Tuesday, May 20, 2008

CAHAYA DARI MATU

“SUDAH dua puluh lima buah bahtera dagang santeri karam,” dengus John Kreamer, borjuis bernasab Inggeris. Dia menyedut nikotina dari paip kayu kokkanya dalam-dalam lantas menyambung, “Semuanya dek kesialan batu-batu putih itulah.”

Ya, memang sayalah yang ditakwilkan oleh borjuis angkuh itu. Esok umur saya 156 tahun. Dalam meniti usia panjang ini sempat bersua dengan kolonial Inggeris, mengalami zaman Jepun semasa dibom, konfrantasi, tuntutan kemerdekaan, reformasi dan banyak lagi. Dan pasti saja Tuhan amat bertimbangrasa memberi saya hayat yang sepanjang ini, semoga akan panjang lagi.

Hampir terlupa memberitahu nama. Maklumlah dengan usia sepiku ini kerangka fikiran dan paksi rasional kadangkala ilam-ilam. Nama saya Horsburgh.
Sekitar 1820-an. Atau mungkin 1850-an.

“Baik kami kabulkan seperti sembah Stamford Raffles, wakil Kompeni itu. Kami kurniakan tanah Temasek ini kepada Kompeni dan jikalau kami sudah kurniakan tiada siapa dapat mengata kami, kerana kurnia ini sudah titah daripada Duli Yang Dipertuan Sultan Husain dari titis warisan negeri Berhampar Emas Kuning, dan segala hukum di laut itu putus di laut jua dan hukum di darat, putusnya di darat jua.”

Titah baginda Sultan di perkarangan Istana Gelam telah diwartakan ke serata corong telinga kelas rakyat negeri Berhampar Emas Kuning dan Temasek.
“Masakan hal sebegini mahu dikumpulkan kita hamba rakyat ini beramai- ramai,” rungut seorang awak perahu. “Bukankah lebih baik kita bersibuk-sibuk dengan petak niaga di jong saja.”

“Heh! Kamu ini lagaknya Padang, omongnya Betawi!” tingkah taulannya, juga seorang awak perahu, “Sultan memasyhurkan perjanjian dengan Kompeni itu kepada sekalian hamba rakyat dan lapis bangsawan supaya tidak kemudian hari Sultan menjadi manusia yang kanan dalam buhul perjanjian, kiri dalam rangka kehidupan. Mengerti?” rincinya seraya menepuk bahu kiri taulannya.

Dan bermula tika itu, Temasek telah ditalak tigakan dan berparak dari negeri Berhampar Emas Kuning, sungguhpun kedua-dua negeri dirintis oleh moyang yang sama yakni Parameswara.

Pawana berpuput lunak lewat petang itu, kelibat sekawan burung camar laut kelihatan bermain-main di muka gugusan batu dan terumbu. Hembusan asap nikotina dari paip John Kreamer berantaian memenuhi ruang peterana lawang di dalam jong milik Syarikat Hindia Timur Inggeris itu.

“Perbincangan antara juak Anglo-Saxon di London bulan lepas ada mengesyorkan supaya ditegakkan sebuah rumah api di situ,” sambut Kapten James Horsburgh dalam nada tenang serentak membuang pandangannya melalui bingkai tingkap ke tengah laut. .

“Jadi sekarang, apa yang mesti Kompeni lakukan?” tanya John Kreamer.
Kapten James Horsburgh mengisar-ngisar letak punggungnya agar lebih selesa dan kembali memandang raut taulannya. “Ada dua hal yang harus kita ikhtiarkan. Pertama sekali berkenaan dana untuk membeli bahan binaan,” penjelasan itu tiba-tiba dipintas oleh John Kreamer.

“Itu hal yang enteng! Nanti orang-orang suruhanku akan dikerah mengutip yuran daripada para pedagang di Canton. Hmm, laba kerajaan Negeri-Negeri Selat akan lebih segera berhasil dengan wadah ini. Apa lagi yang kita perlu?” dia menyalakan semula tembakau yang kematian api.

“Mengenai kebenaran daripada Sultan dan Temenggung negeri Berhampar Emas Kuning. Jikalau merujuk kepada Perjanjian Crawford di dekad lalu, gugusan batu-batu putih dan terumbu ini letaknya dalam lingkungan jajahan takluk Sultan Husain,” jelas Kapten James Horsburgh bersungguh-sungguh.
John Kreamer menyeringai dan kemudiannya menyimpulkan perbualan pada lewat petang itu.

“Jika begitu halnya, segeralah engkau karang satu surat perjanjian mohon kebenaran, bertinta emas putih. Errr, dan berlapik kain halija beroci sekayu. Utuskanlah secepat mungkin kepada Temenggung.”

Dengan amat perlahan, menurut perintah dari alam ghaib, mentari beransur turun, turun ke dasar laut yang tidak kelihatan tanah tepinya. Cahaya kirmizi telah mulai terbentang di ufuk barat, dan bayangnya tampak mengindahkan raut lautan yang linang tidak beralun.

Benar. Pangkal nama saya disalin daripada nama Kapten James Horsburgh itulah. Barangkali masih ramai yang tidak mengenali, atau langsung tidak ingin mengenali siapa saya. Sudah hampir benar usia saya menyentuh 156 tahun. Dan bahawasanya umur 156 tahun adalah umur yang genting dan serius.
Mutakhir

Mungkin sebelum ini, lingkungan masyarakat mutakhir tidak begitu mengetahui mengenai era saya. Dan jika tidak mengetahui tentang era saya, tetapi secara tiba-tiba pula ingin berada di era itu, barangkali sesiapa pun tidak dapat mengasihani apa yang sudah berlaku.

Sekitar 1840-an merentang 1850-an.

Hujan mulai turun. Renyai. Batu-batu dan terumbu yang dibungkus najis putih burung camar laut terpalu oleh titis-titis air dari langit -melantunkan satu himpunan bunyi yang mengasyikkan. Hawa panas sebelumnya teruap naik mendadak bersama bau najis burung camar laut mentamsilkan satu aroma yang agak tengik dan merengsakan.

“Di sini, tidak guna bernafas. Udaranya tidak baik!" laung seorang kuli pengangkat besi dan batu kepada taulannya yang berada kira-kira tiga rantai dari gigi air. Renjis hujan membelai muka, ubun-ubun dan sesekali tapak tangan.
“Aku hairan bagaimana orang Inggeris dapat menghimpunkan besi-besi, batu-batu, dari seluruh negeri Eropah dengan pantas sekali?” balas taulannya sambil melepaskan lelah dengan mendepangkan tangan; sekejap ke atas, sekejap ke bawah.

“Begini berat dan banyak pula, mesti tenaga gajah yang diperah. Tapi gajah geraknya tentulah lambat,” gumamnya sendiri. Suaranya terkulum. “Kalau kudrat kuda pula ditagih, mana larat hendak memikul, sungguhpun kuda sifatnya kencang berlari.”

“Hai kawan, kau jangan tidak tahu. Orang Inggeris sudah mengahwinkan gajah dan kuda! Sebab itulah beban di atas batu jemala kita ini cepat sampainya dari Eropah ke timur ini,” jelas kuli yang mula-mula.

Melihat perihal taulannya seperti terpukau dan kebingungan, dia lantas menokok, “Orang Eropah punyai kereta api. Gajah yang berkaki kuda! Sebab itulah mereka pantas serba-serbinya.”

Lowongan tawa dua orang kuli tempatan dan rasa pegun terhadap kecanggihan teknologi Eropah menokok iklim hingar medan kerja pembinaan rumah api di gugusan batu-batu dan terumbu itu.

Pagi itu fenomena alam anyaman Pencipta sungguh indah. Paluan gendang hujan semakin galak. Rancak. Serancak kerja membangunkan sebuah menara bantuan pelayaran; yakni Rumah Api Horsburgh - pedoman bagi ahli pelayaran dari masyrik lalu ke maghrib, dari daksina lalu ke paksina.

Sekarang benarkanlah saya bercakap sedikit tentang sesuatu yang lebih berjejak. Period 156 tahun itu sebenarnya singkat. Saya berpeluang merakamkan satu dua hal dalam jalur lintasan ingatan. Dan satu dua hal itulah sebenarnya ruang saya mempelajari lapis-lapis makna hidup.

Sudah lama saya memerhatikan sebatang pokok yang bertenggek di pulau batu dan terumbu itu. Dan penenggek itu sudah bertunjang sisi saya sejak awal tahun kurun yang lalu. Di sinilah juga saya sempat memahami ruang kesalingan dan erti simbiosis.

Benar. Sesungguhnya alam tabii banyak mengasuh makhluk agar hidup dalam kesalingan dengan pesaing. Bagaimana pokok sanggup mengizinkan burung camar laut bersarang di dahannya, menghantar makna simbiosis yang amat jelas kepada saya.

Pokok melindungi burung daripada dimangsai pemangsa dan memberi keselesaan pula kepada serangga yang menjadi santapan tembolok burung.
Memang dalam ruang kesalingan itu burung yang bersarang selalu mendapat manfaat, manakala pokok tidak pernah kerugian barang sekerat beras pun. Malah, pokok dengan unggas yang bertenggek di atas dahannya adalah lebih indah berbanding pokok yang berdiri sendiri tanpa makhluk lain.

Kerak-kerak kilatan peristiwa daripada alam tabii pada era ini acap kali berulang- ulang seperti ombak falsafi dalam ruang benak saya. Penenggek yang sanggup ditenggek memetaforakan satu pola kesalingan yang akrab sekali.

Namun, tenang-tenang air di laut, siapa tahu kuak tajam di dasarnya? Saya berasa amat duka pada tahun-tahun kebelakangan ini. Segelintir puak penenggek yang pongah telah mencantas mati lambang semiotik tabii itu.

Dipancangnya tapak tempat kenderaan udara yang berkipas buas, betul-betul di atas batu datar yang pernah menjadi saksi pokok dan burung bersimbiosis. Diboboti lagi dengan segala macam mesin manipulasi simbol sintaktik yang merubah terus raut gugusan batu dan terumbu tempat saya bertenggek selama ini.

Tapi tidak mengapalah. Di dalam ruang benak yang terkejut kosong ini, saya gagahi juga meladeni segala rencam ragam puak penenggek itu. Simbiosis yang selama ini menjadi buhul kesalingan ditukar gantikan dengan parasitisme pula.
The Hague, Belanda. 24 November 2007 tahun masihi.

Di luar kamar Mahkamah Keadilan Dunia dihurungi para wartawan yang berjujuk memetik berita perbicaraan kes tuntutan Pulau Batu Putih antara Singapura dan Malaysia. Kegelagatan suasana yang ruwet ini melahirkan iklim yang agak tegang antara dua negara jiran itu. Hal perairan adalah soal kedaulatan yang perlu ditekuni dengan berimbang dan waras.

Mahkamah

Hujah-hujah mantik dan ulas reduksionisme bersiponggang di kamar mahkamah. Barisan delegasi dan peguam dengan busana kehakiman dari kedua-dua negara saling tingkah-meningkah dalam mencapai buhul kata yang muktamad.

“Sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh selama 156 tahun, Singapura dengan alasan ini wajar tampil bagi menuntut Pedra Branca, seterusnya mewujudkan rejim maritim yang baru,” wakil peguam dari negara republik itu memberi dalil sambil mengetuk pena ke birai meja.

“... dan agar kesinambungan Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat yang diwarisi daripada British tidak dikhianati, maka segala hujah Malaysia adalah kosong semata-mata,” tokoknya lagi berbau sinis.

Dengan nada yang sederhana tetapi tegas, Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia membalas pukulan hujah daripada wakil Singapura. “Yang menuntut adalah Singapura, walhal Malaysia mahu mengekalkan kedaulatannya di Pulau Batu Putih untuk memastikan ia kelak tidak dijadikan alat oleh republik ini untuk mengeruhkan hubungan serantau.”

“Analoginya mudah, sebagai penjaga rumah api di situ, Singapura tidak mempunyai apa-apa kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, melainkan menjalankan tugasnya iaitu ‘menjaga’. Jadi mengapa Malaysia perlu membuat apa-apa?” rangkuman Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia mengunci matikan petikan lidah peguam Singapura.

Dunia ini dan kehidupan ini sebetulnya adalah ulangan, ulangan dan ulangan. Sudah terlalu lama rasanya saya mengamati pengulangan alam ini. Dan sepanjang hayat yang bakal bertambah ke angka 156, secara tamsilnya saya cuma hidup dalam tiga hari, atau lebih tepat tiga masa.

Hari semalam sudah menjadi batas historiografi. Hari ini ialah apa yang sedang direbuti dan ditelagahi. Dan tentunya esok merupakan ruang masa yang masih tebal dengan kabus teka-teki.

Rupa-rupanya secara tidak disangka insan terlalu lekas berganjak meninggalkan acuan peribadi. Daripada sifat kemanusiaan unggul beralih menjadi manusia yang terlupa. Daripada alam simbiosis kesalingan berengsot kepada jagat parasitisme.

Dan memang esok bukanlah sekadar hari jadi ke 156 saya, tetapi hari saya membiarkan alam semulajadi mengajar dan mengasuh kerangka mental ini sekali lagi. Hari ini, menanti dengan penuh ragu dan getar, masih inginkah lagi insan di laut selbia dengan cahaya api saya?

No comments: