karya
Siti Puspa
“Ha! Ha! Haa! Alangkah gembiranya hatiku, Seri Rama meninggalkan Sita Dewi keseorangan di Istana Kuala Dua. Sudah lama aku merindui Sita Dewi. Ketika inilah peluang terbaik untuk aku pergi memperdayakannya. Ha! Ha! Haa!”
Bergemuruh suara Rawana seperti halilintar membelah batu-batu yang pejal dari puncak Gunung Jularbaung. Dia yang baru selesai dari pertapaan menjelir lidahnya seperi harimau lapar.
“Sekiranya aku pergi dengan rupaku begini, pasti dia kenal aku ini Maharaja Rawana. Akulah orang yang bijaksana. Nak ghaib boleh ghaib, bakar tak hangus, selam air tak mati, tikaman tak lut dan bedilan tak meletup! Aku akan menjelma menjadi Mak Inang Tua. Ha! Ha! Haa!” Sepantas kilat dia pun menuju ke Istana Kuala Dua.
“Patik sembah Duli Tuanku, harap ampun beribu kali ampun, sembah patik harap diampunkan!” Inang Tua sujud menyembah Sita Dewi.
“Oh Inang! Kamu Inang. Ke manakah kamu pergi, sekian lama tak datang ke istana?”
“Bukan patik tak ingat kepada Tuanku, tapi apakan daya, patik menderita Tuanku! Hidup kais pagi makan pagi, tidur ikut gelap. Gelap di pasar, tidur di pasar dan gelap di padang tidur di padang. Tuanku Seri Rama pergi ke mana?”
“Dia tiada di istana Inang, dulu kanda beta bernazar, sekiranya negara aman sentosa berkibar-kibar Seri Panji Keadilan, tiada musuh, tiada perang dan tiada bertikam sabung di jalan pengkalan, dia akan pergi mandi bersiram di Kolam Taman Kebun Bunga Banjaran Sari.”
Tiba-tiba
“Kalau begitu tak mengapalah Tuanku. Tuanku, Tuanku, Tuanku! Tuanku tak ingatkah kepada Raja Rawana?"
“Mengapa dengan tiba-tiba sebut Maharaja Rawana? Usah nak ingat Inang, sebut pun beta tak nak dengar. Kalau boleh nak sembur air membuang bala!”
“Jikalau Tuanku tak ingat, patik ingat. Tuanku, tolonglah lukis gambar Rawana, patik nak tengok.” Rayu Mak Inang Tua dengan lembutnya.
“Beta tak boleh lukis Inang. Sekiranya beta lukis sudah tentu kanda beta murka dan pasti dijatuhkan hukuman bunuh!"
“Patik nak tengok sekejap saja lepas tu kita bakarlah cepat-cepat!"
“Tidak boleh Inang, beta tak nak lukis!"
“Kalau tak nak lukis juga patik akan buang air kecil dan besar di atas balai Tuanku ini!" Ugut Mak Inang tua sambil menyelak kainnya.
“Oh! Inang, sampai hatimu berkelakuan begini. Kalau begitu tak apalah Inang, selepas beta lukis mu tengoklah sekejap saja kemudian bakarlah cepat-cepat!” Apabila Sita Dewi siap melukis gambar Rawana, Mak Inang pun mencium gambar itu. Didukung, dikelek dan dibawa berlari-lari sepuas hatinya.
Setelah selesai mandi bersiram, Seri Rama pun kembali ke istana. Sita Dewi terkejut dengan kepulangan itu. Mak Inang dengan tiba-tiba ghaib entah ke mana. Dengan cemasnya Sita Dewi pun pergi membakar gambar itu tetapi gambar tidak hangus dan diselamnya ke dalam air, gambar tidak juga hancur. Sita Dewi berlari-lari kebingungan kerana tidak sempat memusnahkan gambar itu. Fikirannya menjadi buntu.
“Cis! Salah aku sangka daripada aku jangka, aku sangka dirimu comel di luar, di dalam pun comel, rupa-rupanya tidak!” Tiba-tiba Seri Rama berada di hadapan Sita Dewi.
“Ampunkanlah kanda, adinda tiada niat seurat rambut dibelah seribu. Bukan sengaja adinda lukis gambar Rawana. Inang Tua datang suruh lukis, kalau adinda tak lukis, dia nak buang air kecil dan besar dalam istana. Bila adinda lukis kanda pun pulang, adinda bakar tapi tak hangus dan selam air tak menjadi hancur.”
“Binatang kamu Sita Dewi! Tak usah berdolak-dalih lagi, rupa-rupanya mumenyimpan perasaan terhadap Rawana. Bila aku tiada di istana, mulukis gambar kemudian duk cium timang!”
“Ampunilah kesalahan adinda!” Rayu Sita Dewi dengan sedu-sedan.
“Aku tak ampunkan kesalahanmu. Wahai adinda Raja Muda Laksamana, cepatlah keluar menghadap abang! Abang nak suruhmu gi bunuh Sita Dewi di Padang Luas Saujana Padang, selepas mubunuh, mubelah perut ambil hati bawa balik aku nak tengok bagaimana hati Sita Dewi yang jahat sangat nih!” Sita Dewi dengan sedihnya duduk berlutut sambil sujud memohon keampunan di kaki suaminya, Seri Rama.
“Oh! Kejamnya Seri Rama, isteri sendiri dijatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa.” Bisik hati Mira sambil air matanya juga turut berlinang. Dia sedang mengingati kembali serentetan cerita Kosi Serawi dari dalang Mamat, yang sering bermain di pentas beratap nipah dan berdinding buluh di kampungnya suatu ketika dahulu.
Sejak akhir-akhir ini Mira amat merindui kampung halamannya. Rindu untuk bersama ibu yang sering di petak sawah sambil melihat padi menguning dan bahu gunung. Rindu terhadap seorang ibu yang patut diagungkan daripada seribu orang lain bahkan lebih agung daripada dunia ini. Rindu untuk bersama bapa juga mulai menggigit-gigit hulu hatinya.
“Ibu, terimalah ciuman dari anakmu ini, ampunilah dosa-dosaku, ambil dari hujung kaki hingga ke hujung rambutmu.” Dia menatap gambar ibunya sekali gus dicium dan dikucupnya gambar itu sehingga basah. Wajah berkedut itu terus-menerus di dalam ruangan fikirannya. Dia terpaku sejenak kemudian dengan perlahan-lahan bayangan itu menghilang kerana muncul pula bayangan permohonannya siang tadi ditolak. Dan penolakan itu bermakna dia akan mati. Mati di hujung tali gantung! Debarannya semakin bergelombang, terasa seperti roh melayang dan semangatnya terbang. Lemah longlai siku tulangnya. Akan mati sehina-hina kematian. Mati! Mati! Matiii!
Betapa pilu hatinya kerana kematiannya tanpa keluarga di sisi seperti manusia lain di luar sana. Perasannya semakin hampa. Mira menggaru-garu kepalanya sambil menatap langit sel, berusaha menerawang kejadian demi kejadian. Dari segala kemewahan dan kenikmatan akhirnya sampai meringkuk di dalam sebuah sel, yang dikelilingi tembok kawat berduri itu.
“Selepas mengambil kira keterangan semua saksi dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan tertuduh disabitkan atas semua tuduhan. Perbuatan tertuduh memburukkan imej pelajar lain dan individu sepertinya perlu diasingkan daripada masyarakat. Dengan ini mahkamah menolak rayuan sekali gus tertuduh dijatuhkan hukuman mati mandatori!” Mira tersentak. Matanya terjegil.
Keputusan
Keputusan dari hakim mahkamah pada siang tadi bergetar di gegendang telinganya. Bergetar terus bergetar sehingga ke otak. Dan Mira sendiri faham jengtaka ini datang kerana kecuaiannya sendiri. Dia membebel-bebel tidak keruan. Sebak. Nadanya sangat pesimis. Dan kini baru dia mengerti bahawa langit itu tinggi.
“Andai aku boleh menjelma menjadi Rawana nescaya aku akan runtuh-rantaikan penjara ini menjadi debu kemudian melarikan diri dari tembok neraka ini. Aku ingin hidup seribu tahun lagi!” Terhambur perkataan itu dari mulutnya. Kali ini darahnya tersirap. Ia cuba menguatkan semangatnya kemudian memekik dan terus menendang dinding batu dengan kaki kanannya tetapi pekikan dan tendangan itu tidak memberi makna apa-apa lagi melainkan dia pasti dihukum mati kerana bersalah membawa lima kilogram heroin dalam bagasinya sebaik tiba di lapangan terbang luar negara. Mira terbenam dalam keresahan. Nafasnya merengus deras.
Selepas puas berbaring di sebelah Sofia dia bangkit ke pintu bilik sambil memegang jerjak besi. Dipandangnya dari celah jari besi tingkap, Mira tidak dapat mengagak waktu sebenar ketika itu tetapi yang pastinya gelap itu petanda malam. Sekali sekala tiupan bayu laut menerobos masuk melalui lubang-lubang kecil, datang kemudian pergi tanpa memberi kesan apa-apa kepada Mira. Setelah kaki terasa kebas dan lenguh-lenguh, dengan longlainya Mira mengheret langkah menuju ke tepi dinding berhampiran hujung kaki Swee Lan. Banduan tempatan itu sudah lama tidur nyenyak kerana terlampau mengantuk.
Selepas puas duduk dia bangkit, mundar-mandir ke setiap penjuru sel. Sofia yang sejak tadi memerhatikan tingkah laku Mira tidak dapat melelapkan matanya. Hati Sofia tercuit. Dia yang bermata terpesorok ke dalam itu ditahan kerana membunuh majikannya.
“Bagaimana rayuan kau di mahkamah tadi?” Tanya Sofia ringkas mengejutkan Mira yang sedang berdialektika.
“Ditolak, saya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati!” jelas Mira sambil menepuk-nepuk kepalanya beberapa kali. Dia yang tidak sempat menerima rawatan psikologi itu mencakar-cakar mukanya pula.
“Sabarlah, kita senasib! Cuba kau tengok Swee Lan tu, tak macam kau!” Pujuk Sofia. Mira menoleh ke arah Swee Lan yang positif HIV itu. Dia ditahan kerana kesalahan merompak dan membunuh. Sofia yang tidak sampai hati melihat Mira meracau-racau, bangun dan terus memapah Mira ke tempat tidur. “Mira, tidurlah! Dah berapa malam kau tak tidur!” Pujuk Sofia.
“Tak boleh tidur! Saya menyesal. Sesal sungguh-sungguh. Pengorbanan ibu dan bapa, saya sia-siakan, inilah akibatnya! Diberinya pelajaran tinggi-tinggi tetapi akhirnya…,” terputus-putus keluhan dari Mira yang semakin tidak jelas didengari oleh Sofia.
“Tak usah menyesal Mira, walaupun seribu kali sesal sekalipun keadaan malang ini tidak boleh berubah. Hakikatnya pasti kita terima. Mengucap dan ingatlah kepada Allah!” Nasihat Sofia sambil mengusap-ngusap rambut Mira.
Bila disebut takdir terlintas di hati Mira sesungguhnya Allah telah menetapkan qadak dan qadar seseorang. Walau bagaimanapun terletak di hati manusia untuk menentukan untung nasib dan haluannya sendiri. Dia mengerti musibah ini adalah kerana kesilapannya sendiri. Mira tidak menyalahkan takdir. Begitu hitam corak dan warna suasana hidupnya. Keluh Mira kesal. Entah kepada siapa yang dikesalkan. Pada dirinya? Pada nasibnya? Atau memang sudah celaka badan! Pada Mirad? Mirad sudah lama menghilang bersama wang hasil pengedaran dadah selama ini. Berseronok-seronok dengan perempuan lain, sedangkan Miralah yang menanggung azabnya. Hati Mira menggerutu.
“Celaka! Jantan yang tak berhati perut, sudahlah mahkota wanitaku diragut ketika menginap di sebuah hotel di Poi Pet dulu dan kini aku sendiri yang akan mati, bangsat! Kenapa aku baru berfikir ketika nasi sudah menjadi bubur? Bodohnya aku!”
Meletus dari hatinya seperti ledakan bom. Tetapi letusan itu tidak bermakna apa-apa lagi. Malah jauh sekali dapat didengar oleh Mirad. Yang pastinya dia akan mati, mati! Mati! Matiii!
Akan mati kerana dengan mudahnya mengikut telunjuk Mirad yang berasal dari Kohar, sebuah bandar yang dikuasai puak tempatan yang bersempadan dengan Afghanistan. Dia mulai berkenalan dengan Mirad melalui laman sembang pada tahun 2003 ketika tentera Pakistan menggempur gerila Taliban di Waziristan.
Hari berganti minggu, hubungan semakin intim dan pada suatu hari Mira menggesa Mirad datang ke Malaysia. Cinta yang semakin kronik menyebabkan Mirad mengambil keputusan melawati Malaysia. Dia terbang dari Peshawar ke Kuala Lumpur. Ketika Mirad tiba di lapangan terbang, Mira seperti diserang histeria, terus menerkam ke arah Mirad sambil menangis di bahu lelaki itu. Yang sedihnya tanpa usul periksa dijunjungnya Mirad. Mirad? Mirad yang diagungkannya merupakan seorang pengedar dadah antarabangsa. Rangkaiannya licik, mempunyai hubungan hebat di Golden Triangle bersempadan dengan Thailand, Laos dan Myanmar. Modus operandi sindiketnya menggunakan pelajar IPT khususnya wanita.
Jerat
Ternyata Mira sudah termasuk jeratnya. Mira yang baru menganut fahaman hedonistik mulai menunjukkan perubahan gaya hidup yang mahukan keseronokan dan kemewahan segera. Dia irihati terhadap rakan-rakannya yang hidup mewah walhal kemewahan itu hasil dari menjaja seks atau mengedar dadah sekali gus ada juga teman-temannya yang terus menjadi ayam kampus. Keinginan sebeginilah menjadikannya tidak peduli lagi soal perawan sebagai mahkota wanita yang perlu dipertahankan sehingga ke jenjang pelamin. Itu alasan klise yang dianggap mitos zaman purbakala.
Bila memikirkan itu semua, kepalanya mulai sakit-sakit seumpama akan pecah bila-bila masa. Menyesal tidak sudah-sudah kerana terlalu mudah tergoda dengan kemancungan hidung dan senyuman lelaki warga asing itu. Mira terus merenung, berfikir terus berfikir. Ternyata segala-galanya kerana kecuaiannya! Inikah ilmu yang dipelajari selama ini? Dia mengerti betapa sikapnya yang terlalu terburu-buru mengikut telunjuk Mirad. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapaaa? Untuk menyalahkan keluarganya?
Oh, tidak! Sejak dahulu lagi keluarganya sentiasa prihatin serta mengawasinya. Betapa besarnya pengorbanan ibu sehingga dia berjaya ke IPT. Inikah balasan dari pengorbanan ibu itu? Inikah anugerahnya terhadap pengorbanan bapa? Inikah? Inikah? Inikah?
Bukan salah ibu mengandung tetapi ternyata sikapnya yang mudah tergoda serta lupa daratan. Terlalu menyintai lautan kemewahan, akhirnya dia sendiri tenggelam dilambung ombak kemewahan itu. Bukan jalan songsang yang bapanya didik tetapi dia yang gatal-gatal, dia yang degil, dia yang gelenyar dan dia yang lapar-lapar! Keluh Mira lagi yang selama ini petah serta mampu berdebat tentang politik, sosial dan ekonomi antarabangsa. Mira yang menyandar di tepi dinding batu itu tiba-tiba menggeleng. Hatinya terlalu tersayat bila mengenangkan semua sejarah hidupnya sehingga sampai menunggu hari-hari terakhir di tali gantung.
“Mira, marilah tidur!” Ajak Sofia lagi sambil tangannya menarik tangan Mira. Mira yang tiba-tiba rasa kelam melepaskan diri dari pegangan Sofia. Dengan tubuhnya yang terketar-ketar dan sesalan yang menggoncang dada kurusnya, Mira merebahkan tubuhnya ke lantai sambil berguling-guling seperti dirasuk iblis. Sekejap ketawa, sekejap menangis seperti pesakit psikosis. Sofia yang ingin berkata-kata tercekik, memandang Mira dengan mata berkaca-kaca.
Mingguan Malaysia 20 Januari 2008
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0120&pub=utusan_malaysia&sec=sastera&pg=sa_02.htm&arc=hive
Sunday, March 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment