Sunday, March 16, 2008

VIA TEROWONG DuAkOsOnGdUaKoSoNg

karya
AHMAD KAMAL ABDULLAH
Mingguan Malaysia 6 Ogos 2006





BUKANLAH mudah untuk melalui Terowong DuAkOsOnGdUaKoSoNg. Pada teorinya seakan mudah. Umpama menyuap nasi ke mulut. Meneguk air dari gelas transperansi. Angkat suapan, nganga mulut lalu masukkan suapan dan mulailah mengunyah. Dengan lambat dan tertib, lumati nasi dengan daging atau ikan atau sayur yang digaul.

Melalui tenggorokan kamu, permudahkan dengan meneguk air di gelas. Kemudian telanlah. Begitu mudah, dan nanti diikuti lagi dengan suapan satu, dua, yang lain. Sampai kamu kenyang dan menolak pinggan. Tapi ya, tak semudah itu kiranya untuk melalui terowong DuAkOsOnGdUaKoSoNg itu.

Peluncurannya sahaja sudah dimulakan dengan pelbagai sambutan dan ritual.“Untuk menjadi bangsa yang besar, ayolah kita mesti bercita-cita besar!” menggeletar suara garau pemimpin ulung kita.

“Keluar dari tempurung sejarah! Kita bukan bangsa penjarah, kitalah Tuan! Kitalah pemacu hasrat, bangsa merdeka yang kini keluar dari penjara dan pasung empat setengah kurun!” suara menggeletar itu kian menggeletar yang disambut dengan riuh rendah tepukan dan auman kata-kata dari segenap penjuru.“Kita bangsa merdeka! Kitalah Tuan! Ini darah, ini keringat. Kita bukan pengecut! Kita bukan penakut!”

Kata-kata itu disambut dengan dua tiga kali bunyi petir berdambrakan di hujung sana.“Dengar tak itu?" Suara sang pemimpin lagi.“Apa yang kalian dengar?" Matanya bulat menentang ribuan pendengarnya, seolah-olah macan lapar hendak menerkam mangsanya.

“Apa yang kalian dengar?” Dia menentang khalayaknya, rakyatnya yang telah dikoyak-koyakkan oleh lembing kata-kata berapinya. Dan khalayak itu segera merasa cabaran dari sang pemimpin ulung dijawab serentak“Petir! Halilintar! Membelah langit!”

Sang pemimpin merasa usahanya tidak sia-sia. Umpannya sudah direnggut oleh muncung-muncung ikan semilang, rakyatnya. Maka dengan mengepal tinju dan menghentak podium sampai bergegar-gegar dan berkeriut bunyi pengeras suara, dia memekik.“Kitalah petir! Kitalah halilintar! Kita akan terjang yang menghalang ambisi kita! Maju! Pacu!”

Menggerutup tepukan khalayak yang semakin yakin mereka akan pasti disalut sukses, bermandi cucuran ringgit dan materi sebaik melalui terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG itu nanti. Datang, dan datang suara dan bauran keriuhan itu mengusap Imran Kamil yang terkepit antara Jusuf Amri penyair Mesir dan Aisya Zahir penyair Yugoslavia berasal Sarejevo, dalam kereta tua kelabu buatan Russia dipandu oleh Marko dari sekretariat Rumah Puisi Struga. Di sampingnya duduk Trajan Petrovsky dari panitia Pertemuan Penyair Dunia Makedonia. Mereka dalam perjalanan dari Struga ke Kadaverci, desa di kaki Gunung Lubasy sejauh hampir 100 kilometer.

Nanti pada jam tiga petang mengikut acaranya mereka akan membaca puisi masing-masing di Amphifera Theatre. Perjalanan akan mengambil waktu kira-kira dua setengah jam. Kata Trajan, mereka akan sempat makan siang dan berehat seketika di kamar yang sudah diuruskan oleh panitia sambutan di Kadaverci, sebelum acara dijalankan. Kereta tua buatan Russia itu, melintasi kebun bunga matahari yang melaut luasnya. Aisha Zahir menguis bahu Imran Kamil.

“Haloo my dear, apa yang kau menungkan?” Dia tertawa kecil.“Kau lihat itu, sejuta sunflower sedang kembang, menari-nari, tak mau kau petik sekuntum?”

“Sekuntum? Kenapa tidak dua, tiga?” pintas Jusuf Amri.

“Aku tak larang pun!”

“Tapi, kita dalam mobil bergerak”

“Ohooii, be imaginative!” balas Aisha.

“Kau nakal. Orang Sarejevo memang nakal!”

“Orang Kairo tak nakal?” Aisha ketawa kecil.“Cakap. Kau ni, waris Cleopatra atau Tutenkhamon?” ketawanya kian meninggi..

“Kau ingat?” Jusuf Amri, bulat matanya menentang “Kau ingat?”

“Bukan Cleopatra, bukan Tutankhamon?”

“Habis tuu?”

“Aku agak kau turunan pembikin piramid Tutankhamon!”

“Kau sadis! Kau nakal. Kau waris Pasha pengumpul gundik!” Ketawa berderai. Trajan di hadapan yang tak tau menahu hujung pangkal pun tertawa.“Ada apa? Sunflower?” Marko mengintai di bayangan cermin. Mengurut-ngurut misai lebatnya, semirip misai Joseph Stalin.

“Hey, kau tau tentang Pasha?”

“Kan Pasha Turki datang ke sini mencari wanita-wanita cantik?”

“Pasha-pasha Turki berkuku di sini!” Imran Kamil mencelah.“Kau cicit Pasha?”

“Memang aku ada darah Turki. Datukku alim.Religius. Bukan Pasha. Aku alim dalam sastera, dalam puisi.” Aisha menatap mata Imran.“Ooo itu cerita lama. Ini Yusgoslavia. Kami derita. Kami mau Bosnia merdeka!" Rupa-rupanya Aisha pun ada terowong impiannya sendiri. Dia mau melintasi terowongnya.

Dia ingin menatap Bosnia merdeka. Bebas dari kuku komunisme! Aisha setengah berbisik. Imran mengangguk. Imran tahu Yugoslavia kini pun menghadapi perlawanan dari negeri-negeri sekutunya, masing-masing mau membebaskan dirinya dari Persekutuan Yugoslavia. Macedonia, Kosovo, Bosnia-Herzegovina, Croatia semua ingin merdeka. Provokasi dari Albania di seberang Tasik Ohrid tiba satu demi satu. Kalau mahu juga, nahas jawabnya. Mungkinkah tanpa darah? Pasti darah menganak sungai.

Jasad-jasad terkapar. Kepala-kepala bergelimpangan. Dan kuburan-kuburan besar di mana-mana. Balkan akan memuntahkan dentuman mariam dan mortar. Darah melambak di mana-mana. Bangunan ranap. Masjid runtuh. Orang pelarian lagi. Dan Aisha nanti bakal mengungsi entah ke mana. Tak mudah. Untuk mengharungi terowong sukar, tak semudah menyuap nasi dan meneguk jus lemon pagi hari. Komunisme akan terus mencekik mereka mencengkamkan kuku besinya.

Tapi, ya Imran Kamil terus terkenangkan negaranya sedang mempersiap diri menghadapi alaf baru dengan visi baru. Banyak projek mega sudah, sedang dan akan dibina, agar negaranya dipandang menjadi Negara moden, Negara maju menjadi negara contoh.

Jiwaraga dan mental-fizikal, intelektual diperkukuh menghadapi globalisasi. Bilion ringgit dibelanjakan, untuk pembangunan. Otak kelas tiga tak cocok tinggal dalam negara maju kelas satu. Infrastruktur kelas satu disediakan. Putera-puteri yang berjiwa adventurous dan tahan lasak meneroka alam, mengharung lautan, kembara dari kutub ke kutub, menawan puncak Everest, menyeberang Selat Inggeris, wira dalam sukan, wira dalam profesionalisme dan koporat, kalau mungkin merebut Hadiah Nobel dalam Sains, dan Hadiah Nobel dalam bidang keamanan dan lain-lain.

“Malaysian Dreams” inilah. Kita tak boleh tidur berdengkur lagi.“Siapa mimpi dia mati!” Bangkit. “Malaysia boleh! Malaysia boleh!”, kita menerobos langit, kita mengharung terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG. “Kita petir! Kita halilintar!” semuanya menggelegak, semua membuak. Tapi, awas jangan sampai terkopak.

Ini idealisme yang segera diterjemah kepada tindakan-tindakan dalam RMK-RMK satu demi satu. Dalam memanfaatkan dan merealisasikan program tentu ada hambatan. Tentu ada ombak.
Tentu ada tangkulak. Pasti ada ujian. Ada getir. Ada petir. Untuk melalui terowong itu, tak semudah mencecap sambal belacan berulam petai. “Bagaimana nasib tanah airku semenjak kutinggalkan sepekan ini?" Bisik hati Imran Kamil. Cikcok bukan sekadar sudu dan piring. Tapi, mulai gendering seolah perang sesama anggota dalam partai politik. Kronisme dan nepotisme melimpah-ruah. Rasuah. Dadah. Pelacuran. Pembunuhan.

Telatah

Tingkah dan telatah atau taktik dan helah tetangga di utara dan di selatan, bukan main-main sembunyi lagi. Dialog dan meja rundingan seolah tak berfungsi lagi. Di kejauhan sayup sampai wajah-wajah comot terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG. Melambai-lambai. Akankah sampai?

“Imran, kau ni memang penyair asli!” sapa Aisha lagi. :”Asyik menung berjurus-jurus!”

“Jadi, aku tak asli?“ mata Jusuf Amri berkedip-kedap.

“Kau? Kau memang tak asli!, hehehe” Aisha mempermainkan Jusuf Amri.

“Alasanmu?”

“Darahmu, darah pakar pembikin piramid Tutankhamon!”

“Awas kamu cicit Pasha!” Aisha dan Imran ketawa cekikikan. Ketawa bukan buatan. Angin musim gugur berkesiur, mendesing-desing memukul muka dan menjuraikan rambut Aisha. Dia kelihatan manis pagi itu, walaupun sejalur dua kerut didahinya mula menganggu. Tapi gaun putihnya itu, menjadikan Aisha bak angsa putih yang puitis. Dia memperkemas keterampilannya. Aisha memang mengabdi kepada kesusasteraan. Usia terbaiknya tumpah kepada puisi dan sastera.

Dia menerima award Doctor of Letters kehormat dari Akademi Penyair Dunia tahun lalu di Taipei. Siap dengan mahkotanya sekali dengan butir-butir zamrud hijau berkilau. Aisha memperagakan mahkota itu kelmarin kepada Imran. Imran sempat menggoncang tangannya, mengucapkan tahniah. Dan Jusuf Amri? Dia penyair terpandang di Kairo. Malah ketua editor buku-buku al-Adabiyah di Mesir. Jusuf sendiri adalah pemenang Anugerah Akademi Sastera di negaranya.

Tak rugi Imran Kamil diapit oleh kedua tokoh mapan ini. Kereta tua warna kelabu itu telah jauh meninggalkan kebun bunga matahari yang melaut itu. Alangkah indahnya suasana pagi itu dengan hamparan permaidani menguning dengan lenggang lenggok bunga matahari dipuput angin.

Keindahan asli yang tak dapat dijual beli. Alangkah ajaibnya kejadian alam, meresapkan bahasa dan rahsia terbukanya kepada para seniman. Apakah rahsia bahasa terbuka ini terdinding di tanahairku sendiri, itulah yang berulang datang menggetari fikiran Imran Kamil. Sesekali dia tersepit dengan hujah antara Aisha Zahir dan Jusuf Amri.

Antara Tutankhamon dan Pasha. Duh! Siapa yang akan menghalang dan mengkhianati program pembangunan negara kalau bukan para tangkulak yang menyamar bagai musang berbulu ayam atau memang mereka berani berterang-terangan menjadi kawanan musang di tengah-tengah ayam itu?

Wah, kalau ini berlaku pembahagian kek ekonomi secara adil tak akan sampai kepada rakyat.
Kek itu akan diagih-agihkan kepada okaba-okaba yang sedia gendut, bertambah gendut. Rakyat kurus kering papa kedana. Yang kian gendut adalah serigala bakup mata, rakan seperjuangan sang musang berbulu ayam itu juga.

Tidak mudah untuk menyeberangi Terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG itu kalau kejujuran pelaksanaan tidak ada! Kalau keikhlasan perjuangan tidak dimuhasabahkan. Muhasabah? Ini kata yang mudah diucapkan. Tapi, siapa yang benar-benar mahu mengoreksi diri, memperbetulkan silap-langkah, nawaitu rakus menyambar kesempatan yang tiba?

Sang Oportunis terbelalak di tengah-tengah idealis yang polos dan lurus bendul. Oooiiii! Mereka melahap untuk tujuh keturunannya. Lihat mahligai mereka, alangkah tidak bermalu: berjuta-juta ringgit harganya. Ini harta karun terjun dari langit atau berhamburan dari bumi mana? Ini wang Negara dan rakyat yang dieksploitasi!

Kononnya, rakyat yang hina-dina cukuplah dengan kenduri-kendara ritual di sana sini. Untuk membujuk emosi mereka. Ini perang saraf, perang psikologi. Ini penting untuk mereka. Deviasi total. Adakan sambutan itu, sambutan ini. Sambutan itu: ada kenduri percuma.
Sambutan Ini: ada kendara gratis. Para tangkulak dan oportunis disambut dengan pukulan gong dan kompang. Gegap-gumpita. Ini fiesta. Itu fiesta. Kenyangkan perut. Kenyangkan telinga.

Semua bisa datang, meramaikan. Ada artis jempolan terkinja-kinja, menari-nari, melalak mengeraskan vokal sebagai aset meramaikan dan memeriahkan fiesta demi fiesta, mengimarahkan majlis jom-melalak-melantak.

Negara kita makmur. Koporat kita penghulur. Bukan makan di sini-di sana saja. Tapi kita warisan darah Baik Budi Mak Sirandang, sampai kemana-mana RM kita mengalir. Mengalir, mengalirlah, namun kemerlaratan masih bersimarajalela sampai ke ceruk-ceruk pedalaman.

Masih ada pondok robek-robek dihuni, letrik dan air pili tak ada. Masih ada mata hina dina yang terjerojol. Si lumpuh, si ibu tunggal, warga mas daif, melarat hina macam kucing kurap seperti sebelum merdeka pun. Mereka meneguk air ludah basi menatap Menara Kembar, menatap jambatan salinan Golden Bridge di Pulau Pinang. Hei, mungkin projek jambatan emas dan perak dari Gunung Ledang ke Istana Sultan Melaka pun boleh dilaksanakan sebagai projek lima abad yang tertangguh.

Tak payah lagi mencari hati nyamuk tujuh dulang, air pinang muda tujuh tempayan, darah anak Raja bernama Raja Ahmad tujuh mangkuk tak perlu lagi, boleh diganti dengan rakyat bermandi darah dikerah bagai nenek-moyang Jusuf Amri menggalas batu-batu gunung menyiapkan piramid Fir'aun! Ini 'nambah tersohor Negara ke mata serakah kuasa-kuasa besar! “Malaysia Boleh! Malaysia Boleh!”. Berapa banyak hutang Negara kita?

Dan siapa sebenarnya memegang tampuk ekonomi Negara ini? Dan setiap hari jantung rakyat berdegup bimbang: harga apa pulak yang naik hari ini? Letrik ? Air? Minyak? Tepung gandum? Gula? Ikan? Apa, apa lagi? Tangkulak betul. Memang tak mudah. Imran maklum tak begitu mudah rakyat mengharung tantangan terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG itu:“Gula merah gula Melaka / sedap menyebut racun berbisa!”

“Imran, kau akan baca puisi apa nanti?” Jauh sungguh fikiran Imran melayang, bukan ke Kuala Lumpur saja, tapi, ke Ulu Tembeling, Gua Musang, Ulu Chepor, Mersing, Ranau, Mukah, Kota Belud, Tasik Biru Bau, Gua Nias, Marudu, Pulau Talang-Talang, Kampung Puih, Gunung Santubong, Titiwangsa, Kinabalu, Selat Melaka, Tiram Buruk, Sawah Sempadan, Ulu Lui, dan…

“Imrannn?” suara Aisha, diikuti dehem Jusuf Amri“Hei, benar kata kau, dia penyair asli..”

“Ohh ya, yaa..saya err..”

“Kau mengigau siang hari ya? Kau ingat cucu atau kekasih hati?”

“Hmmmhmmm, aku ingat Malaysia!”

“Aaappaa puisimu yang akan kau baca nanti?”

“Hmm ya, aku sedang ‘mikirnya’ Aisha seolah berbisik “Trajan mahu tau, apa judul puisimu!”

“Nanti! Aku sedang mikirnya!” Kereta kelabu tua meluncur di aspal dalam awasan Marko memasuki simpang arah Kota Kadaverci. Sesekali Marko bersiul membawa dendang klasik lagu-lagu rakyat Makedonia.

Rentak

Kelmarin seingat Imran Kamil, dalam majlis sambutan selepas perkenalan santai, satu demi satu lagu rakyat Makedonia didendangkan oleh kumpulan koir. Penyair peserta membuat satu lengkungan besar, menari, bertepuk tangan dan kemudian bersengkeling jari memutari bulatan timbal-balik. Pada mulanya Imran Kamil agak kekok mengikut rentak dan lagu, tapi dengan panduan Aisha di sisinya, dia dapat ikut menjalin rentak dan tari rakyat Makedonia itu.

Tarian ini tidaklah semudah Joget Lambak di Melaka, atau Ronggeng di Happy World Bukit Bintang pada tahun-tahun 50-an dan awal 60-an dulu. Tapi, sekarang Joget Lambak dan dondang sayang masih wujud di Melaka tetapi Ronggeng semakin pupus, elit di Kuala Lumpur lebih senang dengan dangdut. Apakah wabak globalisasi akan melanyak Inang, Zapin, Tari Piring dan lain-lain termasuk lagu-lagu asli “Damak”,“Patah Hati”, “Can Malican Ketipong Payung”, Keroncong dan lain-lain.

Ini era materialisme. Dan semua rakyat berarak perjalanan panjang via Terowong dUaKoSoNgDuAkOsOnG. Tapi tentulah perjalanan ini tak semudah menelan suapan nasi berulam petai dengan mencecah sambal belacan, cencaluk. dan budu.

Banyak ujian dan hambatannya. Ribut taufannya. Ombak dan gelombangnya. Perjalanan telah bermula menuju ke Terowong panjang itu. Sebelum tiba ke terowong, ada jambatan panjang bergemeretap-gemerutup menyeberangi Sungai Masa. Dalam sungai yang keruh-meruh airnya itu, timbul tenggelam buaya tembaga, buaya putih menanti. Siapa yang tercebur jatuh dari Jambatan Waktu yang bergemeretap-gemerutup itu akan tamatlah riwayatnya, dikerkah buaya tembaga, buaya putih yang tak kenal kasihan belas.

Dia dikejutkan lagi dengan suara Aisha tentang puisi yang akan dibacanya. Kereta meluncur terus.. Dia menggetapkan giginya lalu berkata “Emmamalia!”

Aisha menatapnya. “Emmamalia? Siapa Emmamalia, kekasihmu?”

“Hmmm, Emmamalia, gadis petani yang mati berdarah!”

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_03.htm

No comments: