Sunday, March 9, 2008

LEMBU BETINA

karya
Wan Ahmad Ismail



PETANG/PANTAI

Aku sudah kata. Kataku. Dia diam. Dia tidak berkata apa-apa. Dia masih bermain- main dengan pisau di tangannya.

Aku sudah beritahu. Ceritaku. Dia diam, masih lagi berdiam. Kali ini pisau meraut rumput dipacak ke tanah. Dia melentang dirinya di tanah pasir pantai yang bersih. Ombak laut memecah pantai dan angin petang menderu kalbu.

“Beritahu apa, kata apa?” dia mula bersuara. Suaranya sedikit tenggelam oleh gelombang laut yang keras memukul pantai. Airnya hampir tempias mengena aku dan dia yang seorang gelisah. Sepanjang waktu berada di pantai itu dia amat gelisah.

“Jangan bermain api?” jelasku.

“Siapa yang bermain api?” keras suaranya.

“Kan sudah terbakar!” beritahuku lembut.

“Apa yang terbakar, siapa yang terbakar, kena bakar?” suaranya semakin keras.
Beberapa ekor burung terbang berlalu melintasi kawasan tempat duduk kami. Hempasan ombak juga terasa keras bunyinya.

“Kaulah yang terbakar!" jelasku sambil melukis bentuk sebilah pisau di tanah pasir pantai, Pantai Batu Buruk itu. Aku meniru bentuk pisau yang dimain-mainkannya itu.
Dia memerhati lukisan pasir itu. Di sebelah lukisan itu, dia melukis wajah seorang lelaki.

Dia tiba-tiba ketawa. Dia bangun dari tempat lentangan di atas tanah pasir pantai itu. Dia berlari-lari beberapa ela menjauhi daripada aku. Aku memerhati peredarannya seketika itu dengan sedikit kebingungan. Dia kembali ke tempat aku beberapa saat selepas itu.

“Memang aku rasa terbakar oleh perbuatan Seman yang celaka itu. Dia ingat dia gedebe, dia ingat dia samseng. Dia belum kenal aku siapa. Aku Rahim. Rahim yang pernah menumbang Mat Soh di gelanggang silat setahun dulu. Mungkin dia lupa,” jerkah dia.

“Ini bukan soal bertikam silat, ini soal lembu, lembu betina yang bakal beranak lebih daripada satu. Ini soal maruah. Soal lembu kamu boleh diambil oleh Seman begitu saja tanpa tentangan daripada kamu, Him. Sepatutnya sewaktu kamu masuk kawasannya kamu boleh tarik lembu itu keluar kerana kamu sudah kenal akan lembu kamu itu dan kamu pasti lembu itu lembu kamu. Kenapa kamu tidak bertindak. Dan sekarang bercakap soal kekuatan diri kamu, soal terbakar, soal kesamsengan kamu di hadapan aku, di tepi pantai ini, di hadapan laut yang luas ini.” Sindirku dengan penuh geram dan kegeraman. Aku seperti mahu melempar Rahim itu ke tengah laut. Cakap saja besar, berdegar-degar.

“Bukan begitu Karim!” jelasnya dengan suara yang agak kasar dan pongoh.

“Kalau bukan begitu, kalau bukan kerana lembu betina kesayangan kamu itu, kenapa kamu tak terjun laut tu, mati saja dalam laut itu. Semua akhbar siar tajuk “Rahim Mati Kerana Lembu Betina”, begitu?” sindirku lagi. Kali ini aku terus memanaskan dirinya untuk terus terbakar biar menjadi merah menyala.

“Kalau aku mati, macam mana aku dapat lihat gambar aku terpampang di dada akhbar, kartunlah kamu ni!” Dia memusnahkan lukisannya di tanah pasir dengan kakinya.

“Memang kartun, sebab kamu lebih kartun daripada aku. Kartun yang tidak berani berhadapan dengan kenyataan,” suaraku semakin tegas untuk meyakinkan Rahim supaya segera bertindak tanpa batasan. Itu bukan kemahuan aku, tetapi hanya satu arahanku sahaja.

“Apa yang mesti aku buat sekarang?” Dia bertanya dalam lagak seorang pahlawan yang bersedia untuk menentang musuh di gelanggang.

“Sekarang buat diam sajalah, kita di tepi pantai, bukan di kampung. Kita balik, kita bincang di rumah selepas isyak, kita cari jalan yang terbaik.” Aku meredakan keadaan apabila emosinya semakin memuncak. Akhirnya Rahim akur atas perbuatan dan tindakannya yang salah langkah itu. Panas barannya sering terjadi. Seperti ayahnya, seperti datuknya.

“Perlu kita lapor polis?” pintanya orang benar-benar kecewa. “Jangan!” Aku memintanya bersabar.

“Perlu kita beritahu Jabatan Haiwan?” Di alih sasar stationnya.

“Jangan lagi. Kita selidik sekali lagi, kita pastikan sekali lagi, entah-entah bila kita sampai kat rumah nanti, lembu betina kamu itu sudah berada di kandang kamu. Mana tahu.” Aku mahu meyakinkan dirinya.

Kami pulang meninggalkan pantai yang cantik, bersih itu. Ombak, air laut masih mengganas walaupun pukulan ke tepi pantai tidak mencederakan tepinya. Burung-burung, beberapa ekor burung masih lagi berterbangan, mungkin juga untuk pulang ke tempat masing-masing. Mereka juga faham erti waktu hampir hendak masuk maghrib. Sesetengah orang yang masih berlama-lamaan di pantai itu masih lagi menunggu. Mungkin mereka tidak faham akan isyarat kepulangan burung-burung itu.

Cerita yang diceritakan untuk diceritakan kembali bagi mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan terbantut apabila Rahim membawa cerita lembu betina kesayangannya diambil oleh Seman. Cerita lembu itu semacam cerita yang seorang kami hadapi ketika itu. Lembu yang disayangi itu menjadi rebutan sebagaimana kumpulan yang sudah mulai reput tetapi masih bertahan untuk bergantung kerana ada di kalangan masih menahan dahan, batang yang reput itu daripada patah dan tumbang. Kami juga seperti sesetengah orang lain, sayangkan pohon kumpulan yang berusia empat puluh tahun itu.

Entahlah, kami sayangkan kumpulan yang tidak mafia itu sebagaimana Rahim sayangkan lembu betinanya itu. Bagi Rahim, Seman bagaikan seorang mafia. Tapi kata Rahim, lembunya diambil Seman. Itu kata Rahim.

Malam/wakaf

Setelah selesai sembahyang isyak, kami, aku dan Rahim bertandang ke wakaf. Kami duduk di wakaf di kampung kami yang bernama Wakaf Tembesu itu. Kami ingin menyambung sembang kami yang belum selesai sewaktu di pantai petang itu. Bukan cerita pasal kumpulan yang bukan mafia itu lagi. Bagi kami, cerita pasal kumpulan, pasal sahabat-sahabat yang membawa cerita buruk yang merosakkan itu sudah tidak lagi penting kerana ia permainan sebuah cerita dunia selagi hidup bernama manusia yang tidak akan selesai.

Sebelum itu lembunya itu pernah kehilangan sekali. Bukan hilang ke mana. Rahim tidak ingat untuk ditambat talinya di pokok kelapa tepi rumahnya. Lembu itu terlepas.

Lembu itu merayau-rayau entah ke mana. Sepetang dicari Rahim. Dia cuba mengandaikan bahawa lembunya dicuri orang. Di buat tuduhan kononnya lembunya diambil oleh musuhnya, lembu itu dijual. Dia menyumpah seranah. Akhirnya lembunya balik ke kandang. Lembu itu cerdik. Dia lebih daripada Rahim, lebih cerdik daripada beberapa orang dalam kumpulan yang kami anggotai. Lembu betina itu kenal tempat duduknya, kenal akan kandangnya. Hanya orang seperti Rahim tidak kenal akan tabiat lembunya.

“Salah kamu, Him!” “Salah aku?”

“Seman yang curi lembu aku, kau kata salah aku. Kalau aku yang mencuri lembunya tentunya salah aku, ini lembu aku, jadi terbalik pengakuan kamu. Kamu semacam masuk menyebelahi Seman saja.”

“Bukan macam tu, Him!” “Habis macam mana?" “Kau membiarkan lembu kamu berkeliaran, tidak tambat. Jadi terlepaslah dia, masuklah kawasan Seman. Jadi aku rasa Seman ingat itu lembunya. Dia masuklah semuanya ke dalam kandangnya. Jadi lembu Semanlah walaupun kamu kata itu lembu kamu. Lembu itu dalam kandang Seman, lembu Semanlah.” “Kartun cerita kamu ni, Rim. Macam cerita Keluarga 69.”

“Sudah aku tambatkan, sebelum aku pergi kerja.” Dia buat pengakuan. Dia bertegas. Dia seperti pasti. Pengucapannya bersungguh.

“Alah sekarang ini kamu tahu, yang tambat dengan tali besi pun boleh terlepas, inikan pula tambat dengan tali sabut. Sekarang ini banyak binatang lebih cerdik daripada manusia. Hatta manusia pun makan rumput, makan daun,” jelasku. Aku tahu sekarang ini segala macam boleh berlaku. Ada orang boleh makan kaca.

“Cakap jangan sebarang cakap, mulut tu jaga sikit. Sebab itu ramai orang tak suka akan kamu, cakap celupar, cakap main lepas saja.” Rahim patah balik cakapku, Dia tahu sangat perangaiku. Aku bila bercakap tidak pernah bertepi. Cakap terus tanpa simpan-simpan. Kalau simpan akan Jadi darah, Jadi busut, jadi nanah dan jadi barah. Tidak perlu disimpan lama-lama, terus cakap saja tanpa bertapis. Itu aku, yang Rahim kenal.

“Apa tak betul ke cakap aku. Ramai orang cari rumput jarum emas. Makan rumput kononnya tambah tenaga. Bukan kamu tak ingat, suatu masa lalu, ramai yang berebut-rebut mencari dan memakan rumput jarum emas. Salah ke aku kata orang pun macam lembu makan rumput. Salah ke?” Aku nyatakan kebenarannya.

“Betul! Tak salah, aku pun cuba makan rumput itu, tak makan atas padang, makan dalam rumah.”

“Kamu makan rumputkan?”

“Makan!”

“Siapa lagi makan rumput?” “Lembu! Kambing!”

“Hah! Jadi lembu, jadi macam kambinglah kamu!" Rahim ketawa. Sikapnya mulai berubah kerana cerita kelakar yang benar itu. Marahnya sedikit reda.

“Tidaklah semacam itu!”

“Aku faham, tak banyak tuan lembu macam lembu. Membiarkan lembu berkeliaran. Sepatutnya jabatan Haiwan atau Majlis Daerah jangan tangkap lembu tapi tangkap tuan lembu macam kamu ni. Lembu memang dah bodoh, tapi tuan lembu juga bodoh kerana tak kandangkan lembu. Baik tuan dan lembu duduk dalam satu kandang. Lembu makan makanan orang, berak di merata, mengotorkan kawasan. Patut tuan lembu makan tahi lembu mereka supaya tempat yang diberak lembu itu bersih, kembali licin.”

“Kuatnya sindir kamu. Nak cari musuh ke, nak aku bakar kamu ke macam aku nak bakar Seman tu, macam aku tumbang Mat Soh tu.” Gertak Rahim. Semacam aku takut gertak kelingnya. Aku kenal Rahim. Penakut benar dia. Dua puluh kali lawan, sekali adalah dia menang.

“Bagaimana?" tanya Rahim. Matanya sedikit merah. Rambut sudah sedikit tak terurus.

“Bagaimana apa?" tanyaku balik tanpa melihat wajahnya semakin bengis. Macam wajah Salleh Kamil, Mahmud June, pelakon filem Melayu itu.

“Kita ke rumah Seman!” ajak Rahim dengan tegas dan penuh bara.

“Sekarang?" tanyaku seperti tidak percaya. Emosiku terganggu. “Sekarang!” bentaknya seperti perintah seorang askar.

“Macam tidak ada hari esok, malam-malam macam ni tak elok ke rumah orang, lebih-lebih lagi dalam suasana macam ni. Seman mungkin dah nak tidur, lembu pun nak tidur juga. Jangan kacau mereka dalam keadaan yang tegang seperti ini. Tidak menyelesaikan masalah. Esok saja. Selepas subuh kita ke rumahnya. Waktu-waktu macam tu, sejuk, nyaman dan tenang.” Aku cuba menenangkan emosi dan gangguan mental Rahim yang kian menjadi-jadi. Aku menyuruh dia mengucap dan mengingatkan Allah.

Kami terus berbual, berbincang dan berbicara malam itu.

“Kenapa kau bercakap macam tu, Rim? Hairanlah aku. Aku yang sepatutnya yang merasakan semuanya, ini pula kau, aku yang kehilangan buah hati aku yang harganya bernilai ribuan itu. Kau pula yang rasa sesuatu yang berlainan dalam diri kamu, kenapa?”

“Bila aku fikir tentang sahabat-sahabat kita, waktu kita berada, berpangkat, kita didekati, dikawani, disahabati tetapi bila kita sudah hilang sedikit kuasa mereka khianati kita. Entahlah begitulah mereka. Mungkin juga lumrah manusia begitu.”
“Mungkin Seman juga khianati aku dengan menggunakan lembu betina aku sebagai tebusan, mungkin.”

“Tebusan apa pula ni, macam cerita jenayah saja ni. Lain pula ceritanya. Aku cerita pasal kawan-kawan kita yang suatu had akan merasai sama jika seusia kita, secara kedudukan kita. Ini timbul tebusan pula, apa cerita ni, pelik aja bunyinya.”

“Entahlah, aku andai, aku reka, aku cipta saja ceritanya. Ini kerana dua tiga hari lepas dia ugut aku supaya calon dia jadi pengerusi JKKK. Dia minta aku beritahu YB. Aku tolak kerana ada orang lain lagi lebih layak.”

“Dia marah ke?”

“Marahlah, apa tak marahnya. Jadi pengerusi JKKK banyak dapat faedah dan ganjarannya. Dia tidak fikir banyak kerja, beban dan tanggungan serta tanggungjawabnya. Dia fikir nak senang saja.”

“Aku rasa bukan begitu, kau yang sering salah anggap. Kau yang salah melepaskan lembu betina kamu itu berkeliaran. Masuk kawasan Seman. Tentunya semuanya Seman kandangkan. Dia tentu tak akan kenal semua lembunya tidak akan ingat jumlah lembunya waktu itu.”

“Memang Seman jahat, depan baik, belakang ya Allah, macam syaitan. Banyak pura-
pura, muka-muka, mengada-ada. Aku tak bohong. Dia macam kawan-kawan kita dalam persatuan yang sedang digolokkan itu. Persatuan tak apa, orangnya saja sedang bermain sandiwara.”

“Begini sajalah Him, selepas subuh kita ketemu, kita ke rumah Seman, aku bantu kamu. Kita selesaikan masalah bersama, bagaimana?”

“Malam ini juga!”

“Tak elok macam-malam ke rumah orang, salah langkah, kita tumbang, besok sajalah.”
“Kalau ditumbang, disabotaj macam-malam buta, kalah kita. Oklah, oklah, besok saja. Besok saja kita jumpa.”

Kami pulang ke rumah masing-masing meninggalkan wakaf tempat kami sering bertemu selepas sembahyang subuh had minggu atau selepas sembahyang isyak jika ada masa kelapangan.

Langit semakin gelap. Hujan seperti mahu menjadi. Sejak petang lagi, keadaan di kampung aku menjadi redup dan gelap begitu.

Subuh/kawasan surau

“Assalaimualaikum.”

“Waalaikumusalam,” jawab kami berdua, aku dan Rahim.

“Hei! Seman, apa khabar, awal menyerah diri,”sindirku dalam keadaan bergurau.
“Serah diri, kenapa pula? Apa yang berlaku?”

“Kamu curi lembu betina aku ya?” tinggi suara Rahim. “Curi apa pula, jangan cepat menuduh, Him!”

“Lembu betina kesayangan aku, aku lihat ada dalam kandang kawasan kamu tu.”

“Mujur ada dalam kandang kawasan tempat aku, kalau dibawa lari oleh pencuri dengan lori apa jadi?

“Pencuri bawa lari dengan lori? Apa cerita ni? Jangan nak reka-reka cerita pula!”

“Itulah kau, biar lembu berkeliaran, makan tanaman orang, berak tengah jalan, menyusahkan banyak orang. Kamu tidak susah, yang susah orang ramai.” “Seman! Kamu kata aku tidak susah, sehari semalam aku susah bila lembu aku hilang, akhirnya aku dapati lembu aku ada dalam kandang kamu. Memang aku susah. Memang aku dendam, memang aku mahu bunuh kamu kalau dapat. Mahu aku makan kamu hidup-hidup.”

Seman ketawa dengan terus ketawa memanjang. Rahim hairan. Aku juga hairan. Dia berani datang ke tempat aku dan Rahim berada. Rahim tahu Seman yang mengambil lembu Rahim itu. Seman pun tahu, lembu Rahim berada dalam kandang Seman. Seman sanggup datang bersendirian seperti menyerah din kepada Rahim yang panas membara sejak kelmarin lagi.

“Kita susah, dia ketawa! Apa jenis manusia kamu ni Seman!”

“Patut kamu berterima kasih kepada aku. Kalau tidak kerana aku dan beberapa sahabat lain bertindak segera sudah tentu lembu kamu sudah naik lori dan dibawa lari. Macam-macam cara dikerjakan pencuri,” jelas Seman. Kami senyap seketika. Ramai jemaah sudah pulang. Yang tinggal di kawasan surau itu beberapa orang sahaja. Lembu Rahim tidak kelihatan di situ.

“Mana lembu aku?”

“Alah,di kadang kawasan akulah, bukan aku nak bawa, nak ajak lembu kamu berembun subuh bersama kita sudah berumur, masih tak erti makna seekor binatang, seorang manusia. Fikirlah sikit. Aku yang datang memberitahu, sepatutnya kamu datang ke rumah aku, sepatutnya. Kan come! jadinya.” Seman seperti menyindir. Diperbetulkan kopiah yang warna putihnya sudah kelabu.

“Memang aku mahu pergi ke rumah kamu, selepas sembahyang subuh ini, tapi kamu sudah datang, baguslah. Kalau tidak...”

“Kalau tidak kamu mahu ajak aku berperang dengan kamu kerana lembu itu. Aku bersedia. Tetapi aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa lagi. Aku juga tidak mengharapkan untuk menjadi pengerusi JKKK lagi. Tak perlu semua itu. Aku datang berjumpa kamu untuk kembali yang berhak.”

“Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Yang penting tohmahan kamu terhadap Seman salah. Seman tidak seperti sahabat-sahabat lain. Kita tidak perlu bermusuh kerana seekor lembu, soal jawatan dalam JKKK. Yang penting kita bersatu dalam menghadapi semua dugaan, rintangan dan halangan. Kita mesti bersatu sekarang.”

Mujurlah lembu betina itu yang hilang, kalau tidak Seman dan Rahim masih bermasam muka. Cerdik juga menjadi lembu. Lembu itu memang cerdik sebab itu amat disayangi Rahim.

Lembu betina Rahim makan rumput. Aku juga lihat Rahim makan rumput. Rahim makan rumput jarum emas untuk kuatkan tenaganya. Lembu Rahim lembu betina.


Mingguan Malaysia 2 Mac 2008
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0217&pub=utusan_malaysia&sec=sastera&pg=sa_02.htm&arc=hive

No comments: