Friday, September 26, 2008

GERAK ALAM

Oleh

Noorjan Abdul Rahim

KADANG-KADANG aku terasa hidup ini bagaikan pelampung di lautan dalam, sesekali belajar mengenali warna alam dan sekali gus mengenali warna musim yang telah merubah paksi sebuah kehidupan dan badai yang bertali-temali adalah rerambut usia yang telah menjerat pengalaman!

"Lian!"

Aku menoleh ke arah Halim. Halim tersenyum mempamerkan susunan gigi arnabnya kepadaku. Mata kami bertentangan agak lama. Sesekali seronok juga rasanya berduaan dengan Halim tanpa anak-anak di sisinya.

"Yaaa!" Jawabku lembut membalas keromantisan suaranya.

"Lian" Halim memanggilku lagi dengan nada yang sangat romantis. Dadaku mulai beriak kecil. Tidak sukar untuk menafsir siratan bebola mata Halim. Zahirnya tertuju ke arahku, tetapi mata batinnya bercerancang dengan sejuta perancangan. Laksana sijuling pandang arah.

"Im! timun di tanganmu pisau pun di tanganmu" Radangku memuncak tiba-tiba.


"Kau tak faham Lian" Bulat bola mata Halim menikam anak mataku.

"Lian tak punya sebarang pendapat yang perlu untuk disuarakan."

"Sabar Lian! kita bincang dulu, kemudian baru buat keputusan," Suara Halim tenggelam timbul.

"Im, sebenarnya ada beberapa perkara yang Lian tidak suka bincangkan dengan Im atau dengan mana-mana lelaki sekalipun."

"Aku sangka kau isteri mithali." Keluh Halim kesal sambil mengemas sila panggungnya.

"Sudah tersisih rupanya Lian daripada ranking isteri mithalimu?" Suaraku bergetar irama tudung periuk.

Aku tidak tahu kenapa Halim ingin bermain bebayang, tidak diberi peluang, perasan diri dibelenggu oleh ego perempuan dan bila diberi peluang masih tercari-cari arah!

"Im, bila Lian tidak mahu mencampuri urusan Im, itu bermakna Lian sudah memberi keizinan hakiki pada Im."

"Lian! Aku mahu berbincang denganmu dengan cara baik."

"Habis! Apa ceritanya? Apa keinginanmu yang perlu kupenuhi?" soalku menyimpul kemas apa yang tersimpul di hati. Aku sendiri faham cara Halim, dia ingin dinilai bersih dan tidak dipandang zalim, smart and clean!

"Lian, kau jangan naikkan darahku!"

"Darahmu sahaja yang kau fikir!"

"Lian!" Jerit Halim bagai halilintar menyambar gegendang telingaku.

"Im, Allah telah tentukan, jika seorang lelaki ingin menikah, dia tidak perlu mendapat keizinan seorang isteri ataupun seorang ibu, dia cuma perlu dua orang saksi lelaki, itu saja."

"Aku tahu " Halim tergagap-gagap sambil melurut rambut kerintingnya ke belakang, dengan bangganya!

Aku terpempam, merenungi mata sisepet yang beralis lebat, satu-satunya daya tarikan milik Halim yang telah memukau mataku sejak pandangan pertama dengannya dulu kini dan selamanya.

"Aku perlu penglibatanmu untuk menangani permasalahan ini!"

"Pemasalahan yang kau rancang dan cari sendiri."

"Lian, tolonglah, aku nak cara damai, bukan cara begini?" Halim mengerat gigi.

Aku ingin menjerit sekuat-kuat hati. Tidak terduga sama sekali Halim begitu optimis meletakkan martabatku bagaikan ikan busuk di kaki lima.

"Im, jantung Lian cuma satu dan yang satu itulah yang ingin Lian kongsi dengan Im bukan dengan lelaki lain ataupun dengan perempuan lain!" Kali ini aku pula mengerat gigi.

"Betul dugaku, kau berdendam denganku?"

Aku cuba menjawab soalan Halim dengan kaedah telepati, sambil merenungi tepat anak matanya aku menyoal Halim 'Im! Ingatkah Im pada pesanan Rahim? Jikalau Im lupa biar Lian ingatkan Rahim kata 'Halim jadilah seorang suami yang dihargai dan dihormati'

"Apa?" Tiba-tiba Halim berang.

Aku tergelak! 'Ingat rupanya kau' Bisik hatiku.

"Ingat apa?" Soal Halim bengis.

Aku terdiam. Terlalu banyak yang ingin kukatakan, tetapi sepatah pun tidak terucap. Setelah begitu lama terdiam dan berdiam.

"Im! bagaimana perasaan Im? sekiranya Lian yang minta pendapat Im untuk bertukar selera...?"

"Aku bunuh kau!" Ucap Halim spontan. Matanya berkaca seperti orang tersedak pedas. Wajahnya sudah berwarna menahan amarah.

"Im, Im." Aku tahu Halim tercabar dan tersentak bila mendengar pertanyaanku.

"Kau jangan main-main Lian, aku serius!"

"Leonrado Da Vincciku sudah berubah rupanya hanya aku yang tidak menyedari perubahan itu!" Aku cuba bertenang dan tidak mahu memerangkap diri dalam jerangkap emosi.

"Aku tidak pernah berubah Lian!" Suaranya parau tersangkut di halkum hilang punca.

"Im, Lian sudah beri laluan mudah pada Im, Im tunggu apa lagi?"

"Mengakulah Lian, kau sebenarnya berdendam dan ingin membuktikan segala keraguanmu dahulu adalah benar!"

"Apa pun keputusanmu, aku sudah bersedia dengan seribu alternatif!"

"Sudah kuduga." Celah Halim sombong, tiba-tiba suaranya menjadi parau bengis.

"Lama dulu sudah kuyakini diri, cintamu tidak satu dan tidak sekali!"

"Kau menuduh aku tidak setia dan mungkir?" Herdik Halim.

"Im, kita sendiri yang mengukur kesetiaan diri bukan orang lain. Kesetiaan bukan untuk dicanang dan minta dipercayai. Kesetiaan dan keikhlasan ada di hati kita bukan di mata orang."

"Lian! Aku tidak dapat melawan takdir." Sayu suara Halim meraih simpatiku.

"Im! Yang Lian takut cuma satu, takut sekali jikalau sampai Allah murka pada Lian dan mengharamkan syurga-Nya untuk Lian."

Halim menarik nafas lega... Dia cuba bersuara, tetapi tidak tertangkap di pendengaranku. Matanya tidak berkelip-kelip, ada yang ingin dinyatakan, tetapi kemudiannya cair ditelan halkumnya.

Kewujudan Halim dalam hidupku bagaikan sepasang gigi kapak, adanya tidak mencantikkan wajah, tetapi hilangnya mungkin mencacatkan separas rupa!

"Cita-citaku bila telah menjadi isterimu ialah aku ingin masuk syurga daripada mana-mana pintu yang telah Allah khususkan untuk seorang perempuan bernama isteri dan aku tidak pernah bermimpi untuk menutup pintu itu dengan gegaran tiang Arasy".

"Semuanya tergantung pada keputusan Lian!" Keluh Halim malas.

"Kau bagaikan lalang membodohkan diri sehingga tidak tahu apa yang diingini oleh nafsumu!" Ucapku sambil merenungi Halim ingin melihat reaksinya.

"Mana sikap terus terangmu?" Berkertup meja dijentik, terbeliak bebola matanya menelan kemarahan dan sekali gus kain pelikat disingsing hingga ke paras lutut. Agak lama juga dia merenungiku dan kemudian mendengus.

"Terus terang yang macam mana Im maksudkan? Tolong meminang dan menjadi pengapitmu? Begitukah caranya Im?" Aku menduga Halim.

"Susahnya bicara dengan kau?" Halim terasa tersindir. Suaranya terkulum serba-salah.

"Im." Panggilku perlahan; cukup sekadar untuk Halim menoleh terperasan dipanggil! Dia menoleh ke arahku dan menanti pengucapanku seterusnya.

"Im! Nabi SAW pernah bersabda orang lelaki yang tidak sayang pada isterinya adalah lelaki yang tidak menyayangi ibunya." Ucapku sopan mengharap Halim puas.

Walaupun di sudut hatiku, aku ingin berkata begini; tanyalah hatimu dia lebih tahu tentang nafsumu! Terserah padamu, bila tiang Arasy bergegar, berbicaralah sebaik-baiknya dengan Tuhanmu.

"Nabi SAW berkahwin lebih daripada satu, tetapi dia tetap sayangkan Saidatina Khadijah."

"Im, jangan lupa Nabi SAW tidak pernah madukan isterinya yang ada anak (Saidatina Khadijah) dia bernikah dengan isteri-isterinya sesudah Saidatina Khadijah meninggal dan isteri-isterinya yang dimadukan, semuanya tidak ada anak?" Halim terdiam mati akal.

"Aku tahu Lian, kau kecil hati denganku dalam saat begini lambat atau cepat, aku akan kehilanganmu dan barangkali di luar sana Rahim sedang menantimu?" Cemburu Halim membunga.

"Bukan Rahim, Rahim sudah menikah, Daniel! Daniel yang masih Bachelor!" Sengaja kunyalakan api.

"Sikafir itu juga yang masih kau nanti?" Jerkah Halim.

"Halim! aku lebih rela melihat bahagianku di dunia terkurang daripada melihat bahagianku di akhirat yang dikurangi oleh Allah." Aku menutup sebak dalam dada. Selama dua tahun aku sembunyi air mata dengan mimpi mendapat payung emas! Aku sangka Halim akan menikah diam-diam, tetapi aku silap.

Aku sebenarnya marah! Kenapa Halim mesti menunding telunjuk? Dia yang hendak menikah lagi, aku pula yang dituduh sedang menunggu! Aneh lelaki ini. Egois dan tamak. Keinginannya di tahap paling maksimum ingin memiliki semuanya sekali gus.

Aku sudah cukup bersedia untuk menerima kemungkinan Halim menikah lagi ataupun menerima kemungkinan Halim memilih penceraian. Aku bersyukur! Aku sendiri tidak pernah berhasrat untuk memiliki semuanya dalam satu saat. Aku sudah bersedia untuk kehilangan kerana aku tidak sanggup membebankan diri; takut melanggar batasan keupayaan seorang hamba Allah.

"Lian! Apa yang kaufikir?" Halim mengecapi segalanya.

"Bayangi hidup tanpa mu mungkin aku ke UProgram Warga Emas."

Aku tahu Halim terbakar. Dulu sewaktu sebelum menikah dengan Halim aku pernah melanjutkan pengajian, tetapi disebabkan kesukaran untuk mendapat biasiswa, aku mengambil keputusan drastik berhenti belajar walaupun Halim menawarkan diri untuk menjadi penaja. Aku menolak kerana ibuku pernah berpesan, jangan sekali-kali memakan duit lelaki sebelum menikah dengannya. Kelak suatu saat ia akan bertukar menjadi racun, begitu juga dengan lelaki jangan biasakan memakan ringgit wanita, sebelum ataupun selepas nikah kerana ia akan menjadi ungkitan dan membawa kesengsaraan sepanjang usia.

"Kau." Gertak Halim tiba-tiba. "Dulu sudah kuberi peluang . "

"Bukankan kau beri syarat aku mesti menjadi kadammu. dan kemudian kau takut pula nanti kadam jual tuan?" Pecah gelak kami berdua.

"Lian, Lian." Keluh Halim masih tersisa gelaknya.

"Aku suka yang senang Im."

"Selama ini aku menyusahkanmu?" Marah Halim "Aku tak akan lepaskan kau." Ugut Halim selamba.

"Itu hakmu, Lian tak pernah meminta dan Lian juga tak ingin mempertikaikannya! Cuma dari sini Lian ternampak-nampak di padang mahsyar Im jalan senget sebelah! Kenapa ya? (Aku angkat kening dan senyum lirih pada Halim)
. dan alangkah bahagianya ibu tunggal yang akan tinggal bersama Rasulullah di Jannah Amin!" Aku angkat tangan mengamin doaku sendiri.

Halim terbungkam. Tentu tidak menjangka sejauh itu perancanganku. Lelaki bila mengetahui, kita tidak akan mati langkah sesudah kehilangannya akan menjadi serba salah untuk bertindak dan membuat keputusan.

Aku sebenarnya terjerat dalam jerangkap samar, hancur luluh hatiku bila teringat Halim menyesali takdir dan mempertikaikan ciptaan al-Khalik terhadapku sedangkan aku sendiri amat bersyukur dengan seraut paras yang telah Allah anugerahkan kepadaku. Dengan rupa inilah yang telah membuat semua urusanku mencari rezeki yang halal berjalan dengan sempurna. Berjalanlah pada waktu mana sekalipun, tidak ada sesiapa pun yang teringin untuk mengusik dan menggangguku. Alangkah bebasnya perjalanan hidupku.

Aku tahu Halim bimbang perempuan lain tidak setandinganku, gurauan kami selalu kasar, tetapi selalunya berakhir dengan gelak. Setiap kali kami berkelahi pasti pihak yang betul yang akan meminta maaf. Pihak yang salah akan tergelak dan akhirnya kami akan berdamai.

Deringan telefon berketak lama. Halim bangun ke telefon. Aku terimbas peristiwa lima belas tahun dulu, selain daripada aku takut mati keseorangan dan jenazahku berbau busuk baru diketahui orang, aku juga takut dan tersangat bimbang memikirkan tidak ada orang yang sudi untuk mengapankan jenazahku. Aku memilih Halim!

Halim letak ganggang telefon dan berdiri di belakangku.

"Ya Allah! kenapalah wajah isteriku tidak secantik pekertinya. Aku mulai jemu menatap wajahnya. Kenapa? Kenapa ya Allah budi pekerti boleh diperelokkan, tetapi rupa paras selamanya tidak akan berubah." Aku ulangi sebaris penyesalan yang telah dicatatkan oleh Halim di dalam diarinya sempena hari lahirnya dua tahun dahulu.

"Lian, aku bukan mahu membuangmu."

"Ya, Leonardo Der Vinceku cuma mahu mengubah potret Mona Lisa ke belakang pintu."

"Lian, kau amat istimewa dalam jantungku."

"Lian faham Im, Mona Lisa tidak lagi menjadi kebanggaan, senantiasa dalam perhatian, pandangan dan ingatan!"

"Kau bebas menafsirkan apa sahaja tentangku." Suara Halim cair lagi dalam halkum.

"Im satu pesanku, pesanan ibu anak-anakmu, jangan jadikan dirimu seperti lembu, meragut di sana nampak rumput di seberang sini lebih hijau dan bila ke seberang sini, terlihat pula rumput di sana lebih hijau. Akhirnya kau temui rumput kering yang sudah digelumang di pinggir jalan." Halim memandangku tepat dan aku tunduk, sengaja tidak mahu bertentangan mata dengannya.

Biodata:

NOORJAN Abdul Rahim, lulusan Sijil Seni Kreatif (Kesusasteraan), Universiti Sains Malaysia (USM) cergas dalam penulisan cerpen dan karyanya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana negara ini dan Bahana Dewan Bahasa Brunei. Ahli Persatuan Penulis 2 PNP ini turut menulis makalah kajian.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080823085718/Article/

ke seberang sini, terlihat pula rumput di sana lebih hijau. Akhirnya kau temui rumput kering yang sudah digelumang di pinggir jalan." Halim memandangku tepat dan aku tunduk, sengaja tidak mahu bertentangan mata dengannya.

Biodata:

NOORJAN Abdul Rahim, lulusan Sijil Seni Kreatif (Kesusasteraan), Universiti Sains Malaysia (USM) cergas dalam penulisan cerpen dan karyanya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana negara ini dan Bahana Dewan Bahasa Brunei. Ahli Persatuan Penulis 2 PNP ini turut menulis makalah kajian.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080823085718/Article/


Biodata:

NOORJAN Abdul Rahim, lulusan Sijil Seni Kreatif (Kesusasteraan), Universiti Sains Malaysia (USM) cergas dalam penulisan cerpen dan karyanya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana negara ini dan Bahana Dewan Bahasa Brunei. Ahli Persatuan Penulis 2 PNP ini turut menulis makalah kajian.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080823085718/Article/

MENDUNG BERARAK DI TAMAN TWAR 3

Oleh

Fudzail



BAK lirik lagu Cat Stevens Morning Has Broken yang dibawa angin, pagi telah pecah di horizon tahun baru. Limpahannya memenuhi Taman Twar 3 yang hanya dibuka untuk ibu dan anak-anak pada hari biasa.

Suasana pagi Januari musim dingin yang menambahkan suhu keceriaan buat Shah. Begitu riang bermain dengan kawan sebaya berusia 3 tahun, Asif.

Seperti biasa, Shah dan Asif tidak pernah peduli dengan apa sahaja yang berlaku di luar taman. Kehidupan dunia yang dipenuhi dilema, tragedi, peristiwa, wabak dan bencana.

Kedua-duanya masih belum layak ke tadika. Masih bebas dengan kehidupan yang ringkas dan mudah.

Seperti biasa juga, dalam sesekali meneroka keluar dari pagar ke saujana kren dan bangunan pencakar langit yang memenuhi landskap Dubai, Anna bersarapan dengan ibu Asif, Shahnaz.

Semakin menjadi rutin yang memanjangkan perjalanan hari. Biar matahari dan bulan tetap setia dengan giliran.

Bukan satu kebetulan untuk menjadi teman sarapan Shahnaz, seorang ibu muda dari Pakistan yang begitu terserlah keilmuan dan kecerdikan. Sentiasa tenang dan manis. Bersopan dalam tudung dan abaya.

Perkenalan bermula dari Shah yang seakan mempunyai cita rasa yang tinggi terhadap ibu dan memilih kawan berdasarkan ibu kawannya. Naluri Shah menetapi kriteria yang tiba-tiba memesrakan ruang di Dubai yang terasa tidak peduli dengan kehadiran Anna.

Sejak pertama kali mereka bertemu di Taman Twar, Shah setiap pagi sebaik bangkit segera merengek mahu ke taman. Mahu bermain dengan Asif. Tentunya Anna tidak membantah. Ada jalinan kimia antara mereka berempat.

Persahabatan daripada kehidupan ekspatriat yang berwajah kosmopolitan di Dubai memang berlegar dari paksi-paksi berbeda. Wajah-wajah daripada latar belakang berlainan kekadang menjadi titik pertemuan.

Lebih kerap, persepsi salah mencorakkan suasana. Keterbukaan kekadang mencerminkan kegelapan daripada prasangka. Prejudis dan sentimen perkauman tidak boleh dielakkan apabila warna kulit adalah tanggapan pertama yang meratah dan menggelap kewarasan.

"Sebenarnya selama di sini saya tidak pernah sekalipun ditegur oleh para wanita Emirati yang ramai datang bersama-sama keluarga atau berjoging. Tidak juga ditegur oleh mereka yang datang daripada golongan pekerja bawahan seperti pembantu rumah, penyapu sampah atau pencuci tandas!" Shahnaz memberi ulasan sebaik melihat sekumpulan wanita Emirati lalu berhampiran. Tidak menoleh dan sibuk dengan henfon masing-masing. Diikuti oleh pembantu rumah yang membawa anak-anak.

Anna meletakkan kembali akhbar di atas meja, terpampang liputan susulan krisis di Pakistan

Itulah yang memberikan perbualan mereka sebuah diskusi menyelerakan. Dari mengenai anak-anak, rumah tangga, masalah kehidupan di Dubai, inflasi ke politik dan pertentangan peradaban.

"Kebetulan pula, semua kawan-kawan Pakistani atau India saya berasal dari London, membawa perwatakan Muslimah yang berbeda. Selain Jordan, Lubnan dan Turki. Mereka tidak berpurdah, sekadar tudung atau skaf berwarna-warni. Kekadang dunia ini penuh dengan ironi dan parodi. Apa yang kelihatan di permukaan, tidak membayangkan yang di dalam. Walau hati mencerminkan sikap dan perwatakan seseorang! "

Anna terasa hujah Shahnaz itu begitu subjektif, spekulatif dan sedikit subversif.

"Bagaimana dengan Benazir? Apakah dia boleh menjadi model pemimpin wanita yang hebat atau sekadar salah seorang daripada pelakon sampingan?" Tanya Anna cuba mengalih perhatian Shahnaz yang tidak pernah bercerita mengenai dunia Pakistannya.

Anna tahu yang Shahnaz bukan penyokong Benazir. Sepatah katanya semalam memberi gambaran daripada pemikirannya. Seorang ibu muda yang berijazah tetapi memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, demi membesarkan anak-anak, selain menjaga makan minum seorang suami.

"Mereka di Pakistan masih dalam sistem feudal, Benazir bukanlah penyelamat demokrasi, dia adalah sebahagian daripada masalah dan pembunuhannya bukan satu kejutan. Dalam usia lima

Kata-kata yang membayangkan telah ada sempadan antara mereka yang masih tinggal di bumi kelahiran dengan mereka yang sudah menjadi warganegara lain. Sempadan yang memisahkan ruang kefahaman dan kesedaran.

"Bagi saya, Pakistan dan Benazir hanya tinggal harapan yang penuh tragedi. Tiada apa yang boleh mengubah keadaan. Realitinya adalah di sini, di Dubai yang sudah menjadi rumah pertama!"

Shahnaz memandang Anna dengan senyuman. Begitu diplomasi sekali.

"Saya turut berkawan dengan mereka yang dipanggil Jumeirah Jane, isteri ekspatriat British yang mendapat gaji dan pakej lumayan. Kekadang tidak faham dengan rungutan mereka tentang Dubai, seakan mereka itu semua datang dari syurga. Sedangkan orang seperti kami, yang juga datang dari satu negara, mengharung cabaran yang lebih teruk, sama ada diskriminasi atau prejudis terhadap warna kulit, jauh sekali untuk menikmati limpahan kemewahan seperti mereka, merasakan ada kebahagiaan dengan segala yang termampu!"

Anna pula tertawa. Mendengar perkataan Jumairah Jane memang melucukan kerana Shahnaz ada bercerita panjang mengenai golongan istimewa di Dubai itu. Kekadang lebih istimewa daripada wanita Emirati lantas menjadi simbol wanita ekspatriat kelas pertama di bumi Emiriyah.

"Rasanya Jumeirah Jane ini sudah menjadi stereo taip yang mungkin tidak tepat untuk menggambarkan kesemua ekspatriat British!" Anna mencelah. Seakan cuba memberi hujah bahawa tidak semua wanita ekspatriat Jumeirah Jane sedemikian.

"Mungkin begitu, saya juga ekspatriat British seperti kamu Anna, walau keturunan Pakistan. Paspotnya sama warna. Itulah dunia penuh hipokrasi!"

Sekali-sekala deruan kapal terbang yang meluncur dan mendarat membawa ingatan Anna pada suasana di lapangan terbang Dubai yang hanya dua km jaraknya dari taman. Memang sentiasa sibuk setiap masa.

Anna bersetuju dengan pendapat anaknya yang Dubai bukan tempat tinggal tetap bagi majoriti penduduk. Seperti kata menantunya, definisi tempat tinggal pun agak cairan sifatnya dan tidak statik.

Bagi Anna, tempat tinggal atau 'home' adalah satu tempat bermastautin ketika ini dan mungkin masa depan. Bukan tempat yang telah ditinggalkan. Lantas 'tempat tinggal' seakan bermaksud tempat yang kita akan tinggalkan!

Mungkin pengertian Anna seperti lirik lagu, Wherever I lay my hat, That's my home. Lebih tepat seperti kata seorang rakan lama Anna yang sudah menjadi mendiang, "Rumah itu bukan tempat yang kita sedang tinggal, tetapi tempat di mana orang lain menerima dan memahami siapa kita!"

Sekilas itu, sekumpulan wanita pembantu rumah Indonesia yang berjalan tersenyum sambil melambai ke arah Shah dan Asif. Membawa anak-anak Emirati yang nampak agak nakal dan cuba berkawan dengan Asif dan Shah. Mereka segera bermain bersama-sama di tempat melungsur.

"Kebanyakan yang berada di Dubai sekadar satu transit. Bila-bila masa boleh pulang ke tanah air masing-masing atau berpindah ke tempat lain. Perhubungan selalunya berdasarkan komuniti sendiri, agama, kalau tidak minat. Jiran pun sukar untuk kenal sesama mereka. Tetapi yang menyuburkan persahabatan ialah kanak-kanak, mereka tidak memikirkan apa yang kita risaukan, gusarkan, juga yang kita harapkan!"

Anna meneruskan hujah sambil memandang ke arah Shah dan Asif yang terus bermain dengan anak-anak Emirati.

Shahnaz sama memandang ke arah kumpulan anak kecil tersebut. Tersenyum. Mengangguk-ngangguk. Walau kelihatan wanita Emirati yang mungkin ibu kepada anak-anak tersebut terus menjauhkan diri dengan henfon yang tidak henti berdering.

"Memang tepat. Seperti Asif, dia memperkenalkan saya kepada ramai ibu yang datang membawa anak-anak mereka bermain di sini. Kanak-kanak seperti Asif, Shah tidak peduli siapa sembahyang kepada tuhan mana, apa bahasa yang dipertuturkan di rumah, apa warna kulit kawan-kawan mereka, semuanya sama sahaja bagi mereka, kawan-kawan!"

Nah! Komen Shahnaz itu seakan peluru yang tepat mengenai sasaran.

Anna pernah terpesona melihat suasana bilik darjah abang kepada Shah, Farhan yang seperti Dubai amnya, memang kosmopolitan. Wajah-wajah dunia yang berwarna-warni.

Membayangkan indahnya spektrum monokrom keseluruhan wajah kemanusiaan sejagat. Dari yang putih melepak, sawo matang, kelabu, merah ke hitam legam. Di sebalik warna-warna kulit, jasad yang sama-sama berasal dari tanah dan akan pulang ke tanah.

Mungkin Shahnaz sama membayangkan apa yang Anna bayangkan di antara bebayang pohon-pohon di taman. Kemilau cahaya antara dedaun dan angin lembut menjadi latar belakang satu suasana ideal. Kalaulah dunia seluruhnya sama suasananya.

"Memang indah dunia kanak-kanak!"

Sepatah ucapan Shahnaz yang bergema.

Anna sama mengangguk. Mengingati zaman kanak-kanak yang jauh dan lama di tinggalkan.

"Menyeronokkan dan saya antara generasi yang bertuah, kami hidup dalam perubahan yang fantastik dan drastik. Lihat sahaja pertumbuhan teknologi, terutama Internet, segalanya mungkin dan berkembang pesat dalam jangka hayat kami!"

Shahnaz meneruskan perbualan dengan membuka komputer ribanya.

"Ada wi-fi ke di taman ini?" Tanya Anna yang sedikit tahu mengenai teknologi tanpa wayar dari Farhan. Walau Anna sendiri tidak menggunakan komputer.

Tidak juga berchating dan SMS seperti anak dan menantu walau dalam rumah, Anna lebih suka bersembang secara berdepan seperti setiap pagi dengan Shahnaz. Bukan kerana berfikiran lama atau kolot, sekadar lebih selesa dan menyeronokkan.

"Rasanya ada, limpahan wi-fi dari rumah sebelah taman....!" Shahnaz ketawa.

Dalam Shahnaz membuka komputer riba, Anna melihat ke arah burung-burung berterbangan.

Mereka duduk antara pokok-pokok bunga pelbagai warna. Walau musim sejuk, bunga-bunga terus menghiasi taman dan mengingatkan Anna kepada keindahan musim bunga di hemisfera utara.

Di bumi mewah yang pernah menjadi kuasa besar dunia. Sama ada sebagai pengganas, lanun, perompak yang merampas milik pribumi serata dunia, mahupun sebagai penjajah yang memerdekakan tanah-tanah jajahan di bawah payung komanwel.

"Sebenarnya generasi saya lebih bertuah, kami menghadapi perang dunia, perang dingin, perang Timur Tengah, perang Iraq, perang Falkland, perang di serata muka bumi, kemudian keamanan yang penuh prasangka dan kini melihat dunia semakin terancam oleh pemanasan global!"

Shahnaz terkejut yang Anna begitu prihatin terhadap alam sekitar. Orang tua di penghujung usia yang mungkin sepatutnya memikirkan soal-soal selepas nafas tidak lagi berhembus.

Seorang tua yang kini menjadi pembantu rumah. Membantu anak dan menantu untuk menjaga cucu dalam menghabiskan masa. Masa tersisia yang mungkin sudah defisit dalam usia 'warga emas' sebegini.

Dalam jauh Anna merawang, klikan di layar komputer riba membawa Shahnaz ke dunia siber. Segera Anna sama melihat layar yang memaparkan gambar-gambar dari laman blog peribadi Shahnaz. Shahnaz mahu mengemas kini dan menaik muat foto terbaru.

Tiba-tiba Shah datang menghampiri diikuti oleh Asif. Tergelek-gelek dan menampakkan lampin pakai buang. Mereka berdua sudah kedahagaan dan mencari air.

Anna menghulurkan botol air. Shahnaz berbuat sama untuk Asif.

Shah segera cuba menghirup, Anna menahan. Tiba-tiba teringat sesuatu.

"Jangan lupa, pesan ibu, baca apa sebelum minum atau makan?"

'Bismillahirrahmanirahim!"

Shahnaz memandang ke arah Anna sebaik Shah menghabiskan kalimat itu.

"Kamu Muslim?" Tanya Shahnaz kepada Anna. Memang dia mahu bertanya sejak dari mula. Anna tidak bertudung dan berpakaian ringkas. Anna hanya tersenyum dan menggeleng.

"Belum lagi... anak bongsu sudah, cucu semua Muslim!" Jawab Anna pendek sambil memeluk Shah. Terserlah ada iras-iras kedua nenek dan cucu.

Shahnaz mengangguk-angguk. Tersenyum.

"Kamu tentu Muslim bukan?" Tanya Anna kepada Shahnaz. Matanya melihat ke arah skrin komputer, gambar Shahnaz dengan keluarganya. Sesuatu imej yang agak janggal.

Lebih lagi setelah mempunyai pengalaman tinggal di bumi Arab.

Walau ada persepsi yang menakutkan mengenai umat Islam dari media, Anna banyak juga memahami konsep ajaran Islam. Banyak yang dipelajari dan sedang dipelajari daripada pelbagai sumber. Setelah berkenalan dengan Shahnaz, Anna merasakan ada sumber lain yang boleh didapati.

Sebenarnya minat Anna terhadap Islam semakin mendalam setelah menjadi 'pembantu rumah' menjaga Shah. Setiap pesan seperti membaca Bismillah sebelum makan, Alhamdulillah selepas makan daripada menantunya kepada Shah seakan pesan kepada dirinya juga. Bagai suara halus yang memanggil-manggil jiwanya yang kosong.

Anna terkejut apabila dengan perlahan Shahnaz menggeleng. Sambil jauh memandang ke arah langit yang biru. Awan-awan hitam berarak. Mendung pada musim dingin yang bakal membawa hujan di tengah hari.

Anna terdiam lama mendengar kata-kata yang bagaikan mengejutkannya daripada sebuah mimpi manis. Mimpi yang berkilauan daripadabalikan sinaran matahari pagi di taman Twar 3.

"Kami sebenarnya penganut Bahai!"

INFO: Fudzail

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di DubaiNew Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.
daripada tragedi pembunuhan Benazir Bhutto. puluhan, dia lebih baik menjadi suri rumah tangga, isteri, ibu juga nenek sepenuh masa!" sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080816073349/Article/

MUSNAHNYA DOKTRIN EROPAH DI DAERAH PENJAJAH

Oleh Jaya Ramba


SENJA mengepakkan sayap, segarang penghuni yang kaya-raya di bangunan kaca itu. Jingganya sehebat sumpahan malaikat seperti tumbuhnya banglo-banglo yang menduduki tanah haram itu. Mengikut sejarahnya, di mana pemilik bumi pusaka itu telah diusir seperti anjing-anjing kurap.

Senja yang mencerlang itu satu kepastian kepada seorang pemuda yang duduk dikelilingi rakan-rakannya. Mereka itu seresah siang tadi dan sebinggung semalam. Mereka buntu.

Pemuda itu menyumpah seranah. Semakin diamati bangunan kaca itu, semakin benci hatinya. Kadang-kadang dia menumbuk-numbuk dada bumi.

“Apakah muktamad?” tanya seorang rakan mereka.

Tetapi pemuda itu masih menyepikan diri sambil merenung rona-rona rakus kemegahan kerajaannya. Tiba-tiba mengalir air matanya menyebabkan rakan-rakannya tertunduk. Lalu benak pemuda itu mengimbau peristiwa lampau.

“Hanya tanah itu satu-satunya. Penyerahan tanah itu dulu dikatakan pembangunan yang boleh mengubah nasib orang kampung. Imbuhan besar akan diberi kepada semua penduduk kampung pada waktu yang ditetapkan. Entah, sehingga ke hari ini pun penduduk tidak menerima bahagian mereka. Sedangkan pembangunan ini diteruskan. Akhirnya, tanah-tanah itu berjaya dimajukan. Kamu tahu, bangunan kaca itu dijadikan danau racun. Dalam masa yang sama, ribuan orang asing beranak-pinak di sini. Mereka bertapak kukuh. Anak muda kita ada apa? Datuk nenek awak sangat sayangkan tanah itu,” beritahu Pak Osoh, orang tua yang pernah juga diusir bagaikan anjing kurap yang kini hidup melarat.

“Salah kita. Kita bangsa yang bersikap hormat kepada penjajah. Inilah hormatnya orang timur. Secara terhormat juga kita dijadikan pengemis. Kita tetap juga tidak maju. Miskin di bumi sendiri. Kemajuan dan pembangunan yang dijanjikan sudah membunuh kita,” ujar Tua Bunsito yang telah hilang segala-galanya.


Mengingatkan perbualan itu, dia tertekan. Dia memandang bangunan kaca yang megah itu. Ramai orang keluar masuk. Mereka itu juga musuh!

“Bangsa kita bermusuhan sesama sendiri! Danau racun yang penjajah beri itu menyebabkan kita mabuk. Kita khayal! Kita bermimpi yang bukan-bukan. Kita terperangkap,” kata Madali kepada pemuda itu.

Hamadi, Ismail, Ashah, Tun Jang Karto, dan Madali merenung pemuda yang masih menyepikan diri. Kata putus pemuda itu amat dinanti-nantikan. Hitam katanya. Maka hitam yang mereka pilih kerana mereka sudah sehidup semati.


PEMUDA itu mengeluh berat. Fikirannya berbusa, memaksanya mengambil satu keputusan berani. Agama kita! Negara kita! Bahawa bangsa kita adalah tuan kepada tanah air kita. Kita pemerintah!

“Peluang hanya malam ini!” ingat Arshah.

Kesepian pemuda itu menjadikan rakan-rakannya tetap membatu. Mereka melayan keserabutan. Mereka sama-sama merenung ke arah bangunan kaca itu.

Pemuda itu masih ingat lagi cerita datuk neneknya.

“Nyanyian tradisi di pesta raja pada suatu ketika dulu, hari ini hilang ditelan kemodenan. Rentak malam kemodenan menyebabkan sempadan sopan bangsa musnah. Di situlah istana, ada nyanyian di pesta raja suatu ketika dulu tetapi kini, di situ ada pesta rap. Kelab malam di sekitar itu bagaikan cendawan tumbuh di pagi hari. Manusia gila. Kini, manusia yang tinggi tatasusilanya, hilang sifat moral dan jati diri.”

“Kamu sanggup mati sekalipun?” tanya pemuda itu lalu bangkit dari duduk, menghadap bangunan kaca itu.

“Ya! Mati sekalipun!” putus salah seorang rakan mereka pantas.

Pemuda itu merenung Hamadi. “Awak pula?”

“Kami pertaruhkan nyawa demi tanah dan daerah ini. Demi anak-anak serta generasi kita. Sekalipun ditakdirkan hidup, kami tidak gentar diadili. Hidup mahupun mati!” Hamadi pula merenung rakan-rakannya. Renungan itu berakhir pada wajah Anarozi.

Anarozi menelan kata-kata itu sedalam lubuk lautan. Darah yang mengalir di sungai tubuhnya adalah salam terakhir sebelum putusnya riwayat nasib mereka.

“Pulau ini bukan seperti bandar raya Malayapada, Bukan seperti bandar raya Bumicanda, Kota Kencana, Balaimanda dan Malanita. Inilah bumi penjajah! Kota ini hancurkan budaya kita. Kota kurang ajar!” tokok Arshah seperti berpuisi lagaknya.

Anarozi menggeleng-geleng kepala. Dilempar jauh renungan ke arah bangunan kaca yang menjadi kemegahan bangsanya. Sedangkan mereka tidak sedar, mereka tenggelam dan lemas di lubuk kota danau racun. Mereka menghitung sisa pemberian penjajah yang makin gah dan berkepala besar itu. Mereka berenang di lautan masin. Kemudian mereka akan dijemur seperti ikan masin.

“Ayuh!” arah Anarozi. Akhirnya mereka bangkit dan menyusup ke segenap sudut bangunan itu. Bayangan mereka ditelan kegelapan dan disembunyikan rahsia gelagat pesta ria.

Berpijak di danau racun, hatinya pilu. Sesekali cahaya yang berpusing, menyuluh kesesakan yang khayal. Nah, menjadi mangsa mereka adalah bangsanya. Menjadi hamba mereka adalah bangsanya.

Dia mencari Madali dan Ashah. Oleh kerana dia agak gentar dan terasing ketika berada di kelab malam itu, dia berkelakuan bersahaja. Lagaknya sumbang seperti pendatang asing. Di sebelahnya, Arshah juga berlagak penjajah.

“Madali?” Dia bertanya kepada Ashah dengan suara yang agak keras.

“Beres!” kata Ashah.

“Ayuh keluar!” ajaknya.

Selepas menghabiskan segelas jus oren, mereka mengasingkan diri. Ashah pula menyusup dalam kesesakan suasana khayal. Lagi pun tahap kesedaran manusia sedang berada di puncak tidak upaya. Manusia yang matang telah runtuh akal. Kini, mereka berada di awangan.

Ashah terperanjat bila bahunya dipegang seseorang. Madali seketika berdansa. Kemudian memeluk Ashah. Ashah terpinga-pinga.

“Keluar sekarang!” perintahnya.

“Kamu?” tanya Ashah.

Madali mencapai minumannya. Kemudian meramas-ramas baju yang mengembang di tubuhnya. Madali mengetup bibirnya sebagai amaran agar Ashah pergi segera.

“Ini gila, Dali!”

“Keluar! Keluar!!!” seru Madali.

Rentak cha cha barat berkumandang. Raungan, pekikan, hilaian girang bertandang. Terasa tembok-tembok dinding bergoncang. Kilauan cahaya warna-warni berahi sentiasa memeningkan otak kepala. Setiap basahi secangkir air bisa, menyengat ingatan. Semakin dinikmati, semakin terbeban pedoman.

“Dali!!!” jerit Ashah. Lalu tubuh Madali mahu dipeluknya. Namun Madali meminggirkan diri. Sesekali sondolan penari gila menyentuh tubuh mereka.

MEREKA menyepikan diri.

Anarozi mengarahkan mereka menanti sahaja akan kedatangan Madali di satu sudut yang terpinggir. Arshah menajamkan pandangan ke setiap sudut. Tanpa Madali, hatinya resah. Bukan waktunya korbankan nyawa kerana mereka bukannya berdepan dengan peperangan, tetapi mereka sedang memerangkap musuh-musuh yang tidak sedarkan diri itu. Mereka di laluan kemenangan.

“Awak pasti?” Anarozi merenung Ashah.

“Ya!” Angguk Ashah dengan wajah muram.

“Beredar,” arah Anarozi. Hamadi menjarakkan Van buruk dari kelab malam bangunan kaca. Sesekali mereka berpaling ke belakang mencari bayangan Madali.

Tumm! Tumm!!! Tiba-tiba letupan kedengaran. Bumi bergegar. Kemudian, dentuman menyusul lagi. Menyusul lagi. Hamburan butiran keras dari arah bangunan kaca itu terburai. Percikan cahaya merah bagaikan bunga api musim perayaan menyala-nyala. Dentuman demi dentuman kedengaran, menggegarkan bumi ini. Asap pekat menyelubungi suasana.

Dentuman bergegar lagi. Lagi! Lagi!! Lagi!!!

Bangunan kaca yang agung itu runtuh separuh. Lautan api mengharungi. Kibaran bendera di tiang bangunan kaca juga tidak kelihatan. Asap hitam menyelubungi awan yang ketika ini sang bintang-bintang ketawa riang. Sang bulan tersenyum ranum.

Manusia riuh-rendah seperti sedang berada di sebuah pesta saham. Pihak penyelamat mengambil tempat mereka. Ahli politik heboh di seluruh negara segera. Di sini, bangsanya bertepuk gembira.

“Kalau boleh, penjajah berjumlah sifar di negara ini!!!” laung Anarozi.

“Kejadian September di Amerika adalah sebahagiannya di sini,” kata Anarozi penuh benci.



TRAGEDI ngeri di bawa ke meja politik. Maka, sangkal menyangkal tercetus serius.

“Kita jangan berperang dengan menggunakan senjata canggih, dengan bom nuklear bisa, motar. Guna akal fikiran.” Kata seorang pemimpin terbilang negara jiran.

“Kami tidak menyokong sama sekali. Ini bukan cara kami,” ucap Mr Mustahil, pemerintahan negara Malayapada pada sidang tergempar.



“KEMBALIKAN hak kamu! Rampas harta benda asal kamu! Tanah air kamu untuk bangsa kamu!” Tegas seruannya menggoncang pulau hati penghuni di seluruh kota, di pulau-pulau, di daerah-daerah, di ceruk-ceruk dan di kampung-kampung bangsanya. Lalu bangkit bangsanya yang menderita. Bangkit bangsanya yang miskin dan tertindas. Bangkit bangsanya yang hilang harta dan hak.

“Selagi pemerintahan penjajah tidak sifar!” Laung seorang pemimpin yang bukan politik.

“Selagi penjajah itu memberi tekanan! Kita bukan sahaja melawan di tanah air sendiri, tetapi maju dengan langkah senyap.” Itu janji mereka bersama. Maka, kesepakatan itu dimeterai di seluruh dunia yang bangsa mereka tertindas.


Sidang tergempar!

“NEGARA Malayapada negara contoh! Negara aman damai! Negara pemimpin bangsa sejati. Negara bulan pun menghormatinya,” ucap seorang pemimpin di dalam mesyuarat negaranya.

“Itu betul! Tetapi penjajah makin bertambah. Bukankah pembangunan negara itu untuk penjajah. Ekonominya untuk penjajah! Ha, bangsa kita sekadar menyewa di bumi sendiri. Kita boneka,” ujar seorang pemuda.

“Benar, negara Malayapada maju dan berkembang pesat kerana pemimpinanya dilahirkan memelihara sejarah bangsanya. Kita percaya bangsanya mantap kerana perpaduan kukuh. Tetapi kami miskin dan papa. Kami sudah hilang segala-galanya,” ujar pemimpin itu lalu duduk perlahan-lahan.

Lalu pemimpin agung itu bangkit lagi. Wajahnya yang masih lesu memandang sekalian yang hadir. Tanggungjawabnya amat besar untuk mengatasi masalah bangsanya. Walaupun perjuangan mereka bukan parti, bukan ditubuhkan mengikut akta, bukan diiktirafkan oleh undang-undang, tetapi hanya cara ini saja pembebasan tanah air dan anak bangsanya ke jalan kemajuan. Biarpun lambat, pasti suatu hari nanti hak yang dituntut akan dipulangkan menjadi milik mereka.

Mereka tahu mereka akan terus dijejak dan diburu. Sekalipun mereka semua mati, tetapi masih ramai lagi pengikutnya di seluruh dunia akan menjelma. Jutaan yang akan bangkit memperjuangkan tanah air mereka. Di dunia ini mereka berjuang dalam cabaran tetapi di alam lain, mereka akan menikmati ketenangan.

“Perjuangan kita akan berterusan. Semoga apa yang berlaku di tengah bangunan kaca itu satu tanda, satu amaran keras buat penjajah.” Dia menatap jam di tangan.

“Tidak kisah kita diburu! Biarlah diadili, tetapi kematian itu nanti akan membangkitkan sisa bangsa kita yang masih tinggal,” katanya.

Mereka kemudian bersurai. Laporan mesyuarat itu akan disampaikan kepada negara-negara bangsanya. Sekali lagi mereka berjaya walaupun hari esok ada di antara mereka terpenjara, hilang nyawa tetapi perjuangan mereka akan diteruskan oleh generasi seterusnya.

Biodata

JAYA Ramba, pengarang Iban kelahiran Miri, Sarawak, cergas dalam genre cerpen dan novel ialah satu-satunya penulis suku terbabit yang mendapat pengiktirafan sebagai penulis Muda Malaysia berbangsa Iban yang mampu menghasilkan karya bermutu. Sehingga kini hampir 30 karyanya sudah diterbitkan dan antaranya ialah Darah Pejuang Seorang Pahlawan Terakhir, Perasaan Seorang Bruno, Aku Akan Membuka Purdah Yang Melindung Bumi dan Perempuan Menangis dan Senja Cinta Warisan.



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sastera/20080830085909/Article/

MENJELANG SYAWAL

Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad

DUA hari sudah berlalu. Rumput-rumput panjang keliling rumah masih belum habis dipangkas. Mesin rumput mula buat ragam. Sekejap berfungsi, sekejap tidak. Ada-ada saja ragamnya. Menjadikan kerja-kerja Tok banyak tertangguh.

Belakang Tok mula rengsa-rengsa dan anatomi tubuh juga turut menua. Tok tidak larat berlama-lama menyandang mesin. Dahulu sebelum Abang Farid belikan mesin, Tok pangkas rumput guna sabit saja. Tiga hari boleh siap. Badan Tok juga tidak sakit-sakit. Malah, bertambah sihat kerana sentiasa berpeluh.

Tok tidak suka biarkan kerja-kerjanya terbengkalai, sebab itu Tok terus pangkas rumput dengan sabit. Tok buat sikt-sikit hingga keliling rumah tampak bersih dan indah dipandang mata.

Tok tidak salahkan Abang Farid mahu beli mesin rumput. Barangkali, Abang Farid kasihan tengok Tok terbongkok-bongkok menyabit rumput. Sebab itu Abang Farid belikan mesin. Masa mula-mula beli tidak pula meragam. Semenjak dua menjak ni saja buat ragam. Sama dengan tubuh renta Tok yang kerap sakit-sakit dan meragam juga.


Tinggal dua hari saja, Syawal akan menjelma. Persiapan menjelang raya masih banyak belum dibereskan. Buluh untuk buat lemang dan panjut belum dicari. Daun pisang buat lapik isi buluh lemang juga belum disediakan. Kayu buat unggun api pula belum dikapak. Begitu Tok mencongak-congak kerja yang akan dilakukannya menjelang raya.

Tahun ini pelajar sekolah dapat cuti dua hari sebelum raya. Selepas raya hanya dapat cuti satu hari sahaja. Mujur Sabtu dan Ahad juga cuti. Menjadikan jumlah cuti raya kira-kira satu minggu. Alangkah gembira hati Muslih, cucu tunggal Tok kerana dapat berlama-lama berhari raya.

Hari ini Muslih berpuasa. Baru sembilan hari jumlah puasanya. Muslih mahu cukupkan sepuluh hari. Meski tidak sampai 30 hari berpuasa, Muslih tetap gembira kerana jumlah puasanya bertambah berbanding tahun lepas, hanya lima hari.

Tok lihat jarum jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Muslih masih cendera tidurnya. Melihat tampang Muslih yang comel dan tubuhnya yang tembun, buat hati Tok rasa kasihan. Tok tidak sampai hati mahu kejutkannya. Lagipun Muslih sudah solat subuh. Jika digerakkan awal pagi khuatir Muslih cari alasan untuk buka puasa. Muslih memang begitu, suka bangun lewat teangahhari apabila berpuasa. Muslih selalu cakap kepada Tok: kalau Leh bangun lewat sikit taklah rasa lama sangat posa. Leh letihlah, nak tunggu sampai berbuka nanti. Begitu alasan yang selalu Muslih berikan kepada Tok. Tok hanya mampu tersenyum dan bercanda pula: orang yang bangun lewat puasanya terbatal. Cuba tengok perut Leh yang kembung! Tentu banyak telan air liur. Tok suka benar 'menyakat' Muslih yang baru mencecah usia enam tahun itu. Tok suka lihat tampang Muslih kemerah-merahan apakala 'disakat'. Sambil senyum-senyum simpul, Muslih akan usap-usap perut buncitnya, macam perempuan mengandung empat bulan.

Sejak dilahirkan Muslih memang tinggal dengan Tok dan Nek. Tok merayu kepada Abang Farid dan Kak Soraya supaya jangan bawa Muslih tinggal di Kuala Lumpur. Tok khuatir Muslih akan membesar dengan cara budak-budak bandar. Lagipun Abang Farid sangat sibuk di hospital menguruskan pesakit. Kak Soraya pula sibuk mengajar di universiti. Sekejap kursus sana dan sekejap kursus sini, sebab itu Tok lebih senang lihat cucu yang sorang itu tinggal dengannya di kampung.

Tok buat semua itu untuk kesejahteraan mereka juga. Cuti hujung minggu boleh saja mereka pulang, jenguk Muslih. Setidak-tidaknya dapat juga jenguk Tok dan Nek yang sudah tua. Alhamdulillah, hasrat Tok tidak dibantah oleh Abang Farid dan Kak Soraya meskipun kedua-duanya berat hati mahu tinggalkan Muslih.

Tok tidak terniat mahu pisahkan mereka anak-beranak. Memisahkan orang anak-beranak memang pedih. Umpama kematian orang tersayang. Tok pernah merasai perit-pedih dipisah-pisahkan anak-beranak. Ketika itu, zaman penjajahan Bintang Tiga. Betapa hancur-luluh nubari saat Tok terpisah dengan kedua orang-tuanya. Bertambah pedih pilu saat Tok dikhabarkan akan berita pembunuhan kedua-dua ibu-bapanya.

Tahun ini Nek tidak akan buat banyak kuih. Kak Soraya maklumkan mahu beli 'kuih tunjuk'. Apa boleh buat, anak menantu mahu belikan, Nek menurut saja. Buat kuih banyak-banyak membazir pula. Cucu tidak ramai. Siapa pula mahu makan. Membazir juga amalan syaitan dan Nek teringat kalam Allah dalam Surah al-Israk ayat 27, "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya." Justeru, Nek ambil keputusan bersederhana sahaja dalam setiap perbuatan dan tingkah laku. Nek tidak mahu tergolong dalam golongan yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah tersebut.

Malam ini Nek perlu bersihkan para-para yang bersawang. Cadar, langsir dan sarung kusyen yang dibasuh semalam perlu di pasang semula. Daun ketupat dianyam. Ayam kampung yang disembelih oleh Tok perlu dicabut bulunya. Abang Farid anak tunggalnya gemar amat makan ketupat cicah rendang ayam kampung. Menantunya Kak Soraya pula gemar makan ketupat cicah kuah kacang. Begitu Nek berkira-kira mahu menyudahkan kerja-kerjanya yang masih berbaki. Menjelang Syawal nanti, dapat juga Nek berehat dan memperbanyakkan amal ibadat di malam terakhir Ramadan. Esok, lemang kesukaan Tok dan cucunya, Muslih perlu dibakar. Namun entah bila Tok mahu ambil buluhnya. Nek tidak kuasa mahu paksa-paksa. Tahulah Tok membuat kerja-kerjanya. Begitu perkiraan Nek.

Hari ini langit cerah. Kepul-kepul awan yang memutih sangat indah dipandang. Tiada tanda-tanda bahawa hari ini akan hujan seperti selalu. Tok tidak mahu berlengah. Tinggal dua hari saja Aidilfitri akan menjelang. Tok mahu ke sungai ambil ruas buluh untuk buat lemang dan panjut. Muslih, suka benar makan lemang. Jika Muslih tahu Tok hendak ke sungai, tentu Muslih mahu ikut.

Tok masih berkira-kira mahu ajak Muslih atau tidak. Jika tidak ajak, tentu Muslih akan 'tunjuk rasa', mengurung diri dalam bilik dan tidak mahu makan walau sebutir nasi. Itu yang buat Tok rasa serba salah. Jika tidak diikutkan ragam cucu yang seorang itu, Tok juga yang akan dapat susah.

Tok ikat parang berserta sarungnya di pinggang dengan tali. Tok cuma pakai kain pelikat yang digulung hingga ke paras betis dan juga kemeja lusuh. Tok juga pakai kopiah yang sudah kekuningan dan dipenuhi tompok-tompok hitam. Tok terjengkit- jengkit pijak lantai rumah. Tok goncang tubuh Muslih perlahan-lahan. Tok bisik-bisik ke telinga Muslih beritahu hendak ke sungai. Mendengar begitu, Muslih cepat-cepat bangun, terpisat-pisat menuju ke bilik air lalu mencuci muka. Muslih ambil parang plastik yang Tok beli di kedai Tauke Chin tiga hari lepas, lalu ikat di pinggang serupa macam Tok buat.

"Leh, janji ya! Jangan bagi tau Nek."

Tok letak jari telunjuk atas bibir, beri isyarat supaya Muslih faham.

"Ok! Leh janji."

Muslih angguk-angguk tanda faham.

Tok dan Muslih berjalan senyap-senyap menuju ke sungai tanpa pengetahuan Nek. Jika Nek tahu Tok bawa Muslih, pasti Nek akan protes. Mujur Nek tidak nampak kerana ralit menyiram sayur-sayuran di kebun.

Sepanjang perjalanan, Tok bernyanyi kecil lagu Allahyarham S Jibeng, "Musafir di Aidilfitri." Hati Tok sangat girang. Tok mahu Muslih makan lemang yang dibuat oleh Nek. Nek memang pandai buat lemang. Cukup santan dan cukup rasa. Sebab itu lemang yang Nek buat sangat lemak dan sedap. Tambahan pula, Tok sendiri pandai kawal api supaya lemang tidak berkerak dan keras. Lembut apakala dimakan. Tok sedia maklum, lemang yang dibeli tidak sesedap seperti yang dibuat sendiri. Khuatir jadi seperti tahun lepas, lemang basi sebelum sempat dimakan. Apakan daya, tahun lepas Tok tidak berkesempatan cari buluh lemang kerana hujan turun lebat pada penghujung Ramadan.

Tok juga mahu Muslih lihat cahaya panjut pada malam raya. Tentu Muslih gembira. Sudah banyak tahun Tok tidak dapat pasang panjut pada malam raya. Juga kerana tidak sempat ambil ruas buluh akibat hujan.

Saat sampai di tebing sungai, Tok lihat rimbun pokok buluh tumbuh segar. Kelihatan beberapa rumpun buluh seperti baru saja dipangkas. Barangkali orang-orang kampung telah mengambilnya. Tok rapatkan diri ke perdu buluh lalu ketuk-ketuk batangnya.

"Kenapa Tok buat macam itu?"

Muslih juga ikut sama ketuk batang buluh dengan parang plastiknya.

"Oh! Tok mahu uji yang mana tua."

Tok tersenyum sambil tetak buluh sebatang demi sebatang. Buluh tumbang mencium bumi.

Tok rintis ranting dan daunnya yang berbulu-bulu. Tok ketam buluh ikut ruas hingga cukup sepuluh ruas. Bila sudah cukup Tok masukkan ke dalam guni beras. Tok jerut hujung guni dengan tali. Kemudian Tok ketam pula buluh yang lain sedepa- sedepa untuk dibuat panjut. Cukup lapan depa Tok ikat dengan akar pokok yang menjalar, di pangkal, tengah dan hujungnya.

"Eh-eh! Leh jangan sentuh buluh ni. Merenyam kulit tu nanti terkena miangnya."

Muslih tidak jadi menyentuh buluh-buluh yang sudah Tok ketam. Muslih bercangkung saja tengok Tok rintis ranting dan daun buluh tersebut.

Apakala sudah selesai, Tok pikul buluh-buluh yang sudah diikat ke atas bahu sebelah kanan. Tangan sebelah kiri pula menjinjing guni yang penuh berisi ruas buluh. Tok jalan perlahan-lahan. Muslih pula berjalan di depan. Tok pesan kepada Muslih supaya berhati-hati. Di kiri dan kanan susur jalan banyak akar-akar pokok, tunggul kayu dan tunggul buluh. Jika tersadung kaki, buruk padahnya.

"Leh, hati-hati! Jalan perlahan-lahan. Jangan berlari begitu."

Tok merungut-rungut lihat ragam cucunya yang sorang itu. Apa boleh buat. Ragam Muslih sama dengan Abang Farid masa kecil-kecil, sangat nakal dan tidak mahu dengar cakap. Namun, kala dewasa Abang Farid berjaya bergelar doktor. Tok sangat berharap Muslih juga akan jadi insan yang berguna dan berjaya kelak.

Muslih masih berlari-lari anak. Pokok-pokok renik di tepi-tepi jalan habis ditebas-tebas dengan parang plastik kesayangannya itu. Akibatnya, pokok-pokok renik itu kelihatan gondol. Hanya tinggal batang-batang yang berceracak. Daun-daunnya kelayuan menimpa bumi. Sambil-sambil menebas, Muslih bercakap-cakap seorang diri. Muslih memang begitu, suka bercakap sorang-sorang. Kadang-kadang kelihatan seperti bercakap dengan seseorang. Namun Tok sudah faham. Dunia kanak-kanak memang begitu. Tok tahu cucunya ada imaginasi sendiri. Kelak Tok yakin Muslih akan jadi orang yang berani bercakap depan khalayak.

"Tok! Cepat, Tok."

Muslih menggamit-gamit Tok yang keciciran di belakang.

"Tunggu, Leh!"

Tok teriak kuat-kuat. Tercungap-cungap.

Sesekali kedengaran batuk tua yang semakin menjadi-jadi. Tok tahu, kalau dulu Tok dengar nasihat Nek supaya berhenti merokok pada usia muda, tentu paru-paru Tok tidak rosak. Sekarang Tok sedar, batuk-batuk yang Tok alami adalah petanda paru-paru Tok sudah hitam dan rosak. Seperti kata Muslih: ayah kata orang yang hisap rokok paru-parunya hitam dan berkarat.

Tiba-tiba kaki Tok tersandung tunggul kayu. Ruas buluh yang Tok pikul dan jinjing terlepas. Serta-merta tangan Tok mengilas angin. Kaki kanan Tok tergelincir dan terpeletok lalu terpijak tunggul buluh yang runcing. Tok terjerembab mencium bumi sambil meraung kesakitan.

"Tok!"

Muslih toleh belakang. Bergegas menghampiri Tok.

"Leh."

Bibir Tok terketar-ketar menahan sakit. Tok terasa tapak kaki pedih. Mencucuk-cucuk dan bisanya terasa hingga ke tulang. Tok lihat darah keluar membuak-buak. Selipar Jepun yang dipakai bersalut darah, pekat dan likat. Tok sentap kaki yang membenam dalam buluh runcing. Kaki Tok meroyak luka dan darah keluar membuak-buak. Betapa sakit yang Tok rasa mula menjalar hingga ke jantung. Peluh-peluh memercik, merembes dan membasahi wajah Tok yang berkedut tua. Air mata yang bergenang, akhirnya mengalir dan gugur ke bumi.

Kalimah Allah disebut berulang-ulang. Berulang-ulang, hingga suara Tok semakin tenggelam. Tok langut ke langit perlahan-lahan. Mata Tok berbinau-binau. Tok toleh sekeliling lambat-lambat dan nampak wajah Muslih berlapis-lapis. Tok dengar namanya dipanggil berkali-kali, semakin sayup dan sayup sehingga suara itu tidak kedengaran lagi. Pandangan Tok semakin kelam hingga keadaan sekeliling menjadi zulmat. Kelopak mata Tok tertutup perlahan-lahan. Akhirnya terpejam rapat dan Tok tidak sedarkan diri.

Muslih goncang-goncang tubuh Tok sambil memangku kepalanya. Muslih terjerit dan terlolong minta tolong. Berkali-kali hingga tidak berdaya lagi. Muslih menangis dan terus menangis apabila melihat Tok terus-menerus menutup mata.

Nek di rumah termenung. Melayan nubari yang kacau-bilau. Berkali-kali Nek pesan kepada Tok supaya tidak membawa Muslih ke mana-mana. Nek sangat geram dengan sikap Tok yang tidak faham bahasa. Nek urut dada yang terasa panas sambil istighfar berkali-kali. Nek nekad tidak akan memarahi Tok apabila bersemuka nanti. Nek tidak mahu buat dosa pada bulan puasa. Nek terus bernekad sambil terus-menerus mengharap agar Tok lekas-lekas pulang bersama-sama Muslih, cucu kesayangannya.

Biodata penulis: Sharifah Salha Syed Ahmad

MERUPAKAN graduan Universiti al-Azhar Mesir jurusan Syariah Islamiah adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif tanah air. Karya beliau pernah tersiar di Berita Minggu, Majalah Dewan Agama dan Falsafah serta Majalah Anis. Beliau sudah mempunyai dua antologi cerpen bersama penulis Malaysia, Timur Tengah dan kini dalam proses menghasilkan antologi ketiga bersama penulis Malaysia, Timur Tengah.

Saturday, September 13, 2008

ILAIHI RA JI'UN

ARKIB : 07/09/2008

oleh

Azizi Hj Abdullah

TUMPAHLAH air mataku, ketika menerima SMS petang kelmarin apabila diberitahu Tan Sri A. Samad Ismail meninggal. Aku sayang kepadanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Kematian!

Aku masih tidak dapat membuka simpul kusut fikir tentang ini. Mustahil aku boleh marahkan Tuhan tapi aku kagum dengan kehendak-Nya dan kuasa-Nya. Mengapa berbilion-bilion manusia lahir, sakit yang berlainan, bangsa yang berlainan, status yang berlainan, kulit yang berlainan, profesion yang berlainan tiba-tiba semua jadi macam Allahyarham Pak Samad Ismail, iaitu mati!

Ini yang menjadi aku pelik. Kenapa bilion manusia mesti melalui satu ketentuan, iaitu mati? Aneh, berbilon manusia sejak Adam hingga ke saat Allahyarham Pak Samad, semuanya menuju kepada satu lubang, iaitu mati!

Tidak bolehkah manusia yang ramai meremut-remut di dunia ini dibawa ke tempat yang berlainan, bukan ke lubang mati?

Ada orang marahkan aku kerana menimbulkan soalan gila ini. Biarkan. Mereka pemalas berfikir. Tapi itulah, cuba renung dan fikir betul-betul, kenapa Tuhan membawa makhluk yang dijadikannya kepada satu ketentuan-Nya saja; Mati!

Bukankah aneh bila mana ada yang sakit jantung, lubang hayatnya mati! Ada yang kanser, akhir hayatnya mati. Ada yang pening, juga penghujung hidupnya mati. Yang pelik, ada yang koma berbulan-bulan sampaikan hospital pun meluat, menuju kepada mati juga? Ada yang lembik tangan, lumpuh sebelah, lumpuh semua, baca punya baca Yasin minta selamat, hujungnya mati juga. Dan petani yang sering menghadapi siput gondang di sawahnya, pun buku hidupnya ditutup dengan mati.

Kenapa dengan mati? Dan Pak Samad, Bapa Wartawan yang aku kagumi, kenapa juga dinamakan ia mati setelah dia menghembuskan nafas? Adakah kerana tidak bernafas maka orang menganggap mati? Apakah kerana tidak ada roh, orang mengangggap seseorang itu telah mati? Apakah kerana dilanggar motosikal, maka orang itu dikatakan mati? Apakah kerana dia seorang pejuang yang mengikat bom jangka di badannya lalu merempuh askar Amerika di Iraq, dikatakan mati?

Sangat pelik rahsia Tuhan semesta ini. Ribuan cabang dan cara, bercabang-cabang ciptaan, teknikal dan fiziknya, ke situ semunya dihantar. Ke semua masuk ke lubang mati. Aneh Tuhanku!

“Takut mati?” begitu S.M.Idris, bos CAP yang aku temuinya satu hari ketika aku juga memberitahu bahawa aku sudah tua, tidak kuat lagi hendak menulis.

Aku hanya tersenyum melihat ketuaannya dan penuaan dalam kehidupannya juga aneh. Kemudian aku mengaku.

“Jangan takut. Tuhan sudah sediakan sangkar kehidupan kepada yang bernyawa, iaitu sangkar mati. Semua orang akan ke sana!” katanya.

“Tapi saya tak mau lagi,” aku menolak dengan alasan aku takut.

S.M.Idris yang berjanggut dan bermisai putih, yang seumur hidup berpakaian putih satu fesyen sahaja itu tersenyum. Ternyata dia sangat mengetahui kebodohan aku. Dengan menampar tapak tangannya ke meja, dia berkata:

“Heeyy you, mati itu ertinya pergi. Go! Hukum alam ada lawannya. Kalau sudah ada datang, mesti ada pergi. Satu ruang mesti satu benda. Satu ruang tidak boleh dua benda.”

“Saya tak faham.”

“Kalau sudah hukum, apabila ada yang datang, kita mesti pergi. Kita kena fahamlah, Kalau sudah orang datang, kita mau tunggu apa lagi?” katanya dengan ketawa. Janggutnya diusap-usap. “Kita sekarang sudah buat kerja. Kalau sudah habis kerja atau Tuhan tidak izin kita kerja lagi, apa mau tunggu. Pergilah!” katanya.

Kata-kata inilah yang sangat menggejolak kotak fikirku. Apakah Tuhan senantiasa menghambat manusia, atau Tuhan sering melontar seseorang kemudian menolak pergi seseorang?

Lalu aku mendapat jawapanya; Tuhan menyediakan lubang mati, bererti Tuhan menyediakan alam lain. Kerana itu manusia mati, termasuk mungkin abangku yang akan ke Mekah tahun ini. Jika begitu aku sepatutnya marahkan mati, kerana adanya ruang mati, manusia pun dihantar ke sana? Kerana adanya daerah mati, manusia terlompat ke sana? Kerana adanya kubur, maka manusia terbenam mati? Dan kerana adanya ketentuan yang bernama mati, maka manusia yang aku sayangi dan hormati seperti Pak Samad Ismail ia juga dihukum mati?

Ya Allah, jangan ada sesiapa yang menuduhku mulhid atau ethis kerana kekacauanku bermula dengan kepakpatah cakap S.M. Idris tempoh hari.

Rangsangan

Aku menerima berita kematiannya melalui SMS. Sepanjang pemanduanku di Lebuh Raya BKE menjadi terlelong-lelong. Sayu sangat. Pak Samad bukanlah guru seratus peratus bagiku, tetapi ia banyak memberi semangat dan rangsangan malah sesekali lucu. Aku masih ingat ketika aku berkursus di Teluk Kemang di tahun 70an dengan beberapa orang kawan penulis lagi. Dalam satu sesi soal jawab, aku beranya kepadanya: “Pak Samad, perlukah seseorang penulis itu jujur?”

Pak Samad memang kenal aku dan aku sudah lama kenalnya. Lubang hidungnya agak ketara dengan cermin mata sedikit hitam terletak di atas batang hidungnya. Yang nampak segak ialah kening hitamnya sangat lebat. Indentitinya cakap garang dan loqlak. Dari wartawan pelatih, dia dikenali sebagai pencarut tetapi dialah yang sangat bertimbang rasa.

Ya Allah, tak mampu aku mencungkil ingatan lama aku ini. Jantung aku berdebar?

“Azizi,” hampir-hampir dia jerkah dalam sesi soal jawab itu. Kami berhimpun di Rumah Rehat Teluk Kemang ketika itu dan paling lucu penulis yang hadir ketika itu dari haprak-haprak belaka. Pagi-pagi dengan kain seilmut bercangkung di pintu rumah rehat. Di restoran makan pagi, minta pulut nyiur kukur dengan ikan kering.

“Kau tanya apa tadi?” ulangi Pak Samad.

Aku sudah naik gelabah. “Perlukah seseorang penulis itu jujur?”

“Jujur kepala hotak hang. Cuba kalau diberi hang betina, hang kongkek tak?”

Ya Tuhan, semua kawan-kawan aku ketawa terbahak-bahak. Aku tersipu-sipu malu. Selepas itu barulah timbul polimik, perlukah penulis itu jujur dalam penulisannya.

‘Pak Samad...’ aku tak sanggup menimbulkan nostalgia bersamamu kerana aku sangat sebak.

Aku pasti Tuhan tidak akan menjawab jika aku bertanya selepas solat bila-bila masapun, mengapa dan kenapa Engkau adakan ‘mati’ untuk mengakhirkan kehidupan manusia. Betulkah Tuhanku, kalau aku hambamu kata, semuanya untuk menerima balasan atas apa yang manusia lakukan. Jika tidak ada mati, masakan manusia dapat menikmati hasil amalan baiknya atau merasai balasan jahatnya?

Tiba-tiba HP Sony Ericson aku berbunyi. Ini juga satu gangguan untuk mematikan kelocak gelombang fikirku. Maka aku pun mematikannya begitu sahaja tanpa perlu aku menjawab.

Sekali lagi aku merasa cukup aneh Tuhan Maha Bijaksana Alam Raya ini. Ia mematikan semua makhluk atas satu nama; Mati! Walaupun mati berlainan. Memang aneh kiranya mayat itu dibakar atau disalai seperti adat Toraja, tetapi hakikatnya semua ‘mati!'

‘Alangkah baiknya kalau tidak ada mati!”

Aku terasa seorang iblis ketawa di belakangku.

‘Mengapa orang seperti Pak Samad juga ditamatkan dengan kematian?’

Aku terdengar seseorang syaitan khunsa membisik ke telingaku memberi tahniah.

‘Kalau sudah orang datang, kita kena pergilah!’ demikian aku terimbau kata-kata Presiden CAP kepadaku tempuh hari.

Tidak! Pada petang itu ketika aku memandu kereta di Lebuh Raya BKE, aku berhujah dengannya melalui cermin kecil keretaku. Aku letakkan dia dengan penuh kebencian lalu aku menunjal kata: Bukan sebab orang datang, kita kena pergi. Tapi kerana adanya apa yang dinamakan ‘masa.’

Semuanya kerana masa. A. Samad Ismail, yang menjadi bapa wartawan Melayu, pejuang kemerdekaan, pengarang tersohor, penulis novel, pemikir negara, tidak akan jadi begitu semuanya jika bukan kerana faktor masa. Masalah yang menjadikan dia wartawan. Masalah yang menjadikan dia pejuang kemerdekaan dan masalah yang menjadikan dia mampu menulis novel.

Masalah yang menjadikan A. Samad Ismail dipanggil Pak Samad dan masalah juga yang menyebabkan Pak Samad berusia 81 tahun dan masalah juga yang menamatkan hidupnya. Bukan mati!

‘Pak Samad...’ sangat sebak aku hendak menyebutnya.

Tidak mati


Memang Pak Samad tidak mati. Aku tidak percaya Pak Samad atau orang-orang sepertinya, seperti Tun Razak, Aminuddin Baki, Prof Zulkifli Mohamad, Dr. Burhanuddin, Khumaini, Saddam, malah Muhamad bin Abdullah keturunan Qiraisy, Rasulullah tidak mati. Mereka hanya reput tubuh dan tulang. Mereka hanya tidak berkesempatan dengan kita kerana mereka tiada dan kita masih ada. Bukankah tidak ada, tidak boleh bersatu dengan ada?

Sekali lagi HP Sony Ericson aku berbunyi. Sekali lagi aku matikan begitu sahaja, sehinggalah terdengar bunyi SMS.

Aku tidak tahu dengan siapa hendak aku berhujah. Aku tidak dapat lagi menahan kepiluan dan sedu sedan memikirkan Pak Samad tidak akan kembali lagi. Jika aku terkam ke KL pun, aku tidak akan dapat menghidupkan Tokoh Wartawan ini, penerima Anugerah Magsasay ini, Tan Sri ini untuk menambah baik semula pernafasannya. Dia sudah dikatakan mati. Biar aku saja tidak akan berkata mati. Alasanku, selagi namanya disebut, seperti pejuang dan pemimpin lain, mereka tidak pernah mati.

Pak Samad hanya dirampas masa dan semua kehidupan bergantung kepada masa. Bagiku, jika tidak ada masa, manusia tidak akan jadi kanak-kanak, muda. Tidak akan jadi dewasa, tidak akan jadi tua. Masalah yang mematikan dan masalah yang memanjangkan hidup seseorang.

‘Jadi, bukan kerana mati, bukan keraja ajal?' jika ini yang akan ditanya oleh sesiapa pun, aku tetap akan berkata tidak. Bukan kerana mati. Mati tidak akan berlaku jika bukan kerana masa. Masalah yang menentukan mati seseorang. Masa juga yang menjadualkan kemusnahan seseorang.

‘Kalau gitu, kena tanya Stephen Hawking yang menulis tentang permulaan masa, lohong hitam?’

Tiba-tiba HP Sony Ericson aku berbunyi lagi. Aku memekap ke telinga. “Hallo!”

“Balik kampung segera!” jawab suara dalam HP ku.

Ketika aku membuka SMS, aku dapati pesanan; Abang meninggal. Innalillahi wainna ilaihi ra ji‘un.

Tuhanku, Maha Besar Engkau!

Aku tidak terkejutpun. Masalah yang telah menentukan dia sudah 84 tahun. Cuba kalau tidak ada masa, siapa pun tidak akan mampu menakuk takah usianya seperti Pak Samad yang kusayangi dikatakan berusia 84 tahun.

Masa!

Pak Samad, Innalillahi wainna ilaihi ra ji‘un.