Saturday, March 29, 2008

RATU LAZIUS NIGER

karya
Hamidah Kamaruddin


RATU tunduk.

Demokrasi yang diperjuangkan sudah mati. Sirah dan sejarah sirna sekelip mata. Perkara tidak disangka berlaku sudah pun berlaku. Rakyat bangkit menentang pemerintahan Ratu. Di sana sini, demonstrasi jalanan. Belum pernah dalam sejarah, Ratu Lazius Niger dicabar. Ditentang rakyat jelata selama ini menjunjung Ratu. Belum pernah dalam sejarah pemerintah, istana Ratu diserbu rakyat.

"Siapa dalang di sebalik penentangan jahat ini? Ke mana hilang pengorbanan dan taat setia rakyat kepada Ratu? Siapa menghasut sehingga rakyat tidak berdosa diheret sama." Suara-suara kesal bertanya. Entah apa silapnya penuh laluan, penuh lorong jalanan, rakyat menunjuk protes. Ratu tunduk. Wajah lembut, tenang bertukar rona. Perasaan sebak tiba-tiba menyerang diri.

"Perutusan rakyat kepada Ratu." Suara itu tiba-tiba bergema memadam pertanyaan demi pertanyaan menyesak di benak Ratu. Ratu yang bersuluk tidak menyedari kedatangan Uttu, penasihat setia merangkap pegawai istana. Penasihat kepercayaan Ratu memberi pandangan menangani hal ehwal pemerintahan dalam keadaan senang dan susah. Rahsia istana dan khazanah Ratu semua dalam genggaman Uttu. Ratu yang penyayang, Ratu yang pengasih dirafak sembah.

Di luar, koloni semut hitam gempar. Dari busut ke sarang, dari sarang ke busut hingga ke setiap inci bumi, berita penghapusan etnik koloni semut hitam tersebar pantas. Heboh suku-sakat semut hitam.

Gegak-gempita koloni semut hitam. Semut putih, merah dan coklat serayut pada dahan dan dedaun terpinga-pinga. ‘Aneh,’ desis dalam hati.

"Enam puluh sembilan busut dan sarang semut hitam musnah. Telur-telur bertaburan di sarang dan busut. Busut dan sarang dibina semut pekerja sejak sekurun lalu sirna sekelip mata. Kemusnahan busut dan sarang bersama telur-telur bermakna kemusnahan koloni semut hitam. Sia-sia pengorbanan semut tentera mempertahan busut dan sarang. Madu diberi dibalas tuba," lantang Rav, ketua pekerja semut hitam menjulur sundang.

"Jangan biar pemerintah bersultan di mata beraja di hati. Ayuh bangkit semut-semut hitam. Kita tentang pemerintah zalim. Biar seluruh kerabat tahu rancangan pemerintah melenyapkan keturunan kita." Berapi-api ucapan ketua menggegar keheningan alam. Menguit-nguit sesungut semut hitam mendengar transkripsi ketua.

Semut coklat, semut merah, semut putih terkena tempias feronom ketua semut hitam. Jeritan dan laungan ketua berterusan. Biar semut pekerja melata di batang-batang buruk, tahu. Biar suku-sakat semut tentera di terowong-terowong, maklum. Biar semut perayap bangkit bersama menentang kezaliman.

Diam-diam koloni semut coklat, semut putih, semut merah memasang andaian. Transkripsi ketua koloni semut hitam satu tuduhan berat. Menguit-nguit, bergerak-gerak sesungut koloni semut coklat, semut merah, semut putih memikir punca ketua koloni semut hitam memerangi Ratu.

Semut merah merapati ketua semut putih “Berapa ramai semut hitam dibunuh?” Semut merah tidak pernah melihat barang seekor pun bangkai semut hitam di-mana-mana. Berkerut dahi Kacu, ketua semut merah. Semut putih mengangkat sesungut, menggoyang-goyang ke kanan ke kiri. “Busut dan sarang yang musnah pun tidak kelihatan.” Pus, ketua semut putih mengangkat sesungut ke atas ke bawah beberapa kali.

Rav, ketua semut pekerja bersuara. Semut hitam berkumpul mendengar amanat.

"Semut pekerja sudah mengirim perutusan kepada Ratu." Laung Rav. Bergerak-gerak, menguit-nguit sesungut semut pekerja mendengar.

“Kita tuntut 4 trilion gula daripada Ratu sebagai ganti rugi tenaga dan pengorbanan membina koloni selama ini. Kita dibawa Ratu ke sini untuk jadi hamba. Ratu bertanggungjawab atas kehidupan kita.”

“Setuju! Setuju!” Semut-semut pekerja bersorak.

"Apakah pengorbanan semut hitam mendapat penghargaan sewajarnya daripada pemerintah?” Rav memandang keliling mendamba sokongan.

"Tidak!" tegak sesungut semut pekerja dijulang ke atas.

“Kita sering diperlekeh, dianggap paling daif, duduk pada kasta paling rendah di mata pemerintah.

Kehidupan kita hanya mengabdi diri memelihara telur dan larva. Semut pekerja berkorban jiwa dan raga, sanggup mandul semata-mata ingin melihat Ratu meneruskan kelangsungan koloni semut hitam.” Semut pekerja melepas geram sambil mengungkit tugas dipikul tubuh kecil berbanding tugas berat yang dilaksanakan. Semut pekerja berasa terhina, maruah tercalar.

Terbayang-bayang di mata semut pekerja 4 trilion gula memenuhi kantung. Semakin panjang angan-angan. Tidak perlu lagi mengangkut serasah memenuhi bekalan makanan pemerintah. Tidak perlu bersengkang mata siang malam menjaga telur dan larva. Tidak perlu merayap ke sana, melata ke mari semata-mata mengenyangkan perut Ratu yang semakin besar dan berat di mata semut pekerja. Sorak-sorai semut pekerja gemuruh. Terbayang kekayaan melimpah ruah di depan mata.

Ogo, ketua semut tentera tampil mengambil giliran.

"Semut tentera menuntut habuan sama banyak empat trilion gula. Semut tentera bekerja keras menjaga keamanan seluruh koloni semut hitam. Sentiasa berwaspada terhadap penceroboh. Penceroboh mahu memusnahkan sarang dan mengambil alih koloni Ratu, diperangi. Penceroboh mengidam serasah dibawa semut pekerja ditentang habis-habisan. Semut tentera mahu menikmati kemanisan gula yang selama ini hanya untuk pemerintah." Jerit Ogo seperti komandan memerintah batalion.

Semut tentera bersorak. Terbayang-bayang 4 trilion gula memenuhi kantung. Seperti semut pekerja, semut tentera memasang angan-angan. "Tidak perlu bersengkang mata menjaga telur dalam sarang dan busut. Tidak perlu bersabung nyawa menjaga serasah dan bekalan makanan seluruh koloni." Sorak semut tentera beramai-ramai.

Ratu sugul.

"Dalang menyebar berita tidak berasas. Tiada busut dan sarang semut hitam yang dimusnahkan. Tiada telur, larva semut hitam dirosakkan. Kemusnahan etnik semut hitam sengaja diada-adakan. Sengaja dibesar-besarkan supaya rakyat termakan hasutan dan bangkit memberontak." Ratu yang dikenali lembut bertukar keras. Perbuatan dalang sudah melampau. Kesabaran Ratu sirna.

Semut putih tidak senang dengan dakyah semut hitam. “Satu pembohongan jahat. Sangat jahat,” ia menggenggam tangan. Busut di hadapan bagaikan mahu dilanyak. “Kita mesti tentang pembohongan jahat itu.” Saranannya, semua semut putih membuat usul tergempar. Ketua koloni pekerja, tentera semut putih mengemukakan usul mengutuk penghapusan etnik yang digembar-gemburkan kelompok semut hitam.

Terasa tekanan semakin keras, Rav, menjelajah setiap inci bumi meminta sokongan luar. Ogo, bertindak lebih jauh. Ia mahu mendapatkan bantuan ketua koloni semut coklat, Ocoephylla. Tentera Ocoephylla terkenal gagah perkasa. Bukan mudah menghapuskan semut coklat. Sanggup tidak melepaskan gigitan walaupun dibunuh. Serangan beramai-ramai semut coklat di mata Ogo mampu meruntuhkan institusi pemerintah. Ram, ketua semut perayap bersetuju.

Diberitakan, Ratu akan membuat perutusan. Rav mengarahkan seluruh semut hitam berkumpul.

Terbayang-bayang wajah Ratu di mata kerabat semut. Ratu yang dikatakan sesetengah semut ‘lemah’ tanpa semut pekerja dan semut tentera pasti mengalah dan memberikan tuntutan diminta rakyat. Tidak sabar koloni semut hitam mendapat harta karun yang selama ini disimpan di istana Ratu. Ratu keluar dari tempat bersuluk, menghadap rakyat jelata.

"....rakyat yang dikasihi. Jangan lupa pada sejarah dan sirah nabi. Walaupun kita, haiwan paling kecil di muka bumi, namun sejarah dan sirah tidak pernah melupakan kita."

Ratu bertafakur. Peristiwa Nabi Sulaiman dengan semut terbayang di mata Ratu. Seperti baru semalam, Ratu melihat Nabi Sulaiman dan bala tentera melalui kawasan koloni semut hitam. Suasana jadi gempar. Riuh-rendah jeritan semut ketakutan dipijak tentera Nabi Sulaiman. Ratu terdengar-dengar suara baginda mengarah bala tentera berhenti jauh dari kawasan semut. Baginda menunggu semua semut masuk ke sarang dan busut baharu meneruskan kembali perjalanan. Baginda tidak mahu semut mati dipijak bala tentera.

Begitu kasih Nabi Sulaiman kepada haiwan melata. Seperti Nabi Sulaiman, kasih Ratu pada koloni tidak pernah berbelah bagi. Seperti Nabi Sulaiman, Ratu tidak mahu semut mati berebut gula. Ratu sebak.

Berladung air di mata jernih Ratu. Bagi Ratu, tiada sempadan kasta, tiada batasan darjat. Di mata Ratu semua semut sama - saling memerlu dan diperlukan.

"Wahai rakyat kembali kepada fitrah semula jadi. Kembali tahajud dan bertasbih kepadaNya."
Direnung mata-mata kecil di hadapan satu persatu. “Kembali menjadi semut yang taslim berkasih sayang. Bekerja keras demi meneruskan kelangsungan hidup koloni semut hitam.”

"Ah persetan sejarah dan sirah. Semut hitam tetap kecil di mata pemerintah. Jangan pesona kemanisan Ratu. Ayuh koloni semut hitam kita bangkit menentang pemerintah zalim. Biar pemerintah beri empat trilion gula. Koloni semut hitam tidak perlu lagi bekerja keras dengan gula sebanyak itu." jerit Uttu dengan suara cukup lantang. Wajah Ratu bertukar merah. Badan Ratu menjadi lebih besar di mata semut hitam. Ratu mengepak sayap.

Semut merah, putih dan coklat menggigil.

“Kalau gula yang menjadi rebutan, pemerintah sanggup menyerah khazanah kepada rakyat." Ratu berjanji 4 trilion gula bakal diagihkan pada waktu terdekat. Menguit-nguit, bergoyang-goyang sesungut semut pekerja, semut tentera, semut perayap mendengar janji Ratu.

Malam itu, ketua semut pekerja, semut tentera, semut perayap berpesta. Ratu dianggap lemah tunduk dengan desakan rakyat. Empat trilion gula bakal diagihkan kepada ketua koloni semut. Ketua pekerja, ketua tentera dan ketua perayap menggerak-gerakkan sesungut halus mengira laba bakal dibawa ke busut dan sarang masing-masing.

"Jangan lupa habuan aku," tiba-tiba Uttu muncul menyentuh sesungut Ogo menagih janji.

"Sebahagian kekayaan Ratu milik aku," merah mata Uttu melihat Ram, Rav, Moyo, berpesta menghirup nira.

Uttu yang menghidu perjumpaan sulit itu tidak sanggup berselindung lagi.

"Aku sengaja menyebar berita kemusnahan koloni semut hitam, membogkar rahsia kekayaan istana dan menikam Ratu semata-mata mahukan gula yang tersimpan dalam istana. Tiada siapa antara kamu yang tahu berapa kekayaan Ratu melainkan aku." Uttu menunjukkan taring.

"Seluruh semut pekerja patuh arahan aku. Tanpa pekerja mencari kekayaan tiada 4 trilion dalam simpanan Ratu. Aku, sepatutnya menerima habuan paling banyak antara semua." Rav menyanggah dakyah Uttu.

"Jangan mengarut. Semut tentera paling banyak berkorban. Semut pekerja hanya bertugas memelihara telur dan larva tanpa menghirau keamanan dan keselamatan koloni. Tiada makna kekayaan Ratu jika koloni diancam musuh." Naik turun sesungut Ogo menjulur sundang.

Ram yang diam tiba-tiba menggigil. Tubuh kecilnya tegak.

"Aku berhak mendapat sebahagian besar gula dalam simpanan Ratu kerana semut perayap menjaga dan merawat semut pekerja dan tentera yang cedera. Tanpa semut perayap tentera dan pekerja tidak wujud." Ram bangkit menujah sesungut di muka Moyo.

Sifat tamak menguasai Ogo. Ketua koloni semut pekerja, semut peraya dan Uttu semakin kecil di mata Ogo.

Ogo sanggup membunuh untuk menguasai semua manisan simpanan Ratu. Namun Moyo melihat perebutan itu dengan perasaan membara. Dalam diam dia bertindak. Bom di tubuh kecil sedia untuk dilepaskan. Dua kelenjar raksasa siap sedia mengeluarkan racun. Bom akan diletupkan. Biar semua mati, biar semua tidak merasa manisan Ratu. Moyo pantas melompat merempa Ogo, Ram dan Uttu. Bom di tubuh Moyo meletup.

Sesungut tercabut, tangan dan kaki terlerai, kepala dan badan bercerai. Gula yang hampir dalam genggaman belum pun dimiliki entah ke mana; kini tubuh Moyo, Ram, Rav dan Uttu berserakan.

Di sebalik daun-daun getah kering dan reput, sepasang mata besar memerhati kemusnahan Uttu dan tiga ketua semut hitam. Terowong sempit bergegar bagaikan gempa bumi berukuran 3 skala ritcher Tubuh Ocoephylla cengek. Ia bergerak pantas menuju ke istana Ratu, lalu merafak sembah.

"Kemusnahan koloni semut hitam dan adanya empat trilion khazanah negara disebar dari dalam istana." Ratu diam. Tenang mendengar bisikan Ocoephylla. Uttu yang sentiasa menemani Ratu tidak kelihatan di mana-mana. Ratu mengepak sayap terbang menjejak Uttu. Kebaikan Ratu menjaga dan merawat Ocoelhylla ketika ia hampir mati digigit Ogo dulu terbayang di mata Ocoephylla. Ocoephylla ingin membalas jasa Ratu. Ia membawa kepala Uttu yang terpisah dari badannya yang berkecai lalu diletak di hadapan Ratu.

Di luar, bau pering menguasai deria semut hitam. Semut pekerja menjejak bau busuk dibawa pawana sendu.

Koloni semut gempar. Bau pering rupanya bangkai cebisan tubuh ketua pekerja, ketua tentera, ketua perayap dan Uttu bertaburan di sana sini. Ramai-ramai semut hitam mengusung cebisan tubuh Moyo, Ram, Rav dan Uttu keluar dari terowong rahsia.

“Rakyat yang dikasihi. Mari kita kembali kepada fitrah kehidupan. Hormat-menghormati, bekerja keras mencari rezeki demi kehidupan . Sebutir gula yang diperoleh daripada perahan keringat lebih manis dari seguni yang tumpah ke riba.” Ratu tunduk memandang semut-semut berhimpun. Koloni semut merafak sembah.


Glosari

Bersuluk - mengasingkan diri
serasah - segala jenis kotoran
serayut - bergantungan
merempa - melanggar
cengek - terangkat

Biodata

Hamidah Kamaruddin giat menulis genre cerpen sejak mengikuti Bengkel Kepezi pada 2002. Kini berkhidmat sebagai penyunting di Harian Metro. Telah menghasilkan novel Cinta Penyerahan dan Tragedi. Dua buah novel lagi: Di Atas Puteri Zulaika dan Sakral Belantara sedang dalam proses penerbitan. Cerpen Mesej, Ana dan Golajang pernah disiarkan di media arus perdana.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080330073729/Article

No comments: