Friday, September 26, 2008

MUSNAHNYA DOKTRIN EROPAH DI DAERAH PENJAJAH

Oleh Jaya Ramba


SENJA mengepakkan sayap, segarang penghuni yang kaya-raya di bangunan kaca itu. Jingganya sehebat sumpahan malaikat seperti tumbuhnya banglo-banglo yang menduduki tanah haram itu. Mengikut sejarahnya, di mana pemilik bumi pusaka itu telah diusir seperti anjing-anjing kurap.

Senja yang mencerlang itu satu kepastian kepada seorang pemuda yang duduk dikelilingi rakan-rakannya. Mereka itu seresah siang tadi dan sebinggung semalam. Mereka buntu.

Pemuda itu menyumpah seranah. Semakin diamati bangunan kaca itu, semakin benci hatinya. Kadang-kadang dia menumbuk-numbuk dada bumi.

“Apakah muktamad?” tanya seorang rakan mereka.

Tetapi pemuda itu masih menyepikan diri sambil merenung rona-rona rakus kemegahan kerajaannya. Tiba-tiba mengalir air matanya menyebabkan rakan-rakannya tertunduk. Lalu benak pemuda itu mengimbau peristiwa lampau.

“Hanya tanah itu satu-satunya. Penyerahan tanah itu dulu dikatakan pembangunan yang boleh mengubah nasib orang kampung. Imbuhan besar akan diberi kepada semua penduduk kampung pada waktu yang ditetapkan. Entah, sehingga ke hari ini pun penduduk tidak menerima bahagian mereka. Sedangkan pembangunan ini diteruskan. Akhirnya, tanah-tanah itu berjaya dimajukan. Kamu tahu, bangunan kaca itu dijadikan danau racun. Dalam masa yang sama, ribuan orang asing beranak-pinak di sini. Mereka bertapak kukuh. Anak muda kita ada apa? Datuk nenek awak sangat sayangkan tanah itu,” beritahu Pak Osoh, orang tua yang pernah juga diusir bagaikan anjing kurap yang kini hidup melarat.

“Salah kita. Kita bangsa yang bersikap hormat kepada penjajah. Inilah hormatnya orang timur. Secara terhormat juga kita dijadikan pengemis. Kita tetap juga tidak maju. Miskin di bumi sendiri. Kemajuan dan pembangunan yang dijanjikan sudah membunuh kita,” ujar Tua Bunsito yang telah hilang segala-galanya.


Mengingatkan perbualan itu, dia tertekan. Dia memandang bangunan kaca yang megah itu. Ramai orang keluar masuk. Mereka itu juga musuh!

“Bangsa kita bermusuhan sesama sendiri! Danau racun yang penjajah beri itu menyebabkan kita mabuk. Kita khayal! Kita bermimpi yang bukan-bukan. Kita terperangkap,” kata Madali kepada pemuda itu.

Hamadi, Ismail, Ashah, Tun Jang Karto, dan Madali merenung pemuda yang masih menyepikan diri. Kata putus pemuda itu amat dinanti-nantikan. Hitam katanya. Maka hitam yang mereka pilih kerana mereka sudah sehidup semati.


PEMUDA itu mengeluh berat. Fikirannya berbusa, memaksanya mengambil satu keputusan berani. Agama kita! Negara kita! Bahawa bangsa kita adalah tuan kepada tanah air kita. Kita pemerintah!

“Peluang hanya malam ini!” ingat Arshah.

Kesepian pemuda itu menjadikan rakan-rakannya tetap membatu. Mereka melayan keserabutan. Mereka sama-sama merenung ke arah bangunan kaca itu.

Pemuda itu masih ingat lagi cerita datuk neneknya.

“Nyanyian tradisi di pesta raja pada suatu ketika dulu, hari ini hilang ditelan kemodenan. Rentak malam kemodenan menyebabkan sempadan sopan bangsa musnah. Di situlah istana, ada nyanyian di pesta raja suatu ketika dulu tetapi kini, di situ ada pesta rap. Kelab malam di sekitar itu bagaikan cendawan tumbuh di pagi hari. Manusia gila. Kini, manusia yang tinggi tatasusilanya, hilang sifat moral dan jati diri.”

“Kamu sanggup mati sekalipun?” tanya pemuda itu lalu bangkit dari duduk, menghadap bangunan kaca itu.

“Ya! Mati sekalipun!” putus salah seorang rakan mereka pantas.

Pemuda itu merenung Hamadi. “Awak pula?”

“Kami pertaruhkan nyawa demi tanah dan daerah ini. Demi anak-anak serta generasi kita. Sekalipun ditakdirkan hidup, kami tidak gentar diadili. Hidup mahupun mati!” Hamadi pula merenung rakan-rakannya. Renungan itu berakhir pada wajah Anarozi.

Anarozi menelan kata-kata itu sedalam lubuk lautan. Darah yang mengalir di sungai tubuhnya adalah salam terakhir sebelum putusnya riwayat nasib mereka.

“Pulau ini bukan seperti bandar raya Malayapada, Bukan seperti bandar raya Bumicanda, Kota Kencana, Balaimanda dan Malanita. Inilah bumi penjajah! Kota ini hancurkan budaya kita. Kota kurang ajar!” tokok Arshah seperti berpuisi lagaknya.

Anarozi menggeleng-geleng kepala. Dilempar jauh renungan ke arah bangunan kaca yang menjadi kemegahan bangsanya. Sedangkan mereka tidak sedar, mereka tenggelam dan lemas di lubuk kota danau racun. Mereka menghitung sisa pemberian penjajah yang makin gah dan berkepala besar itu. Mereka berenang di lautan masin. Kemudian mereka akan dijemur seperti ikan masin.

“Ayuh!” arah Anarozi. Akhirnya mereka bangkit dan menyusup ke segenap sudut bangunan itu. Bayangan mereka ditelan kegelapan dan disembunyikan rahsia gelagat pesta ria.

Berpijak di danau racun, hatinya pilu. Sesekali cahaya yang berpusing, menyuluh kesesakan yang khayal. Nah, menjadi mangsa mereka adalah bangsanya. Menjadi hamba mereka adalah bangsanya.

Dia mencari Madali dan Ashah. Oleh kerana dia agak gentar dan terasing ketika berada di kelab malam itu, dia berkelakuan bersahaja. Lagaknya sumbang seperti pendatang asing. Di sebelahnya, Arshah juga berlagak penjajah.

“Madali?” Dia bertanya kepada Ashah dengan suara yang agak keras.

“Beres!” kata Ashah.

“Ayuh keluar!” ajaknya.

Selepas menghabiskan segelas jus oren, mereka mengasingkan diri. Ashah pula menyusup dalam kesesakan suasana khayal. Lagi pun tahap kesedaran manusia sedang berada di puncak tidak upaya. Manusia yang matang telah runtuh akal. Kini, mereka berada di awangan.

Ashah terperanjat bila bahunya dipegang seseorang. Madali seketika berdansa. Kemudian memeluk Ashah. Ashah terpinga-pinga.

“Keluar sekarang!” perintahnya.

“Kamu?” tanya Ashah.

Madali mencapai minumannya. Kemudian meramas-ramas baju yang mengembang di tubuhnya. Madali mengetup bibirnya sebagai amaran agar Ashah pergi segera.

“Ini gila, Dali!”

“Keluar! Keluar!!!” seru Madali.

Rentak cha cha barat berkumandang. Raungan, pekikan, hilaian girang bertandang. Terasa tembok-tembok dinding bergoncang. Kilauan cahaya warna-warni berahi sentiasa memeningkan otak kepala. Setiap basahi secangkir air bisa, menyengat ingatan. Semakin dinikmati, semakin terbeban pedoman.

“Dali!!!” jerit Ashah. Lalu tubuh Madali mahu dipeluknya. Namun Madali meminggirkan diri. Sesekali sondolan penari gila menyentuh tubuh mereka.

MEREKA menyepikan diri.

Anarozi mengarahkan mereka menanti sahaja akan kedatangan Madali di satu sudut yang terpinggir. Arshah menajamkan pandangan ke setiap sudut. Tanpa Madali, hatinya resah. Bukan waktunya korbankan nyawa kerana mereka bukannya berdepan dengan peperangan, tetapi mereka sedang memerangkap musuh-musuh yang tidak sedarkan diri itu. Mereka di laluan kemenangan.

“Awak pasti?” Anarozi merenung Ashah.

“Ya!” Angguk Ashah dengan wajah muram.

“Beredar,” arah Anarozi. Hamadi menjarakkan Van buruk dari kelab malam bangunan kaca. Sesekali mereka berpaling ke belakang mencari bayangan Madali.

Tumm! Tumm!!! Tiba-tiba letupan kedengaran. Bumi bergegar. Kemudian, dentuman menyusul lagi. Menyusul lagi. Hamburan butiran keras dari arah bangunan kaca itu terburai. Percikan cahaya merah bagaikan bunga api musim perayaan menyala-nyala. Dentuman demi dentuman kedengaran, menggegarkan bumi ini. Asap pekat menyelubungi suasana.

Dentuman bergegar lagi. Lagi! Lagi!! Lagi!!!

Bangunan kaca yang agung itu runtuh separuh. Lautan api mengharungi. Kibaran bendera di tiang bangunan kaca juga tidak kelihatan. Asap hitam menyelubungi awan yang ketika ini sang bintang-bintang ketawa riang. Sang bulan tersenyum ranum.

Manusia riuh-rendah seperti sedang berada di sebuah pesta saham. Pihak penyelamat mengambil tempat mereka. Ahli politik heboh di seluruh negara segera. Di sini, bangsanya bertepuk gembira.

“Kalau boleh, penjajah berjumlah sifar di negara ini!!!” laung Anarozi.

“Kejadian September di Amerika adalah sebahagiannya di sini,” kata Anarozi penuh benci.



TRAGEDI ngeri di bawa ke meja politik. Maka, sangkal menyangkal tercetus serius.

“Kita jangan berperang dengan menggunakan senjata canggih, dengan bom nuklear bisa, motar. Guna akal fikiran.” Kata seorang pemimpin terbilang negara jiran.

“Kami tidak menyokong sama sekali. Ini bukan cara kami,” ucap Mr Mustahil, pemerintahan negara Malayapada pada sidang tergempar.



“KEMBALIKAN hak kamu! Rampas harta benda asal kamu! Tanah air kamu untuk bangsa kamu!” Tegas seruannya menggoncang pulau hati penghuni di seluruh kota, di pulau-pulau, di daerah-daerah, di ceruk-ceruk dan di kampung-kampung bangsanya. Lalu bangkit bangsanya yang menderita. Bangkit bangsanya yang miskin dan tertindas. Bangkit bangsanya yang hilang harta dan hak.

“Selagi pemerintahan penjajah tidak sifar!” Laung seorang pemimpin yang bukan politik.

“Selagi penjajah itu memberi tekanan! Kita bukan sahaja melawan di tanah air sendiri, tetapi maju dengan langkah senyap.” Itu janji mereka bersama. Maka, kesepakatan itu dimeterai di seluruh dunia yang bangsa mereka tertindas.


Sidang tergempar!

“NEGARA Malayapada negara contoh! Negara aman damai! Negara pemimpin bangsa sejati. Negara bulan pun menghormatinya,” ucap seorang pemimpin di dalam mesyuarat negaranya.

“Itu betul! Tetapi penjajah makin bertambah. Bukankah pembangunan negara itu untuk penjajah. Ekonominya untuk penjajah! Ha, bangsa kita sekadar menyewa di bumi sendiri. Kita boneka,” ujar seorang pemuda.

“Benar, negara Malayapada maju dan berkembang pesat kerana pemimpinanya dilahirkan memelihara sejarah bangsanya. Kita percaya bangsanya mantap kerana perpaduan kukuh. Tetapi kami miskin dan papa. Kami sudah hilang segala-galanya,” ujar pemimpin itu lalu duduk perlahan-lahan.

Lalu pemimpin agung itu bangkit lagi. Wajahnya yang masih lesu memandang sekalian yang hadir. Tanggungjawabnya amat besar untuk mengatasi masalah bangsanya. Walaupun perjuangan mereka bukan parti, bukan ditubuhkan mengikut akta, bukan diiktirafkan oleh undang-undang, tetapi hanya cara ini saja pembebasan tanah air dan anak bangsanya ke jalan kemajuan. Biarpun lambat, pasti suatu hari nanti hak yang dituntut akan dipulangkan menjadi milik mereka.

Mereka tahu mereka akan terus dijejak dan diburu. Sekalipun mereka semua mati, tetapi masih ramai lagi pengikutnya di seluruh dunia akan menjelma. Jutaan yang akan bangkit memperjuangkan tanah air mereka. Di dunia ini mereka berjuang dalam cabaran tetapi di alam lain, mereka akan menikmati ketenangan.

“Perjuangan kita akan berterusan. Semoga apa yang berlaku di tengah bangunan kaca itu satu tanda, satu amaran keras buat penjajah.” Dia menatap jam di tangan.

“Tidak kisah kita diburu! Biarlah diadili, tetapi kematian itu nanti akan membangkitkan sisa bangsa kita yang masih tinggal,” katanya.

Mereka kemudian bersurai. Laporan mesyuarat itu akan disampaikan kepada negara-negara bangsanya. Sekali lagi mereka berjaya walaupun hari esok ada di antara mereka terpenjara, hilang nyawa tetapi perjuangan mereka akan diteruskan oleh generasi seterusnya.

Biodata

JAYA Ramba, pengarang Iban kelahiran Miri, Sarawak, cergas dalam genre cerpen dan novel ialah satu-satunya penulis suku terbabit yang mendapat pengiktirafan sebagai penulis Muda Malaysia berbangsa Iban yang mampu menghasilkan karya bermutu. Sehingga kini hampir 30 karyanya sudah diterbitkan dan antaranya ialah Darah Pejuang Seorang Pahlawan Terakhir, Perasaan Seorang Bruno, Aku Akan Membuka Purdah Yang Melindung Bumi dan Perempuan Menangis dan Senja Cinta Warisan.



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080830085909/Article/

No comments: