Saturday, March 1, 2008

KALAU JADI ORANG

Oleh
RAHIMAH MUDA
Berita Minggu 10 Februari 2008




RUMAH agam Tuan Ho meriah setiap kali Tahun Baru Cina menjelang. Tanglung besar merah bergantungan di beranda. Kain merah disimpul pada kedua-dua hujung penaka kelopak bunga sakura sebelum digantung di atas jenang pintu utama.

“Hu hu hu ha huhuu … Huhu haha hu huhuuu …” Kakinya terketik-ketik mengikut irama lagu Gong Xi Fatt Chai yang melenggok-lenggok keluar menari dari corong radio. Bunyi hon peraih ikan, daging dan sayur segar, kuat menerjah telinga. Tuan rumah sebelah keluar menahan peraih. Amah di rumahnya jarang membeli, kecuali jika lauk habis. Isteri Tuan Ho lebih suka membeli di pasar. Kalau keluarga Tuan Ho berpergian lama, dia diberi makanan awet dalam tin.

Dia enggan makan walau disorong jiran. Mana mungkin dia makan daripada pinggan lain kecuali pinggannya sendiri? Tidak mahu tidur kecuali di rumahnya sendiri. Enggan makan daging plastik bermutu rendah. Dia mahu yang terbaik. Daripada makan, minum, tempat tidur hingga kepada rantai leher, semua mesti teratur dan bagus. Ada gaya dan kelas tersendiri.

“Jangan harap aku mandi sendiri.” Ujarnya kepada Wang Wang yang diam di hadapan banglo Tuan Ho. Ada amah yang memandikannya. Bersiar-siar juga ada yang menemani. Andai sakit demam, terus dibawa ke doktor terbaik di kota kosmopolitan ini. Antara yang termahal kos perkhidmatannya.

Dia dipertuankan. Bukan merempat seperti nenek-moyangnya dahulu malah terlalu dimanjakan dan disayangi. Segala kehendaknya dituruti. Setiap kali melengking, ramai yang takut. Hatta mendekatinya pun ramai yang segan apatah lagi mengganggu. Walaupun di rumah besar Tuan Ho itu, dia satu-satunya yang bukan sedarah sedaging, tetapi dia disayangi benar.

Sesiapa sahaja yang melihat roman wajahnya, membandingkan pula dengan roman wajah Tuan Ho, akan terus berkata, keduanya memang tiada pertalian keluarga. Telinganya lebih capang daripada telinga Tuan Ho. Hidung Tuan Ho lebih mancung daripada hidungnya. Matanya lebih bulat daripada mata ketua keluarga Ho itu. Malah warna kulit kedua-duanya lain benar. Macam langit dengan bumi. Namun dia paling bertuah kerana dia sudah lama dianggap sebahagian daripada keluarga Tuan Ho. Satu penghormatan paling besar.
Sejak kecil, Tuan Ho mengasihinya. Memberi penuh kebebasan. Pernah Ling, anak gadis Tuan Ho meminta izin Tuan Ho membawanya ke bilik. Tuan Ho kurang setuju, tetapi sesudah Ling merengek-rengek dengan wajah manja, ditokok dengan bujukan isterinya yang manis, akhirnya dia diajak tidur sebilik. Kakak Ling tidak berani melarang. Abangnya juga takut menentang. Apa lagi amah yang baru lima bulan berkhidmat dengan keluarganya. Malah amah itu disuruh menghidangkan makanan untuknya. Juga di bilik. Terbeliak mata amah berkulit sawo matang itu melihat dia berlingkar dalam selimut Ling.

“Amboi …!” Amah menggiatnya. Dia mengenyit mata, mengusik nakal amah yang belum pun mencecah usia tiga dekad. Dia berbaring megah dengan senyum kejantanannya di ranjang gadis berkulit putih dan gebu. Alangkah bertuahnya dia!

Memang dia rasa bertuah. Lebih bertuah daripada orang biasa yang hanya mampu menghuni rumah setinggan. Yang cuma mampu bersesak-sesak tinggal di rumah pangsa yang sempit. Dia tinggal di banglo besar. Jauh lebih bertuah daripada rakyat Iraq yang diburu peluru setiap waktu. Jauh lebih mewah daripada kehidupan berjuta-juta orang kulit hitam mahupun kulit berwarna di serata dunia. Tidak pernah kebuluran seperti berjuta manusia gelandangan yang terpaksa berkongsi sekeping roti dengan sahabat senasib.

Pada hematnya, Tuan Ho hartawan terpelajar. Bicaranya berhemat. Tutur kata diselit falsafah. Tamsil ibaratnya berisi makna tersirat. Perlu dikupas bersih-bersih sebelum difahami makna bicaranya yang berlapis-lapis.
Petang Tahun Baru Cina cemerlang dalam langit kuning jingga. Dia paling awal melangkah ke ruang tamu, bersimpuh lima jengkal dari kaki Tuan Ho.

“Gong Xi Fatt Chai …” Ling mengangguk di hadapan Tuan Ho yang duduk di sofa besar berukir kayu mahogani merah. Ukiran kayu disalin menyerupai ukiran Dinasti Ming. Figura naga daripada bongkahan kristal berkilau disoroti lampu tumpu kecil di meja bulat daripada marmar di sisinya.

“Gong Xi Fatt Chai, papa.” Dua perjaka bujangnya mengucap hampir serentak. Tuan Ho mengangguk. Isteri Tuan Ho datang dengan senyum lebar. “Gong Xi Fatt Chai.” Sempat isterimya membetulkan ceongsam sempit berbelah tepi sebelum duduk di kerusi besar sebelah Tuan Ho. Warna merah terang ceongsam memantul di muka meja marmar putih.

Tepat seperti yang diduga, Tuan Ho memberi amanat. Satu amalan yang menjadi kelaziman Tuan Ho setiap kali menyambut Tahun Baru. Tuan Ho tidak mahu Ling dan anak isterimya melupakan adat resam yang dibawa dari Guazhong semasa moyangnya mengambil keputusan meninggalkan kemiskinan di belakang kehidupannya seratus empat puluh musim terdahulu. Dengan tekad kuat, moyangnya berlayar ke Temasik sebelum berkebun gambir dan lada hitam di Tanah Ujung Medini.

“Kalau jadi orang, jadilah orang yang baik. Tidak busuk hati. Gelojoh dan tamak jangan sekali-kali. Kalau jadi anjing, jadilah anjing yang baik. Tidak gelojoh berebut daging dan tulang.” Mata Tuan Ho memandang Ling dengan kasih sayang, namun nada suaranya tegas.

Dia memandang Tuan Ho dengan rasa kagum. Nasihat lelaki itu ditelannya. Mendengar dengan sabar dan kepala dingin. Tuan Ho tidak mahu dia mengulangi kesilapan anjing dalam kisah Anjing dengan Bayang-bayang. Dek kerana tamak haloba, anjing melepaskan tulang yang sedang demi untuk merebut tulang lain yang digonggong oleh bayang-bayang yang disangka seekor anjing lain.

Tuan Ho sering mengingatkan agar dia tidak menggigit paha sesudah diberi betis. Tauke kereta mewah itu mahu dia berhati suci. Kalau boleh Tuan Ho mahu tubuhnya juga sentiasa bersih. Bersih daripada kudis, apatah lagi kurap.

“Jika jadi orang, jadilah orang yang tahu nilai-nilai kemanusiaan. Jika jadi anjing, jadilah anjing yang tahu menghargai nilai-nilai keanjingan.” Tuan Ho menatap keluarganya bergilir-gilir.

“Manusia yang baik tahu menghormati sahabat sekampung. Menyanjung budi orang lain. Anjing yang baik menghormati sahabat sekandang. Menyanjung budi rakan-rakan seperburuan. Tidak makan sembarangan kecuali yang diunjuk. Tidak minum melainkan yang halal diteguk.” Isteri Tuan Ho membelek gelang jed hijau yang diselang-selikan kristal rose quartz di pergelangan tangan kiri. Dia teringatkan mendiang ibu Tuan Ho yang pernah menegur menantunya itu, selang dua Tahun Baru terdahulu.

“Tenaga chi masuk dari tangan kiri, mengalir keluar melalui tangan kanan.” Kerana teguran mendiang juga, kolam dibina di laman rumah agar menepati feng-shui. Sempat dia merindui nyonya yang kuat menggenggam amalan suku Teochew itu.

“Kalau jadi orang, jadilah orang yang setia. Patuh kepada pemimpin. Kalau jadi anjing, jadilah anjing yang patuh kepada tuannya.” Tuan Ho memandangnya. Kepalanya sebentar diangkat perlahan, sebentar diturunkan perlahan. Tuan Ho senyum. Mengusap-usap kepalanya sebelum mencuit hidung Ling.

“Orang baik menjauhi perbuatan mungkar, melakukan perkara-perkara baik. Taat perintah tuhan. Tidak mudah angkuh dengan kebendaan.” Pesan Tuan Ho, kalau mahu jadi orang baik, usah jadi hamba kepada kekayaan. Tidak takut mengakui kesilapan. “Anjing yang baik pula tetap setia kepada tuan yang pengasih. Tidak terbabas daripada sifat-sifat molek kehaiwanan. Takkan melengking sembarangan. Tidak menyalak pada yang tidak. Tidak menggigit pada yang sakit.”

Amanat Tuan Ho didengarnya dengan cermat. Tidak sekalipun dia menyampuk seperti sesetengah orang. Apatah lagi menganjing-anjingkan Tuan Ho. Dia tunduk. Matanya terkelip-kelip. Kedua-dua tangan diletakkan ke hadapan dengan tertib. Kedua-dua kakinya bersimpuh sopan. Dia tetap duduk penuh adab hingga semua penghuni beredar ke meja makan.

Ketika bermenung malam itu, kata-kata Tuan Ho terngiang-ngiang di telinganya. Wajah Tuan Ho yang lembut tergambar di mata. Macam-macam bermain di benak sehingga dia terlena dalam peristiwa yang berulang-ulang dan sesetengahnya dia memang kurang mengerti. Untuk menjadi yang terbaik, dia memilih untuk kelihatan mengerti. Berusaha untuk mengerti biarpun bukan semua difahami ertinya. Setidak-tidaknya dia boleh menjaga hati orang yang memeliharanya. Memberi kasih sayang dan kepercayaan yang tidak pernah berbelah bahagi.

Derianya menghidu sesuatu. Berkali-kali dia menggeliat malas, tetapi matanya terpejam. Telinganya menangkap bunyi desup-desap. Kantuk memberati bibir mata namun dia menggagahi diri bangkit. Dalam samar-samar, dia melihat sesosok lembaga menyusuri beranda di tingkat dua rumah.

“Ling?” Dia menelah. Mana mungkin gadis itu berjalan terhendap-hendap begitu. Dia menggeleng.

“Tuan Ho?” Tidak mungkin dia merayap dalam kegelapan, bisik hatinya.

“Amah atau isteri Tuan Ho?” Ah, bukan.

“Siapa?” Hatinya berdetak. Dadanya berdetup-detap melayani curiga. Dia serba-salah. Ada perkara buruk bakal terjadi. Dia dapat merasakannya. Dia tidak boleh menunggu lagi. Akhirnya dia bersuara nyaring, mengejutkan semua orang.

“Hoo hoho hooi…!” jeritnya.

“Hoho..hoho..hoohoooi…!” Pekikannya lebih kuat. Bunyi bising di tingkat atas seperti orang bergaduh. Lampu dinyalakan. Terang benderang.

“Pencuri, pencuri! Tolong, tolong!” Nyaring suara Ling memecah sunyi malam. Diikuti pekik suara garau dan nyaring lain. Dia turut melolong menggegar pintu pagar. Amah yang diam di tingkat bawah berkejar membuka pintu pagar. Dia terus menjerit.

Jiran-jiran datang. Ada membawa parang, cangkul dan tongkat. Ada membawa cortar dan buluh ampaian kain, malahan ada juga yang membawa penyapu dan rotan. Pendek kata semua orang datang dengan senjata masing-masing, gaya tersendiri. Sebentar kemudian polis sampai. Penceroboh dibawa pergi. Sesudah burung meninggalkan sarang, sesudah penghuni dan jiran meninggalkan rumah mencari rezeki, barulah dia terlelap, menyambung tidur yang tergendala.

Hidungnya menghidu bau enak. Perut terasa lapar dek aroma sesuatu yang sungguh dekat dengannya. Dia memaksa diri bangun daripada tidur yang amat lena dan menyenangkan. Otot matanya meregang dua kelopak mata yang payah dipisahkan. Dia menyungging senyum lebar. Dalam mangkuk di hadapannya, dihidang juadah kegemarannya. Mentari tegak di langit.

Ketika mengunyah suara amah bertubuh rendang meletus-letus membertih keluar. Jiran sebelah rumah yang dibatasi pagar batu yang diukir lubang-lubang kecil berdiri mengadapnya.

“Rupa-rupanya pencuri itu bukan orang lain, tetapi pekerja Tuan Ho sendiri.” Suara amah jelas menerjah koklea telinganya.

“Suruhlah Tuan Ho guna kamera tersorok. Bukankah lebih mudah? Boleh cam penceroboh, tahu apa yang dibuat orang dalam rumah.” Jiran sebelah rumah menyambut bicara.

“Hish … kalau nampak semua, waima hendak salin baju pun takut. Kalau gambar disalin orang, dijual pula ke pasar malam, susah. Apa lagi kalau ada aksi terlampau.” Amah berdesis, bibir atasnya terangkat, menyeringai.

“Entahlah ...” Dia meneleng kepala ke kanan dan ke kiri. Kesal dengan hakikat yang didengarnya sebentar tadi.

“Lebih baik menjadi seekor anjing yang setia kepada manusia daripada menjadi manusia yang tidak kenal makna setia.” Kata jiran Tuan Ho sebelum menghilang ke dalam banglonya.

Memang benar. Dia mengangguk-angguk. Anjing lebih tahu berbudi kepada manusia. Dia sendiri tidak pasti adakah Tuan Ho masih mahu mempercayai manusia sesudah kejadian itu. Apakah manusia sudah hilang kasih sayang dan sifat-sifat kemanusiaannya sudah kabur?

“Alangkah bagus jika manusia terus jadi manusia yang baik dan dia terus menjadi anjing yang baik.” Dia menyimpul resolusi. Bunyi detap telapak kaki menghampiri.

“Dia seekor anjing yang baik!” Tuan Ho dan dua orang lelaki beruniform biru gelap, bertopi hitam berdiri di hadapannya. Sepucuk pistol bergetar-getar di pinggang dua lelaki beruniform, mengikut gerak tubuhnya. Isteri Tuan Ho, Ling, abang-abangnya dan dua orang jiran tersenyum menatapnya. Dia tersenyum megah. Tahun Baru Cina sesudah lima tahun mendiami rumah agam Tuan Ho. Benar kata Tuan Ho. Dia tidak mahu lupa diri. Enggan dibuai ego dan kemewahan yang dipinjamkan kepadanya.

“Ya, aku mahu terus menjadi seekor anjing yang baik!” Hatinya bersenandika sambil mengunyah daging yang lembut dan enak itu tanpa menoleh-noleh lagi. Wang Wang mengiau nyaring mencakar-cakar pagar.


PROFIL: Rahimah Muda

RAHIMAH Muda memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Cerpen Sempena 50 Tahun Kemerdekaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru diumumkan pada minggu lepas. Beliau yang terbabit dalam genre puisi, cerpen turut muncul sebagai naib johan Pertandingan Menulis Esei Johor 2006, Juara Sayembara Menulis Cerpen Sejarah Johor 2006 dan Skrip Terbaik Pertandingan Monodrama Johor 2007.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080210091521/Article/

No comments: