Monday, March 10, 2008

KETIKA KIRMIZI SENJA BERMANJA

karya
WB Rendra
wbrendra.blogspot.com





“AKAN hadir suara magis! Kita jangan leka. Ramai yang benci dan tidak senang bila kita menang.” Lenggok dan getar suara bernada kaku itu keluar lebih cepat daripada pergerakan badan; sebelum mengambil tempat duduk. Ayat pertama itu memecahkan sisi genting pertemuan itu.

Pagi itu segala ketua bota berkumpul di satu sudut di kaki bukit yang telah dipancung itu. Gelombang kerongkong melagu keras mengisi sunyi kawasan yang di kelilingi pohon-pohon berusia beratus tahun - cengal, meranti, merbau dan jati. Namun berbeza, pagi itu ketua bota berkumpul di satu kawasan yang di kelilingi pokok ceri. Butir-butir kecil buah ceri ranum menghias cantik hujung dahan taman pertemuan bota.

Rutinnya memang begitu - setelah setengah windu - ketua-ketua bota akan berkumpul; berbincang panjang tentang kawasan-kawasan bukit yang dikuasai dan dijagai. Kawasan-kawasan bukit yang sangat berpotensi untuk dijenterai. Dihuni oleh sekian banyak mergastua dan satwa dan ada selaksa serigala dan musang garang yang setia(?) memantau(!) keliling bukit yang telah dipancung itu. Selaksa serigala dan musang garang yang kegemarannya meragut dan menghadam bangkai ayam dan daging busuk. Meminum air keruh di sungai yang mengelilingi bukit yang dipancung itu, dengan menangguk di air keruh.



“Bila kita berjaya, ada sahaja yang tidak kena.” bota Puspa menyambung bicara bota Setanggi yang memeluk tubuh. Mata bota Setanggi bertukar-tukar pandang dengan bota Dupa dan bota Puspa. Jika ditanya di kalangan segenap bala bota tentang siapa bota Puspa - dialah yang banyak membekalkan segala sumber keperluan di kaki bukit yang telah dipancung itu. Kulitnya persis putih telur yang direbus. Kadangkala gebu, kadangkala salju, kadangkala kekabu.

“Walau bagaimana baik dan mulusnya niat kita - masih ada yang menyimpan dendam dan kesumat. Yang penting kita perlu tingkatkan misi. Jika dahulu berjuang untuk mendapat tempat. Sekarang kita berjuang untuk bertahan.” Bota Setanggi selaku ketua, menyudahkan ayatnya yang masih bersimpul-simpul seperti benang emas sejuta satu selirat di sisi sutera. Dia mencapai kepak ayam panggang. Memakan dengan sopan dan tertib persis gaya seorang lelaki di hadapan kekasih yang baru dicintainya.

“Mata-mata seteru bukan datang dari kepala sahaja, teman.” Bota Dupa meneguk segelas air halia bercampur madu dan susu kambing. Sambil menepuk-nepuk perlahan bahu bota Puspa. Dia lebih selera dan selesa menjamu tepung yang dimasak bagaikan roti yang dileper-leper. Ada yang garing dan tiada minyak. Kata-kata bota Dupa jelas merujuk - menusuk terus kepada kepala kawan akrabnya bota Puspa.

Dalam setiap pertemuan ketiga-tiga bota akan membicarakan tentang masa depan kawasannya dengan cara paling toleran, demi sebuah kesinambungan yang panjang. Sementelah, pertemuan kali ini berkait rapat dengan kewujudan satu suara yang akan hadir setelah setiap setengah windu. Suara yang akan menentukan letak duduk bota-bota.

Suara itu adalah suara magis yang akan mengatur kekuatan dan kekuasaan bota-bota di kawasan yang telah dipancung itu. Sedang selaksa serigala dan musang garang asyik leka dan alpa memakan bangkai ayam dan daging-daging busuk yang dilemparkan banyak biduanda - pencari atau tepatnya pencuri peluang dan ruang di kawasan yang telah dipancung itu; menembus masuk sama ada secara izin atau secara haram. Biduanda ini lebih banyak membuat huru-hara kepada pemastautin sebenar yang di sisa dari bukit yang telah di pancung itu.

“Maksudmu?” Tiba-tiba bota Puspa mencelah. Mulutnya menggelembung. Lalu dia mencapai segelas air lemon di sisi pinggannya, terus meneguk air itu agar lancar segala yang tersangkak. Sejambak bunga lavender menghiasi meja sidang itu menebar wangi situasi. Rimbun daun pohon ceri meredupkan suasana bahang oleh mentari dan tajuk perbincangan itu. Namun, kabus di kaki bukit yang dipancung itu mula menipis.

“Menguasai dan berada di puncak ini bukan mudah. Kita bukan sahaja memerhati, tetapi lebih keras diperhati. Mata-mata seteru sering datang tanpa diduga. Kita tidak tahu. Di tempat yang tidak sepatutnya, ada yang memasang mata semata-mata mahu menjatuhkan kita dari menara.” Tangan bota Dupa pantas mengacu ke arah menara di atas bukit tempat bota-bota itu melihat kawasannya. Kawasan tinggi itu dapat melihat anak sungai, bukit-bukit kecil, anak tangga-anak tangga dan seterusnya satu gapura agam.

“Kata-katamu sangat berkias. Seperti diterpa dingin angin dari puncak gunung. Seperti disirami sejuk air dari tasik chinitigi.” Bota Setanggi mengukuhkan lagi kata-kata bota Puspa - yang kurang mengerti maksud kata-kata bota Dupa.

“Hidup dalam arena ini kita tidak boleh terlalu statik dan mendatar. Sesekali kita perlu masuk ke ruang tanpa radius. Ke satu daerah samar.” Bota Dupa cuba mempertahankan diksi-diksi yang dizahir. Matanya bulat putih dan persis asap rona kulitnya. Pada pandangan bota Dupa satu ruang tanpa radius dapat menyembunyikan sisi lain bota dan menzahirkan sisi lain bota itu pula. Ruang tanpa radius adalah ruang yang diperlukan bota-bota menara - pendapatnya di hati berbunga dan mekar. Barangkali, ruang tanpa radius adalah boleh diibarat hidup seperti sesumpah. Bertukar warna mengikut rona urna sekelilingnya. Fikir bota Setanggi.

“Memang meskipun tidak semua, kadangkala ada yang menganggap kehadiran kita seperti menemui setitis air di padang pasir,” bota Puspa meninggalkan kata-kata bota Dupa dalam satu teka-teki fikir matematik; seperti sebuah sudoku. Bota Puspa meyakinkan pendapatnya kerana memang benar - jika bukan dirinya yang didambakan, masakan kawasan bukit yang telah dipancung itu, begitu cantik dengan karisma luar biasa.

“Bagaimana saya hendak tanam keyakinan suara magis? Di mana saya boleh membeli benih-benihnya?” Bota Dupa bersuara memaculkan pertanyaan. Dia menambah hidangannya. Bota Dupa sedar dia sudah terlalu lama duduk di kerusi itu. Kadangkala, duduknya juga tidak selesa. Hanya dia bernasib baik tidak ditiliknasibkan oleh mata-mata bukan kepala para seteru. Namun yang pasti bota Dupa juga di kelilingi seteru dalam cadar. Masa yang akan menentukan kedudukannya yang terlalu lama itu.

“Kita jangan lupa suara-suara magis yang kecil itu. Meskipun kurang auranya, tetapi impak-impak yang bakal diberikan kelak adalah besar.” Bota Setanggi yang lebih tua mengambil posisi suara. Menjawab pertanyaan bota Dupa secara berlapis. Bota Setanggi mengetepikan sisa tulang ayam panggang, sebaliknya mengambil beberapa biji buah anggur dan beri biru yang ranum itu ke dalam mulutnya. Matanya terkesip-kesip.

“Ramai yang tidak nampak tentang perkara kecil yang penting. Ada dalam kamus dan hukum kawasan kita; perkara-perkara tentang maruah, polisi yang diguna pakai sejak dahulu usah dipinggir. Apa yang menyatukan kehidupan kita di kawasan ini?” Bota Setanggi mengaitkan bota Dupa dalam hal tersebut. Sesetengah bota-bota Dupa yang keterlaluan pandainya dan terlebih bijaknya(?) membuat honar dengan membakar rimbun pohon di taman permai permainan - di kawasan itu. Bota Setanggi maklum, dia harus menasihatkan secara mulus kepada bota Dupa dan bota Puspa tanpa curiga. Tentang kredibiliti dan integriti. Tetapi, bukan di sini - fikirnya lembut dan berpada.

“Maksud bota Setanggi - di kawasan anak bukit, sungai dan melepasi sungai serta anak tangga-anak tangga itu.” Bota Dupa meletakkan bekas minuman di atas meja. Bota Setanggi mengangguk. Bota Puspa sedar maksud itu. Jauh jua memikir.

“Toleran dan tutur kata?” Tiba-tiba Bota Puspa mencelah dengan kejutan sejuta satu makna. Merentap sunyi yang melekakan. Bota Puspa menjawab kemelut tanya Bota Setanggi yang lebih awal.

“Apa yang membezakan?” Bota Dupa bertingkah tertib.

“Rona kulit, pegangan dan acara hidup sekalian bota-bota.” Bota Setanggi menyambut. Matanya dikecilkan sedikit, berfikir jauh barangkali. Mengulangi pertanyaan, “Apakah yang menyatukan bota-bota yang berlainan rona kulit dan acara hidup ini?”

“Tentulah tutur kata @ bahasanya,” Bota Dupa senyum sinis. Mengulangi kata bota Puspa.

“Kenapa senyum begitu?” Bota Puspa mencurigai. Baginya perbincangan ini serius demi kelangsungan bota-bota. “Alangkah sempurna sarwajagat jika menyedari; menyayangi dan mencintai tutur kata sendiri melebihi yang asing.” Sambung bota Puspa merujuk kepada bota-botanya sendiri. Dalam sedar kata-katanya mencuit-cubit letak rasa bota Setanggi.

“Apa yang bota Puspa melilau? Kita hidup dalam masyarakat bota. Peduli apa dengan tutur kata?” Bota Setanggi keras. Dia jauh terkeluar dan tergelincir dari landasan bota. Dia yang sepatutnya mengukuhkan lagi pasak itu ke dalam jati diri bota-bota - namun, malang - dia yang nampaknya memugar. Menebang dan mencabut akar serta konkrit yang sekian lama diserasi - mengalir dalam pembuluh darah bota-bota.

“Bukankah kelak kita akan berbalik kepada suara-suara magis; menyuarakan perkara yang serupa - mengapa masyarakat bota tiada tutur kata sendiri? Kita boleh bina tamadun dengan tutur kata kita sendiri.” Bota Puspa optimis. Kerana dia pernah alami. Dia mengimbau sejarah susur galur botanya. Nenek moyangnya. Pertiwinya.

“Ah, sudah berbuih perkara ini dipolemik dan diretorikkan. Banyak lagi perkara lain yang mesti mendapat tempat.” Bota Setanggi seperti meremehkan. Tangannya didepakan, “Penghubung dari desa ke desa dan denai dari kampung ke kampung seharusnya diberi fokus utama.” Sambung bota Setanggi jernih matanya jatuh jauh melihat ke bawah. Melintasi sungai panjang yang mengelilingi bukit yang telah dipancung itu.

“Seperti bota Puspa, kelangsungan acara hidup @ budayanya masih tegak, tebal dan tekal meski sudah entah berapa dasawarsa meninggalkan tanah tumpah leluhur. Mereka menjadi bota pemikir. Bukan sahaja ekonomi, tapi jati diri.” Bota Dupa merujuk bota Puspa dengan hujung ibu jari tangan kanannya. Bota Setanggi tunduk seakan mengakui kesilapan. Kesilapan paling besar dan tidak terhukum. Barangkali bertanya kepada diri sendiri tentang nasib yang diwarisi leluhur bota Setanggi. Bota Setanggi harus sedar, dalam gelombang garang yang mengganas - bota-bota Setanggi terpaksa berjuang dengan biduanda yang melimpah, juga pelbagai lapis ombak tidak terduga.

Bota Setanggi pantas berfikir. Dia kesal dan terperangkap dengan sikapnya sendiri. “Sebagai bota di sini, bukan untuk mencatur diri. Ini sebenarnya tanggungjawab berat buat kita. Siapa yang menjawab jika di sana kelak akan ditanya - apa peranan dan tanggungjawab bota di kawasan itu dilaksanakan dengan sempurna?” Hatinya meronta.

Situasi hampir petang, bota-bota itu usai berbincang. Sama ada mahu yang terbaik atau yang terbalik untuk kawasannya menjelang setengah windu itu, atau sekadar melepas batuk di tangga. Ada bota yang berkerut. Ada yang mengira-ngira sambil membilang dengan jari dan ada juga bota yang setia ke beranda itu dengan matlamat jujur - ikhlas, jelas untuk digalas.

Ketika kimizi senja bermanja, seusai matahari lena; terbang unggas kelana dari paksina pulang ke daksina - tiba-tiba lengan kanan bota Setanggi disentuh romantis renjis-renjis gerimis. Serta merta fikirannya bercempera teringatkan hujan lebat yang merona kawasan itu suatu masa dahulu. Memenuhi sungai, menyebabkan penghuni sungai itu - sejuta katak kulit menggerutu - sesetengahnya lemas dan air hujan yang tinggi mula mengikat leher pohon-pohon meranti, cengal, jati dan merbau itu. Kemudian menjerut pula leher bukit yang telah dipancung itu. Bota Setanggi terfikir, adakah itu kerana/gejala atau tanda leluhur murka kepada kealpaan yang dicetus atau tercetus secara sengaja atau tidak sengaja kepada apa yang pernah diperjuangkan oleh leluhur dan nenek moyang segala bota-bota Setanggi? Bota Setanggi menggeleng. Meletakkan tangan kanannya di dahi; kesal dan berfikir keras.

Yang utama kini, kesediaan segala bota menanti kehadiran satu suara. Segala bota bersedia dengan kehadiran satu suara yang akan hadir setelah setiap setengah windu itu. Suara-suara itu ialah suara magis. Suara yang sangat berkuasa. Menentukan kemenangan atau ketewasan bota-bota.


Nota: bota = gergasi


Biodata penulis:

WB RENDRA, nama pena bagi Wahyu Budiwa Rendra A.Wahid yang dilahirkan di Johor Bahru pada 17 September 1978.

Lulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini cergas dalam genre cerpen, sajak dan novel.

Novel Di Sebalik Mentari Jingga diterbitkan DBP pada 2007 manakala kumpulan cerpen perseorangannya, Mazhab Cinta dalam proses penerbitan badan berkanun terbabit.

Antara antologi yang memuatkan karyanya ialah Antologi Cerpen KEPEZI Satu dan Dua (2004), antologi puisi Pusaka Bangsa (2006) DBPWS, Manggar-Maggar Kemerdekaan (2007, Yayasan Warisan Johor Citra), Suara Bukit Timbalan (2007, Persatuan Penulis Johor), Di Tengah Arus( 2007, DBP). Meraih sagu hati kategori cerpen Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007; Hadiah Khas Juri menerusi skrip Dogma pada Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007; Hadiah Sastera Darul Takzim ke VII kategori Cerpen Eceran anjuran Yayasan Warisan Johor dan Hadiah Kategori Cerpen dan Puisi Sayembara 50 Tahun Merdeka anjuran DBP.

Berita Minggu 9 Mac 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Susastera/20080309055310/Article/

No comments: