Wednesday, May 14, 2008

KETUANAN

“SEJARAH tetap akan berulang kembali, tetap akan tercipta dan dicipta sama ada secara sengaja atau pun secara tidak sengaja kerana sejarah itu sendiri adalah antara rencah kehidupan, pelengkap ketamadunan dan suatu keperluan bagi mencerminkan identiti sesuatu bangsa,” Deroman Dollah yang lebih terkenal dengan Deroman Botak berhujah. Suaranya keras.

Pelanggan warung milik Mamak Punjab memusatkan perhatian kepada Deroman yang memang mereka kenali. Deroman suka berhujah, selain dari banyak membaca, kepalanya yang botak membuktikan dia tergolong dalam bilangan orang yang cerdik dan berpandangan luas.

Setiap pagi selepas membaca halaman-halaman dua suratkhabar berbahasa Melayu dan satu suratkhabar berbahasa Inggeris, dia akan bercakap dan mengulas tentang isu-isu paling baru, termasuklah isu pemeliharaan babi secara besar-besaran yang sangat ditentangnya.

Ulasan panjang lebar, malah bila digambarkan tentang macam mana jantung, hati, kepala dan daging babi yang dipaparkan pada laman web bagi tujuan dagangan menggunakan teknologi maklumat, ada pelanggan warung mamak yang termuntah, seolah-olah haiwan muncung gelebek yang Allah sebut dalam al-Quran larangan memakannya itu sedang dilapah di depan mata.

Dia juga mengulas dengan panjang lebar dan hujah-hujahnya pula munasabah kerana kononnya gara-gara terjebak dengan permainan politik ikut perasaan, permainan politik ikut trend, nak seronok dan terpengaruh dengan retorik, ketuanan bangsa terhakis di beberapa negeri, malah ada tokoh ketuanan yang dibonekakan:, ada kerusi ketuanan tetapi tidak ada kuasa ketuanan.

Maka pemeliharaan babi yang namanya bila disebut pun boleh menjengkelkan bangsa ketuanan telah menjadi keutamaan pelaksana projek gara-gara ketuanan itu sendiri telah berjaya dipermainkan kerana bangsa pertuanan sendiri cuba bermain api, menyebabkan tangan sendiri terbakar, sekali gus bangsa ketuanan tidak mampu untuk tidak dipermainkan.

Hujah-hujah Deroman boleh menyebabkan mereka yang mendengarnya menanah telinga, boleh terbakar hati dan perasaan. Yang ada penyakit jantung boleh jatuh tersungkur dan menggelupur macam ayam kena sembelih, kalau lambat dibawa ke hospital, boleh padam dibuatnya.

Semail Samat atau dikenali dengan Semail ikan kenye mencebikkan bibir menjadikan mukanya yang tak berapa lawa semakin hodoh. Dia digelar Semail Ikan Kenye kerana bila bercakap mulutnya nongek-nongek sebiji macam ikan kenye kena kail.

Dia adalah kawan paling akrab Deroman.

“Mu buta....”

“Tak buta lagi, baru keceng. Itu pun cuma sebelah mata” belum sempat Deroman habiskan cakapnya, cepat benar Semail memintas.

Deroman tergamam. Mulut terlopong dan tergohong.

Semail sendiri kata kalau bukan kerana Jimah Tonggek yang sanggup jadi bininya, mungkin dia tidak akan terasa berbini sampai ke hujung nyawa kerana dia tak lawa macam orang lain, jalannya pula rencak anjing dengan sebelah matanya pula keceng.

Zaman dia muda dulu selain dari calon menantu kena khatam al-Quran dan kena tak tinggal sembahyang, syarat lain lain ialah kena ada rupa, kena comel bagi menantu perempuan dan kena lawa bagi menantu lelaki.

Kononnya bini yang comel atau laki yang lawa akan melahirkan anak-anak yang sedap-kelih, anak-anak yang nantinya bila besar mudah nak berlaki bagi yang perempuan dan mudah pula nak berbini bagi yang lelaki.

Sekarang keadaan dah berubah, cara pemilihan menantu juga dah berubah, asalkan ada banyak harta benda, asalkan kaya raya, ada pangkat dan darjat. Hasil perkahwinannya dengan Jimah, dia dapat dua belas anak, enam lelaki dan enam lagi perempuan.

Anak perempuannya ikut macam emak mereka, tonggek belaka. Pun begitu mana cuma tinggal yang masih bersekolah, lima anak perempuannya yang dah besar lebar, sudah pun berlaki belaka.

Keenam-enam anak lelakinya yang semuanya sudah besar panjang, termasuk yang jalan rencak anjing, yang mata keceng sebelah dan mulutnya juga macam ikan kenyen sepertinya, juga semuanya dah berbini.

Bini anak-anak lelakinya sedap kelih belaka kerana semua anak-anaknya lepasan universiti dan kerja berpangkat besar belaka. Anak buah masing-masing panggil tuan, maknanya anak-anaknya itu jadi boss tempat kerja masing-masing.

Bila dah bertali leher dan berkot, jalan rencak anjing yang tak molek dikelih pun jadi nampak molek, kononnya itu gayanya jalan orang besar-besar, ada gaya tersendiri, tidak stereotaip, tidak klise dalam bergaya dan pembentukan personaliti.

“Aku tak maksud mengata kau, Semail. Apa pun paras rupa kau, itu adalah yang telah ditakdirkan kepada kau. Tidak ada siapa pun berhak untuk mempersenda dan mempersoalkannya. Siapa kau, malah siapa aku dan segala makhluk yang ada di bumi dan di langit untuk mempersoalkan takdir dan ciptaanNya yang pasti ada hikmahnya. Mempersoal, mempersenda atau tidak bersyukur dengan takdir, ketentuan dan ciptaanNya, berdosa.”

“Aku salah sangka rupanya. Aku ingat kau tuding ke aku tadi.”

“Kerana itu dalam berhujah, kau kena benar-benar tahu bahan dan isu yang sedang dihujah.
Jangan mudah cebik bibir atau terlalu mudah salah sangka.”

“Aku minta maaf.”

“Kalau memang ada salah kau kepada aku, maka aku maafkan. Macam mana pun aku rasa kau tak ada salah apa-apa dengan aku untuk aku maafkan.”


Semail tersengih dan ngonek-ngonek mulutnya semakin jilah menyerlah.

“Kalau aku pula ada bersalah pada kau sama ada secara sengaja atau tak sengaja, aku minta maaf.”

“Insyaallah, akan aku maafkan”

“Tadinya aku mahu bercakap tentang sejarah ketuanan bangsa kita. Sebenarnya kalau nak kenal bangsa pertuanan kita, untuk merasa lebih sayang kepada ketuanan kita, bangsa kita kena tinggal di Pattani dan kena kenali masyarakatnya. Aku dah ada pengalaman tinggal di sana, di Krisek yang menjadi pusat keagungan pemerintahan kerajaan ketuanan kita. Aku mencari gali sejarah kehebatan bangsa kita di sana.”

Semakin ramai yang memberi tumpuan kepada Deroman yang pernah berkesempatan tinggal bersama anggota komunis Melayu di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha untuk mencari dan mengenali ketuanan bangsanya.

“Aku berani katakan kebangkitan kehebatan bangsa ketuanan kita dalam membina tamaddun, seiring dengan kehebatan kebangkitan Islam yang menjadi agama anutan bangsa ketuanan kita. Sebenarnya kehancuran Pattani itu adalah antara kehancuran bangsa pertuanan kita.

“Meskipun kini antara kita dengan Pattani berada di dalam suasana politik yang berbeza, namun antara kita dengan Pattani tetap bersama dan ada persamaan ke arah wawasan penyatuan ummah, juga selamanya akan seiringan dalam mengembangkan keagungan Islam di Nusantara.

“Berdasarkan penghisaban dan perkiraan Hassan al Banna, tokoh Ikhwanul Muslimin di Mesir, suasana dunia hari ini meletakan Barat pada kedudukan sedang menuju kepada kehancuran dan Timurlah yang akan mengambil alih kekuasaan dunia darinya nanti.

Profesor Dr.Hamka mengatakan di dalam bukunya Sejarah Islam di Indonesia bahawa kebangkitan Islam di timur tidak diragukan lagi iaitu manakala konflik dan peperangan sudah merata hampir di semua negara-negara umat Islam terutama di kawasan Asia Barat.

“Pemikir Islam terkemuka dari Algeria, Malik Bennabi ketika membincangkan tentang Islamic Commonwealth memberi pandangannya bahawa selepas Perang Dunia II, Islam akan berpusat di Asia Tenggara bukan lagi berpusat di Mekah, Mesir, Baghdad, Turki dan Yaman Selatan.

“Penulis Amerika, Judith Nagata yang membuat kajian ilmiah tentang Islam di sebelah sini memberi gambaran tentang masa depan kebangkitannya Islam yang akan muncul memegang kuasa politik.

“Lee Kuan Yew bekas Perdana Menteri Singapura yang begitu prihatin terhadap “the rising tide of Islam” menyatakan kebangkitan yang melanda ini tidak mungkin dibendung lagi.

“E.J. Brill‘s First Encyclopaedia (1913-1936), di halaman 115 menyebut bahawa umat Islam akan mendatangi seorang ‘pemuda’ yang datang dari sebelah Timur sebagai penyelamat pada akhir zaman.

“Arus kebangkitan Islam nampaknya akan bermula dari sebelah sini. Patani dan Kelantan sebenarnya sudah pun menyediakan tapaknya. Kebanjiran gerakan-gerakan Islam dan wujudnya institusi-institusi pengajian agama mula melanda di merata-rata tempat seperti tumbuhnya cendawan musim hujan.

“Dua negeri kembar ini adalah yang paling menonjol di Timur dan bersungguh untuk mengemblengkan kegemilangan Islam di Nusantara. Kiranya ini menjadi satu kenyataan maka benarlah seperti sabda Nabi s.a.w.,“Akan berlaku pada akhir zaman Islam muncul dari bumi sebelah Timur.


“Bukanlah satu perkara yang mustahil bila tiga buah negeri yakni Patani, Kelantan dan Acheh yang dideklarasikan sebagai negeri Serambi Mekah mampu berperanan kembali dalam kebangkitan Islam ini dan mengulangi lagi detik-detik sejarahnya.

“Perjuangan Tok Kenali di Kelantan, Haji Sulung di Pattani dan Teuku Tjhik Muhammad Dawud di Beureueh adalah sebagai pembuka jalan dan kita kemudian dari merekalah yang kena mengorak langkah supaya tepat sasarannya sebagaimana dalam perancangan orang-orang yang terdahulu.

“Di bumi Nusantara yang sudah lahir baka-baka Bani Jawi atau Al-Jawiyun dari nabi Allah Ibrahim a.s. melalui isterinya Siti Qhatura dari pergunungan Himalaya yang kemudiannya bercantum dengan keturunan Syed Husein Jamadil Kubra, zuriat dari Rasulullah s.a.w., pasti akan muncul warisan-warisan yang akan mengibarkan panji-panji Islam di sebelah sini.

“Ini yang kita kena perjuangkan, yang kita kena jaga, yang kita kena pelihara dan julang serta yang kita kena dipastikan sentiasa terjulang. Segala-galanya tidak akan bermakna apa-apa kalau identiti ketuanan kita hilang di sebalik retorik, kalau kekemarukan dan ketaksuban kita kepada kebenaran Islam pupus dan lupus.”

Deroman berhenti berhujah bila hujahnya tidak disanggah.

“Sejam aku bercakap dan berhujah, sepatah pun tak ada celahan?”

“Aku rasa mereka tak faham apa yang kau hujahkan, macam aku juga yang tak faham dengan apa yang kau hujahkan,” sahut Semail.

“Aku sedang bercakap tentang ketuanan”

“Apa itu ketuanan?”

“Rasa berhak, rasa kitalah tuan kepada bumi warisan nenek moyang ini dan kita kena terus jadi tuan, bukannya jadi perkakas yang diperkakaskan.”

“Perkakas yang diperkakaskan?"

“Hm.”

“Kau buat aku jadi semakin tak faham.”

“Apa yang kau tak faham?”

“Perkakas yang diperkakaskan.”

“Maknanya, kita jangan jadi alat. Kalau jadi ketua, kita kena pastikan kita ada kuasa pemutus. Bukan hanya jadi ketua tetapi kata putusnya orang lain yang buat. Kalau macam tu jadinya, kalau jadi ketua tanpa berpasak dan bertiang-serikan ketuanan, bangsa kita yang jadi ketua akan ibarat mengkarung parut nyior saja. Nothing.”

“Kau fikir itu akan berlaku?”

“Bukan akan lagi tapi telah dan sedang berlaku.”

“Contohnya?”

“Pemeliharaan babi besar-besaran menjadi projek yang disegerakan untuk nantinya bumi warisan pertiwi ini jadi pengeskport babi terkemuka sedangkan haiwan itu bukan sahaja diharamkan memakan dagingnya tetapi memperdagangkan dalam bentuk hidup atau yang sudah siap dilapah adalah haram. Pengharaman memakan dagingnya disebut dalam al-Quran.”

“Jadinya?”

“Ada negeri yang mahu menjadikan ternakan haiwan itu sebagai suatu perusahaan.”
halal

“Kenapa pula utamakan yang haram sedangkan yang halal masih banyak untuk diusahakan?”

“Kerana semangat ketuanan kita mula terkikis dan terhakis. Kerana ada bangsa kita yang jadi ketua tanpa ketuanan. Faktor lain kerana kita gagal menguasai ekonomi dan segala milik kita boleh dibeli.”

“Termasuk kuasa?”

Deroman segera memeluk Semail membuat Semail tergamam dan tersentak. Belum pernah ada orang memperlakukan begitu.

Isterinya sendiri dirasakan tidak pernah ikhlas memeluknya sebagai suami kerana barangkali fizikal yang sangat tidak menarik kurang merangsangkan.

Pun begitu dalam pelukan yang tidak pernah erat kerana pelukan isterinya baginya tidak ikhlas, terhasil juga dua belas orang anak, agaknya kalaulah isterinya memeluknya sebagai eratnya
Deroman memeluknya, dia dapat lebih ramai anak.

“Apa ni?” Soal Semail. Pelukan Deroman yang terlalu erat menyebabkan dia terasa susah nak bernafas.

“Aku terharu, Semail.”

“Terharu?”

“Ya. Sangat terharu.”

“Apa pun lepaskan aku dulu. Aku kena bernafas”

“Kau dah mula diresapi dan tersuntik semangat ketuanan bila kau sanggup berkata benar bahawa antara milik kita yang boleh dibeli adalah kuasa.”

“Aku tak tak faham.”

“Jangan berdalih. Aku yakin kau faham dengan apa yang kau cakapkan. Demi kepentingan ketuanan, kita kena berani berkata benar, Semail.”

“Apa kata benar yang telah aku ucapkan?"

“Kuasa ketuanan kita kini boleh dibeli.”

“Tak kena tangkap aku nanti cakap macam tu?"

“Kenapa pula nak kena tangkap.”

“Tak ke yang aku terlepas cakap tadi tu ada unsur-unsur perkauman?”

“Bangsa yang memiliki semangat ketuanan tulen tidak akan pernah rasa takut untuk bercakap tentang ketuanan. Kalau kau hidup mewah tetapi tanpa ketuanan, nilai kau akan lebih rendah dari seekor haiwan dari sudut nilai ketuanan.”

“Kau....”

“Minta maaf, demi ketuanan, aku kena berkata benar walaupun pahit untuk ditelan, kata-kataku bagi sesetengah orang tajamnya macam seligi batang nibung meradak telinga.”
Semail membisu, hanya mulut seakan mulut ikan kenye sahaja yang ngongek-ngongek. Deroman terus bercakap tentang ketuanan walaupun ketika itu yang ada di warung Mamak Punjab hanya dia dan Semail sahaja.

No comments: