karya
Mohd Hashim Osman
SIDANG Juri Siragaraga. Papan penunjuk mengarah hala ke Balai Persidangan, sebelah kanan bangunan Kompleks Kewibawaan Negeri.
Ketua Juri menarik nafas lega. Semua yang dijemput, hadir termasuk seorang yang peringkat awalnya enggan 'mencemar martabat'.
Setelah mengerling pandang wajah-wajah juri yang mengelilingi meja mesyuarat berbentuk ‘U’ itu, Ketua Juri mengatur bicara, akan tujuan dan tugas mereka dijemput ke persidangan. Kemelut resah bertampuk-tampuk dalam hati. Yang berada bersama-samanya bukan sembarangan. Bukan seperti sidang sebelum-sebelum ini.
Ya, mereka berkumpul; bersidang untuk memilih bola baru untuk digunakan dalam liga permainan bola siragaraga di peringkat Negeri Ternama. Bersidang, memilih bola siragaraga baru untuk menggantikan bola-bola lama yang telah lunyai digunakan selama hampir satu dekad dalam liga sebelum ini.
Bola siragaraga, permainan warisan yang satu ini perlukan kemahiran tinggi serta serba kecekapan. Ketangkasan mata, kecekapan kaki menimbang, kepintaran akal mencari ruang perlu seiring dalam satu kespontanan. Manakala seni permainannya pula dikatakan mampu membina keperibadian kerana setiap langkah dan gerak badan punya falsafah-falsafahnya yang tersendiri.
“Main bola siragaraga ini mampu mengasuh nilai budi anak-anak bangsa,” begitulah suara-suara pengamal permainan ini.
Waktu dulu-dulu, main bola siragaraga ini menjadi kegilaan anak-anak tempatan. Kecil besar, tua muda, bebal dan pintar, semua tak lepaskan waktu senggang. Setelah warga-warga asing datang, berasimilasi dengan masyarakat tempatan, mereka perkenalkan permainan mereka yang akhirnya membawa satu macam keseronokan. Akhirnya. bola siragaraga hanya menjadi mainan terpencil di ceruk-ceruk negeri, oleh kelompok-kelompok yang terpinggir. Oleh kelompok yang ‘tiada wawasan’, dakwa mereka yang sudah kemandulan jati diri.
“Dalam sidang tiga hari ini, saya harap saudara-saudari dapat meneliti, menimbang fikir, untuk memilik bola-bola baru untuk dijadikan bola rasmi dalam liga negeri kita ini. Satu pesanan saya, pemilihan bukan saja bersandarkan kualiti bola, saiz serta bentuk, tapi yang paling penting ialah ...” Ketua Juri menarik keresahan perlahan-lahan,” ... sesuai dan mampu dimainkan oleh pemain-pemain muda kita yang bakal bersaing dalam liga.”
Pemilihan dimulakan. Ini merupakan pemilihan terakhir, daripada beberapa siri pemilihan sebelum ini. Kali ini pemilihan dipastikan muktamad.
“Saya harap pemilihan kali ini betul-betul pemilihan bola. Bola yang betul-betul sesuai dimainkan anak-anak muda zaman kini. Kecelaruan dalam pemilihan lalu harus dijadikan pengajaran.” Itulah amanat penting yang diterimanya daripada Menteri Hal Ehwal Permainan Negeri.
Sebagai memenuhi hasrat menteri, dia merancang satu mekanisme pemilihan yang dijangka lebih telus dan mulus. Kesilapan lalu tidak akan diulangi. Itulah tekadnya setelah menyambut watikah pelantikannya sebagai Ketua Juri. Satu jawatan yang panas kerusinya.
Setelah melalui siri tapisan, di hadapan barisan juri jemputannya terdiri empat kategori bola siragaraga yang dikelaskan mengikut daerah pembuatannya iaitu Wilayah Utara, Wilayah Timur, Wilayah Barat dan Wilayah Selatan.
Empat kategori bola ini pula akan dipilih oleh juri-juri yang dipilih khas iaitu empat orang pemerhati yang juga peminat setia permainan bola siragaraga; empat wakil Jurulatih yang bertanggungjawab melatih anak-anak muda dalam permainan ini, empat orang Pengadil yang sering mengadili pertandingan peringkat negeri; empat orang pembuat bola yang sering memenangi hadiah pameran bola siragaraga yang diadakan saban tahun. Kelompok muda ini diketuai seorang tokoh wanita bersuara lantang yang dikenali sebagai Srikandi Teja.
Ketua Juri sedikit terkilan, apabila hanya berjaya membawa seorang sahaja pembuat bola siragaraga paling hebat, yang telah mendapat gelaran BAPAK SIRAGARAGAWAN daripada Ratu Negeri, setelah tiga orang lagi mengisytiharkan untuk ‘menguzurkan diri’.
Pada hari pertama, balai sidang yang dingin sepi, apabila hampir kesemua juri berada dalam penuh ketelitian.
Hari kedua, sebaik Ketua Juri selesai mengalu-alukan kesetiaan para juri, balai sidang diterpa suatu dengusan.
“Sudah! Kita begitu membazirkan diri dan tenaga. Membuang masa untuk meneliti kesemua bola yang berada di hadapan kita.”
Tersentak! Kesemua juri memanggul kepala, mencorong pandang ke arah pelontar suara yang memancung sepi.
“Apa maksud Bapak Siragaragawan?” ujar Ketua juri penuh hemah.
“Kita membazirkan masa, tenaga untuk menilai kesemua bola yang ada. Kita sendiri tahu bahawa bola siragaraga dari Wilayah Selatan ini begitu rendah mutu kerjanya. Saya fikir kesemua bola kerja tangan dari Wilayah Selatan ini dibakulsampahkan saja, tanpa perlu dinilai lagi!” juih bibir Bapak Siragaragawan, sambil mengunjuk-ngunjuk sampel yang dimaksudkan sebelum melontar tepat masuk ke bakul sampah yang berada di sisinya.
“Bravo! Setuju ... setuju!” satu sorakan dengan iringan tepukan menampar gegendang telinga. Semua juri berpaling ke arah kelompok empat orang pembuat bola yang kian menempa nama dalam pembuatan bola yang berkualiti tinggi.
“Saya setuju dengan kata-kata Bapak Siragaragawan. Kita sepatutnya tidak membuang masa dan daya fikir untuk meneliti bola yang tidak bermutu langsung itu,” lantang bersuara Srikandi Teja disambut anggukan teman-temannya yang tiga lagi.
Ketua Juri memandang sekeliling, mengharapkan reaksi lain.
“Bagaimana yang lain?” ujar Ketua Juri.
“Barang kali ada benarnya juga akan kata-kata Bapak Siragaragawan sebentar tadi. Tugas kita para juri akan menjadi lebih senang,” rumus wakil kelompok Pengadil.
“Saya tidak mengatakan tidak setuju. Cuma ... ,” ujaran wakil jurulatih yang bertubuh agam dan bermisai nipis tu tersekat sejenak.
“Cuma apa?” pemuda yang terkenal dengan panggilan Mat Kasturi, dalam kelompok Srikandi Teja tampak kurang sabar.
“Jangan cepat membakulsampahkan kerja tangan orang lain. Kalau nak tolak pun, tolaklah dengan hikmah. Ada hujah, ada alasan, ada fakta. Biar sidang ini nampak berwibawa, nampak berakal, bukan sidang permainan emosi.”
Ketua juri mengangguk. Hatinya membenarkan. Bapak Siragaragawan pula rasa dirinya disimbah lumpur.
“Kita terima pakai pandangan Bapak Siragaragawan dan wakil jurulatih sebentar tadi. Bola dari Wilayah Selatan terpaksa diketepikan. Saya sendiri akan mengambil tanggungjawab untuk menyenaraikan faktor dan rasional tentang penolakan itu.” Ketua Juri buat kesimpulan dan keputusan.
“Mengapa tidak kita terus saja pilih bola siragaraga buatan tangan dari Wilayah Utara yang telah diperakui berkualiti tinggi? Mutu yang tidak perlu dipertikaikan lagi?” lantang suara Mat Kasturi. Ketiga-tiga rakannya mengangguk tegas.
Bapak Siragaragawan rasa kembang tiba-tiba, sebaik wilayahnya disebut dipuji. Ya, seluruh negeri tahu, seluruh penduduk tahu, malah Ratu Negeri juga amat-amat tahu, Wilayah Selatan begitu sinonim dengan bola siragaraga yang tak perlu diragui mutu buatannya.
Jalinan rotannya halus dan kemas serta dianyam tiga lapis itu sudah pastinya pantulannya hebat. Meskipun begitu, dengan rupa bentuknya sedikit bujur lagi keras pula, tentunya hanya orang-orang yang berpengalaman luas serta mahir sahaja dapat menimbang dan memainkan bola siragaraga tersebut dengan baik.
“Saya fikir, ada baiknya bola siragaraga dari Wilayah Timur turut dipertimbangkan dan diberi penelitian. Buah tangan dari daerah itu saya lihat setanding dengan hasil tangan wilayah saya di sebelah Utara. Meskipun pembuatnya masih muda, apa salahnya kita terima pakai,” Bapak Siragaragawan melontar pendapat.
Kali ini giliran Srikandi Teja, Mat Kasturi dan dua rakannya pula melebarkan senyum. Sudah pastinya Wilayah Timur berkait rapat dengan peribadi mereka.
“Maksud Bapak Siragaragawan, kita tolak juga hasil tangan Wilayah Barat?” Ketua Juri merenung tepat ke arah lelaki berusia emas itu.
Bapak Siragaragawan jadi serba salah. Sekonyong-konyong dia mengalih pandang ke arah pemuda-pemudi dari Wilayah Timur. Mereka saling berpandangan.
“Yang dihormati Ketua Juri, adalah tidak bijak kalau kita nafikan kualiti unggul bola siragaraga buatan tangan dari kedua-dua wilayah Utara dan Timur. Namun, perlu diingat asas pertimbangan sidang kita bukan semata-mata tentang kualiti. Kesesuaian dengan anak-anak muda yang bakal bertanding dalam liga itu juga perlu diambil kira,” celah seorang jurulatih yang bertubuh kurus tinggi sambil menanggalkan kaca matanya.
“Jadi?” Srikandi Teja kelihatan tidak puas hati.
“Yang dihormati Ketua Juri, apa salahnya kalau bola siragaraga buatan tangan Wilayah Barat kita pertimbangkan. Hasil perbincangan kami, berdasarkan pengalaman beberapa tahun melatih anak-anak muda kita dalam permainan bola siragaraga, hasil buatan Wilaya Barat juga punya kelebihan.”
“Dengan rupa yang bulat penuh, dianyam selapis dan serba ringan itu, saudara-saudara jurulatih hendak ketengah sebagai mainan anak-anak muda kita?” sanggah Mat Kasturi.
“Tahukah saudara-saudara, dengan menggunakan bola buatan tangan Wilayah Barat itu nanti, secara langsung akan meletakkan martabat permainan warisan ini di tahap yang rendah dan secara langsungnya ...,” Mat Kasturi menghela nafas amarahnya.
“Saudara cuba menghina Bapa-Bapak Siragaragawan kita yang telah menyumbang jasa dalam permainan tradisi bangsa kita!” jerit Srikandi Teja disambut tepukan meja dua lagi rakannya yang tidak pernah bersuara itu.
Bangun pula Jurulatih Ketiga bertubuh sederhana rendah dan berjanggut sejemput di dagunya. “Yang kami maksudkan, ialah apa salahnya jika kita gunakan ketiga-tiga kategori bola bagi pelatih-pelatih kita. Anak-anak muda kita baru sahaja mula mengenali kembali permainan bola siragaraga, permainan tradisi nenek moyang. Tentulah sukar bagi mereka untuk terus menggunakan bola siragaraga dari Wilayah Utara yang terkenal itu.”
Mata Bapa Siragragawan kelihatan mencerlung tajam ke jurulatih ketiga itu. Begitu juga keempat-empat pemuda-pemudi dari Wilayah Timur. Mereka seperti menunggu masa menyerang kumpulan jurulatih empat orang tersebut.
“Yang dihormati Ketua Juri, kita bimbang sekiranya anak-anak muda terus disuguh menggunakan bola yang berkualiti tinggi, mereka akan menjadi bosan dan hilang minat. Akhirnya permainan tradisi ini kembali tidak diminati oleh generasi muda. Kembali dimainkan di pinggir-pinggir kampung”
“Ahhh ... itu semua karut!” bentak Bapak Siragaragawan. “Mengapa pada anak-anak zaman dahulu tidak pernah pertikaikan soal remeh temeh itu?”
“Kami rasa itu semua alasan semata-mata. Kami tidak setuju sekali-kali sekiranya bola buatan tangan Wilayah Barat diguna pakai dalam liga akan datang. Tidak!” Srikandi Teja menggeleng kepala.
“Kesenian dan kehalusan permainan akan hilang. Anak-anak muda kita menjadi semakin tidak kreatif. Mata akal mereka jadi tumpul. Matlamat kita untuk melahirkan pemain yang berkemahiran tinggi serta berkeperibadian tinggi tidak akan tercapai.”
Suasana sidang semakin panas. Ketua Juri terpaksa menangguhkan sidang yang berlarutan hingga lewat malam.
Pada pagi sidang hari ketiga, Bapak Siragaragawan tidak muncul. Hasil laporan menyatakan beliau berkemas pulang. Enggan meneruskan khidmatnya. Kecil hati.
“Bukankah telah saya katakan, tindakan saudara-saudara jurulatih telah menyinggung perasaan Bapak Siragaragawan,” Srikandi Teja kembali menghangatkan suasana pagi itu.
“Bagi kami selaku pihak pengadil, apa yang diketengahkan oleh barisan jurulatih ada benarnya ...” tingkah seorang wakil Pengadil.
“Ketua Juri, kami sepakat menyatakan resolusi kami ...” Mat Kasturi bangun.
“Dalam soal pemilihan bola siragaraga untuk liga permainan negeri harus diserahkan sepenuhnya kepada Bapak-bapak Siragaragawan serta orang-orang yang berkecimpung sepenuh masa dalam menghasilkan bola-bola siragaraga. Kami lebih tahu dengan mendalam tentang permainan ini.” Mat Kasturi terdiam sebelum meneruskan bicaranya.
“Soal sukar atau tidak anak-anak muda untuk bermainnya, itu adalah tanggungjawab jurulatih untuk melaksanakan tugas tersebut. Manakala, pengadil pula sepatutnya bertugas di gelanggang permainan dan difikirkan tidak layak mengeluarkan pendapat dalam pemilihan ini.” Mat Kasturi duduk.
Ketua Juri termanggu-manggu mendengarkan resolusi kilat daripada kelompok pemuda-pemudi Wilayah Timur. Dilihatnya barisan jurulatih dan barisan pengadil berbual-bual sesama sendiri. Ketua Juri menemui kebuntuan.
Dalam kebuntuan tersebut, seorang pekerja Kompleks Kewibawaan Negeri masuk lalu menyerahkan sekeping sampul surat bercap Menteri Hal Ehwal Permainan.
Sejenak Ketua Juri menyorot surat rasmi yang serba ringkas.
“Pihak Jabatan telah menerima aduan rasmi daripada Tauke-tauke Lombong serta Pemilik-pemilik estet yang telah banyak menyumbang dana pembangunan Negeri Ternama tentang keadaan anak-anak mereka menghadapi kesukaran untuk bermain bola siragaraga dalam liga negeri. Saya dengan kuasa yang ada ingin memaklumkan bahawa liga permainan bola siragaraga peringkat negeri dibatalkan.”
Balai Sidang Juri Siragaraga kelu, sebaik Ketua Juri membacakan surat tersebut.
PROFIL PENULIS:
MOHD Hashim Osman yang dilahirkan di Batu Gajah, Perak, pada 6 Februari 1964, mula menulis sejak 1999 dan terbabit dalam genre cerpen, puisi moden dan tradisional, drama radio serta makalah bahasa yang mendapat tempat di majalah dan akhbar arus perdana. Lulusan Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) ini pernah memenangi hadiah utama dan sagu hati kategori puisi dan cerpen sejumlah sayembara sastera dari 2000 hingga 2006. Turut memenangi Hadiah Sagu Hati Pertandingan Skrip Drama Radio Berunsur Islam 2005 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Guru SMK (F) Besout, Sungkai, Perak ini juga muncul johan dan naib johan Peraduan Menulis Cerita Legenda Negeri Perak anjuran DBP Utara dan Lembaga Pembangunan Sastera Perak.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080323095224/Article/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment