Saturday, March 1, 2008

PAK MAT DITANGKAP POLISI

Oleh Nassury Ibrahim
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080302082920/Article



KERANA tidak mahu memilih hantu dan kerana tidak mahu bersekongkol dengan hantu, Pak Mat telah ditangkap polisi. Dia dituduh menjadi dalang hingga demikian orang pun tidak mahu memilih hantu dan tidak mahu bersekongkol dengan hantu. Pak Mat dituduh menghasut manusia memboikot perancangan hantu hingga hantu-hantu tercemar nama suci kehantuannya.

Orang banyak di Kampung Che Lijah rasa terkejut mendengar penangkapan itu. Mereka tidak percaya dek kerana tidak mahu memilih hantu, maka Pak Mat ditangkap polisi.

Lho, kot ditangkap kerana benci hantu,” kata Pak Semaun, satu-satunya Melayu keturunan Jawa di Kampung Che Lijah yang turut terkejut dengan penangkapan itu.

“Bukan benci hantu, Pak Semaun,” bantah Pak Karim. “Pak Mat ditangkap kerana tidak mahu pilih hantu, bukan benci hantu.”

“ Lho, itukan sama. Benci hantu ertinya tidak mahu pilih hantu. Tidak mahu pilih hantu ertinya benci hantu,” tegas Pak Semaun, membela diri.

“Tidak sama. Pak Mat ditangkap kerana tidak mahu memilih hantu.”
“Lho, tidak mahu pilih hantu pun ditangkap?”

“Iya, tidak mahu bersekongkol dengan hantu.”

“Lho, tidak mahu bersekongkol pun ditangkap?”

“Dan menahan hantu-hantu daripada memilih hantu.”
“Wah, banyak bangat tuduhan ni?”

“Iya, Pak Semaun, kerana kata polisi, Pak Mat telah mencemarkan nama kehantuannya.”

“Kot nama hantu boleh tercemar. Itukan lebih baik kerana kita tidak ketemu dengan hantu, tidak perlu takut pada hantu.”

“Itulah yang Pak Semaun tidak tahu. Tidak ketemu hantu dan tidak takut pada hantu, itulah yang dikatakan mencemarkan nama hantu.”

“Kot begitu?”

“Iya, kalau tidak bersekongkol dengan hantu, makanya orang tidak memilih hantu.”

“Iya, benar.”

“Kalau tidak memilih hantu, makanya orang tidak ketemu hantu.”

“Iya, benar.”

“Kalau tidak ketemu hantu, makanya orang tidak takut pada hantu.”

“Iya, benar.”

“Kalau ketemu hantu, makanya manusia akan takut pada hantu.”

“Iya, benar.”

“Apabila manusia takut pada hantu maka sempurnalah sifat kehantuannya.”

“Ooo ... “

“Dan terpeliharalah kesucian nama kehantuannya.”

“Kot begitu?”

“Iya. Cuba Pak Semaun ingat. Pak Semaun pernah ketemu hantu?”

“Is, nauzubillah ... tak mahu aku.”

“Dan, mahu ketemu hantu?”

“Nauzubillah ... Nauzubillah .... ”

‘Mengapa?”

“Menakutkan. Wajahnya amat buruk.”

“Iya, itulah hantu. Tidak ada hantu yang cantik seperti Dewi.”

“Iya, kalau Dewi jadi hantu lagi baik. Saya suka.”

“Pak Semaun suka kerana Dewi cantik. Makanya, Pak Semaun tidak takut. Lagi mahu adanya.”

“Iya. Iya.”

“Adakah apabila Dewi jadi hantu, wajah Dewi akan kekal cantik?”

“Iya, itulah harapnya.”

“Apa pernah Pak Semaun dengar hantu cantik?”

“Ngak. Ngak pernah. Tapi saya harap hantu Dewi cantik sepertinya Dewi.”

“Maka orang tidak takut sama hantu.”

“Iya. Iya, benar sekali.”

“Menurut polisi, itu salah. Kesalahan itu amat berat kerana jiwa hantu tidak harmoni lagi. Ketidakharmonian itu mengganggu fungsi hantu menyebabkan jiwa hantu menjadi kacau-bilau dan apabila kacau-bilau bererti akan mengganggu ketenteraman negara.”

“Falsafah sekali, Pak Karim.”

“Tidak, Pak Semaun. Cuba Pak Semaun lihat Palestin, lihat Iraq, lihat Lubnan. Mengapakah berlaku kacau-bilau? Kerana mereka sudah menghampiri keharmonian, kedamaian. Hantu Israel telah kembali ke negara mereka. Tidak ada lagi kekacauan di bumi Palestin, Iraq atau Lubnan kerana ketidakadaan kekacauan itu telah mengganggu rutin masyarakat hantu di negaranya kerana hilang sifat kerisauannya. Ini telah mengganggu keharmonian hantu menyebabkan hantu-hantu jadi resah gelisah. Keresahgelisahan itu mengganggu ketenteraman negara.”

Pak Semaun mengangguk-angguk mendengar hujah Pak Karim. “Iya, benar seperti kata Pak Karim, tu,” sahut Pak Semaun.

Pak Karim bercerita lagi. Katanya, Palestin yang aman damai di bawah pemerintah Hamas-Fatah ternyata tidak aman damai. Hilang hantu Israel, tiba-tiba timbul pulak hantu Fatah. Kata sumber yang boleh dipercayai, sejak Palestin aman, para hantu Fatah tidak lagi mendapat upah. Hidupnya semakin kedana. Yang lebih parah lagi, menurut sumber, para rakyat tidak lagi takut pada hantu-hantu Fatah yang ditakuti sebelum ini. Tidak ada sedikit pun rasa gementar saat mereka berselisih. Ini satu kejadian yang amat menghinakan hantu-hantu Fatah.

Lebih parah lagi, kata Pak karim, hantu-hantu Fatah telah hilang medan kehantuannya. Israel yang menjadi musuh kini telah kembali ke negaranya. Kerana tidak ada hantu Israel yang mahu dilawani dikacaui, justeru hantu Fatah kembali mengganas. Mangsa paling hampir dengannya ialah Hamas, rakan kongsi kuasa yang menggugat nama suci kehantuannya. Kerana Hamas darah Palestin kering. Kerana Hamas luka Palestin sembuh dan kerana Hamas juga perusahaan fitnah, perusahaan hasad dengki dan kilang umpat-mengumpat yang diusahai oleh hantu-hantu Fatah terpaksa ditutup. Hantu-hantu Fatah yang bergerak dalam lubang sulit hampir mati kelaparan kerana Israel tidak berminat mendapatkan khidmat sulit kehantuannya lagi.

“Iya, saya setuju,” tegas Pak Semaun, tiba-tiba.

“Apa yang setujunya, Pak Semaun?” tanya Pak Karim kehairanan melihat tingkah Pak Semaun.

“Oh, iya,” tersentak Pak Semaun mendengar pertanyaan Pak Karim. “Maksud saya, mereka tidak percaya bahawa memboikot hantu akan mengganggu ketenteraman negara.”

“Ya, betul,” tegas Pak Karim.

Pak Karim pun bercerita lagi bahawa ketidakpercayaan membaikot hantu mengganggu ketenteraman negara telah menjadi isu nasional. Katanya, para penternak hantu, khususnya hantu raya, menghadapi kerisauan maha runsing kerana dikhuatiri tiada pihak berminat mendapatkan khidmat hantu raya lagi. Segala strategi menyamar, menjelma dan menyerupai ahli-ahli pemilih telah dapat dihidu oleh lelaki bernama Pak Mat.

Katanya lagi, salah seorang penternak hantu dan sekali gus calon pemilihan bernama Lebai Ketereh, rasa terkejut sungguh kerana hantu-hantu yang disuruh menyamar, menyerupai dan menjelma itu pulang tanpa sempat menyamar, menyerupai dan menjelma. Apabila Lebai Ketereh bertanya, hantu-hantu itu memberitahu bahawa mereka telah disekat oleh entah siapa sewaktu dalam perjalanan ke pusat pemilih. Mereka diarah pulang tanpa sempat memasukkan kertas-kertas pilihan ke tempat sewajarnya. Malah, kata salah seekor hantu raya, kertas-kertas itu telah dirampas dan dibuang bertaburan ke dalam tali air. Dek takut diapa-apakan, hantu-hantu itu lari lintang-pukang.

Lebai Ketereh rasa amat marah kerana dia kehabisan banyak duit bagi mencalonkan diri bertanding dalam Pemilihan Wakil Suara itu. Lantas, disepaknya kerusi tidak berdosa di sebelahnya, terpelanting dan jatuh di kaki Tok Imam. Dek terkejut bunyi hempatan kerusi itu, Tok Imam melompat dan terjatuh di atas Peti Tabung Upah Hantu di sebelahnya. Akibat peristiwa itulah Tok Imam sampai sekarang digelar Tok Imam Peti.

“Bagaimana Pak Karim boleh tahu ini semua?” tanya Pak Semaun.

“Peristiwa ini dilihat oleh saya dan mata kepala mereka yang ada di situ,” ujar Pak Karim lagi.

Maka riuh-rendah orang melihat peristiwa kerusi melayang itu. Ada yang menjerit-jerit melihat kerusi melayang ke udara kerana bimbang kerusi itu jatuh menimpa kepala. Ada yang cuba lompat mengelak dan ada yang bingkas bangun melarikan diri. Suasana menjadi riuh dan hingar-bangar. Ada yang luka-luka. Ada yang patah kaki dan ada yang patah tangan. Ada juga lebam muka dan lebam mata kerana terlanggar sesama sendiri.

“Saya sendiri hampir terpenyek dipijaki kaki-kaki yang hingar-bangar itu, nasib baik saya sempat berlindung di sebalik sebatang pokok,” tegas Pak Karim.

Dan, katanya lagi, Lebai Ketereh terduduk melihat orang ramai yang tiba-tiba hingar-bangar itu. Setelah suasana reda, Lebai Ketereh mengarahkan Pembantu Kiri dan Pembantu Kanannya menyiasat segera dalang yang menggagalkan rencananya. Mereka pun menelefon esyu-esyu sulit yang ditugaskan mengawasi laluan ke pusat memilih. Sesaat itu juga Pembantu Kiri dan Pembantu Kanan memperoleh maklumat bahawa dalangnya ialah Pak Mat, bekas koperal pencen. Khabarnya Pak Mat ini dahulunya pernah menjadi Hantu Kolar Putih, sebab itulah dia tahu taktik samar-menyamar, menyerupai dan menjelma dan kata esyu-esyu sulit lagi, ujar Pak Karim, mungkin Pak Mat telah diupah oleh pihak lawan dengan bayaran lumayan.

“Nah, Pak Semaun. Tidakkah ini menunjukkan bahawa orang tidak takut pada hantu?”

“Mereka menyekat penyamaran,” balas Pak Semaun.

“Kerana menyekat penyamaran hantu telah mencetuskan kehingarbingaran dan ini mengganggu keamanan? Soalnya mengganggu keamanan”

“Iya.”

“Justeru itulah Pak Mat ditangkap polisi.”

“Tapi, Pak Mat berusaha menyekat penyamaran. Itu usaha yang baik.”

“Apakah ada hantu yang jujur? Yang tidak menyamar dan tidak menipu?”

Sekali lagi Pak Karim menegaskan bahawa perbuatan Pak Mat itu telah melanggar Akta Hak Asasi Kehantuan Negara. Katanya, pelanggaran ini adalah salah di sisi undang-undang negara. Hantu-hantu itu telah membuat laporan ke Pejabat Polisi tentang pelanggaran hak asasinya itu.

“Justeru itulah Pak Mat ditangkap polisi,” tegas Pak Karim lagi.

“Apa, Pak Karim juga menternak hantu?” teka Pak Semaun.

“Isy, Pak Semaun!”

“Makanya Pak Karim setuju bahawa kita tidak perlu takut pada hantu?”

“Sepatutnya.”

“Kita perlu hapus hantu dan kehantuannya?”

“Juga.”

“Pak Karim dan Pak Semaun?”

“Dan mereka yang selidahnya.”

“Kita perlu memerdekakan negara dan rakyat daripada segala hantu.”

“Iya. Iya.”

“Kalau begitu, ayuh kita buktikan.”

Esoknya, orang Kampung Che Lijah berduyun-duyun berarak ke Rumah Pasung, di mana tempat Pak Mat ditahan. Mereka menyampaikan memorandum agar dihapuskan Akta Hak Asasi Kehantuan Negara dan mengharamkan segala jenis hantu daripada menjadi pemilih dan calon Pemilihan Wakil Suara. Pada akhir perhimpunan itu, Pak Karim dan Pak Semaun telah ditahan polisi. Hal ini menyebabkan beberapa peserta perhimpunan terkejut dan berusaha mendapatkan kepastian terhadap penahanan Pak Karim dan Pak Semaun itu. Malangnya, mereka juga turut ditahan dan dituduh bersubahat.

“Adakah kamu mengaku salah?” tanya Tuan Arif kepada Pak Karim, Pak Semaun dan Pak Mat serta mereka yang sekariman, sesemaunan dan sematannya.

Mereka tidak membalas pertanyaan Tuan Arif. Hanya wajah mereka menatap wajah Tuan Arif dan Tuan Dakwa. Ruang sunyi seketika.

“Tidak, Tuan Arif,” tegas Pak Mat

“Merdeka!” jerit Pak Karim.

“Merdeka!” sahut Pak Semaun.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” sahut mereka yang sematan, sekariman dan sesemaunan dengannya.

Biodata penulis

NASSURY IBRAHIM, NAMA pena bagi Maniyamin Ibrahim yang dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan. Lulusan Diploma Falsafah Sains Islam dan Sarjana Pengajian Melayu ini menulis dalam genre puisi, esei, berita dan kritikan sastera.

Karyanya mendapat tempat dalam majalah, akhbar dan buku dalam mahupun luar negara. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

No comments: