karya
Mawar Shafei
SAYA memulakan perjalanan panjang ini dengan nama Tuhan. Jarang benar saya mahu melakukan perjalanan jauh seperti ini sendiri. Apatah lagi di sebuah benua asing. Musim bunga yang masih tersisa dinginnya, mahu saya rakam dengan beberapa rupa manusia yang dikatakan seorang teman, sering berubah-ubah. Manusia yang sama kau temui akan mempunyai seribu wajah, ujarnya. Saya mahu melihat segalanya itu dalam perjalanan sendiri kali ini. Bermula dengan mengambil bas dari daerah kecil kami, saya tiba di stesen kereta api utama di bandar. Dalam gerabak kereta api, saya melihat wajah-wajah di luar jendela dan saya ternyata masih melihat wajah manusia di negara asal saya. Namun seperti kata sahabat, wajah manusia itu mungkin sahaja berubah-ubah, walau saya melihat pada manusia yang sama.
Seperti biasa dalam sebuah perjalanan dalam perut panjang kereta api, ada teman di sebelah saya. Kali ini seorang wanita separuh usia. “Manusia memang selalu mahukan yang mudah dalam hidup. Memilih jalan pintas yang dianggap jalan singkat dan cepat untuk mencapai sesuatu kemahuan. Manusia memilih jalan pintas untuk berjaya dalam perniagaan. Manusia memilih jalan pintas untuk berjaya dalam pelajaran dengan meniru dalam peperiksaan. Manusia menggunakan jalan pintas untuk segera tiba di sesebuah tempat. Jalan pintas itu termasuk merentasi jalan kereta api walaupun di atas kepala mereka ada jejantas yang melintang atau di bawahnya ada terowong yang jauh lebih selamat untuk dilolosi.”
Begitulah orang tua itu memulakan. Kemudian dia terus bercakap. Dia seakan enggan mahu berhenti. Tangannya sekali sekali mengarah ke rumah besar di atas bukit. Wajah bukit yang sedikit landai itu menangkap mata saya. Kata orang, ia banyak menyimpan cerita. Dengan kerut dahi, dia mengajak saya melihat rumah besar di seberang stesen dengan mata yang berbeza. Oh, selama ini saya tidak sedar begitu rupanya rumah itu. Ya, baru sekarang saya melihat ia seperti mahu menceritakan segalanya yang ada di dalamnya. Ia kelihatan begitu hiba.
Pagi itu seluruh bandar seperti disergah guruh dan petir yang berangnya sungguh luar biasa. Wanita muda terbaring melekap darah di simpang jalan kereta api. Ternyata dia benar-benar mahu mati. Kedudukan di tengah simpang itu membenarkan kereta api yang datang dari mana-mana arah menghenyak tubuh langsingnya. Darah berada di mana-mana dan darah itu bercerita di sepanjang jalur kereta api, di celah kerikil, di selang rumput yang tumbuh.
Darah itu mengajuk suara seorang wanita tua yang sejak kematiannya sering memanggil-manggil satu-satu anaknya itu di tumit bukit landai di hadapan stesen kereta api ini. Dahulunya, sedang subuh membuka diri, wanita tua itu tidak lagi dalam rupa yang asal, tersisa di simpang kereta api yang sama. Tubuh tua itu remuk seperti dalam dadanya sejak menjadi isteri kepada lelaki si pembuat landasan lokomotif. Setiap subuh wanita tua itu akan ke landasan kereta api ini kerana waktu inilah dia berkesempatan menemui beberapa pekerja lain yang mengenali suaminya dan akan bertanyakan tentang dia yang tidak pulang semalaman. Kali terakhir dia menyiapkan kopi panas lelaki itu adalah beberapa hari sudah. Seperti biasa setelah bertanyakan kepada lelaki-lelaki pekerja landasan, seakan mendengar keluh resahnya, lelaki lokomotif suaminya itu akan kembali meminta disediakan kopi panas di dapur rumah usang mereka. Setelah beberapa kali wanita tua itu keluar rumah mencari suaminya, lelaki itu kembali dan mereka minum kopi pagi.
Namun pada sebuah subuh baru bersaing laung peluit dan gegaran roda besi pada landasan, wanita tua itu seakan mendengar suaminya meminta kopi pagi lagi di simpang kereta api sedangkan di situlah dia dihenyak kereta api pagi yang sudah menjerit nyaring membawa isyarat kematiannya. Ada beberapa lelaki lokomotif yang keluar subuh itu melihat dia bercakap sendiri. Antara lain bunyinya, “Wahai Tuhan, rencana apa yang Engkau mahu aku lalui? Aku mengahwini lelaki yang tidak pernah aku kenali apalagi untuk bermain cinta dengannya dan hidup kami hanya bertemu di landasan ini dan Kau masih mahu memberi kami anak perempuan yang mempunyai mata maha indah dan kemudian lelaki itu pergi. Dia kembali setelah membuang nafsunya ke dalam rahim wanita lain. Maka apa lagi yang harus aku lakukan, selain membuat kopi pagi dan menerima nafsunya lagi.”
Dari jendela kedua, kisah seorang sarjana yang kehilangan pen istimewa. Pen berwarna perak. Pen yang selalu mengalirkan idea baru. Di mana-mana dia mencari tidak dijumpai. Teringat pen itu dibeli sewaktu berada di Portobello. Sebuah pasar jualan murah. Mencari pen di mana-mana. Ada seperti yang membantu mencarinya, tiba-tiba pen itu berada di atas meja kerja. Ada kilasan orang di tepi meja kerja. Kisah pen itu ialah seorang penulis yang membunuh diri di landasan kereta api kerana kesedihan tidak mengendahkan ibunya yang sering duduk di bilik belakang yang setelah kematiannya seperti masih diduduki ibunya itu. Pernah dia berdoa di situ dan terdengar suara seperti ibunya yang berkata, lihatlah ke belakang jika benar kaurindukan ibu. Tetapi dia berlari dan berlari hingga tiba di landasan kereta api dan ketika itu dia seperti melihat ibunya yang sedia menanti dengan melapangkan tangan dan mahu mendakap rindunya yang tersimpan lama dan waktu yang sama kereta api yang seperti ular melepaskan asap hitam sedang berlari laju ke arah mereka.
Dari jendela ketiga, wanita separuh usia di sebelah saya membawa kisahnya sendiri yang akhir-akhir ini sering dikejut lebih awal. Tidak seperti pagi minggu yang selalu, ketika dia menyelak langsir jendela, dilihat lelaki itu asyik dengan kerjanya. Sebentar menggergaji. Sebentar mengukur. Sebentar memaku. Sebentar menggergaji lagi untuk sekian kali. Ya, pastinya bunyi gergaji mengganggu tidurnya yang akhir-akhir ini jarang sekali lena.
Begitulah seterusnya pada setiap pagi minggu. Lelaki itu dengan bunyi ketukan dan gergaji. Daripada beberapa keping papan nipis yang disusun dan diketuk paku, akhirnya dia dapat melihat apa sebenarnya yang dikerjakan si lelaki sebelah rumah ini. Ya, sebuah kotak bujur dan akhirnya dia berani menegur kerja bising itu, “Wah, sedang bina perahu nampaknya!” Lelaki itu tersenyum dan berkata, “Ya, pelannya saya dapat daripada internet.” Selang beberapa kali kelipan mata, suara nyaring isteri lelaki itu mengejutkan mereka. Memang dia kerap mendengar si isteri meninggi suara. Mungkin menegur anak kecil mereka atau mungkin ada yang tidak kena antara lelaki dengan isterinya. Tapi dia sentiasa membayangkan kehidupan mereka yang indah penuh pengertian. Berkasihan pada mata, hati dan fikiran. Hei, itu kerangka imaginasi pada kertas teori! Jerkah lelaki, jiran wanita separuh usia itu. Benar begitu? Satu kesedihan besar, alangkah!
Secepat itu dia seperti melihat lelaki itu sebagai Nuh yang membina kapal di tengah-tengah daratan dan kemarahan isterinya. O, kisah kapal Nuh yang menjadi ruang perlindungan. Nuh dituduh gila kerana membina kapal besar di tengah daratan jauh dari jalan bukaan segara atau seperti bab “Bahtera” dalam Naratif Ogonshoto yang baru ditekuni. Nakhoda pencari damai dalam Republik Ogonshoto yang berantakan dengan presiden yang halobakan kuasa. Nakhoda yang mendapat tanda petaka melalui kemunculan penyu raksasa. Hei, ini satu kerja intertekstual yang menarik! Dan bagaimana jika dipanjangkan lagi. Begini: kisah isteri lelaki Nuh yang curang dan si Nuh yang curiga. Isteri curang bermain mata dengan rafik Nuh sendiri dan akhirnya: "Nah, akuceraikan engkau dengan talak tiga!" lewat pesanan ringkas, esemes.
Begitulah cerita wanita separuh usia itu dan ternyata ia bukan tentang kisah di landasan kereta api. Namun ia masih sebuah kisah manusia yang tambahnya, kemudian begitu antiklimaks, si isteri terkasima kerana baru mengetahui suaminya mempunyai hubungan intim juga. Ada kisah kematian wanita itu. Ada tragedi. Asphyxia. Keesokan pagi sekali lagi di muka hadapan akhbar perdana ada kematian di landasan kereta api. Dua batang tubuh yang terbaring. Satu laki-laki dan satu wanita. Menurut agensi berita yang melaporkan, hubungan mereka adalah suami isteri. O, ini juga kisah manusia dan landasan kereta api. Maka genaplah tiga kisah daripada wanita separuh usia yang baru mahu berhenti bercakap sejak gerabak ini ditarik kepala kereta api.
Semakin mengerti
MATA saya masih berada di luar jendela kereta api. Tangan saya masih memegang sebuah buku autobiografi penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan terbaru. Dari jendela kereta api ini saya melihat terlalu banyak cerita yang berbaris untuk saya dengar rintihan mereka. Di setiap rumah di sepanjang landasan kereta api ini, saya tahu ada petala cerita yang mungkin memilukan atau sahaja membuat saya tidak mungkin dapat lena nanti malam apabila tiba di rumah persinggahan. Perjalanan ke selatan benua asing ini semakin jauh meninggalkan rumah hiba di atas bukit, wanita tua, lelaki lokomotif dan lelaki Nuh. Ketika itu segera saya melihat di negara asal saya yang turut ada cerita. Dari jendela ini, seperti kata seorang penyair di negara saya yang jauh itu, Zurinah Hassan, kehidupan adalah seperti melihat di luar jendela kereta api. Ya, terlalu banyak kehidupan yang dilintasi dan terlalu banyak yang berubah rupa. Baru saya ingat bait-bait itu dan semakin saya mahu mengerti maknanya.
PROFIL
MAWAR Shafei dilahirkan di Singapura pada 27 Februari 1971, pernah memenangi beberapa anugerah sastera dan terbaru Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor (2003). Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini turut menulis dalam genre esei dan cerpen untuk beberapa wadah serantau.
Sunday, March 16, 2008
CERITA DARI TIGA JENDELA KERETA API
Labels:
2008,
2008-03-16,
BM,
CERITA DARI TIGA JENDELA KERETA API,
MAWAR SHAFIE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment