Karya
SALMAN SULAIMAN
www.pemainbahasa.- blogspot.com
Tariq, teman kami yang tabah. Keras hatinya untuk terus melawan tentera Yahudi seperti kerasnya batu-batu jalanan di bumi Baitulmaqdis ini.
Batu yang selalu kami kutip untuk melontar tentera Yahudi. Aku ingat benar ketika kami sama-sama mengusung jenazahnya dengan linangan air mata ke kawasan tanah lapang yang dijadikan perkuburan, tempat yang telah menyimpan ratusan jasad warga Palestin yang tidak berdosa. Itu berlaku baru beberapa minggu yang lalu tatkala menjelang asar Hari Raya Aidilfitri yang ketiga.
Tetapi kami tahu, hati tentera-tentera Yahudi yang kami lontar setiap pagi itu lebih keras lagi daripada batu-batu jalanan ini. Tariq selalu bacakan kepada kami firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 74 dan 75 yang bermaksud, “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.
Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
Beriman
(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?”
Aku ingat benar puisi yang pernah ditulis Tariq di atas pasir di depan bangunan sekolah kami yang runtuh pada suatu pagi sebelum kami memulakan perang melawan tentera Yahudi yang sangat kami benci.
Sebelum memulakan perang setiap pagi yang kami wajibkan kepada setiap anak-anak yang sama-sama belajar di sekolah kami yang separuh runtuh, Tariq akan bacakan puisinya itu dengan penuh semangat.
Laungan dan getar suara Tariq menaikkan semangat kami untuk lebih berani melawan tentera-tentera Yahudi. Sehabis dia membaca puisinya dengan begitu bersemangat, kami sama-sama bertakbir melaungkan kalimah Allahu Akbar! Setelah mendengar laungan sokongan dari kami, kami dengar Tariq lebih bersemangat lagi membaca puisi yang ditulisnya sendiri itu.
Kami mahu menjadi Khalid Al-Walid
kami ingin sekental Usamah bin Zaid
kami mahu menjejaki Salehuddin Al-Ayyubi
dan kami mahu menemui
Hamzah singa Allah.
Biarlah harga tanah yang suci ini
kami bayar dengan darah kami sendiri
biarlah darah kami yang merah
mengiringi kami berangkat ke syurga Allah.
Kami tidak gentar dengan si celaka Yahudi
tentera pengecut dan
penakut yang takutkan mati
tapi kami anak-anak Palestin
sangat merindukan syahid.
Kami tidak pernah takutkan peluru
yang kami takutkan ialah Allah Yang Satu
jangan harap kalian dapat mengusir kami
dari tanah bersejarah yang kami sayangi ini.
“Laa tahzan innallah hama‘ana! Tariq berlari dengan berani menuju ke kawasan gerombolan askar-askar Yahudi yang sedang berkawal dekat bangunan sekolah kami yang hampir berkecai. Kalimah Allah yang bermaksud, “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita,” dari surah At-Taubah ayat 40 itulah yang tidak putus-putus diucapnya.
Aku nampak ada beberapa ketul batu di kedua-dua tangannya dan Tariq begitu bersemangat sekali. Kami kawan-kawannya tahu bahawa dia memang tidak pernah gentarkan mati. Semakin lama semakin laju langkah lariannya. Dan setelah begitu hampir dengan musuh, dia berhenti seketika – memusingkan badan dengan penuh keberanian dan melontarkan batu-batu di tangannya ke arah tentera bersenjata yang berdiri mengawal dekat bangunan sekolah.
Setelah habis batu-batu di tangannya dilontarkan, dia kembali berlari ke tempat kami berkumpul. Kami lihat salah seorang tentera Yahudi itu menghalakan muncung senapangnya ke arah Tariq dan dia melepaskan tembakan rambang yang kemudiannya mengenai bangunan serta rumah-rumah yang ditinggalkan.
Salah satu peluru itu memakan tubuh Tariq dan di depan kami dia rebah tersungkur menyembah bumi. Dengan kalimah Allahhu Akbar, kami usung jenazah teman kami yang syahid itu untuk disemadikan.Dan dengan linangan air mata kami restui pemergiannya ke hadrat Pencipta sambil kami juga menyimpan cita-cita untuk ikut syahid sepertinya.
Kini aku merindukan suasana pagi yang manis sebelum kami sama-sama berjalan kaki ke sekolah yang terletak hanya kira-kira sekilometer dari rumah. Aku rindukan kelibat Tariq yang tidak pernah luntur dengan semangat jihadnya. Aku rindukan Syifa’, gadis kecil manis yang pintar. Aku rindukan Taha, teman sepermainan yang periang. Aku juga sangat-sangat rindukan Abi yang kasihnya pada kami sekeluarga tidak dapat kami bayar dengan harta dunia.
Talhah, abang kami yang sulung sudah setahun syahid setelah mengorbankan dirinya dalam gerombolan tentera Yahudi yang sedang mara mahu meruntuhkan rumah di perkampungan kami yang hampir ranap dan musnah. Ketika Umi menitiskan air mata sebelum abang Talhah memulakan misinya meletupkan diri, abang Talhah bacakan ayat 216, surah Al-Baqarah kepada kami, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan (ingatlah), Allah jualah yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui.” Dan Umi hanya mampu terdiam sambil mengesat air mata kepiluan. Dan Umi menjadi semakin faham bahawa anak sulungnya itu memang terlalu rindukan syahid.
Masih terngiang-ngiang kata-kata Abang Talhah bahawa dia rindu untuk berada di sisi roh Syeikh Ahmad Yassin yang syahid dibunuh tentera Yahudi dengan kejam menggunakan peluru berpandu pada bulan Mac 2004 yang lalu selepas menunaikan solat subuh. Abang Talhah juga mahu bersama-sama Tariq di dalam syurga – teman kami yang sangat berani itu.
Walaupun Abang Talhah memilih mati dengan meletupkan bom yang dililitkan di pinggangnya, tapi kami tetap merelakan perbuatannya itu setelah Abang Talhah melegakan kami semua dengan sebuah hadis Nabi s.a.w, “Sesungguhnya seorang syahid itu diberi tujuh kelebihan. Diampuni dosa-dosanya bersamaan dengan titisan darah yang pertama. Dia dapat melihat tempatnya di syurga.
Dia diselamatkan dari azab kubur. Dia selamat dari ketakutan yang besar (pada hari hisab). Dia dipakaikan mahkota kebesaran, sebuah permatanya lebih baik dari dunia dan seisinya. Dia dinikahkan dengan 72 orang bidadari. Dia diberi izin untuk mensyafaati 70 orang keluarganya.” Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dalam Sahih Al-Jami’.
Bosan
Abang Talhah sudah bosan menunggu segala macam usaha perdamaian yang pernah dilakukan oleh pemimpin Palestin dan Israel. Ketika Yasser Arafat masih hidup lagi pun, tidak putus-putus perjanjian perdamaian ditandatangani, tetapi hampir setiap minggu ada saja warga Palestin yang mati ditembusi peluru Yahudi – tidak kiralah di Jabaliya, Semenanjung Gaza, Ramallah, Beit Hanun atau di Genting Gaza. Biarlah Perdana Menteri Israel Ehud Olmert dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas terus saja berunding dan berunding tetapi kesabaran Abang Talhah sudah sampai ke kemuncaknya dan aku pernah mendengar dia berkata, “Biarlah kedamaian itu kita nikmati di syurga.
Abang mahu membelinya dengan darah dan nyawa. Abang menunggu kalian di sana.”
Abi sudah dua tahun tidak pulang, ditangkap tentera Israel yang tidak berhati perut. Abi mereka tangkap di depan mataku. Mereka pukul Abi dan mereka hentak kepala Abi dengan senapang.
Apalah sangat yang boleh aku lakukan waktu itu. Tiga orang tentera Yahudi yang lengkap bersenjata itu memukul aku bertalu-talu. Aku hanya mampu melihat dengan linangan air mata ketika tubuh Abi diseret pergi oleh tentera Yahudi dengan kasar sekali.
Faruqi, jiran kami yang berusia lewat 30-an, turut ditangkap tentera Zionis yang langsung tiada belas kasihan – dibebaskan menjelang Aidilfitri, pulang membawa berita penahanan selama dua tahun lebih dalam penjara Zionis. Tetapi Abi masih juga belum dibebaskan dan masih dikurung dalam penjara Zionis yang penuh dengan pelbagai penyeksaan dan layanannya seperti binatang.
Faruqi menuturkan kepada kami pengalaman pedihnya selama berada dalam tahanan di penjara Zionis. Pada wajahnya yang muram dan sayu, kami dapat membaca kepedihan yang ditanggungnya selama dalam tahanan. Pada air mukanya, tergambar rasa geram dan bencinya yang meluap-luap kepada askar Yahudi yang tidak berperikemanusiaan itu. Dia diseksa hampir setiap hari. Dia pernah diikat di kerusi dan tidak dibenarkan tidur selama berhari-hari.
Dia hanya dibenarkan memakai seluar dalam sahaja dan diletakkan di dalam bilik yang dipasang muzik yang terlalu bising memekakkan telinga. Lebih teruk lagi, tahanan juga dipaksa membuang air di dalam seluar mereka dan muka mereka ditutup dengan pakaian yang dikotori najis dan muntah.
Ada yang diseksa dengan dipukul kemaluannya dengan belantan getah yang mengakibatkan kesakitan yang amat teruk. Para tahanan itu pula diseksa oleh para penyeksa tahanan yang terlatih melakukan penyeksaan mental dan fizikal. Mendengar apa yang diceritakan Faruqi menambah benci kami kepada tentera-tentera Yahudi.
Cerita Faruqi mengingatkan aku pada ayat Allah yang lain dalam surah al-Ma‘idah, sebahagian dari ayat 64, “...dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”
Esok pagi, kami akan keluar ke jalanan lagi, mengutip batu-batu buat melontar tentera Yahudi yang gila perang itu. Nyawa kami hanyalah mainan mereka kerana bagi mereka membunuh manusia selain bangsa Yahudi akan mendekatkan diri mereka kepada Tuhan. Pegangan mereka adalah kitab Talmud yang sesat, yang mereka tulis dengan tangan mereka sendiri.
Dikarang
Di dalam Talmud yang dikarang sendiri oleh pendeta mereka yang bernama Yahuza Naasi itu tertulis, “Keadilan akan berlaku jika Yahudi membunuh seluruh umat manusia kerana ia adalah sebesar-besar korban yang patut dilakukan untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan. Sebagai balasan, mereka akan kekal di dalam syurga. Tetapi, sesiapa yang membunuh seorang Yahudi, seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruh alam.”
Kami akan tetap teguh mempertahankan bumi Palestin yang tercinta ini. Tanah Baitulmaqdis ini akan tetap kami pertahankan kerana di sinilah tempat yang pernah dilalui Nabi s.a.w menuju Tuhannya Yang Maha Esa. Masjid Al-Aqsa yang mulia ini tetap tidak akan kami relakan ianya dirampas oleh sesiapa pun.
Masjid yang pernah menjadi saksi perjalanan Nabi s.a.w ke sisi Tuhannya. Umi selalu bacakan kepada kami ayat pertama daripada surah Al-Isra’, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Kami rasa sangat benci dan menyampah melihat lebai-lebai Yahudi yang berjanggut panjang, misainya seperti misai kucing dan berkopiah kecil di puncak kepala atau memakai semutar dan jubah hitam – hampir-hampir menyamai imam-imam orang Islam dan ulama Muslim yang kami cintai. Tapi kami tetap akur dengan amaran Allah dalam kitab suci al-Quran bahawa mereka adalah kaum yang degil dan terlalu jahat. Kenyataan Allah itu jelas sekali pada ayat 82, surah Al-Ma‘idah, “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”
Kami sudah lama menunggu pemimpin-pemimpin negara Arab yang pengecut itu bertindak tapi ternyata hingga kini mereka masih juga tidak berbuat apa-apa. Ada yang lebih sanggup menghabiskan duit beratus ribu hanya kerana menyambut hari lahir kucing daripada membantu saudara sesama Islam yang sedang menderita diserang dan dianiaya musuh.
Jika sekiranya seluruh penduduk dunia Arab yang berjumlah ratusan juta itu bersatu – termasuk rakyat Oman, Syria, Kuwait, Libya, Maghribi, Tunisia, Mesir, Qatar, Yaman, Arab Saudi, Jordan, Tunisia, Lebanon dan beberapa negara Arab yang lain lagi – memadailah walau hanya sebiji batu seorang yang mereka gunakan untuk melontar tentera Yahudi, sudah cukup untuk mengalahkan askar-askar Israel laknatullah itu.
Biarlah batu-batu di jalanan ini saja yang tetap terus menjadi saksi. Biarlah batu-batu di jalanan ini yang kekal menjadi bukti bahawa kita tetap melawan walau sekadar mengutip batu-batu di jalanan sebagai peluru perang. Dan inilah juga saksi kita di hadapan Allah, bahawa kita tetap tidak merelakan tanah darah kita yang tercinta ini dirobek-robekkan, kita tidak pernah menghalalkan jasad kita orang-orang Islam dilanyak-lanyak dan kita tidak pernah rela darah kita ditumpahkan. Walau hanya dengan batu-batu di jalanan, kita mesti tetap terus melawan.
GLOSARI
Abi - ayah.
Umi - ibu.
Mingguan Malaysia, 9 Mac 2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm
Sunday, March 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment