Saturday, May 31, 2008

TAKLIN BUAT UMI

Oleh Tongkat Jibril


Tahu diri

ADA keringat berjatuhan saat dia menyapu sampah di halaman masjid itu. Bahang mentari yang membakar segenap epidermisnya langsung tiada dihiraukan. Bukan sehari dua dia baru melakukan kerja sebegitu. Sudah hampir berbelas tahun dia begitu. Menyapu dan membersihkan dedaunan yang berguguran dalam halaman masjid. Sekejap dia membongkok, menyapu daun di pangkal pokok. Seketika kemudian, dia ada di kolah wuduk untuk mencuci kotoran dan lumut yang melekat.

Sesekali Tok Siak Wahab menghulurkan sagu hati. Mulanya dia enggan menerima, namun setelah memikirkan keadaan uminya yang lumpuh dan memerlukan pendapatan, dia menerimanya dengan seikhlas hati. Namun bukan dengan duit. Cukuplah memberinya barang-barang dapur seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum. Dia lebih senang begitu.

Dia cacat fizikal. Dia tahu dia begitu. Ibunya juga tahu. Orang kampung juga tahu dia dilahirkan sebegitu. Namun dia tidak kisah. Dia tidak mengacau orang, jauh sekali mengusik anak dara orang seperti Manaf, Umair, Farhan dan pemuda kampung yang lain. Uminya tidak pernah mengajar bersifat sebegitu. Berdosa, kata uminya. Dia tidak mahu membuat dosa. Mentelah dirinya begitu, tidak elok melakukan kerja tidak berfaedah. Dia sedar kekurangan dirinya.

Sesekali, dia menyapu peluh dengan sapu tangan yang disangkutkan di leher. Ada dengusan kecil kedengaran daripada hujung bibirnya. Dia bukan mengeluh kerana terpaksa. Dia agak keletihan. Apa tidaknya, hampir lima pengurusan kematian terpaksa disertainya semalam. Hingga bulan merembang, barulah dia pulang.

Dia senang membantu begitu. Sedikit sebanyak, masanya terisi dengan kerja-kerja yang berfaedah dan mulia. Bukan dia yang berkata begitu. Uminya yang menerangkan. Sebab itu dia bersungguh menghulurkan bantuan kepada tok imam. Suruhlah apa saja, pasti dia akan segera menunaikannya. Beli kapur barus, kain kapan, gali kubur, ambil keranda, sediakan tempat mandi mayat, semua dibuatnya tanpa membantah. Dia juga turut mengikut orang menyembahyangkan mayat. Talkin pun dia sudah mahir menghafaznya. Kalau tok imam tak sihat, dialah yang akan menggantikannya. Mula-mula memang semua orang tak yakin. Namun, setelah kematian Haji Dasuki dua bulan lepas, barulah orang tahu. Kebetulan, tok imam demam. Dialah yang membacakan talkin.

Dia akan memastikan semua kerja pembersihannya selesai sejam sebelum masuk waktu solat fardu. Biasanya sesudah mentari terbit ataupun sebelum Asar. Setelah selesai, dia akan membersihkan diri. Dia akan berjalan cepat menuju ke rumahnya. Rumahnya tidak jauh, cuma beberapa puluh langkah dari masjid. Dia berjalan laju walaupun kakinya tempang. Bahu kanannya akan ke atas ke bawah, bila dia berjalan. Kata Din Udang, Yusuf jalan macam monorail di Kuala Lumpur. Langsung tidak dipedulikan kalau orang menegurnya. Itu sebelum masuk waktu. Setelah selesai solat, dia akan kembali seperti biasa. Tegurlah, pasti akan dibalasnya dengan senyuman. Senyuman yang membariskan giginya yang keputihan namun ada sedikit lompong di sana-sini. Dia ramah, tidak pernah marah jika ditegur.

Dia selalu datang awal ke masjid. Duduk saf paling depan, ke kanan sedikit membelakangi imam. Jikalau kelapangan, dia akan membaca Al-Quran. Kalau orang yang baru pindah ke kampung itu, pasti dia tak akan percaya. Suaranya, merdu sekali. Boleh bertanding untuk qari Al-Quran Malaysia. Kalau Bilal Musa lambat, dialah yang akan azan dahulu. Azannya sungguh menyentuh kalbu. Dia mengumandangkannya dengan penuh khusyuk dan tangisan. Seikhlas hatinya yang suci. Pernah Imam Soleh, imam masjid itu lambat untuk mengimamkan solat kerana terlalu sedih apabila mendengar dia mengumandangkan azan. Menangis orang tua itu menemuinya.

Waktu petang jika tiada tugas, dia akan membawa kedua-dua kambing biri-birinya bersiar-siar. Seekor jantan dan seekor betina. Dia akan membawanya meragut rumput di padang meragut Haji Rahman Senu. Di situ ada beberapa ekor lembu milik orang tua itu. dia tidak terus membawa kambingnya ke situ, sebaliknya meminta izin daripada Haji Rahman Senu dahulu. Jikalau haji tiada, dia akan membawa kambingnya ke hujung kampung. Di situ, ada rumput yang tumbuh meliar. Dibiarkan si kambing meragut sampai kenyang. Cukup tahun, jual. Tak pun, sembelih saja buat korban. Kalau ada anak kambing yang baru lahir, dia akan menjaganya sampai besar. Tapi, setakat ini belum ada hasil lagi. Mungkin lagi sebulan dua... semua tu kuasa Allah SWT.

Malam berlabuh, dia akan berada di rumah bersama uminya. Selepas solat Isyak, dia akan menanti kumpulan anak-anak kecil mengaji di rumahnya. Dia bukanlah ustaz, namun tahu serba sedikit bab hukum tajwid. Itupun, dipelajarinya dari kelas mengaji dan tafsir al-Quran pada setiap pagi Jumaat. Syeikh Maulana Sulaiman. Orang Arab Madinah. Sudah sepuluh tahun berkampung di situ. Itupun atas ihsan pejabat agama negeri. Sudah beristeri dan mempunyai lima orang anak. Isterinya, anak saudara Tok Siak Wahab juga.

Nasib badan

Uminya lumpuh separuh badan. Dari kaki sampai ke pinggang. Kemalangan lima belas tahun lepas. Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan itu. Waktu itu dia baru sepuluh tahun. Dialah yang menyara uminya hingga sekarang. Ambil upah menoreh getah, menebas rumput, memetik buah nyiur, semuanya jenuh dilakukan. Dia tidak kisah, asalkan dapat sesuap nasi buat uminya. Dia anak tunggal. Dia tahu semua itu. Kalau bukan dia yang menjaga uminya, siapa lagi? Nak diharapkan saudara-mara, habis semuanya lari. Kalau dulu, berharta, ada kereta besar, rumah besar, hari-hari bertandang ke rumah. Sampai tak cukup tanah datang berziarah. Pinjam duit daripada ayah dan umi. Buat bisnes itulah, meniaga di sinilah, bayar yuran anak ke universitilah. Tapi sekarang tiada lagi. Semuanya menghilangkan diri. Hutang entah ke mana. Lesap macam tu aje....

Umi kata dia tak mahu mengungkit. Dia ikhlas menolong saudara-maranya. Pernah Yusuf tidak balik ke rumah kerana marahkan umi. Dia hairan kenapa umi masih sayangkan hubungan saudara walaupun mereka dah lama putuskannya? Dia marah bila umi menggadaikan rantai pusaka nenek semata-mata untuk mendapatkan duit bagi membantu sepupunya, Johan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Alih-alih, budak tu kena tangkap sebab menghisap dadah. Dia tipu umi. Dia tipu Yusuf. Dia tipu semua orang.

Yusuf tahu, namun sudah berputus asa. Dia cuba mengkhabarkan, namun uminya tetap berkeras. Kata Imam Soleh, Yusuf tidur di masjid setelah kepenatan menangis di pusara ayahnya. Bersusah-payah umi berjalan dipapah Mak Cik Hanum menuju ke masjid. Yusuf menangis, sujud di kaki umi. Dia tak sangka umi sanggup bersusah ke masjid mencarinya. Dia pegang kaki umi dan meraung sekuat hati. Semua orang termasuk Bilal Musa, Imam Soleh, Tok Siak Wahab menitis air mata bila melihat Yusuf begitu. Yusuf anak yang baik. Yusuf anak mithali. Yusuf tak pernah menyakiti orang lain.

Nostalgia

Satu hari di bulan Ramadan, Yusuf diganggu Manaf, Umair, Farhan dan gengnya. Waktu itu, Yusuf baru pulang dari menebas kebun Wak Dali. Dia memikul seikat buluh untuk dibuat lemang. Puasa. Dia penat. Dia nak balik cepat. Waktu berbuka sudah hampir. Apabila dia lalu di hadapan Manaf dan teman-temannya, dia disepak pemuda kampung itu. Tersungkur menyembah bumi. Mereka mentertawakan Yusuf. Yusuf hairan, namun tidak membalas. Bersusah-payah dia bangun lalu cuba melangkah semula. Kali ini, giliran Umair pula yang menyepak. Yusuf jatuh lagi. Dia masih bersabar. Kata umi, Allah bersama orang yang bersabar. Dia bangun kembali.

Bila hendak melangkah, giliran Farhan pula menendang. Namun, tendangannya tersasar. Yusuf berang, terus libas mereka dengan buluh panjang. Manaf luka di kepala, Umair terbelah lengannya, Farhan tertusuk buluh runcing di kaki. Banyak darah keluar. Yusuf naik minyak. Dia tendang perut Manaf sampai pengsan. Dia hentak Umair dengan hulu parang sampai bengkak-bengkak. Dia tolak Farhan masuk dalam tali air. Nasib baik tak lemas. Rakan-rakan mereka yang lain, habis lari lintang-pukang. Yusuf naik minyak! Yusuf naik minyak! Jerit mereka.

Habis mengamuk, Yusuf angkat kembali buluhnya. Dia melangkah pulang tanpa memandang ketiga-tiga kutu kampung itu. Umair dan Farhan melolong kesakitan. Mereka menjerit meminta tolong, namun tiada seorang pun datang menolong.

"Padan muka! Menyusahkan orang aje," kata Haji Lutfi.

"Memang patut si Yusuf buat macam tu. Budak-budak ni dah melampau!" Kata Mat Sarji ketua pemuda kampung. Yusuf pulang dalam keletihan. Dia sempat singgah di warung Pak Uda Seman, membeli juadah berbuka puasa. Bila pulang, dia hanya membisu sahaja. Umi tidak bertanya kerana memikirkan Yusuf letih.

Bila Tok Penghulu Ramli datang ke rumah, barulah umi mengamuk. Tok Penghulu Ramli bawa anaknya Manaf, nak minta maaf. Belum sempat minta maaf, umi panggil Yusuf. Umi malu sangat-sangat. Umi pukul dan rotan Yusuf dengan buluh kecil depan tok penghulu. Habis berbekas seluruh badan Yusuf dengan kesan buluh. Yusuf meraung, namun umi tak hiraukan. Bila tok penghulu menghalang dan jelaskan segala-galanya, umi terkejut besar. Yusuf separuh mati dikerjakannya. Yusuf merangkak, sujud di kaki umi. Yusuf janji takkan pukul orang lagi. Yusuf tak mahu umi sedih. Yusuf tak mahu umi marah-marah. Ada darah mengalir di kaki dan tangan Yusuf. Umi lapkan dengan selendang batik. Yusuf pengsan malam itu juga.

Suratan Ilahi

Hari itu, Yusuf baru hendak keluar rumah pergi ke kebun getah Haji Sahak untuk menoreh. Seperti biasa, dia mengetuk pintu bilik umi. Mahu bersalaman. Memang dia biasa begitu. Sudah diasuh sedari kecil. Lama dia mengetuk, umi langsung tidak membalas. Dia menguak pintu. Dia lihat uminya masih bersimpuh di atas sejadah. Umi masih bertafakur. Yusuf berdiri di muka pintu, menanti uminya selesai. Lama dia menanti, namun umi langsung tidak bergerak. Yusuf hairan. Dia merapati uminya. Mata umi terkatup rapat. Umi duduk bersimpuh tanpa bergerak. Yusuf merasa nafas ibu dari hidung menggunakan jemarinya. Tiada. Digerakkan tubuh umi. Umi terjelepuk di atas ribaannya. Yusuf mengerti, umi sudah tiada lagi. Umi sudah kembali menghadap Ilahi. Innalillahiwainnailaihirajiuun....

Yusuf membaringkan umi di atas tilam usang. Dia melaung nama Mak Cik Hanum. Umi dah meninggal dunia, katanya. Mak Cik Hanum terperanjat. Yusuf meminta wanita itu menjaga jenazahnya sementara dia pergi memanggil tok imam. Dengan jalan yang terhincut-hincut, Yusuf menuju ke rumah Imam Soleh. Air matanya tidak menitis. Dia biasa sahaja sewaktu mengkhabarkan kematian ibunya. Lama-kelamaan, seluruh kampung mengetahui kematian uminya. Ramai orang datang, memenuhi teratak buruk Yusuf. Mereka menguruskan jenazah uminya. Yusuf hanya memerhatikan dari jauh. Dia tidak berkata apa-apa.

Al-Fatihah

Di perkuburan, Yusuf masih membisu. Dia memandang wajah umi dan mengucup dahinya sebelum jenazah diusung memasuki lahad. Umi seakan tersenyum. Yusuf dapat menangkap senyuman di bibir umi. Ada bau harum semerbak hadir saat jenazah dimasukkan ke persemadian terakhir. Semua orang dapat menghidu baunya.

Saat Imam Soleh mahu membacakan talkin, Yusuf mampir dan meminta untuk diizinkannya membaca talkin. Sebelum ini, dia sering membaca talkin untuk jenazah orang lain. Kali ini, biar dia yang membacakannya. Sewaktu membaca talkin buat umi, air matanya menitis. Dia tidak meronta, cuma sedikit terkilan kerana tidak berada di sisi umi sebelum nafas terakhirnya. Dia mengeraskan suara bacaannya. Semua orang menangis mendengar suaranya membaca talkin. Menusuk jiwa. Dia menyiram air mawar setelah pembacaan talkin selesai. Air mata dihapuskan serta-merta.

Orang kampung mula meninggalkan tanah perkuburan setelah semuanya selesai. Cuma tinggal Yusuf, Imam Soleh, Tok Siak Wahab, Bilal Musa dan Mak Cik Hanum. Yusuf memeluk nisan batu sungai uminya. Dia mengucup nisan batu sebelum menghadiahkan al-Fatihah buat uminya. Dia bingkas bangun, menggulung tikar mengkuang sebelum menapak pergi bersama-sama mereka. Dari jauh, dia seakan terlihat lambaian terakhir uminya. Yusuf tersenyum sendiri. Selamat tinggal, umi....

-----------------------------------------------------------------------

PROFIL:
Muhammad Alyas Abdul Jalil

TONGKAT Jibril, nama pena bagi Muhammad Alyas Abdul Jalil yang dilahirkan pada 27 Februari 1989. Beliau terbabit dalam genre cerpen dan novel. Novel pertamanya, Nobat Kasih diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006. Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, ini kini menuntut dalam Jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Melaka.

KAMBING HITAM

KAMBING itu memang hitam. Hitam legam. Macam arang yang saya pernah lihat masa kecil-kecil dulu. Dipendekkan kata, hitamlah walaupun bulunya berkilat-kilat. Hati tertanya-tanya; sejak bila ayah minat kambing? Tiba-tiba kambing itu menerkam ke arah saya. Nasib baik sempat saya libas dengan kain pelekat yang kebetulan ada di tangan. Anak-anak bertempiaran lari sambil menjerit-jerit. Isteri saya melompat ke tangga. Waktu itu kami baru sampai. Baru turun kereta.

Tiga hari berlalu, anak-anak masih gerun untuk turun ke halaman sebab ayah tambat kambing hitam yang dinamakan Hitam itu di tiang sutuh. Umi pun bercerita katanya kambing itu mainan baru ayah. Saya dan isteri saling berpandangan. Hati tertanya-tanya; mainan? Pelik ada, lucu pun ada. Sebenarnya, bukanlah pelik sangat tapi lebih kepada kasihankan anak-anak. Macam merajuk budak- budak itu dengan Tok Ayahnya memandangkan selama ini jika balik kampung, suka sangat mereka mengekor Tok Ayahnya ke belakang rumah - ke kebun ayah.

Budak bertiga itu akan ralit main tanah waktu ayah paut rong ubi tokrok. Belajar- belajar pegang cangkul, pegang golok yang selalu ayah buat tarah kayu pancang. Atau ikut ayah ujam kayu buat para pokok petola. Atau tolong ayah tugal jagung kalau kebetulan waktu kami balik ayah baru nak mula tanam jagung. Kebetulan, kawasan rumah ayah agak luas. Lebih kurang tiga ekar. Jadi, ayah selalu kata, tanah kena dimakmurkan. Tuhan bagi tanah kepada manusia ada hikmahnya. Jangan fikir cara jualnya sahaja, tambah ayah. Tekemo saya sebentar-sebenarnya malu sebab saya pernah cadangkan ayah supaya jualkan tanah selepas emak meninggal dan duduk dengan saya di KL.

Tambah ayah, selagi ada tenaga dia akan terus usahakan tanahnya dan terus kekal sebagai pengerusi Tadika Ibu. Mulanya agak kecewa, maklumlah tiap-tiap bulan saya tak pernah mimpat bagi ayah sedikit duit. Kak Miah, Abang Mail dan Abang Haris juga tidak terkecuali menghulurkan duit belanja dapur kepada ayah. Saya fikir duit itu sudah cukup untuk ayah dan isterinya (umi tiri saya) hidup tanpa perlu berkerja selepas pencen guru. Saya suka kalau dia mengaji dengan Poknik Using yang buka pondok di Padang Pak Amat. Saya pun, kalau saya diberi umur sampai enam puluh lima macam ayah sekarang, Insya-Allah saya akan buat begitu.

Pendapat ayah pula lain. Katanya duit anak-anak bagi dia buat makan tapi duit yang dia dapat dari hasil titik peluhnya, dia sedekah. Dia kata duit dari titik peluh itu lebih afdal. Saya akur dengan pendapat ayah. Tidak mahu jadi macam Abang Mail, Abang Haris dan Kak Miah yang selalu bangkang cakap ayah.

Macam masa ayah nak menikah dengan umi dulu, ketiga-tiganya tarik muka seratus empat belas. Nasib baik, pasangan mereka berkecuali. Sama macam isteri saya, Siti Fatimah tetapi diam-diam Kak Miah berbisik kepada Siti Fatimah; dia lebih suka kepada sepupu umi, Cikgu Nohjahana. Cikgu berkulit putih kuning itu lemah lembut, lebih berumur dan yang mustahak pandai ambil hati orang. Kalau ayah nak buat ibu rumah, itulah orang sepatutnya. Siti Fatimah kemudian panjangkan kepada saya; ayah yang nak menikah. Mustahil ayah tak buat istikharah.

Ayah tak patut menikahi pekerja, sanggah Kak Miah lagi. Siti Fatimah bertanya kepada saya, Cikgu Nohjahana bukan pekerja ayah? Betul juga pendapat isteri saya. Memang umi dan Cikgu Nohjahana guru di Tadika Ibu yang diasaskan oleh gemulah emak kira-kira lima belas tahun lalu. Umi masuk ke Tadika Ibu lebih awal lima tahun daripada Cikgu Nohjahana.

Masa balik cuti raya lepas pula, Kak Miah tanyakan pendapatan tadika. Ayah diam. Umi menjawab (bagi pihak ayah gamaknya), tadika bukan organisasi korporat. Kos pengurusan pun tak lepas kalau nak harapkan bayaran yang dikenakan kepada murid-murid. Sebab, itu umi sudah lama turun naik tangga atau lif pejabat-pejabat swasta dan badan-badan korporat - meminta sumbangan. Maklumlah sekarang semua guru yang diambil mengajar di Tadika Ibu, berijazah. Itu juga untuk memenuhi wasiat gemulah emak yang pentingkan pendidikan awal kanak-kanak.

Barangkali menyedari tidak begitu endahkan anak-anak tirinya, umi pelawa kami tengok laporan audit tetapi Kak Miah tidak buat acuh tak acuh. Kak Miah masih dengan geramnya, saya rasa. Suatu hari Siti Fatimah berbisik, "kalau Kak Miah tak suka umi, tak mesti orang lain pun kena ikut dia."

Alahai perempuan... macam-macam!

"Kalaulah dulu, ayah menikah dengan Cikgu Jahana, ayah kena tanggung lima anak tiri. Itu belum campur suami yang dia 'ceraikan' tu. Buatnya bekas suami dia gila talak ke, buat sesuatu yang tak tak masuk akal ke, susah ayah. Dengan umi, semuanya beres. Umi jaga ayah molek. Urus tadika pun molek."

Malas nak fikir sebenarnya tetapi kalau isteri terus bercakap, pasal keluarga kita pula, lama-lama semasuk juga ke kepala. Barangkali silap saya juga, tak sekat Siti Fatimah awal-awal. Kalau saya buat begitu, gamaknya tidaklah Siti Fatimah bercakap berlebar-lebar. Pun begitu, selepas fikir punya fikir yang besar di kepala saya; kambing hitam ayah juga.

Fikiran Tetapi, hal umi pun masih tidak mahu pergi-pergi dari fikiran. Masa menikah dengan ayah dulu, umi baru setahun membalu apabila suami muda sama mudanya meninggal dipanah litar waktu pulang kerja. Waktu itu umur umi belum pun masuk empat puluh. Sebaya dengan Kak Miah. Agaknya itu yang menyebabkan Kak Miah bimbang kerana pada masa itu, Kak Miah baru mengandung anak ketiga. Segan kalau dia akan ada adik seangkatan anaknya atau takut harta ayah yang ada sikit banyak itu terlepas ke tangan umi. Agaknya.

Tiba-tiba datang pula pelik saya kepada ayah. Kenapa ayah membela -kambing hitam itu. Untuk apa?

"Mana logiknya kambing jaga rumah? Kambing bukan reti menyalak macam anjing atau bising macam angsa." Siti Fatimah lepaskan kata sebaik sahaja duduk di sebelah saya di pangkin bawah pokok limau bali ayah. Terkejut saya, bila masa Siti Fatimah datang? Alih-alih menghulurkan air kepala muda kepada saya.

"Kambing jaga rumah? Cerita apa ni? Mana pula Cik Mah dengar?"

"Umi cakap. Sebenarnya ini idea Cikgu Jahana. Rupanya dah lama demo tu, bela kambing. Mat Sahuk jadi gembala. Ikut demo tu, kambing jantan kalau petajam tanduk, sua kambing jantan lain empat lima kali sehari, gerenti garang. Hari-hari boleh berlaga. Garenti boleh buat hambat orang, sedok orang, rembas orang bila-bila masa."

"Mat Sahuk drebar latih kambing sedok orang? Rembas orang?"

Siti Fatimah angguk. Saya menggeleng. Tidak sangka, tidak faham malah banyak yang tidak-tidak muncul dan berapungan di fikiran saya. Bela kambing di mana? Habis, kerja di tadika macam mana?

"Kerja Mat Sahuk ambil dan hantar budak, kan?"

"Itu tugas hakiki di kertas tapi sekarang, umi kata Mat Sahuk dah suka jaga kambing. Umi dah bagi surat amaran, tak jalan juga."

Saya cuba mencari alternatif, "kalau macam tu, ayah boleh buka satu bisnes lagi."

"Ini bukan soal bisnes Encik Wan Hakim sebab Cikgu Jahana yang keluarkan modal. Hitam tu, cuma eksperimen. Dia bagitahu ayah, kalau kambing-kambing yang dilatihnya menjadi, dia akan kormersialkan. Tadika Ibu akan tersohor. Kalau kambing boleh ganti anjing, akan ramai orang kita ikut serta. Kalau yang malas nak bela, demo akan beli seekor dua buat jaga rumah. Lagipun, kalau dah malas nak terus bela boleh sembelih. Buat akikah pun afdal. Serampang mata kiri kanan. Jaga rumah boleh, jual pun mahal. Nabi pernah bela kambing. Itu sunah juga."

"Fuhhh... macam-macam cerita orang kampung. Fantastik!"

"Fantastik apa kebendanya? Encik Wan tak tengok semalam anak bongsu Encik Wan lari kecamba ligat kena kejar Hitam?"

Saya akur, sudah banyak kali Muhammad Iqram hampir dirembas kambing hitam ayah. Itu belum masuk bab Siti Asyiqin rebah guling bating tersepak anak tangga dan Siti Jamilah yang terkencing berjerok di tengah sutuh bila kambing hitam yang ayah namakan 'Hitam' itu hampir-hampir menyedok anak sulung dan tengah saya sebab ayah tambat Hitam dengan tali panjang.
Buat mainan, kata ayah. Memang ayah nampak suka sangat main dengan kambingnya. Makan pun di tangan. Jinak dengan ayah. Petang-petang ayah minta umi masak nasi kemudian campur dengan sikit garam dan air. Ayah bagi kambingnya makan nasi.

komplen"Tapi ni, bukan pasal anak-anak kita rebah terguling telentang, ni pasal cerita panas tengah gelegak." Sambung isteri saya. Air kelapa saya letakkan ke pangkin. Saya hinggukkan kepala ke arah Siti Fatimah.

"Rupanya dua tiga bulan ni, Mat Sahuk banyak dapat komplen dari mak bapak budak-budak. Demo duk kata, Mat Sahuk tak buat kerja. Ambil anak orang lambat, hantar balik pun sama sebab duk ghalik dengan kambing. Itu ganggu jadual harian mak bapak."

"Ala, isu biasa. Mintak Mat Sahuk jadi gembala sepenuh masa kemudian upah orang lain jadi drebar, selesai."

"Dah jadi isu luar biasa Encik Wan Hakim. Budak tadika yang hilang, yang masuk berita tv tadi, rupanya dari Tadika Ibu. Umi baru call dari balai polis. Ayah dengan umi kena bagi keterangan."
Tiba-tiba kepala saya berdenyut. Macam mana boleh jadi begitu?

"Tak boleh salahkan ayah dengan umi sebab Mah fikir, demo tu tak berapa tau. Kan, ayah dengan umi sibuk dua tiga bulan ni. Bulan satu hari tu pergi umrah, balik dari Mekah sibuk mengundi. Lepas tu, kenduri kesyukuran rumah Abang Mail di Kedah."

"Eh, bukan bulan tiga Abang Haris naik rumah baru?"

"Yalah, kan ayah dengan umi pergi Kuala Kangsar. Seminggu kemudian adik umi yang duk Shah Alam naik pangkat. Demo tu, ke Shah Alam pula. Pendek kata, ayah sibuk akhir-akhir ni. Jadi mungkin ayah tak tahu banyak benda. Masa ayah dengan umi tak ada, Cikgu Jahana yang jadi Pengawas. Balik-balik dari Shah Alam itulah ayah dapat Hitam."

Sokong"Macam ada yang tak kena. Tapi kambing tu dari sepupu umi, pekerja dia pula... tak kan ayah tak nak ambil, kan?"

"Sebelum ke balai polis tadi, Cikgu Jahana pesan pada ayah dengan umi, minta sokong Mat Sahuk."

"Polis akan siasat."

"Cikgu Jahana kata, ayah kena nafikan semua tuduhan yang dibuat kepada Mat Sahuk. Sebagai Pengerusi Tadika Ibu, sebagai orang yang dihormati kat sini, ayah boleh bersihkan nama Mat Sahuk. Bersihkan nama Tadika Ibu. Sebagai balasan, Cikgu Jahana akan lobi ayah untuk jadi Pengerusi Tadika Negeri. Katanya pegawai pemilih tu, saudara dekat dia."

Saya kebabangan seketika. Mustahil ada, percaya pun ada. Mustahil ayah akan terpengaruh dengan kata-kata Cikgu Nohjahana. Pada masa itu kelihatan Hitam di tiang sutuh sedang mengangkat-angkat kaki depannya lama-lama. Sebentar kemudian meloncat ke kiri kanan.
Sebentar meneran-neran. Anak-anak saya yang duduk di sofa tepi tingkap hanya merenung Hitam. Sebentar kemudian memandang ke arah kami. Ketiga-tiganya macam lekat run untuk turun ke halaman.

ii

"Encik Wan Hakim! Mana awak wei... mari... mari tengok berita ni."
Terdengar laungan Siti Fatimah dari ruang tamu. Kebetulan waktu itu saya baru matikan enjin kereta dan sedang melangkah ke pintu. Dalam hati berbisik kecil; suami ke masjid pun dia tak tahu. Bini... bini...

"Muhammad Iqram... Jamilah... mana ayah?"

"Bini... saya dah balik!" Jawab saya dengan lagak satu watak dalam siri animasi kegemaran Muhammad Iqram sambil menolak daun pintu selepas membuka kunci mangga. Macam selalu kalau saya balik dari mana-mana, Siti Fatimah tersenggih tetapi dia seperti tertanya-tanya; dari mana?

Saya duduk di sebelahnya kemudian bersuara datar, "bukan balik menikah satu lagi... balik dari buat Isyak kat semejid. Nasi lauk apa malam ni?"

Siti Fatimah tergelak manja tanpa menjawab soalan saya sebaliknya menunjukkan akhbar harian. Telah dipandukan halamannya - pendidikan. Telunjuk Siti Fatimah cedas tertuju di satu ruang. Terpampang muka Cikgu Nohjahana dengan keterangan di sebelahnya, 'Presiden baru Tadika Pantai Timur'.

Sama lintas dengan itu saya teringatkan hari terakhir kami di kampung. Saya beritahu pada umi untuk balik KL ketika Tadika Ibu masih menjadi sebahagian dari kes polis. Umi pandang saya dengan mata jernih. Waktu itu serasa-rasa saya nampak kasih emak di dalam mata umi.

Perlahan-lahan saya capai tangan umi, bawa ke hidung. Kemudian ke mata. Ada air menitis di bibir mata umi.

Tuesday, May 20, 2008

CAHAYA DARI MATU

“SUDAH dua puluh lima buah bahtera dagang santeri karam,” dengus John Kreamer, borjuis bernasab Inggeris. Dia menyedut nikotina dari paip kayu kokkanya dalam-dalam lantas menyambung, “Semuanya dek kesialan batu-batu putih itulah.”

Ya, memang sayalah yang ditakwilkan oleh borjuis angkuh itu. Esok umur saya 156 tahun. Dalam meniti usia panjang ini sempat bersua dengan kolonial Inggeris, mengalami zaman Jepun semasa dibom, konfrantasi, tuntutan kemerdekaan, reformasi dan banyak lagi. Dan pasti saja Tuhan amat bertimbangrasa memberi saya hayat yang sepanjang ini, semoga akan panjang lagi.

Hampir terlupa memberitahu nama. Maklumlah dengan usia sepiku ini kerangka fikiran dan paksi rasional kadangkala ilam-ilam. Nama saya Horsburgh.
Sekitar 1820-an. Atau mungkin 1850-an.

“Baik kami kabulkan seperti sembah Stamford Raffles, wakil Kompeni itu. Kami kurniakan tanah Temasek ini kepada Kompeni dan jikalau kami sudah kurniakan tiada siapa dapat mengata kami, kerana kurnia ini sudah titah daripada Duli Yang Dipertuan Sultan Husain dari titis warisan negeri Berhampar Emas Kuning, dan segala hukum di laut itu putus di laut jua dan hukum di darat, putusnya di darat jua.”

Titah baginda Sultan di perkarangan Istana Gelam telah diwartakan ke serata corong telinga kelas rakyat negeri Berhampar Emas Kuning dan Temasek.
“Masakan hal sebegini mahu dikumpulkan kita hamba rakyat ini beramai- ramai,” rungut seorang awak perahu. “Bukankah lebih baik kita bersibuk-sibuk dengan petak niaga di jong saja.”

“Heh! Kamu ini lagaknya Padang, omongnya Betawi!” tingkah taulannya, juga seorang awak perahu, “Sultan memasyhurkan perjanjian dengan Kompeni itu kepada sekalian hamba rakyat dan lapis bangsawan supaya tidak kemudian hari Sultan menjadi manusia yang kanan dalam buhul perjanjian, kiri dalam rangka kehidupan. Mengerti?” rincinya seraya menepuk bahu kiri taulannya.

Dan bermula tika itu, Temasek telah ditalak tigakan dan berparak dari negeri Berhampar Emas Kuning, sungguhpun kedua-dua negeri dirintis oleh moyang yang sama yakni Parameswara.

Pawana berpuput lunak lewat petang itu, kelibat sekawan burung camar laut kelihatan bermain-main di muka gugusan batu dan terumbu. Hembusan asap nikotina dari paip John Kreamer berantaian memenuhi ruang peterana lawang di dalam jong milik Syarikat Hindia Timur Inggeris itu.

“Perbincangan antara juak Anglo-Saxon di London bulan lepas ada mengesyorkan supaya ditegakkan sebuah rumah api di situ,” sambut Kapten James Horsburgh dalam nada tenang serentak membuang pandangannya melalui bingkai tingkap ke tengah laut. .

“Jadi sekarang, apa yang mesti Kompeni lakukan?” tanya John Kreamer.
Kapten James Horsburgh mengisar-ngisar letak punggungnya agar lebih selesa dan kembali memandang raut taulannya. “Ada dua hal yang harus kita ikhtiarkan. Pertama sekali berkenaan dana untuk membeli bahan binaan,” penjelasan itu tiba-tiba dipintas oleh John Kreamer.

“Itu hal yang enteng! Nanti orang-orang suruhanku akan dikerah mengutip yuran daripada para pedagang di Canton. Hmm, laba kerajaan Negeri-Negeri Selat akan lebih segera berhasil dengan wadah ini. Apa lagi yang kita perlu?” dia menyalakan semula tembakau yang kematian api.

“Mengenai kebenaran daripada Sultan dan Temenggung negeri Berhampar Emas Kuning. Jikalau merujuk kepada Perjanjian Crawford di dekad lalu, gugusan batu-batu putih dan terumbu ini letaknya dalam lingkungan jajahan takluk Sultan Husain,” jelas Kapten James Horsburgh bersungguh-sungguh.
John Kreamer menyeringai dan kemudiannya menyimpulkan perbualan pada lewat petang itu.

“Jika begitu halnya, segeralah engkau karang satu surat perjanjian mohon kebenaran, bertinta emas putih. Errr, dan berlapik kain halija beroci sekayu. Utuskanlah secepat mungkin kepada Temenggung.”

Dengan amat perlahan, menurut perintah dari alam ghaib, mentari beransur turun, turun ke dasar laut yang tidak kelihatan tanah tepinya. Cahaya kirmizi telah mulai terbentang di ufuk barat, dan bayangnya tampak mengindahkan raut lautan yang linang tidak beralun.

Benar. Pangkal nama saya disalin daripada nama Kapten James Horsburgh itulah. Barangkali masih ramai yang tidak mengenali, atau langsung tidak ingin mengenali siapa saya. Sudah hampir benar usia saya menyentuh 156 tahun. Dan bahawasanya umur 156 tahun adalah umur yang genting dan serius.
Mutakhir

Mungkin sebelum ini, lingkungan masyarakat mutakhir tidak begitu mengetahui mengenai era saya. Dan jika tidak mengetahui tentang era saya, tetapi secara tiba-tiba pula ingin berada di era itu, barangkali sesiapa pun tidak dapat mengasihani apa yang sudah berlaku.

Sekitar 1840-an merentang 1850-an.

Hujan mulai turun. Renyai. Batu-batu dan terumbu yang dibungkus najis putih burung camar laut terpalu oleh titis-titis air dari langit -melantunkan satu himpunan bunyi yang mengasyikkan. Hawa panas sebelumnya teruap naik mendadak bersama bau najis burung camar laut mentamsilkan satu aroma yang agak tengik dan merengsakan.

“Di sini, tidak guna bernafas. Udaranya tidak baik!" laung seorang kuli pengangkat besi dan batu kepada taulannya yang berada kira-kira tiga rantai dari gigi air. Renjis hujan membelai muka, ubun-ubun dan sesekali tapak tangan.
“Aku hairan bagaimana orang Inggeris dapat menghimpunkan besi-besi, batu-batu, dari seluruh negeri Eropah dengan pantas sekali?” balas taulannya sambil melepaskan lelah dengan mendepangkan tangan; sekejap ke atas, sekejap ke bawah.

“Begini berat dan banyak pula, mesti tenaga gajah yang diperah. Tapi gajah geraknya tentulah lambat,” gumamnya sendiri. Suaranya terkulum. “Kalau kudrat kuda pula ditagih, mana larat hendak memikul, sungguhpun kuda sifatnya kencang berlari.”

“Hai kawan, kau jangan tidak tahu. Orang Inggeris sudah mengahwinkan gajah dan kuda! Sebab itulah beban di atas batu jemala kita ini cepat sampainya dari Eropah ke timur ini,” jelas kuli yang mula-mula.

Melihat perihal taulannya seperti terpukau dan kebingungan, dia lantas menokok, “Orang Eropah punyai kereta api. Gajah yang berkaki kuda! Sebab itulah mereka pantas serba-serbinya.”

Lowongan tawa dua orang kuli tempatan dan rasa pegun terhadap kecanggihan teknologi Eropah menokok iklim hingar medan kerja pembinaan rumah api di gugusan batu-batu dan terumbu itu.

Pagi itu fenomena alam anyaman Pencipta sungguh indah. Paluan gendang hujan semakin galak. Rancak. Serancak kerja membangunkan sebuah menara bantuan pelayaran; yakni Rumah Api Horsburgh - pedoman bagi ahli pelayaran dari masyrik lalu ke maghrib, dari daksina lalu ke paksina.

Sekarang benarkanlah saya bercakap sedikit tentang sesuatu yang lebih berjejak. Period 156 tahun itu sebenarnya singkat. Saya berpeluang merakamkan satu dua hal dalam jalur lintasan ingatan. Dan satu dua hal itulah sebenarnya ruang saya mempelajari lapis-lapis makna hidup.

Sudah lama saya memerhatikan sebatang pokok yang bertenggek di pulau batu dan terumbu itu. Dan penenggek itu sudah bertunjang sisi saya sejak awal tahun kurun yang lalu. Di sinilah juga saya sempat memahami ruang kesalingan dan erti simbiosis.

Benar. Sesungguhnya alam tabii banyak mengasuh makhluk agar hidup dalam kesalingan dengan pesaing. Bagaimana pokok sanggup mengizinkan burung camar laut bersarang di dahannya, menghantar makna simbiosis yang amat jelas kepada saya.

Pokok melindungi burung daripada dimangsai pemangsa dan memberi keselesaan pula kepada serangga yang menjadi santapan tembolok burung.
Memang dalam ruang kesalingan itu burung yang bersarang selalu mendapat manfaat, manakala pokok tidak pernah kerugian barang sekerat beras pun. Malah, pokok dengan unggas yang bertenggek di atas dahannya adalah lebih indah berbanding pokok yang berdiri sendiri tanpa makhluk lain.

Kerak-kerak kilatan peristiwa daripada alam tabii pada era ini acap kali berulang- ulang seperti ombak falsafi dalam ruang benak saya. Penenggek yang sanggup ditenggek memetaforakan satu pola kesalingan yang akrab sekali.

Namun, tenang-tenang air di laut, siapa tahu kuak tajam di dasarnya? Saya berasa amat duka pada tahun-tahun kebelakangan ini. Segelintir puak penenggek yang pongah telah mencantas mati lambang semiotik tabii itu.

Dipancangnya tapak tempat kenderaan udara yang berkipas buas, betul-betul di atas batu datar yang pernah menjadi saksi pokok dan burung bersimbiosis. Diboboti lagi dengan segala macam mesin manipulasi simbol sintaktik yang merubah terus raut gugusan batu dan terumbu tempat saya bertenggek selama ini.

Tapi tidak mengapalah. Di dalam ruang benak yang terkejut kosong ini, saya gagahi juga meladeni segala rencam ragam puak penenggek itu. Simbiosis yang selama ini menjadi buhul kesalingan ditukar gantikan dengan parasitisme pula.
The Hague, Belanda. 24 November 2007 tahun masihi.

Di luar kamar Mahkamah Keadilan Dunia dihurungi para wartawan yang berjujuk memetik berita perbicaraan kes tuntutan Pulau Batu Putih antara Singapura dan Malaysia. Kegelagatan suasana yang ruwet ini melahirkan iklim yang agak tegang antara dua negara jiran itu. Hal perairan adalah soal kedaulatan yang perlu ditekuni dengan berimbang dan waras.

Mahkamah

Hujah-hujah mantik dan ulas reduksionisme bersiponggang di kamar mahkamah. Barisan delegasi dan peguam dengan busana kehakiman dari kedua-dua negara saling tingkah-meningkah dalam mencapai buhul kata yang muktamad.

“Sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh selama 156 tahun, Singapura dengan alasan ini wajar tampil bagi menuntut Pedra Branca, seterusnya mewujudkan rejim maritim yang baru,” wakil peguam dari negara republik itu memberi dalil sambil mengetuk pena ke birai meja.

“... dan agar kesinambungan Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat yang diwarisi daripada British tidak dikhianati, maka segala hujah Malaysia adalah kosong semata-mata,” tokoknya lagi berbau sinis.

Dengan nada yang sederhana tetapi tegas, Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia membalas pukulan hujah daripada wakil Singapura. “Yang menuntut adalah Singapura, walhal Malaysia mahu mengekalkan kedaulatannya di Pulau Batu Putih untuk memastikan ia kelak tidak dijadikan alat oleh republik ini untuk mengeruhkan hubungan serantau.”

“Analoginya mudah, sebagai penjaga rumah api di situ, Singapura tidak mempunyai apa-apa kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, melainkan menjalankan tugasnya iaitu ‘menjaga’. Jadi mengapa Malaysia perlu membuat apa-apa?” rangkuman Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia mengunci matikan petikan lidah peguam Singapura.

Dunia ini dan kehidupan ini sebetulnya adalah ulangan, ulangan dan ulangan. Sudah terlalu lama rasanya saya mengamati pengulangan alam ini. Dan sepanjang hayat yang bakal bertambah ke angka 156, secara tamsilnya saya cuma hidup dalam tiga hari, atau lebih tepat tiga masa.

Hari semalam sudah menjadi batas historiografi. Hari ini ialah apa yang sedang direbuti dan ditelagahi. Dan tentunya esok merupakan ruang masa yang masih tebal dengan kabus teka-teki.

Rupa-rupanya secara tidak disangka insan terlalu lekas berganjak meninggalkan acuan peribadi. Daripada sifat kemanusiaan unggul beralih menjadi manusia yang terlupa. Daripada alam simbiosis kesalingan berengsot kepada jagat parasitisme.

Dan memang esok bukanlah sekadar hari jadi ke 156 saya, tetapi hari saya membiarkan alam semulajadi mengajar dan mengasuh kerangka mental ini sekali lagi. Hari ini, menanti dengan penuh ragu dan getar, masih inginkah lagi insan di laut selbia dengan cahaya api saya?

Wednesday, May 14, 2008

KETUANAN

“SEJARAH tetap akan berulang kembali, tetap akan tercipta dan dicipta sama ada secara sengaja atau pun secara tidak sengaja kerana sejarah itu sendiri adalah antara rencah kehidupan, pelengkap ketamadunan dan suatu keperluan bagi mencerminkan identiti sesuatu bangsa,” Deroman Dollah yang lebih terkenal dengan Deroman Botak berhujah. Suaranya keras.

Pelanggan warung milik Mamak Punjab memusatkan perhatian kepada Deroman yang memang mereka kenali. Deroman suka berhujah, selain dari banyak membaca, kepalanya yang botak membuktikan dia tergolong dalam bilangan orang yang cerdik dan berpandangan luas.

Setiap pagi selepas membaca halaman-halaman dua suratkhabar berbahasa Melayu dan satu suratkhabar berbahasa Inggeris, dia akan bercakap dan mengulas tentang isu-isu paling baru, termasuklah isu pemeliharaan babi secara besar-besaran yang sangat ditentangnya.

Ulasan panjang lebar, malah bila digambarkan tentang macam mana jantung, hati, kepala dan daging babi yang dipaparkan pada laman web bagi tujuan dagangan menggunakan teknologi maklumat, ada pelanggan warung mamak yang termuntah, seolah-olah haiwan muncung gelebek yang Allah sebut dalam al-Quran larangan memakannya itu sedang dilapah di depan mata.

Dia juga mengulas dengan panjang lebar dan hujah-hujahnya pula munasabah kerana kononnya gara-gara terjebak dengan permainan politik ikut perasaan, permainan politik ikut trend, nak seronok dan terpengaruh dengan retorik, ketuanan bangsa terhakis di beberapa negeri, malah ada tokoh ketuanan yang dibonekakan:, ada kerusi ketuanan tetapi tidak ada kuasa ketuanan.

Maka pemeliharaan babi yang namanya bila disebut pun boleh menjengkelkan bangsa ketuanan telah menjadi keutamaan pelaksana projek gara-gara ketuanan itu sendiri telah berjaya dipermainkan kerana bangsa pertuanan sendiri cuba bermain api, menyebabkan tangan sendiri terbakar, sekali gus bangsa ketuanan tidak mampu untuk tidak dipermainkan.

Hujah-hujah Deroman boleh menyebabkan mereka yang mendengarnya menanah telinga, boleh terbakar hati dan perasaan. Yang ada penyakit jantung boleh jatuh tersungkur dan menggelupur macam ayam kena sembelih, kalau lambat dibawa ke hospital, boleh padam dibuatnya.

Semail Samat atau dikenali dengan Semail ikan kenye mencebikkan bibir menjadikan mukanya yang tak berapa lawa semakin hodoh. Dia digelar Semail Ikan Kenye kerana bila bercakap mulutnya nongek-nongek sebiji macam ikan kenye kena kail.

Dia adalah kawan paling akrab Deroman.

“Mu buta....”

“Tak buta lagi, baru keceng. Itu pun cuma sebelah mata” belum sempat Deroman habiskan cakapnya, cepat benar Semail memintas.

Deroman tergamam. Mulut terlopong dan tergohong.

Semail sendiri kata kalau bukan kerana Jimah Tonggek yang sanggup jadi bininya, mungkin dia tidak akan terasa berbini sampai ke hujung nyawa kerana dia tak lawa macam orang lain, jalannya pula rencak anjing dengan sebelah matanya pula keceng.

Zaman dia muda dulu selain dari calon menantu kena khatam al-Quran dan kena tak tinggal sembahyang, syarat lain lain ialah kena ada rupa, kena comel bagi menantu perempuan dan kena lawa bagi menantu lelaki.

Kononnya bini yang comel atau laki yang lawa akan melahirkan anak-anak yang sedap-kelih, anak-anak yang nantinya bila besar mudah nak berlaki bagi yang perempuan dan mudah pula nak berbini bagi yang lelaki.

Sekarang keadaan dah berubah, cara pemilihan menantu juga dah berubah, asalkan ada banyak harta benda, asalkan kaya raya, ada pangkat dan darjat. Hasil perkahwinannya dengan Jimah, dia dapat dua belas anak, enam lelaki dan enam lagi perempuan.

Anak perempuannya ikut macam emak mereka, tonggek belaka. Pun begitu mana cuma tinggal yang masih bersekolah, lima anak perempuannya yang dah besar lebar, sudah pun berlaki belaka.

Keenam-enam anak lelakinya yang semuanya sudah besar panjang, termasuk yang jalan rencak anjing, yang mata keceng sebelah dan mulutnya juga macam ikan kenyen sepertinya, juga semuanya dah berbini.

Bini anak-anak lelakinya sedap kelih belaka kerana semua anak-anaknya lepasan universiti dan kerja berpangkat besar belaka. Anak buah masing-masing panggil tuan, maknanya anak-anaknya itu jadi boss tempat kerja masing-masing.

Bila dah bertali leher dan berkot, jalan rencak anjing yang tak molek dikelih pun jadi nampak molek, kononnya itu gayanya jalan orang besar-besar, ada gaya tersendiri, tidak stereotaip, tidak klise dalam bergaya dan pembentukan personaliti.

“Aku tak maksud mengata kau, Semail. Apa pun paras rupa kau, itu adalah yang telah ditakdirkan kepada kau. Tidak ada siapa pun berhak untuk mempersenda dan mempersoalkannya. Siapa kau, malah siapa aku dan segala makhluk yang ada di bumi dan di langit untuk mempersoalkan takdir dan ciptaanNya yang pasti ada hikmahnya. Mempersoal, mempersenda atau tidak bersyukur dengan takdir, ketentuan dan ciptaanNya, berdosa.”

“Aku salah sangka rupanya. Aku ingat kau tuding ke aku tadi.”

“Kerana itu dalam berhujah, kau kena benar-benar tahu bahan dan isu yang sedang dihujah.
Jangan mudah cebik bibir atau terlalu mudah salah sangka.”

“Aku minta maaf.”

“Kalau memang ada salah kau kepada aku, maka aku maafkan. Macam mana pun aku rasa kau tak ada salah apa-apa dengan aku untuk aku maafkan.”


Semail tersengih dan ngonek-ngonek mulutnya semakin jilah menyerlah.

“Kalau aku pula ada bersalah pada kau sama ada secara sengaja atau tak sengaja, aku minta maaf.”

“Insyaallah, akan aku maafkan”

“Tadinya aku mahu bercakap tentang sejarah ketuanan bangsa kita. Sebenarnya kalau nak kenal bangsa pertuanan kita, untuk merasa lebih sayang kepada ketuanan kita, bangsa kita kena tinggal di Pattani dan kena kenali masyarakatnya. Aku dah ada pengalaman tinggal di sana, di Krisek yang menjadi pusat keagungan pemerintahan kerajaan ketuanan kita. Aku mencari gali sejarah kehebatan bangsa kita di sana.”

Semakin ramai yang memberi tumpuan kepada Deroman yang pernah berkesempatan tinggal bersama anggota komunis Melayu di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha untuk mencari dan mengenali ketuanan bangsanya.

“Aku berani katakan kebangkitan kehebatan bangsa ketuanan kita dalam membina tamaddun, seiring dengan kehebatan kebangkitan Islam yang menjadi agama anutan bangsa ketuanan kita. Sebenarnya kehancuran Pattani itu adalah antara kehancuran bangsa pertuanan kita.

“Meskipun kini antara kita dengan Pattani berada di dalam suasana politik yang berbeza, namun antara kita dengan Pattani tetap bersama dan ada persamaan ke arah wawasan penyatuan ummah, juga selamanya akan seiringan dalam mengembangkan keagungan Islam di Nusantara.

“Berdasarkan penghisaban dan perkiraan Hassan al Banna, tokoh Ikhwanul Muslimin di Mesir, suasana dunia hari ini meletakan Barat pada kedudukan sedang menuju kepada kehancuran dan Timurlah yang akan mengambil alih kekuasaan dunia darinya nanti.

Profesor Dr.Hamka mengatakan di dalam bukunya Sejarah Islam di Indonesia bahawa kebangkitan Islam di timur tidak diragukan lagi iaitu manakala konflik dan peperangan sudah merata hampir di semua negara-negara umat Islam terutama di kawasan Asia Barat.

“Pemikir Islam terkemuka dari Algeria, Malik Bennabi ketika membincangkan tentang Islamic Commonwealth memberi pandangannya bahawa selepas Perang Dunia II, Islam akan berpusat di Asia Tenggara bukan lagi berpusat di Mekah, Mesir, Baghdad, Turki dan Yaman Selatan.

“Penulis Amerika, Judith Nagata yang membuat kajian ilmiah tentang Islam di sebelah sini memberi gambaran tentang masa depan kebangkitannya Islam yang akan muncul memegang kuasa politik.

“Lee Kuan Yew bekas Perdana Menteri Singapura yang begitu prihatin terhadap “the rising tide of Islam” menyatakan kebangkitan yang melanda ini tidak mungkin dibendung lagi.

“E.J. Brill‘s First Encyclopaedia (1913-1936), di halaman 115 menyebut bahawa umat Islam akan mendatangi seorang ‘pemuda’ yang datang dari sebelah Timur sebagai penyelamat pada akhir zaman.

“Arus kebangkitan Islam nampaknya akan bermula dari sebelah sini. Patani dan Kelantan sebenarnya sudah pun menyediakan tapaknya. Kebanjiran gerakan-gerakan Islam dan wujudnya institusi-institusi pengajian agama mula melanda di merata-rata tempat seperti tumbuhnya cendawan musim hujan.

“Dua negeri kembar ini adalah yang paling menonjol di Timur dan bersungguh untuk mengemblengkan kegemilangan Islam di Nusantara. Kiranya ini menjadi satu kenyataan maka benarlah seperti sabda Nabi s.a.w.,“Akan berlaku pada akhir zaman Islam muncul dari bumi sebelah Timur.


“Bukanlah satu perkara yang mustahil bila tiga buah negeri yakni Patani, Kelantan dan Acheh yang dideklarasikan sebagai negeri Serambi Mekah mampu berperanan kembali dalam kebangkitan Islam ini dan mengulangi lagi detik-detik sejarahnya.

“Perjuangan Tok Kenali di Kelantan, Haji Sulung di Pattani dan Teuku Tjhik Muhammad Dawud di Beureueh adalah sebagai pembuka jalan dan kita kemudian dari merekalah yang kena mengorak langkah supaya tepat sasarannya sebagaimana dalam perancangan orang-orang yang terdahulu.

“Di bumi Nusantara yang sudah lahir baka-baka Bani Jawi atau Al-Jawiyun dari nabi Allah Ibrahim a.s. melalui isterinya Siti Qhatura dari pergunungan Himalaya yang kemudiannya bercantum dengan keturunan Syed Husein Jamadil Kubra, zuriat dari Rasulullah s.a.w., pasti akan muncul warisan-warisan yang akan mengibarkan panji-panji Islam di sebelah sini.

“Ini yang kita kena perjuangkan, yang kita kena jaga, yang kita kena pelihara dan julang serta yang kita kena dipastikan sentiasa terjulang. Segala-galanya tidak akan bermakna apa-apa kalau identiti ketuanan kita hilang di sebalik retorik, kalau kekemarukan dan ketaksuban kita kepada kebenaran Islam pupus dan lupus.”

Deroman berhenti berhujah bila hujahnya tidak disanggah.

“Sejam aku bercakap dan berhujah, sepatah pun tak ada celahan?”

“Aku rasa mereka tak faham apa yang kau hujahkan, macam aku juga yang tak faham dengan apa yang kau hujahkan,” sahut Semail.

“Aku sedang bercakap tentang ketuanan”

“Apa itu ketuanan?”

“Rasa berhak, rasa kitalah tuan kepada bumi warisan nenek moyang ini dan kita kena terus jadi tuan, bukannya jadi perkakas yang diperkakaskan.”

“Perkakas yang diperkakaskan?"

“Hm.”

“Kau buat aku jadi semakin tak faham.”

“Apa yang kau tak faham?”

“Perkakas yang diperkakaskan.”

“Maknanya, kita jangan jadi alat. Kalau jadi ketua, kita kena pastikan kita ada kuasa pemutus. Bukan hanya jadi ketua tetapi kata putusnya orang lain yang buat. Kalau macam tu jadinya, kalau jadi ketua tanpa berpasak dan bertiang-serikan ketuanan, bangsa kita yang jadi ketua akan ibarat mengkarung parut nyior saja. Nothing.”

“Kau fikir itu akan berlaku?”

“Bukan akan lagi tapi telah dan sedang berlaku.”

“Contohnya?”

“Pemeliharaan babi besar-besaran menjadi projek yang disegerakan untuk nantinya bumi warisan pertiwi ini jadi pengeskport babi terkemuka sedangkan haiwan itu bukan sahaja diharamkan memakan dagingnya tetapi memperdagangkan dalam bentuk hidup atau yang sudah siap dilapah adalah haram. Pengharaman memakan dagingnya disebut dalam al-Quran.”

“Jadinya?”

“Ada negeri yang mahu menjadikan ternakan haiwan itu sebagai suatu perusahaan.”
halal

“Kenapa pula utamakan yang haram sedangkan yang halal masih banyak untuk diusahakan?”

“Kerana semangat ketuanan kita mula terkikis dan terhakis. Kerana ada bangsa kita yang jadi ketua tanpa ketuanan. Faktor lain kerana kita gagal menguasai ekonomi dan segala milik kita boleh dibeli.”

“Termasuk kuasa?”

Deroman segera memeluk Semail membuat Semail tergamam dan tersentak. Belum pernah ada orang memperlakukan begitu.

Isterinya sendiri dirasakan tidak pernah ikhlas memeluknya sebagai suami kerana barangkali fizikal yang sangat tidak menarik kurang merangsangkan.

Pun begitu dalam pelukan yang tidak pernah erat kerana pelukan isterinya baginya tidak ikhlas, terhasil juga dua belas orang anak, agaknya kalaulah isterinya memeluknya sebagai eratnya
Deroman memeluknya, dia dapat lebih ramai anak.

“Apa ni?” Soal Semail. Pelukan Deroman yang terlalu erat menyebabkan dia terasa susah nak bernafas.

“Aku terharu, Semail.”

“Terharu?”

“Ya. Sangat terharu.”

“Apa pun lepaskan aku dulu. Aku kena bernafas”

“Kau dah mula diresapi dan tersuntik semangat ketuanan bila kau sanggup berkata benar bahawa antara milik kita yang boleh dibeli adalah kuasa.”

“Aku tak tak faham.”

“Jangan berdalih. Aku yakin kau faham dengan apa yang kau cakapkan. Demi kepentingan ketuanan, kita kena berani berkata benar, Semail.”

“Apa kata benar yang telah aku ucapkan?"

“Kuasa ketuanan kita kini boleh dibeli.”

“Tak kena tangkap aku nanti cakap macam tu?"

“Kenapa pula nak kena tangkap.”

“Tak ke yang aku terlepas cakap tadi tu ada unsur-unsur perkauman?”

“Bangsa yang memiliki semangat ketuanan tulen tidak akan pernah rasa takut untuk bercakap tentang ketuanan. Kalau kau hidup mewah tetapi tanpa ketuanan, nilai kau akan lebih rendah dari seekor haiwan dari sudut nilai ketuanan.”

“Kau....”

“Minta maaf, demi ketuanan, aku kena berkata benar walaupun pahit untuk ditelan, kata-kataku bagi sesetengah orang tajamnya macam seligi batang nibung meradak telinga.”
Semail membisu, hanya mulut seakan mulut ikan kenye sahaja yang ngongek-ngongek. Deroman terus bercakap tentang ketuanan walaupun ketika itu yang ada di warung Mamak Punjab hanya dia dan Semail sahaja.