Oleh Nisah Haron
www.annyss.blogspot.com
CHEF Mariam terkedu apabila menerima surat undangan dari istana. Air mukanya yang tenang terkocak seperti permukaan muara sungai yang dilontar dengan sebiji kelapa laut. Kerut di wajahnya sukar kembali kepada keadaan asal kerana sebiji kelapa laut yang terapung akan teroleng-oleng sehinggalah ombak-ombak kecil menghantarnya ke tebing.
Tangannya pantas mendail nombor Chef Chimiko. "Kau dapat tak surat yang sama?"
Suara di hujung talian menafikan.
"Kaufikir aku harus pergi, Chimi?"
"Mengapa tidak? Kita tak harus terburu-buru dalam soal ini. Banyak perkara yang belum pasti. Jadi, elok juga kau dipanggil untuk mesyuarat di istana. Mungkin ada banyak telahan yang boleh dirungkai."
Chef Mariam tidak terus menjawab. Hatinya masih berbelah bahagi. Pada tarikh yang sama, dia telah menerima undangan untuk memberi bengkel dan tunjuk cara membuat pastri di sebuah sekolah kulinari tidak jauh daripada perkarangan istana. Sudah lama sekolah itu meminang supaya Chef Mariam tidak menguzurkan dirinya dan dia tidak berhasrat untuk membatalkan hanya kerana surat panggil mesyuarat dari istana yang sampai pada saat-saat akhir itu.
"Pergi sahajalah," cadang sahabatnya apabila dia masih tidak menjawab di hujung talian.
"Aku tak mahu buang masa dengan soal silibus sekolah kulinari ini. Kita ini tukang masak. Bukannya penggubal silibus ataupun pembuat soalan. Aku ada banyak kerja lain," tukas Chef Mariam.
"Habis tu, takkan kita nak biarkan pihak istana sewenang-wenangnya mahu memasukkan resipi-resipi makanan segera ke dalam silibus sekolah tu! Cacamarbalah masa depan semua sekolah kulinari tanah air."
Chef Mariam menarik nafas panjang. "Apa sangatlah daya aku untuk mengubahnya kalau perkara itu sudah pun diputuskan oleh pihak istana?"
"Yam, aku tak fikir perkara ini sudah muktamad. Berita yang tersebar di akhbar itu mungkin ada benarnya, tapi mungkin juga kurang tepat. Alah, wartawan pun kadangkala salah dengar dan salah tulis. Jadi, apabila isu ini sudah digembar-gemburkan pihak institusi pemakanan, pasti sudah ada kelam kabut di puncak istana. Jadi, inilah masanya untuk melakukan sesuatu yang terbaik. Fikirkanlah masa depan anak-anak kita. Apa yang akan mereka makan ataupun masak nanti, kalau masakan yang benar-benar asli pun mereka sudah tak tahu hendak masak. Jangan lupa, setiap yang kita makan itu akan menjadi darah daging!"
Kata-kata Chef Chimiko itu ada benarnya, fikir Chef Mariam. Semua ini angkara pihak yang mahu mengaut untung dalam jangka masa pendek. Setiap lima tahun, silibus sekolah masakan akan diubah resipinya. Resipi masakan tempatan, masakan serantau dan masakan antarabangsa semuanya akan dirombak. Oleh itu, buku-buku resipi baharu akan dicetak. Pihak sekolah kulinari seluruh negara menggunakan silibus yang sama sebagai teks.
Pencipta resipi berkhasiat dikenal pasti dan mana-mana tukang masak yang mempunyai resipi berwibawa akan diketengahkan. Resipi mereka diambil dan digunakan dalam silibus sekolah kulinari tempatan. Pencipta resipi itu akan dibayar satu jumlah sagu hati yang agak lumayan oleh pihak istana.
Perkara ini bukannya kali pertama terjadi. Lima tahun dahulu, istana ini kecoh kerana resipi yang tersenarai dikatakan pilih kasih. Pihak panel penilai didakwa memilih resipi di kalangan kawan-kawan sesama tukang masak. Ada unsur-unsur kronisme.
Ketika itu Chef Mariam sama-sama naik angin mendengar dakwaan itu. Apabila dia meneliti senarai resipi, semuanya dilihat resipi-resipi yang penuh khasiat.
Dunia masakan ini bukannya besar sangat. Berapa ramai yang dapat menghasilkan resipi yang enak, tetapi berkhasiat. Kalau setakat membuat resipi segera yang boleh dikilangkan dan dimasukkan ke dalam paket, tak perlulah panel bersusah payah menyenarai pendek resipi-resipi tersebut. Malah tidak perlu diajar pun kepada anak-anak di sekolah kulinari itu. Lebih baik makanan itu dipesan secara pukal dan dikirimkan ke sekolah-sekolah. Tetap mengenyangkan walaupun langsung tiada khasiat.
Inilah yang menjadi kekecohan kali ini. Pihak istana didakwa langsung tidak menyenaraikan resipi ilham chef-chef terkemuka tanah air. Kononnya, resipi mereka susah untuk diikuti pelajar. Sukatan pada bahan agak cerewet dan pelajar pula tidak mungkin dapat mencuba resipi-resipi tersebut. Bahan-bahannya pula agak payah diperoleh di pasar raya.
Ada sesetengah resipi itu akan menyebabkan pelajar-pelajar menyelongkar kedai-kedai rempah yang kecil-kecil kerana bahan-bahan seperti halba, biji sawi, serbuk ketumbar tidak dijual di semua pasar raya. Rasa resipi itu pula belum tentu sedap kerana pelajar jarang sekali dapat menyukat bahan-bahan dengan baik. Itulah antara yang menjadi keluhan para pelajar.
"Kalau bukan kita yang menentang silibus gila ni, siapa lagi Yam? Aku tak dapat suratnya, kalau dapat aku takkan menolak."
"Mereka sudah jelas mahu menolak resipi-resipi kita. Resipi masakan segera mahu diangkat sekarang supaya dapat menjimatkan waktu mengajar masakan kerana boleh siap dimasak dengan segera. Dua minit pun boleh selesai."
"Dengar sini, Yam. Cuba jangan beremosi dulu dalam soal ini. Kau sebenarnya akan memprotes bagi pihak seluruh tukang masak negara kita. Ini persoalan maruah semua yang terlibat dalam dunia kulinari. Kalau mereka jelas mahu memilih masakan segera pelajar akan belajar menggoreng karipap samosa dan bukannya menguli karipap pusing kau mesti jadi seperti seekor burung yang menolong Nabi Ibrahim. Kau masih ingat kisah itu?"
Chef Mariam senyap. Dengan itu, Chef Chimiko menerangkan lagi, "Apabila burung kecil itu ditanyakan kawan-kawannya yang lain mengapa dia sibuk hendak memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim sedangkan setitis air dari paruhnya langsung tidak akan memberi kesan kepada air yang sangat marak itu. Jawab burung itu, aku tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti. Aku mahu berusaha melakukan sesuatu walaupun dilihat sangat mustahil. Jika Allah bertanya kepadaku, apa yang telah aku lakukan sewaktu Nabi Ibrahim terbakar, sekurang-kurangnya aku boleh menjawab bahawa aku telah menolong untuk memadamkan api. Aku bukan sekadar memandang dari atas pokok yang jauh dari bahangnya."
Chef Mariam masih tidak bersuara.
"Jadilah burung itu, Yam!"
Dengan nasihat yang ditinggalkan sahabatnya, Chef Mariam pun menghadiri mesyuarat seperti yang dijadualkan pihak istana. Ramai juga mereka yang seangkatan dengan Chef Mariam rupa-rupanya turut dipanggil dalam mesyuarat itu. Ada yang bertaraf chef. Sous chef pun ada seorang dua, barangkali mewakili ketua mereka, fikir Chef Mariam. Turut hadir juga dua orang pengkritik makanan, pakar nutrisi dan ahli gastronomi.
Dalam surat undangan tempoh hari tidak dinyatakan sebarang agenda mesyuarat. Hari ini, sebaik-baik sahaja mendaftar dan mengesahkan kehadiran, setiap seorang ahli mesyuarat diberikan sebuah fail. Dia mengambil tempat di sebelah Atmahati, seorang pengkritik makanan.
"Mengarut betul nampaknya mesyuarat ni," kata Atmahati sambil menyuak rambut paras bahunya ke belakang.
Chef Mariam tidak terus menjawab. Matanya tunak memandang sehelai kertas yang dikeluarkan dari fail tadi.
Agenda mesyuarat: menentukan bilangan resipi untuk kurikulum sekolah kulinari seluruh negara.
Dia mencari lagi agenda yang berikutnya. Kertas sehelai itu dibalikkan, tetapi hanya itu yang tertera.
Satu agenda sahaja!
"Mengapa kita dipanggil sekian ramai hanya untuk menentukan jumlah resipi? Bukankah bahagian kurikulum istana boleh sahaja mengekalkan jumlah sedia ada?" terpacul soalan-soalan itu dari bibir Chef Mariam.
"Itulah saya kata tadi. Mesyuarat ini mengarut dan bakal membuang masa kita semua," tegas Atmahati lagi. Personalitinya tampak berbeza daripada yang sering dilihat di dalam televisyen untuk rancangan 'Ronda-ronda Selera'.
Ahli mesyuarat yang berbual-bual sesama sendiri dengan nada rendah mematikan bicara masing-masing apabila seorang lelaki separuh umur berbadan sederhana berdehem-dehem di hadapan mikrofon kecil di atas meja bujur.
"Tujuan pihak istana memanggil mesyuarat ini ialah untuk menentusahkan bilangan resipi yang harus dimasukkan ke dalam silibus baharu sekolah kulinari kita. Jadi, silalah kemukakan pendapat sama ada jumlah resipi sedia ada yang dipelajari oleh anak-anak kita ini mesti dikurangkan kerana terlalu membebankan ataupun dikekalkan."
"Tuan pengerusi, apa masalahnya dengan bilangan resipi sedia ada sehingga mesyuarat ini harus menentukan sama ada jumlahnya harus ditentukan semula?" pantas Atmahati menyambar medan bicara dengan menekan butang mikrofon di hadapannya.
Semua mata tertumpu ke arahnya. Dia menyambung lagi, "Saya tak fikir kita semua ini patut dipanggil beramai-ramai hanya untuk menentukan bilangan. Bukankah itu soal yang sangat teknikal. Biarlah pihak pentadbiran istana yang menentukannya."
"Benar, Cik Atmahati dan ahli mesyuarat sekalian, tetapi, pihak istana juga mendapat maklum balas daripada pihak sekolah bahawa resipi yang diajar di sekolah-sekolah ini agak berat hingga ramai yang gagal memahami aspek gastronominya. Terdapat juga permintaan daripada guru-guru supaya jumlah resipi ini biarlah dikurangkan supaya tidak terlalu membebankan para pelajar."
"Apa masalahnya?" Chef Mariam memancung tanpa disedari.
"Masalahnya ialah waktu mengajar yang tidak cukup untuk mengajar semua resipi sedia ada. Jadi, pelajar-pelajar pun tidak cukup masa untuk mengkaji buku teks sebaliknya, membaca buku-buku rujukan bagi tujuan peperiksaan," jawab pengerusi itu.
Seorang perempuan muda mengangkat tangan ke arah pengerusi lalu diizinkan oleh kepala mesyuarat itu.
"Biarlah saya beri pendapat sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan pelajar. Tuan-tuan dan puan-puan sebagai chef ataupun tukang masak profesional tidak melalui apa yang kami hadapi di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar mengeluh kerana resipi yang perlu dihafal untuk peperiksaan terlalu banyak, sedangkan yang disoal amat sedikit. Apatah lagi, untuk pelajar tahap awal, soalannya dibuat dalam bentuk objektif sahaja. Jadi, wajarlah bilangan resipi itu dikurangkan supaya pengajaran menjadi lebih praktikal."
Chef Mariam menarik nafas dalam-dalam. Udara yang disejukkan oleh pendingin hawa itu diharap dapat melunakkan kehangatan yang sedang membakar perasaannya akibat luahan guru muda tadi.
"Tuan pengerusi, kalau hendak diikutkan, saya melihat jumlah resipi yang diajar di sekolah-sekolah ini harus dikekalkan tanpa sebarang kompromi. Malah, tidak menjadi hal kalau harus ditambah juga. Apabila mereka ini masuk ke dalam sektor pekerjaan, saya sebagai pengamal kerjaya ini secara profesional mendapati ramai tukang masak baru yang gagal menguasai hal-hal pemakanan yang asas. Takkanlah kita mahu kurangkan lagi hanya untuk tujuan peperiksaan. Terus terang, saya tidak pernah silau dengan gred pelajar yang dikatakan cemerlang. Saya akan uji mereka ini secara praktikal kerana peperiksaan sekadar menguji kebolehan pelajar di atas kertas dalam jangka waktu yang terhad. Mereka menjadi penghafal, bukannya pengamal!"
Desas-desus kedengaran di sekelilingnya.
"Betul kata Chef Mariam tu," seorang pengkritik makanan menyokong. "Sudah tu, mereka ini akan menjadi orang yang menyediakan makanan kepada orang ramai. Jika perkara-perkara asas tentang makanan pun mereka tidak didedahkan dengan kepelbagaian, macam mana mereka boleh menguasai bidang pemakanan? Resipi graduan kini saya lihat semakin tiada kualiti. Berbangga sangat dengan resipi-resipi makanan segera."
Guru yang menyuarakan pendapat tadi memuncungkan wajah. Masam kelat.
"Saya harap puan tidak bersuara mewakili semua guru di sekolah kulinari. Bimbang benar saya," kata pengkritik makanan itu lagi.
"Tuan-tuan dan puan-puan, mesyuarat ini perlu memutuskan berapa jumlah resipi yang wajar dipelajari dalam silibus yang baharu. Ini penting bagi banyak pihak terutama sekali bahagian penggubal soalan peperiksaan," kata pengerusi yang cuba mengawal agenda mesyuarat.
"Bagi saya, mesyuarat ini membazir waktu kerana jumlah resipi tidak penting, tetapi kandungannya lebih afdal." Tidak tahan, Chef Mariam menyampuk lagi. "Saya percaya pihak pakar nutrisi dan ahli gastronomi boleh bersetuju dengan saya bahawa mengetahui apa yang terkandung dalam setiap resipi itu jauh lebih penting daripada menghafal dan memuntahkan kembali resipi-resipi itu di dalam peperiksaan"
Chef Mariam tidak pasti sama ada pendapatnya ini boleh mengubah pendirian pihak istana. Dia cuma teringat pesanan Chef Chimiko.
"Jadilah burung itu, Yam!"
Biodata penulis
NISAH Haron yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan memulakan kerjaya penulis sejak zaman pelajarnya menghasilkan karya dalam genre cerpen, novel kanak-kanak, novel, esei dan cergas dalam kegiatan penulisan khususnya di negeri kelahirannya. Bekas peguam yang kini penulis sepenuh masa kerap memenangi sayembara peringkat negeri dan kebangsaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment