunkan Chow Kit Road. Ia tidak pernah tidur!
Suara peniaga-peniaga di pasar basah dan bunyi kereta-kereta, van-van, motosikal dan skuter serta lori-lori menjadikan suasana kelam-kabut semula. Dua tiga buah lori DBI yang diletak di kepala simpang memburukkan lagi keadaan. Sudah agak lama lori-lori tersebut berada di situ. Pemandu-pemandu dan pegawai-pegawai penguat kuasa masih belum keluar dari kedai mamak.
Jeritan peniaga-peniaga salak Bali bertingkah dengan laungan Kromosetiko, penjual keropok lekor (panggilan di sini, Abang Mos saja), bisikan penjual-penjual Omega dan Rolex tiruan dan penjual-penjual ubat penegang saraf anu. Ada juga yang memekikkan jenama salak dan ubi kemili dari Terengganu. Tapi dari telonya ternyata bukan lagi suara abang Kasim, Pandak Hasan atau Kak Limah dan Kak Yun. Namun semua akhirnya berhimpun ke tengah jalan raya ternganga, yang menunggu untuk menerkam dan menelan apa dan siapa saja. Mat Indon muncul lagi. Kali ini lebih kemas dari semalam.
- Hei Mat, sebenarnya kamu ejen apa, hah?
- Maaf Pak, saya sudah berbohong semalam...sebenernya mantan ejen...
- Habis sekarang?
- Saya penulis Pak....
- Penulis? Yang bener ni....?
- Iya Pak...novelis kecil-kecilan.... Sedang menyiapkan novel ketiga....Chow Kit Road...
Pagi limun tetap menghantarkan kesejukan. Menggigit dalam diam. Entah kenapa bau keretek agak tipis dan seluruh wilayah kini dikuasai sepenuhnya oleh bau yang bangkit dari longkang.
- Sudah azan Pak...ayuh kita ke masjid dulu...
- Masjid Pakistan?
- Tak, masjid di Raja Alang.
Spontan dia menyambut anjuran itu, seperti ada yang mengarahkannya.
- Ayuhlah.
- Err, tapi kamu... siapa ya...?
Dia tersenyum sendirian. Di wilayah ini apa ada pada nama.
Persetan!
Ini Chow Kit Road, sudilah mampir!

ARTIS JEMPOLAN oleh Sabda S

ARTIS JEMPOLAN
Oleh Sabda S.
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008

NAMPAKNYA semua orang mesti jadi artis. Jadi penyanyi dan jadi pelakon. Kalau ingin disanjung dan dihormati macam menteri, macam Perdana Menteri; penyanyilah satu-satunya kerjaya paling dihormati.
Tidak perlu masuk universiti, tidak payah mengaji tinggi keluar negara; kalau kena dengan lagunya yang menjadi – memang boleh kaya-raya sebelum mati, fikir Farouk.
Siapa kata penyanyi miskin? Itu dulu. Sekarang era globalisasi, zaman orang berfikiran terbuka; semua orang suka berhibur bersuka-suka. Menteri suka, ulama suka, budak- budak kecil pun suka.
Pasaran produk nyanyian luas. Salurannya banyak dan ramai peminatnya dari berbagai-bagai bangsa dan peringkat. Kalau kena dengan lagunya, satu album boleh jadi jutawan boleh makan anak cucu zaman-berzaman. Farouk terus berangan.
Anggapan penyanyi tempatan tidak boleh bertahan hanya merupakan nada sumbang dari orang yang memang suaranya sumbang. Ia keluar dari mulut orang yang tidak mendapat tempat dalam industri hiburan, hingga meracau tak keruan.
Justeru sesiapa yang berhasrat ingin memartabatkan budaya, memang artislah pilihannya. Sebab itulah kita ingin terus menggalakkan lebih ramai penyanyi dan pencipta, biar meriah seluruh negara. Menteri-menteri suka ulama pun suka, fikirnya lagi.
Tidak perlu bersuara lunak dan kombinasi yang harmoni. Biar kecamuk antara solendro dan pentatonik atau pelog dan melodik, hatta campur aduk bersama raga dan hijaz atau siqah pun kalau memang penyanyinya ada aura boleh meletup macam asereje – jadi siulan seluruh dunia.
Memang… sekarang zaman golongan penyanyi di ambang lumayan. Kemunculannya dirangsang 24 jam melalui semua saluran. Radio yang dulunya diisi dengan berbagai-bagai rancangan pendidikan dan informasi, kini sudah jadi saluran hiburan dari petang hingga ke pagi dan dari pagi santak ke dinihari.
Sebab itulah terfikir dek Farouk, alangkah molek kalau boleh dibuka lebih banyak saluran TV yang menyediakan nyanyi-nyanyi; semua orang boleh berjoget sepanjang hari, itu lebih baik daripada berarak berdemonstrasi gila yang tidak menentu apa maunya.
Sekali terjongol di kaca TV sudah cukup buat media mengolahnya jadi bahan sensasi memulakan promosi. Sekali rakaman, boleh meletakkan seseorang jadi artis rakam wahid. Sebab itulah kalau ada yang pernah tercemar namanya dengan jenayah atau kegiatan anti- masyarakat hingga melibatkan hukuman yang berat-berat, carilah jalan jadi artis.
Dengan kedudukan sebagai artis pujaan, orang akan melupakan segala kutukan; malah kalau kena dengan lagu dan auranya boleh terbalik kod – yang dulunya mengutuk gila akan menyanjung gila lebih dari segalanya.
Memang... menteri suka ulama pun suka. Di sesetengah tempat majlis membaca yasin terpaksa ditangguh kerana orang ramai mengutamakan artis pujaan.
Di sesetengah kampung, majlis tahlil kematian terus lengang, selengang-lengangnya kerana semua orang tengok penyanyi pujaan membuat persembahan.
Kadang-kadang bukannya sedap sangat suara artis yang dipuja, tetapi melalui daya auranya yang kuat menjadikan semua orang tergila-gila; sementelahan pula memang sudah jadi budaya kita… semua orang suka nyanyi-nyani, suka berhibur dan bersukaria… Berteriaklah Perdana Menteri...! Kempen membaca di sana sini, kerana membaca modal insani, menjana tamadun hadhari; namun segalanya sekadar menjadi program jalanan bagi mengahabiskan peruntukan.
Pesta buku, karnival buku, jom buku, hore buku… namun yang menjadi ialah pesta lagu, karnival lagu, jom lagu dan hore lagu! Nak tau kenapa? Tak lain dan tak bukan, kerana menteri-menteri suka ulama pun suka, jawab hati kecil Farouk.
Masakan menteri buat silap, fikirnya lagi. Takkan ulama salah ijtihad. Dalam ramai-ramai umarak dan fuqahak, masakan tidak ada yang bertaraf mujadid yang boleh memberi keberkatan kepada rakyat dan negara, fikir Farouk lagi.
Memang betul, bak kata seorang penyiar… membuat sesuatu program siaran, biarlah lebih banyak yang suka dari yang tidak suka. Apa gunanya buat program hebat-hebat kalau orang tidak tengok.
Sebab itu kalau boleh... tidak perlu rancangan itu ini. Kalau boleh nyanyi-nyanyi disiarkan secara langsung saban hari. Sesekali selitkan lawan bola dan sidang Parlimen, sebab yang itu ramai peminatnya. Tetapi yang lain-lain, eloklah hentikan saja, fikirnya menyetujui trend terkini.
menyanyi
Tidak salah menyukai lagu dan meminati penyanyi. Di samping jadi hobi, sekali sekala boleh menyanyi sendiri dalam sebarang majlis atau parti. Sesekali tunjuk bakat, apa salahnya...? Daripada mengumpat dan mencerca orang, lebih baik menyanyi dalam majlis-majlis rasmi.
Kalau boleh jangan ada slot yang mengarut dan merapu. Sesekali bolehlah tayang drama-
drama meja makan, cakap-cakap melalui telefon dan membentak-bentak antara anak dan orang tua, kerana adegan-adegan itu lebih mudah dan murah pembikinannya.
Sementara masa yang selebihnya lebih baik diisi dengan lagu-lagu moden terkini; termasuk kisah artis, kehidupan artis, percintaan artis, dapur artis, baju dan kelambu artis; kerana cerita-cerita sebegitu lebih disukai ramai.
Farouk membiarkan saja ledakan fikirannya yang menggila. Dia terfikir, alangkah molek kalau keghairahan masyarakat terhadap hiburan ditambah dengan peraduan tari-menari dan joget-jogetan yang disertai oleh semua golongan; dari semua peringkat dan lapisan dengan tidak mengira pangkat dan kedudukan, barangkali lebih diminati daripada program yang bukan-bukan.
Sambil jogetan sambil senaman. Itu mungkin lebih popular dan lebih banyak peminatnya, daripada buat program yang beratberat, sedang orang ramai tidak ambil berat. Salah-salah hemat mereka tukar siaran, tutup siaran dengan kaki. Klik.
Sesekali terfikir juga... ingin melontarkan idea gilanya kepada pak menteri, tetapi apabila memikirkan betapa menteri-menteri lebih arif dan lebih bijaksana, dia melupakan saja hasratnya. Tulis cerpen lebih baik, fikirnya.
Lain padang lain belalang. Lain belalang lain kesukaan. Ada yang suka daun muda dan ada yang suka daun tua. Seperti manusia ada yang suka hiburan sampai usia senja, dan ada yang berserban melilit sejak remaja.
Pendeknya, di zaman yang hampir kiamat ini, macam-macam boleh jadi. Ada ustaz yang dulu berkupiah lembik mulai buka ubun-ubun kerana ingin mendekati golongan remaja, sedang artis pula ada yang berasa lebih selesa dengan bertudung hanya menampakkan muka. Pelik tetapi benar.
“Ulama...kalau sudah berani melondehkan ubun-ubun, sama seperti melondehkan seluar....!” Itu kata seorang maulana. Entah dari mana nasnya dia kurang pasti. Tetapi sewaktu diajukan isu itu kepada tuan punya diri, ulama itu menjawab: “Yang penting, ialah niat…!”
“Ewaa…!” Jawab Farouk.
ii
Lain padang lain belalang. Lain negeri lain persepsi. Lain bangsa lain kesukaannya. Sebab itulah, di sesetengah negara orang memuja usahawan atau karyawan.
Di India umpamanya orang memuja peguam dan di Jepun orang memuja saintis dan pereka; tetapi di Malaysia, artis tetap jadi pilihan utama. Kita dengan cara kita. Peduli apa orang lain kata…
Timur Barat Utara Selatan, kerjaya artis memang nombor wahid. Justeru itu tidak salah memuja artis, penyanyi dan pelakon. Sebab mereka pun pejuang budaya, pahlawan seni warisan bangsa.
Golongan artis juga membayar cukai membayar zakat dan sama-sama membayar berbagai-bagai-kenaikan harga. Apa salahnya meminati mereka? Lagipun… menteri-menteri suka ulama pun suka.
Assalaamualaikum!!!
Farouk terkejut lalu bingkas membuka pintu.
“Waa… ustaz pun tengok rancangan… err... Mencari Biduan jugakah…!?"
-Sekali-sekali… sambil baring-baring...! Jawab Farouk seraya tersengih.
Belum pun sempat kawan itu masuk, Farouk menyambung lagi.
-Dalam Islam pun ada seni juga...!
“Sesuaikah dengan hadhari…?” Tanya teman yang baru masuk.
-Yaa…! Muzik pun makanan rohani…! Dan sifatnya sebagai makanan… perkembangannya juga berubah mengikut zaman… mengikut madani dan tabii… terang Farouk.
“Howweh… saya tak mengaji bab itu, ustaz…” Jawab teman itu.
-Tadi, nampak pandai sangat…! Tindih Farouk.
Teman yang baru masuk itu diam tersipu-sipu.
-Inii… sejak bila jadi macam Benggali, ni? Tegur Farouk pula.
“Benggali?? Astaghfir Allahal ‘azimm…”
Farouk senyum lagi.
“Saya ni ustaz… saja-saja pakai serban ni, nak ikut sunah…”
-Songkok hitam, baju kurung… bukankah lebih manis…!
“Hai… kalau dah ustaz cakap macam itu, tak dapeklah se nak menjawab…” Balasnya sambil ketawa.
iii
Apa gunanya buat rancangan yang orang tak suka tengok dan tak ambil kisah. Takkan sepanjang hari nak siar program dakwah, program sunah, pakai serban pakai kupiah…? Bukan saja golongan remaja yang tidak kisah, malah, ustaz-ustaz pun ada yang menyampah, ujar Farouk.
“Tapi… bukankah pakai serban dan jubah tu sunah, ustaz…”
-Banyak lagi benda sunah yang boleh jadi tonggak iman dan jati diri. Tak perlu jadi Benggali. Kupiah dan jubah boleh dipakai dalam dada, tak perlu mengada-mengada tunjuk alim dan tunjuk warak. Buat apa pakai serban melilit kalau hati berbelit-belit?
Berdesing juga mendengarnya, tetapi kerana yang bercakap seorang ustaz, dan tujuan kedatangannya pun kerana ziarah, terpaksalah dia ikram dan mengalah.
Tidak rugi menghormati orang pandai. Lagipun, dia lebih mengerti sebab mengajinya pun tinggi. Sebab itulah agaknya, dalam bab pakai-memakai dia lebih suka bergondol saja.
Apa gunanya menunjuk alim kalau hanya menjauhkan diri dari remaja. Agaknya begitulah yang difikirkan. Apa guna terlalu ketat berpegang dengan sunah kalau nantinya terlepas dari beberapa program TV, program remaja yang sedang jadi tumpuan utamanya. Yang penting ialah hati… begitulah agaknya.
iv
Campur tolak darab bahagi, memang jadi artis lebih baik. Benda-benda yang orang biasa tidak boleh buat, artis boleh buat.
Memang seronok jadi artis, jadi penyanyi jadi selebriti, jadi fokus media massa setiap masa setiap ketika. Sebab itulah ramai remaja tergila-gila ingin jadi artis, kerana dorongan dan galakannya sepanjang masa. Sokongan datang mendadak dari segenap lapisan bangsa dan puak. Dari sekecil-kecil budak hingga sampai kepada menteri dan ulama.
-Artis penyanyi pun banyak menyumbang kepada negara!
-Buat amal jariah sana sini. -Mengharumkan nama negara di mata dunia hingga dapat bermacam-macam anugerah di peringkat antarabangsa!
-Apa lagi yang tak kena??
Cakap-cakap Farouk terus mengasak dalam fikirannya.
Sebenarnya… terang Farouk lagi, orang-
orang Islamlah yang lebih dahulu mengenali ilmu muzik. Mereka mengambil sumber dari Byzantiun, Parsi dan tinggalan seni orang Mesir sebelum Islam.
Menurutnya, orang Islam telah dibekalkan dengan sumber muzik yang amat seni sifatnya, iaitu al-Quran. Kitab suci itulah kata Farouk lagi, bukan semata-mata sumber hukum, malah mengandungi unsur-unsur muzik dan nilai budaya yang amat tinggi.
Sebab itulah katanya, Imam Ghazali sendiri pernah berkata, bahawa ghairat dapat diperoleh melalui perantaraan mendengar muzik…
“Cheyy…!!”
Dia teringat seketika... sewaktu mencelah hujah Farouk yang bertubi-tubi. Farouk dengan caranya yang tersendiri, yang senyum sepanjang melontarkan idea menjadikan dia berasa selesa.
Dan sebegitu Farouk senyum, dia segera mencelah.
“Itu muzik sufi… bukanlah muzik kontemporari, syeikh…!”
Dengan perubahan wajahnya Farouk kelihatan seperti terpukul. Tetapi segera menghujah dengan membawa fakta sejarah.
Sa‘ad Ibnu Masjah umpamanya, yang dilahirkan pada tahun 678 Masihi merupakan orang yang mula-mula menegaskan adanya seni muzik dalam Islam.
Usaha-usaha Ibnu Masjah itu kemudiannya diteruskan oleh anak muridnya, Ibnu Muhriz yang hidup dari tahun 715 – 757 Masihi. Beliau kemudiannya telah menemukan rentak dalam kombinasi alat-alat musik yang diistilahkannya sebagai ramal.
Entah betul entak tidak, biarlah Farouk yang tanggung. Dia tidak berani menghujah. Sesekali terfikir, bahawa apa yang dikatakan itu hanya untuk menutup ‘aibnya yang tidak keluar solat berjemaah di masjid berhampiran, semata-mata kerana menonton program hiburan... Mencari Biduan. Itu saja.
Walaupun mungkin benar penemuan Ibnu Muhriz dan Ibnu Masjah dalam sejarah kesenian Islam, masakan keduanya lebih hebat dari sahabat yang meriwayatkan betapa ganjaran orang yang mengimarahkan masjid.
Fikir punya fikir, dia terfikir: Barangkali kerana ilmu yang dimiliki mulai terhijab oleh minatnya kepada dunia melebihi dari cintanya terhadap sunah, fikir kawan itu lagi. Ilmunya banyak, tetapi ada benda yang menutupi hati dari melakukannya, barangkali.
Mana ada pendakwah yang Lillahi Taala menjadi kaya? Tiba-tiba soalan itu terpacul dari mulut Farouk. Soalan itu agak memeranjatkan bagi orang jahil agama sepertinya. Tetapi, itulah musibah iman apabila terlalu banyak perkara yang diketahui. Walau pun dia tahu bahawa pendakwah Lillahi Taala akan jadi orang yang paling kaya di sana… namun selama dia di sini... tahunya itu tidak jadi keutamaan untuk dilakukan. Dia hanya bijak di sini tetapi tidak bijak di sana.
Begitu juga orang yang menggalak, membantu, mendorong dan memberi kemudahan kepada usaha-usaha meningkatkan iman; juga akan menerima habuan kekayaan yang sama seperti pendakwah Lillahi Taala; tetapi amat sedikit galakan yang diberi, berbanding kepada artis kontemporari.
Dia teringat sewaktu dijemput menyertai forum dakwah bersama Farouk atas kapasitinya sebagai NGO; bayarannya diterima selepas empat bulan; sedang bayaran untuk artis dibayar sebelum keringatnya kering.
Para penerbit rancangan menunggu dengan cek-cek pembayaran sebaik artis selesai membuat persembahan.
Sebab itulah agaknya – Farouk mula berangan untuk menjadi seorang artis berjadual dalam bidangnya – siapa tahu boleh sampai ke peringkat jempolan, jadi pujaan ramai tua dan muda. Menteri-menteri suka ulama pun suka.

LEMBU BETINA

LEMBU BETINA
Oleh Wan Ahmad Ismail


PETANG/PANTAIAku sudah kata. Kataku. Dia diam. Dia tidak berkata apa-apa. Dia masih bermain- main dengan pisau di tangannya.
Aku sudah beritahu. Ceritaku. Dia diam, masih lagi berdiam. Kali ini pisau meraut rumput dipacak ke tanah. Dia melentang dirinya di tanah pasir pantai yang bersih. Ombak laut memecah pantai dan angin petang menderu kalbu.
“Beritahu apa, kata apa?” dia mula bersuara. Suaranya sedikit tenggelam oleh gelombang laut yang keras memukul pantai. Airnya hampir tempias mengena aku dan dia yang seorang gelisah. Sepanjang waktu berada di pantai itu dia amat gelisah.
“Jangan bermain api?” jelasku.
“Siapa yang bermain api?” keras suaranya.
“Kan sudah terbakar!” beritahuku lembut.
“Apa yang terbakar, siapa yang terbakar, kena bakar?” suaranya semakin keras. Beberapa ekor burung terbang berlalu melintasi kawasan tempat duduk kami. Hempasan ombak juga terasa keras bunyinya.
“Kaulah yang terbakar!" jelasku sambil melukis bentuk sebilah pisau di tanah pasir pantai, Pantai Batu Buruk itu. Aku meniru bentuk pisau yang dimain-mainkannya itu. Dia memerhati lukisan pasir itu. Di sebelah lukisan itu, dia melukis wajah seorang lelaki.
Dia tiba-tiba ketawa. Dia bangun dari tempat lentangan di atas tanah pasir pantai itu. Dia berlari-lari beberapa ela menjauhi daripada aku. Aku memerhati peredarannya seketika itu dengan sedikit kebingungan. Dia kembali ke tempat aku beberapa saat selepas itu.
“Memang aku rasa terbakar oleh perbuatan Seman yang celaka itu. Dia ingat dia gedebe, dia ingat dia samseng. Dia belum kenal aku siapa. Aku Rahim. Rahim yang pernah menumbang Mat Soh di gelanggang silat setahun dulu. Mungkin dia lupa,” jerkah dia.
“Ini bukan soal bertikam silat, ini soal lembu, lembu betina yang bakal beranak lebih daripada satu. Ini soal maruah. Soal lembu kamu boleh diambil oleh Seman begitu saja tanpa tentangan daripada kamu, Him. Sepatutnya sewaktu kamu masuk kawasannya kamu boleh tarik lembu itu keluar kerana kamu sudah kenal akan lembu kamu itu dan kamu pasti lembu itu lembu kamu. Kenapa kamu tidak bertindak. Dan sekarang bercakap soal kekuatan diri kamu, soal terbakar, soal kesamsengan kamu di hadapan aku, di tepi pantai ini, di hadapan laut yang luas ini.” Sindirku dengan penuh geram dan kegeraman. Aku seperti mahu melempar Rahim itu ke tengah laut. Cakap saja besar, berdegar-degar.
“Bukan begitu Karim!” jelasnya dengan suara yang agak kasar dan pongoh.
“Kalau bukan begitu, kalau bukan kerana lembu betina kesayangan kamu itu, kenapa kamu tak terjun laut tu, mati saja dalam laut itu. Semua akhbar siar tajuk “Rahim Mati Kerana Lembu Betina”, begitu?” sindirku lagi. Kali ini aku terus memanaskan dirinya untuk terus terbakar biar menjadi merah menyala.
“Kalau aku mati, macam mana aku dapat lihat gambar aku terpampang di dada akhbar, kartunlah kamu ni!” Dia memusnahkan lukisannya di tanah pasir dengan kakinya.
“Memang kartun, sebab kamu lebih kartun daripada aku. Kartun yang tidak berani berhadapan dengan kenyataan,” suaraku semakin tegas untuk meyakinkan Rahim supaya segera bertindak tanpa batasan. Itu bukan kemahuan aku, tetapi hanya satu arahanku sahaja.
“Apa yang mesti aku buat sekarang?” Dia bertanya dalam lagak seorang pahlawan yang bersedia untuk menentang musuh di gelanggang.
“Sekarang buat diam sajalah, kita di tepi pantai, bukan di kampung. Kita balik, kita bincang di rumah selepas isyak, kita cari jalan yang terbaik.” Aku meredakan keadaan apabila emosinya semakin memuncak. Akhirnya Rahim akur atas perbuatan dan tindakannya yang salah langkah itu. Panas barannya sering terjadi. Seperti ayahnya, seperti datuknya.
“Perlu kita lapor polis?” pintanya orang benar-benar kecewa. “Jangan!” Aku memintanya bersabar.
“Perlu kita beritahu Jabatan Haiwan?” Di alih sasar stationnya.
“Jangan lagi. Kita selidik sekali lagi, kita pastikan sekali lagi, entah-entah bila kita sampai kat rumah nanti, lembu betina kamu itu sudah berada di kandang kamu. Mana tahu.” Aku mahu meyakinkan dirinya.
Kami pulang meninggalkan pantai yang cantik, bersih itu. Ombak, air laut masih mengganas walaupun pukulan ke tepi pantai tidak mencederakan tepinya. Burung-burung, beberapa ekor burung masih lagi berterbangan, mungkin juga untuk pulang ke tempat masing-masing. Mereka juga faham erti waktu hampir hendak masuk maghrib. Sesetengah orang yang masih berlama-lamaan di pantai itu masih lagi menunggu. Mungkin mereka tidak faham akan isyarat kepulangan burung-burung itu.
Cerita yang diceritakan untuk diceritakan kembali bagi mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan terbantut apabila Rahim membawa cerita lembu betina kesayangannya diambil oleh Seman. Cerita lembu itu semacam cerita yang seorang kami hadapi ketika itu. Lembu yang disayangi itu menjadi rebutan sebagaimana kumpulan yang sudah mulai reput tetapi masih bertahan untuk bergantung kerana ada di kalangan masih menahan dahan, batang yang reput itu daripada patah dan tumbang. Kami juga seperti sesetengah orang lain, sayangkan pohon kumpulan yang berusia empat puluh tahun itu.
Entahlah, kami sayangkan kumpulan yang tidak mafia itu sebagaimana Rahim sayangkan lembu betinanya itu. Bagi Rahim, Seman bagaikan seorang mafia. Tapi kata Rahim, lembunya diambil Seman. Itu kata Rahim.
Malam/wakaf
Setelah selesai sembahyang isyak, kami, aku dan Rahim bertandang ke wakaf. Kami duduk di wakaf di kampung kami yang bernama Wakaf Tembesu itu. Kami ingin menyambung sembang kami yang belum selesai sewaktu di pantai petang itu. Bukan cerita pasal kumpulan yang bukan mafia itu lagi. Bagi kami, cerita pasal kumpulan, pasal sahabat-sahabat yang membawa cerita buruk yang merosakkan itu sudah tidak lagi penting kerana ia permainan sebuah cerita dunia selagi hidup bernama manusia yang tidak akan selesai.
Sebelum itu lembunya itu pernah kehilangan sekali. Bukan hilang ke mana. Rahim tidak ingat untuk ditambat talinya di pokok kelapa tepi rumahnya. Lembu itu terlepas. Lembu itu merayau-rayau entah ke mana. Sepetang dicari Rahim. Dia cuba mengandaikan bahawa lembunya dicuri orang. Di buat tuduhan kononnya lembunya diambil oleh musuhnya, lembu itu dijual. Dia menyumpah seranah. Akhirnya lembunya balik ke kandang. Lembu itu cerdik. Dia lebih daripada Rahim, lebih cerdik daripada beberapa orang dalam kumpulan yang kami anggotai. Lembu betina itu kenal tempat duduknya, kenal akan kandangnya. Hanya orang seperti Rahim tidak kenal akan tabiat lembunya.
“Salah kamu, Him!” “Salah aku?”
“Seman yang curi lembu aku, kau kata salah aku. Kalau aku yang mencuri lembunya tentunya salah aku, ini lembu aku, jadi terbalik pengakuan kamu. Kamu semacam masuk menyebelahi Seman saja.”
“Bukan macam tu, Him!” “Habis macam mana?" “Kau membiarkan lembu kamu berkeliaran, tidak tambat. Jadi terlepaslah dia, masuklah kawasan Seman. Jadi aku rasa Seman ingat itu lembunya. Dia masuklah semuanya ke dalam kandangnya. Jadi lembu Semanlah walaupun kamu kata itu lembu kamu. Lembu itu dalam kandang Seman, lembu Semanlah.” “Kartun cerita kamu ni, Rim. Macam cerita Keluarga 69.”
“Sudah aku tambatkan, sebelum aku pergi kerja.” Dia buat pengakuan. Dia bertegas. Dia seperti pasti. Pengucapannya bersungguh.
“Alah sekarang ini kamu tahu, yang tambat dengan tali besi pun boleh terlepas, inikan pula tambat dengan tali sabut. Sekarang ini banyak binatang lebih cerdik daripada manusia. Hatta manusia pun makan rumput, makan daun,” jelasku. Aku tahu sekarang ini segala macam boleh berlaku. Ada orang boleh makan kaca.
“Cakap jangan sebarang cakap, mulut tu jaga sikit. Sebab itu ramai orang tak suka akan kamu, cakap celupar, cakap main lepas saja.” Rahim patah balik cakapku, Dia tahu sangat perangaiku. Aku bila bercakap tidak pernah bertepi. Cakap terus tanpa simpan-simpan. Kalau simpan akan Jadi darah, Jadi busut, jadi nanah dan jadi barah. Tidak perlu disimpan lama-lama, terus cakap saja tanpa bertapis. Itu aku, yang Rahim kenal.
“Apa tak betul ke cakap aku. Ramai orang cari rumput jarum emas. Makan rumput kononnya tambah tenaga. Bukan kamu tak ingat, suatu masa lalu, ramai yang berebut-rebut mencari dan memakan rumput jarum emas. Salah ke aku kata orang pun macam lembu makan rumput. Salah ke?” Aku nyatakan kebenarannya.
“Betul! Tak salah, aku pun cuba makan rumput itu, tak makan atas padang, makan dalam rumah.”
“Kamu makan rumputkan?”
“Makan!”
“Siapa lagi makan rumput?” “Lembu! Kambing!”
“Hah! Jadi lembu, jadi macam kambinglah kamu!" Rahim ketawa. Sikapnya mulai berubah kerana cerita kelakar yang benar itu. Marahnya sedikit reda.
“Tidaklah semacam itu!”
“Aku faham, tak banyak tuan lembu macam lembu. Membiarkan lembu berkeliaran. Sepatutnya jabatan Haiwan atau Majlis Daerah jangan tangkap lembu tapi tangkap tuan lembu macam kamu ni. Lembu memang dah bodoh, tapi tuan lembu juga bodoh kerana tak kandangkan lembu. Baik tuan dan lembu duduk dalam satu kandang. Lembu makan makanan orang, berak di merata, mengotorkan kawasan. Patut tuan lembu makan tahi lembu mereka supaya tempat yang diberak lembu itu bersih, kembali licin.”
“Kuatnya sindir kamu. Nak cari musuh ke, nak aku bakar kamu ke macam aku nak bakar Seman tu, macam aku tumbang Mat Soh tu.” Gertak Rahim. Semacam aku takut gertak kelingnya. Aku kenal Rahim. Penakut benar dia. Dua puluh kali lawan, sekali adalah dia menang.
“Bagaimana?" tanya Rahim. Matanya sedikit merah. Rambut sudah sedikit tak terurus.
“Bagaimana apa?" tanyaku balik tanpa melihat wajahnya semakin bengis. Macam wajah Salleh Kamil, Mahmud June, pelakon filem Melayu itu.
“Kita ke rumah Seman!” ajak Rahim dengan tegas dan penuh bara.
“Sekarang?" tanyaku seperti tidak percaya. Emosiku terganggu. “Sekarang!” bentaknya seperti perintah seorang askar.
“Macam tidak ada hari esok, malam-malam macam ni tak elok ke rumah orang, lebih-lebih lagi dalam suasana macam ni. Seman mungkin dah nak tidur, lembu pun nak tidur juga. Jangan kacau mereka dalam keadaan yang tegang seperti ini. Tidak menyelesaikan masalah. Esok saja. Selepas subuh kita ke rumahnya. Waktu-waktu macam tu, sejuk, nyaman dan tenang.” Aku cuba menenangkan emosi dan gangguan mental Rahim yang kian menjadi-jadi. Aku menyuruh dia mengucap dan mengingatkan Allah.
Kami terus berbual, berbincang dan berbicara malam itu.
“Kenapa kau bercakap macam tu, Rim? Hairanlah aku. Aku yang sepatutnya yang merasakan semuanya, ini pula kau, aku yang kehilangan buah hati aku yang harganya bernilai ribuan itu. Kau pula yang rasa sesuatu yang berlainan dalam diri kamu, kenapa?”
“Bila aku fikir tentang sahabat-sahabat kita, waktu kita berada, berpangkat, kita didekati, dikawani, disahabati tetapi bila kita sudah hilang sedikit kuasa mereka khianati kita. Entahlah begitulah mereka. Mungkin juga lumrah manusia begitu.”
“Mungkin Seman juga khianati aku dengan menggunakan lembu betina aku sebagai tebusan, mungkin.”
“Tebusan apa pula ni, macam cerita jenayah saja ni. Lain pula ceritanya. Aku cerita pasal kawan-kawan kita yang suatu had akan merasai sama jika seusia kita, secara kedudukan kita. Ini timbul tebusan pula, apa cerita ni, pelik aja bunyinya.”
“Entahlah, aku andai, aku reka, aku cipta saja ceritanya. Ini kerana dua tiga hari lepas dia ugut aku supaya calon dia jadi pengerusi JKKK. Dia minta aku beritahu YB. Aku tolak kerana ada orang lain lagi lebih layak.”
“Dia marah ke?”
“Marahlah, apa tak marahnya. Jadi pengerusi JKKK banyak dapat faedah dan ganjarannya. Dia tidak fikir banyak kerja, beban dan tanggungan serta tanggungjawabnya. Dia fikir nak senang saja.”
“Aku rasa bukan begitu, kau yang sering salah anggap. Kau yang salah melepaskan lembu betina kamu itu berkeliaran. Masuk kawasan Seman. Tentunya semuanya Seman kandangkan. Dia tentu tak akan kenal semua lembunya tidak akan ingat jumlah lembunya waktu itu.”
“Memang Seman jahat, depan baik, belakang ya Allah, macam syaitan. Banyak pura-
pura, muka-muka, mengada-ada. Aku tak bohong. Dia macam kawan-kawan kita dalam persatuan yang sedang digolokkan itu. Persatuan tak apa, orangnya saja sedang bermain sandiwara.”
“Begini sajalah Him, selepas subuh kita ketemu, kita ke rumah Seman, aku bantu kamu. Kita selesaikan masalah bersama, bagaimana?”
“Malam ini juga!”
“Tak elok macam-malam ke rumah orang, salah langkah, kita tumbang, besok sajalah.”
“Kalau ditumbang, disabotaj macam-malam buta, kalah kita. Oklah, oklah, besok saja. Besok saja kita jumpa.”
Kami pulang ke rumah masing-masing meninggalkan wakaf tempat kami sering bertemu selepas sembahyang subuh had minggu atau selepas sembahyang isyak jika ada masa kelapangan.
Langit semakin gelap. Hujan seperti mahu menjadi. Sejak petang lagi, keadaan di kampung aku menjadi redup dan gelap begitu.
Subuh/kawasan surau
“Assalaimualaikum.”
“Waalaikumusalam,” jawab kami berdua, aku dan Rahim.
“Hei! Seman, apa khabar, awal menyerah diri,”sindirku dalam keadaan bergurau.
“Serah diri, kenapa pula? Apa yang berlaku?”
“Kamu curi lembu betina aku ya?” tinggi suara Rahim. “Curi apa pula, jangan cepat menuduh, Him!”
“Lembu betina kesayangan aku, aku lihat ada dalam kandang kawasan kamu tu.”
“Mujur ada dalam kandang kawasan tempat aku, kalau dibawa lari oleh pencuri dengan lori apa jadi?
“Pencuri bawa lari dengan lori? Apa cerita ni? Jangan nak reka-reka cerita pula!”
“Itulah kau, biar lembu berkeliaran, makan tanaman orang, berak tengah jalan, menyusahkan banyak orang. Kamu tidak susah, yang susah orang ramai.” “Seman! Kamu kata aku tidak susah, sehari semalam aku susah bila lembu aku hilang, akhirnya aku dapati lembu aku ada dalam kandang kamu. Memang aku susah. Memang aku dendam, memang aku mahu bunuh kamu kalau dapat. Mahu aku makan kamu hidup-hidup.”
Seman ketawa dengan terus ketawa memanjang. Rahim hairan. Aku juga hairan. Dia berani datang ke tempat aku dan Rahim berada. Rahim tahu Seman yang mengambil lembu Rahim itu. Seman pun tahu, lembu Rahim berada dalam kandang Seman. Seman sanggup datang bersendirian seperti menyerah din kepada Rahim yang panas membara sejak kelmarin lagi.
“Kita susah, dia ketawa! Apa jenis manusia kamu ni Seman!”
“Patut kamu berterima kasih kepada aku. Kalau tidak kerana aku dan beberapa sahabat lain bertindak segera sudah tentu lembu kamu sudah naik lori dan dibawa lari. Macam-macam cara dikerjakan pencuri,” jelas Seman. Kami senyap seketika. Ramai jemaah sudah pulang. Yang tinggal di kawasan surau itu beberapa orang sahaja. Lembu Rahim tidak kelihatan di situ.
“Mana lembu aku?”
“Alah,di kadang kawasan akulah, bukan aku nak bawa, nak ajak lembu kamu berembun subuh bersama kita sudah berumur, masih tak erti makna seekor binatang, seorang manusia. Fikirlah sikit. Aku yang datang memberitahu, sepatutnya kamu datang ke rumah aku, sepatutnya. Kan come! jadinya.” Seman seperti menyindir. Diperbetulkan kopiah yang warna putihnya sudah kelabu.
“Memang aku mahu pergi ke rumah kamu, selepas sembahyang subuh ini, tapi kamu sudah datang, baguslah. Kalau tidak...”
“Kalau tidak kamu mahu ajak aku berperang dengan kamu kerana lembu itu. Aku bersedia. Tetapi aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa lagi. Aku juga tidak mengharapkan untuk menjadi pengerusi JKKK lagi. Tak perlu semua itu. Aku datang berjumpa kamu untuk kembali yang berhak.”
“Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Yang penting tohmahan kamu terhadap Seman salah. Seman tidak seperti sahabat-sahabat lain. Kita tidak perlu bermusuh kerana seekor lembu, soal jawatan dalam JKKK. Yang penting kita bersatu dalam menghadapi semua dugaan, rintangan dan halangan. Kita mesti bersatu sekarang.”
Mujurlah lembu betina itu yang hilang, kalau tidak Seman dan Rahim masih bermasam muka. Cerdik juga menjadi lembu. Lembu itu memang cerdik sebab itu amat disayangi Rahim.
Lembu betina Rahim makan rumput. Aku juga lihat Rahim makan rumput. Rahim makan rumput jarum emas untuk kuatkan tenaganya. Lembu Rahim lembu betina.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm