Saturday, March 1, 2008

BELAKANG KIRA

Oleh
MASNAH RAIS





TELEFON bimbitnya mula berdering.

“Teknikal committee habis meeting?” suara telefon bimbit Datuk Sidi tiba-tiba membawa soalan. Datuk Sidi tahu sangat siapa punya suara parau di cuping telinganya. Tangan kanannya yang dihiasi rantai sauh emas putih menampakkan gaya yang tersendiri dan mewah. Di tangan kirinya terpasang jam tangan Rolex Oyster.

“Sudah.” Sidi menjawab, disusuli dengan ketawa kegirangan.



“Bergayalah awak lepas ni, Edmund.” Sidi tak putus-putus senyum lebar.

“I OK, Datuk also OKlah”, suara parau di dalam telefon bimbit lantas bersuara lagi,

Kedua-dua suara bertingkah dengan gelak ketawa.

“Tomorrow I send in some fund for Datuklah.” Suara sebelah sana membuat pengesahan dalam bahasa Inggeris pasar tempatan.

“Ehm ,,, macam mana cepat sangat? Jawatankuasa Tender masih belum mesyuarat?” Tiba-tiba Datuk Sidi menyampuk, senyum kepuasan berterusan di bibirnya. Waktu Rolex menunjukkan 11 pagi. Mesyuarat jawatankuasa teknikal memang baru saja habis. Syarikat Gunung Emas milik orang menelefon tadi, berada di tahap teratas dengan tawaran RM12.6 juta untuk membina sebuah kompleks pelancongan sederhana di luar bandar. Butiran spesifikasi projek betul-betul macam yang dikehendaki kementerian.

“Macamlah Datuk pura-pura tak tahu. The tender committee only formality what, we sure get one. Like beforelah. Belakang kita boleh kira.”

Datuk Sidi lekas-lekas menjawab, “OK, OK kalau macam tu, malam esok you datanglah jam 10, saya tunggu di rumah.” Telefon bimbit pun ditutup. Pelik sikit, semasa bercakap telefon tadi macam bunyi dalam gaung. Jangan-jangan percakapan tadi dirakam.” Tapi Sidi tak kisah sangat. Yang penting habuan besar akan datang lagi.

Datuk Sidi dengan gaya yang paling bersahaja menyimpan telefon bimbitnya ke dalam saku. Hai, apalah nak jadi, kalau telefon bimbit tak ada dalam dunia ni? Dia berkata dalam hati. Dia masih ingat semasa jadi Setiausaha Bahagian di Jabatan Kerja Raya 17 tahun dulu, telefon sandang yang berat pun jadi igauan pegawai tinggi. Kini budak pejabat pun ada telefon tangan. Telefon inilah yang sering bawa berita rezeki. Dia senyum puas lagi.

Pemikiran Datuk Sidi berbalik kepada panggilan yang baru diterimanya tadi. Kali ini kebahagiaan akan kekal, bisik hatinya. Lepas ni tak payah buat apa-apa lagi, cukup secukupnya. Dua orang anak baru saja selesai dapat ijazah dari UK. Hutang rumah sudah beres. Hutang lain tak ada. Rumah kedai enam buah, kondominium mewah baru saja diurus di ibu kota dan dusun durian 18 ekar.

Fikirannya terus menjangkau jauh. Macam mana susah nak jadi Timbalan Ketua Setiausaha kanan di kementerian? Menteri dan KSU percaya padanya, lalu diarah mempengerusikan jawatankuasa teknikal tender. Sudah 3 tahun jadi pengerusi, semuanya beres.

Di saat itu matanya melirik ke foto Anugerah Datuk Setia Mahkota yang baru diambil di istana Diraja sempena menerima anugerah gelaran itu pada keputraan Sultan dua bulan lalu.

“Wah, macam orang senyum dalam mimpi aje nampaknya,” pada saat itu isterinya, Datin Epah masuk membawa secawan teh susu dengan kek oren kegemarannya. Dikalihkan pandangan ke arah isterinya yang mendekatinya. Dagu dua lenggek Datin Epak jelas kelihatan, tapi manis rupanya tetap menenangkan Sidi.

Dipegangnya lengan kiri isterinya dengan lembut, tanda sayang jelas terbayang. Di pergelangan tangan Datin Epah, bergulung-gulung rantai permata, jari telunjuk pun ada cincin permata hampir sebesar kacang. Jam emas berjenama juga berkerlipan di tangan Datin Epah. Bilik khas itu juga cukup mencerminkan kemewahan. Semua perhiasan buatan Itali. Kerusi sofa masih berbau aroma kulit.

Keesokannya hampir jam 10 malam, pemanggil telefon bimbit kelmarin yang bernama Edmund datang seperti yang dijanjikan. Dari jauh Datuk Sidi sudah nampak kawan lamanya itu turun kereta mewahnya dengan sebuah beg kulit. Agak berat juga nampaknya beg itu. Semacam ada sebuah kereta warna hitam di pintu pagar rumah, tetapi kereta itu tak jadi masuk. Datuk Sidi menjangkakan itu mesti kontraktor kondominium yang hendak berbincang dengannya.

Sejurus kemudian tuan rumah dan tamu asyik bertransaksi di ruang khas.

“Malam ni, I bawa 300 ribu dulu, Datuk. Bila tender lulus, I bring the rest.” Edmund mula merokok dengan gaya orang yang cukup puas dengan hidup.

“How can I thank you enough Edmund,” Datuk Sidi meluahkan terima kasihnya.

Kopi dihirup, rokok dipasang lagi.

Tiba-tiba pintu gelas ruang itu diketuk orang.

“Buka pintu, kami pegawai antirasuah.” Di saat itu Datuk Sidi pucat lesi. Rokok di bibirnya jatuh, lantaran mulutnya terlopong terkejut. Tetapi Edmund nampak macam tak ada apa-apa saja. Tak disedari semasa bercakap-cakap tadi, sebuah kereta Proton Eksekutif sudah mengekori Edmund dan masuk ke halaman rumah. Datuk Sidi amat asyik tadi membelek-belek bungkusan not seratus dari beg Edmund. Sedang berkhayal dengan impian gelojohnya, serbuan tiba.

“Macam mana dia orang dapat tahu Edmund?” Soalan Sidi tak terjawab oleh Edmund. Dia hanya memandang kepada ketua pegawai BPR. Pegawai itu tiba-tiba menjawab,” Kami telah rakam semua percakapan telefon antara Datuk dengan dia semenjak 3 bulan dulu lagi.”

Beberapa foto diambil oleh seorang pegawai berbadan tinggi lampai bermisai P Ramlee. Dia menggunakan kamera digital. Kemudian duit dalam beg dipunggah keluar, bersama-sama dengan beg sekali. Tak lama kemudian, seorang lagi pegawai tampil ke dalam lalu mengeluarkan satu dokumen yang menyenaraikan barangan yang dirampas. Dalam senarai itu dicatat wang kertas not RM100 = RM200,00, siap dengan nombor keluarannya sekali. Sidi membeliakkan matanya kepada Edmund. Macam mana dia orang boleh catat semua nombor duit dalam masa sesingkat itu?

Sidi sedar ketika itu yang dia telah diperangkap rasuah.

“Eh Tuan tadi ada 300 ribu. Ini Cuma kata 200 ribu!” Tiba-tiba Edmund sempat menyampuk. Pegawai berbadan gempal itu tak berkata-kata. Sidi dan kawannya diisyaratkan supaya menandatangani borang yang dikemukakan.

“Masya-Allah ... habislah aku,” itu saja yang terungkap oleh Datuk Sidi. Lepas itu dia dan Edmund diarah ikut ke pejabat BPR. Datin Epah terjerit-jerit dengan laungannya. “Apa dah jadi bang, apa ni....” Di balai Edmund dilepaskan. Sidi merengkok dalam tahanan hampir 2 minggu.

Epah berlelah mendapatkan khidmat guaman firma Rampal & Co. yang terkenal dengan pembelaan kes-kes jenayah rasuah selama ini. Sidi macam tak ada apa-apa bila peguam menetapkan bayaran RM120 ribu. RM40 ribu mesti dibayar sebagai cengkeram. Selebihnya hendaklah dibayar sebaik sahaja kes selesai. Kalah menang belakang kira. Setiap hari perbicaraan yang dihadiri peguam kena dibayar RM3,000. “Tak apa, Kita boleh bayar,” Sidi memutuskan.

Datin Epah tangkas bertanya, “Mahal tu Bang, mana nak cari duit sebanyak itu sekarang?”

“Jangan gaduh, barang kemas awak tu pun sudah cukup untuk bayar peguam.” Buat pertama kali Sidi sinis terhadap isterinya yang selama ini tahu ada saja segala-galanya. Apa orang lain ada, dia mesti ada. Berlagak macam tak ada esok.

Sidi sudah ditahan kerja, ditahan gaji hampir 2 bulan. Dia pegawai contoh selama ini. Sudah berkhidmat lebih 18 tahun dan menikmati skala Jusa C. Ada kereta dan pemandu dibekalkan kerajaan. Dia pantas dan dedikasi buat kerja. Macam perbilangan lama, belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang. Fail yang bertimbun di mejanya biasa selesai menjelang petang, tetapi kerja rasuah macam yang dilakukannya dengan Edmund juga pantas diselesaikan selama ini.

Di ruang tahanan, Sidi buat protes sendirian, “Setahu saya hanya kes ISA ditahan macam ini.” “Datuk, tak tahukah kuasa kami di bawah seksyen 115 CPC, boleh tahan sampai dua minggu. Kalau tak selesai penyiasatan boleh minta lanjutan tahanan lagi. ISA bukan undang-undang jenayah. Ia undang-undang tahanan pencegahan.”

“Kalau macam tu, tahan saja saya di bawah ISA.” Sidi tiba-tiba bersuara. Dia nampak wajah Edmund, bukan wajah keluarganya. Pegawai terbahak-bahak ketawa sambil meninggalkan Datuk Sidi.

Pada hari perbicaraan Datuk Sidi dengan tangan digari diseret dan dihadapkan ke mahkamah. Di luar mahkamah matanya berpinau-pinau seketika lantaran dipercik cahaya lampu kamera pelbagai jenis. Mahkamah di saat itu sudah penuh sesak dengan pemerhati, saudara mara, sahabat handai, kakitangan kerajaan duduk berbaris di kerusi panjang bahagian hadapan mahkamah. Di hujung galeri isterinya duduk dengan dua anak perempuannya.

Setelah pertuduhan dibaca, Sidi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima sogokan rasuah. Dia minta dibicarakan. Hakim menetapkan tarikh perbicaraan selama 2 atau tiga minggu kemudian perbicaraan selesai.

Datuk Sidi mula-mula nampak tenang saja bila hakim mengumumkan hukuman. “Setelah mendengar pembentangan dakwaan dan bukti-bukti yang relevan serta substantif oleh pendakwa dan setelah mendengar penggulungan kes oleh peguam pihak didakwa, mahkamah mendapati anda, Sidi bin Abdul Rahman bersalah di bawah seksyen 27 Akta Rasuah 1007 seperti yang dipertuduhkan.” Hakim lantas menghalakan pandangan kepada Sidi sebagai tertuduh.

Sesaat dua kemudian hakim menambah, “Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun berkuat kuasa dari tarikh anda direman dan didenda RM300 ribu sebagai pulangan kembali khazanah Kerajaan yang anda telah didapati salahguna sebagai rasuah di sisi undang-undang”.

Ini semua diungkapkan dalam bahasa Inggeris oleh hakim, Sidi mendengus dalam hati, “dah lima puluh tahun merdeka, masih lagi cakap orang putih di mahkamah.” Macam manapun semua yang hadir faham dia selaku Timbalan Ketua Setiausaha, sudah didapati bersalah oleh mahkamah sebagai perasuah.

Anggota keluarga yang genap hadir di galeri awam mahkamah semuanya hening dan diam tanpa kata. Datin Epah tajam memandang ke arah hakim. Pendakwa yang telah menyimpulkan hujahnya lantas berdiri dan dengan air muka yang puas mengungkapkan “Much obliged Yang Ariff.”

Peguam yang mewakili Sidi, Sangkar Nair, yang fasih berbahasa Melayu turut berdiri sebagai amalan biasa. Dia tidak melahirkan apa-apa reaksi walaupun rasa kecewanya ternyata daripada gaya dia menutup fail sambil menamparnya dengan kuat. Geram agaknya lantaran ada benda yang tak kena atau yang tak diambil kira oleh hakim dalam menilai hujah dan bukti.

Bagaikan proses automatik, Sangkar berkata kepada hakim, “Kami akan memfailkan notis rayuan Yang Ariff. Oleh itu, mahkamah di pohon supaya anak guam kami dibebaskan dengan ikat jamin atas jumlah yang berpatutan.”

Pendakwa bangun membantah. Katanya, “Kes ini merupakan kes rasuah seorang pegawai tinggi kerajaan. Mahkamah harus menunjukkan contoh dan teladan yang tegas kepada masyarakat.” Pendakwa seterusnya menghujahkan walaupun ikat jamin merupakan budi bicara mahkamah setelah mengambil kira perkelilingan kes, kes ini adalah kes yang sangat serius.” Lalu disebutkannya lunas undang-undang yang membawa pengertian bahawa ikat jamin dalam kes-kes jenayah rasuah adalah mengikut budi bicara mahkamah.

Di saat itu, Sidi yang berada di kandang dakwaan, mula berasa nak pitam. Dunia di saat itu terlalu gelap baginya. Jantungnya menusuk bagaikan nak pecah. Kakinya rasa lemah tak upaya nak berjalan. Pemandangannya mulai kabur. Hakim yang duduk di atas panel mahkamah tampak samar-samar saja. Peluh sejuk mulai mengalir dari dahinya. Sempat dikalihkan pandangan kepada Datin Epah, isterinya yang duduk di galeri mahkamah bersama Jono dan Hasnah, dua orang anaknya yang baru selesai menuntut di Universiti London. Anak-anak sebak, siisteri sedih.

Datin Epah mengisyaratkan dengan mata kayu seolah-olah berkata, “Aku bersamamu”. Air mata sedih mula mencelah di sudut mata. Isteri mana yang tak sebak dan sedih melihat suami dalam kes seaib ini dan dijatuhi pula hukuman seberat itu. Datin Epah membalik-balik lipatan hati dan ingatannya sambil menghalakan pandangannya ke ruang galeri sebelah kiri mahkamah. Ramai kawan-kawan lama suaminya yang turut hadir di mahkamah pagi itu. Rakan-rakan sepejabatnya juga, ada yang hadir walaupun hari itu hari kerja.

Di tepi barisan galeri mahkamah seorang lelaki bertali leher hitam berjalur putih nampak melorek senyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya semasa hakim mengumumkan keputusan penghakiman tadi. Sejurus kemudian, dia bergegas meninggalkan mahkamah. Sebaik sahaja sampai di ruang luar, lelaki itu cepat membuat panggilan. “Dia dah kena lapan tahun.” Dia senyum lagi. Dia berjalan pantas keluar bangunan dan dalam beberapa minit saja sampai kembali di pejabat penguatkuasaan jabatannya.

Otak Datin Epah merempuh pelbagai senario. Mana nak sorok muka lepas ini? Media sudah berhari-hari menyiarkan gambar dan liputan tentang suaminya diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan menipu. Satu negara sudah tahu yang Datuk Sidi, pegawai kanan didakwa atas pelbagai pertuduhan.

Macam mana suami tercinta boleh dihempap malang ini? Datin Epah masih mengulangi pertanyaan dalaman dirinya. Soalan inilah yang bertubi-tubi dikemukakannya kepada Sidi semenjak sebulan lalu, bila Sidi tiba-tiba ditangkap oleh pegawai-pegawai pencegah rasuah di rumah mereka di Taman Senang.

Sidi terbayang akan kandang besi yang bakal dihuninya. Dia terbayang wajah isterinya dan anak-anak yang bakal terpisah. Dunianya sudah hancur. Seluruh tubuhnya tiba-tiba rasa lemah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kepada Sankar sebagai mengisyaratkan nasibnya yang malang. Sekali lagi muka Edmund melintasi benaknya. Dia betul-betul geram.

Di saat itu dunia Sidi tiba-tiba gelap. Dia rebah pengsan.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080217100531/Article/

No comments: