Saturday, May 31, 2008

TAKLIN BUAT UMI

Oleh Tongkat Jibril


Tahu diri

ADA keringat berjatuhan saat dia menyapu sampah di halaman masjid itu. Bahang mentari yang membakar segenap epidermisnya langsung tiada dihiraukan. Bukan sehari dua dia baru melakukan kerja sebegitu. Sudah hampir berbelas tahun dia begitu. Menyapu dan membersihkan dedaunan yang berguguran dalam halaman masjid. Sekejap dia membongkok, menyapu daun di pangkal pokok. Seketika kemudian, dia ada di kolah wuduk untuk mencuci kotoran dan lumut yang melekat.

Sesekali Tok Siak Wahab menghulurkan sagu hati. Mulanya dia enggan menerima, namun setelah memikirkan keadaan uminya yang lumpuh dan memerlukan pendapatan, dia menerimanya dengan seikhlas hati. Namun bukan dengan duit. Cukuplah memberinya barang-barang dapur seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum. Dia lebih senang begitu.

Dia cacat fizikal. Dia tahu dia begitu. Ibunya juga tahu. Orang kampung juga tahu dia dilahirkan sebegitu. Namun dia tidak kisah. Dia tidak mengacau orang, jauh sekali mengusik anak dara orang seperti Manaf, Umair, Farhan dan pemuda kampung yang lain. Uminya tidak pernah mengajar bersifat sebegitu. Berdosa, kata uminya. Dia tidak mahu membuat dosa. Mentelah dirinya begitu, tidak elok melakukan kerja tidak berfaedah. Dia sedar kekurangan dirinya.

Sesekali, dia menyapu peluh dengan sapu tangan yang disangkutkan di leher. Ada dengusan kecil kedengaran daripada hujung bibirnya. Dia bukan mengeluh kerana terpaksa. Dia agak keletihan. Apa tidaknya, hampir lima pengurusan kematian terpaksa disertainya semalam. Hingga bulan merembang, barulah dia pulang.

Dia senang membantu begitu. Sedikit sebanyak, masanya terisi dengan kerja-kerja yang berfaedah dan mulia. Bukan dia yang berkata begitu. Uminya yang menerangkan. Sebab itu dia bersungguh menghulurkan bantuan kepada tok imam. Suruhlah apa saja, pasti dia akan segera menunaikannya. Beli kapur barus, kain kapan, gali kubur, ambil keranda, sediakan tempat mandi mayat, semua dibuatnya tanpa membantah. Dia juga turut mengikut orang menyembahyangkan mayat. Talkin pun dia sudah mahir menghafaznya. Kalau tok imam tak sihat, dialah yang akan menggantikannya. Mula-mula memang semua orang tak yakin. Namun, setelah kematian Haji Dasuki dua bulan lepas, barulah orang tahu. Kebetulan, tok imam demam. Dialah yang membacakan talkin.

Dia akan memastikan semua kerja pembersihannya selesai sejam sebelum masuk waktu solat fardu. Biasanya sesudah mentari terbit ataupun sebelum Asar. Setelah selesai, dia akan membersihkan diri. Dia akan berjalan cepat menuju ke rumahnya. Rumahnya tidak jauh, cuma beberapa puluh langkah dari masjid. Dia berjalan laju walaupun kakinya tempang. Bahu kanannya akan ke atas ke bawah, bila dia berjalan. Kata Din Udang, Yusuf jalan macam monorail di Kuala Lumpur. Langsung tidak dipedulikan kalau orang menegurnya. Itu sebelum masuk waktu. Setelah selesai solat, dia akan kembali seperti biasa. Tegurlah, pasti akan dibalasnya dengan senyuman. Senyuman yang membariskan giginya yang keputihan namun ada sedikit lompong di sana-sini. Dia ramah, tidak pernah marah jika ditegur.

Dia selalu datang awal ke masjid. Duduk saf paling depan, ke kanan sedikit membelakangi imam. Jikalau kelapangan, dia akan membaca Al-Quran. Kalau orang yang baru pindah ke kampung itu, pasti dia tak akan percaya. Suaranya, merdu sekali. Boleh bertanding untuk qari Al-Quran Malaysia. Kalau Bilal Musa lambat, dialah yang akan azan dahulu. Azannya sungguh menyentuh kalbu. Dia mengumandangkannya dengan penuh khusyuk dan tangisan. Seikhlas hatinya yang suci. Pernah Imam Soleh, imam masjid itu lambat untuk mengimamkan solat kerana terlalu sedih apabila mendengar dia mengumandangkan azan. Menangis orang tua itu menemuinya.

Waktu petang jika tiada tugas, dia akan membawa kedua-dua kambing biri-birinya bersiar-siar. Seekor jantan dan seekor betina. Dia akan membawanya meragut rumput di padang meragut Haji Rahman Senu. Di situ ada beberapa ekor lembu milik orang tua itu. dia tidak terus membawa kambingnya ke situ, sebaliknya meminta izin daripada Haji Rahman Senu dahulu. Jikalau haji tiada, dia akan membawa kambingnya ke hujung kampung. Di situ, ada rumput yang tumbuh meliar. Dibiarkan si kambing meragut sampai kenyang. Cukup tahun, jual. Tak pun, sembelih saja buat korban. Kalau ada anak kambing yang baru lahir, dia akan menjaganya sampai besar. Tapi, setakat ini belum ada hasil lagi. Mungkin lagi sebulan dua... semua tu kuasa Allah SWT.

Malam berlabuh, dia akan berada di rumah bersama uminya. Selepas solat Isyak, dia akan menanti kumpulan anak-anak kecil mengaji di rumahnya. Dia bukanlah ustaz, namun tahu serba sedikit bab hukum tajwid. Itupun, dipelajarinya dari kelas mengaji dan tafsir al-Quran pada setiap pagi Jumaat. Syeikh Maulana Sulaiman. Orang Arab Madinah. Sudah sepuluh tahun berkampung di situ. Itupun atas ihsan pejabat agama negeri. Sudah beristeri dan mempunyai lima orang anak. Isterinya, anak saudara Tok Siak Wahab juga.

Nasib badan

Uminya lumpuh separuh badan. Dari kaki sampai ke pinggang. Kemalangan lima belas tahun lepas. Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan itu. Waktu itu dia baru sepuluh tahun. Dialah yang menyara uminya hingga sekarang. Ambil upah menoreh getah, menebas rumput, memetik buah nyiur, semuanya jenuh dilakukan. Dia tidak kisah, asalkan dapat sesuap nasi buat uminya. Dia anak tunggal. Dia tahu semua itu. Kalau bukan dia yang menjaga uminya, siapa lagi? Nak diharapkan saudara-mara, habis semuanya lari. Kalau dulu, berharta, ada kereta besar, rumah besar, hari-hari bertandang ke rumah. Sampai tak cukup tanah datang berziarah. Pinjam duit daripada ayah dan umi. Buat bisnes itulah, meniaga di sinilah, bayar yuran anak ke universitilah. Tapi sekarang tiada lagi. Semuanya menghilangkan diri. Hutang entah ke mana. Lesap macam tu aje....

Umi kata dia tak mahu mengungkit. Dia ikhlas menolong saudara-maranya. Pernah Yusuf tidak balik ke rumah kerana marahkan umi. Dia hairan kenapa umi masih sayangkan hubungan saudara walaupun mereka dah lama putuskannya? Dia marah bila umi menggadaikan rantai pusaka nenek semata-mata untuk mendapatkan duit bagi membantu sepupunya, Johan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Alih-alih, budak tu kena tangkap sebab menghisap dadah. Dia tipu umi. Dia tipu Yusuf. Dia tipu semua orang.

Yusuf tahu, namun sudah berputus asa. Dia cuba mengkhabarkan, namun uminya tetap berkeras. Kata Imam Soleh, Yusuf tidur di masjid setelah kepenatan menangis di pusara ayahnya. Bersusah-payah umi berjalan dipapah Mak Cik Hanum menuju ke masjid. Yusuf menangis, sujud di kaki umi. Dia tak sangka umi sanggup bersusah ke masjid mencarinya. Dia pegang kaki umi dan meraung sekuat hati. Semua orang termasuk Bilal Musa, Imam Soleh, Tok Siak Wahab menitis air mata bila melihat Yusuf begitu. Yusuf anak yang baik. Yusuf anak mithali. Yusuf tak pernah menyakiti orang lain.

Nostalgia

Satu hari di bulan Ramadan, Yusuf diganggu Manaf, Umair, Farhan dan gengnya. Waktu itu, Yusuf baru pulang dari menebas kebun Wak Dali. Dia memikul seikat buluh untuk dibuat lemang. Puasa. Dia penat. Dia nak balik cepat. Waktu berbuka sudah hampir. Apabila dia lalu di hadapan Manaf dan teman-temannya, dia disepak pemuda kampung itu. Tersungkur menyembah bumi. Mereka mentertawakan Yusuf. Yusuf hairan, namun tidak membalas. Bersusah-payah dia bangun lalu cuba melangkah semula. Kali ini, giliran Umair pula yang menyepak. Yusuf jatuh lagi. Dia masih bersabar. Kata umi, Allah bersama orang yang bersabar. Dia bangun kembali.

Bila hendak melangkah, giliran Farhan pula menendang. Namun, tendangannya tersasar. Yusuf berang, terus libas mereka dengan buluh panjang. Manaf luka di kepala, Umair terbelah lengannya, Farhan tertusuk buluh runcing di kaki. Banyak darah keluar. Yusuf naik minyak. Dia tendang perut Manaf sampai pengsan. Dia hentak Umair dengan hulu parang sampai bengkak-bengkak. Dia tolak Farhan masuk dalam tali air. Nasib baik tak lemas. Rakan-rakan mereka yang lain, habis lari lintang-pukang. Yusuf naik minyak! Yusuf naik minyak! Jerit mereka.

Habis mengamuk, Yusuf angkat kembali buluhnya. Dia melangkah pulang tanpa memandang ketiga-tiga kutu kampung itu. Umair dan Farhan melolong kesakitan. Mereka menjerit meminta tolong, namun tiada seorang pun datang menolong.

"Padan muka! Menyusahkan orang aje," kata Haji Lutfi.

"Memang patut si Yusuf buat macam tu. Budak-budak ni dah melampau!" Kata Mat Sarji ketua pemuda kampung. Yusuf pulang dalam keletihan. Dia sempat singgah di warung Pak Uda Seman, membeli juadah berbuka puasa. Bila pulang, dia hanya membisu sahaja. Umi tidak bertanya kerana memikirkan Yusuf letih.

Bila Tok Penghulu Ramli datang ke rumah, barulah umi mengamuk. Tok Penghulu Ramli bawa anaknya Manaf, nak minta maaf. Belum sempat minta maaf, umi panggil Yusuf. Umi malu sangat-sangat. Umi pukul dan rotan Yusuf dengan buluh kecil depan tok penghulu. Habis berbekas seluruh badan Yusuf dengan kesan buluh. Yusuf meraung, namun umi tak hiraukan. Bila tok penghulu menghalang dan jelaskan segala-galanya, umi terkejut besar. Yusuf separuh mati dikerjakannya. Yusuf merangkak, sujud di kaki umi. Yusuf janji takkan pukul orang lagi. Yusuf tak mahu umi sedih. Yusuf tak mahu umi marah-marah. Ada darah mengalir di kaki dan tangan Yusuf. Umi lapkan dengan selendang batik. Yusuf pengsan malam itu juga.

Suratan Ilahi

Hari itu, Yusuf baru hendak keluar rumah pergi ke kebun getah Haji Sahak untuk menoreh. Seperti biasa, dia mengetuk pintu bilik umi. Mahu bersalaman. Memang dia biasa begitu. Sudah diasuh sedari kecil. Lama dia mengetuk, umi langsung tidak membalas. Dia menguak pintu. Dia lihat uminya masih bersimpuh di atas sejadah. Umi masih bertafakur. Yusuf berdiri di muka pintu, menanti uminya selesai. Lama dia menanti, namun umi langsung tidak bergerak. Yusuf hairan. Dia merapati uminya. Mata umi terkatup rapat. Umi duduk bersimpuh tanpa bergerak. Yusuf merasa nafas ibu dari hidung menggunakan jemarinya. Tiada. Digerakkan tubuh umi. Umi terjelepuk di atas ribaannya. Yusuf mengerti, umi sudah tiada lagi. Umi sudah kembali menghadap Ilahi. Innalillahiwainnailaihirajiuun....

Yusuf membaringkan umi di atas tilam usang. Dia melaung nama Mak Cik Hanum. Umi dah meninggal dunia, katanya. Mak Cik Hanum terperanjat. Yusuf meminta wanita itu menjaga jenazahnya sementara dia pergi memanggil tok imam. Dengan jalan yang terhincut-hincut, Yusuf menuju ke rumah Imam Soleh. Air matanya tidak menitis. Dia biasa sahaja sewaktu mengkhabarkan kematian ibunya. Lama-kelamaan, seluruh kampung mengetahui kematian uminya. Ramai orang datang, memenuhi teratak buruk Yusuf. Mereka menguruskan jenazah uminya. Yusuf hanya memerhatikan dari jauh. Dia tidak berkata apa-apa.

Al-Fatihah

Di perkuburan, Yusuf masih membisu. Dia memandang wajah umi dan mengucup dahinya sebelum jenazah diusung memasuki lahad. Umi seakan tersenyum. Yusuf dapat menangkap senyuman di bibir umi. Ada bau harum semerbak hadir saat jenazah dimasukkan ke persemadian terakhir. Semua orang dapat menghidu baunya.

Saat Imam Soleh mahu membacakan talkin, Yusuf mampir dan meminta untuk diizinkannya membaca talkin. Sebelum ini, dia sering membaca talkin untuk jenazah orang lain. Kali ini, biar dia yang membacakannya. Sewaktu membaca talkin buat umi, air matanya menitis. Dia tidak meronta, cuma sedikit terkilan kerana tidak berada di sisi umi sebelum nafas terakhirnya. Dia mengeraskan suara bacaannya. Semua orang menangis mendengar suaranya membaca talkin. Menusuk jiwa. Dia menyiram air mawar setelah pembacaan talkin selesai. Air mata dihapuskan serta-merta.

Orang kampung mula meninggalkan tanah perkuburan setelah semuanya selesai. Cuma tinggal Yusuf, Imam Soleh, Tok Siak Wahab, Bilal Musa dan Mak Cik Hanum. Yusuf memeluk nisan batu sungai uminya. Dia mengucup nisan batu sebelum menghadiahkan al-Fatihah buat uminya. Dia bingkas bangun, menggulung tikar mengkuang sebelum menapak pergi bersama-sama mereka. Dari jauh, dia seakan terlihat lambaian terakhir uminya. Yusuf tersenyum sendiri. Selamat tinggal, umi....

-----------------------------------------------------------------------

PROFIL:
Muhammad Alyas Abdul Jalil

TONGKAT Jibril, nama pena bagi Muhammad Alyas Abdul Jalil yang dilahirkan pada 27 Februari 1989. Beliau terbabit dalam genre cerpen dan novel. Novel pertamanya, Nobat Kasih diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006. Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, ini kini menuntut dalam Jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Melaka.

No comments: