Thursday, February 21, 2008

BILA ADIK PULANG ...


Oleh Ummu Hani Abu Hassan
Mingguan Malaysia 04.10.2007


Mentari sangat elok. Cahayanya menerobos ke ruang kamar, terus menerangi wajah kami yang sedang tidur. Aku berasa perlu bangun kerana suara burung sudah kedengaran, bermakna burung telah memulakan kehidupan.
“Dik Lin bangun,” lirihku. “Dik Nur bangun,” jeritku. Dua tubuh berkelubung dalam selimut kukodek-kodek dengan tangan. “Bangun sayang-
sayang kakak,” kataku. “Umppp...” balas suara dalam selimut. Entah Dik Lin, entah Dik Nur. “Kalaulah kakak burung, kakak sedang terbang cari makanan. Bukan tidur lagi di sini,” kataku.
Pintu kamar terkuak, tubuh montel berambut panjang berlari ke sisiku. Mencium pipiku berkali-kali. “Kakak bangun lambat...” katanya. Aku tersenyum. Dik Nur sudah bangun rupanya. “Kejutkan Lin. Malu dengan burung, sudah terbang cari makanan Lin masih berdengkur.” Dik Nur gelak-gelak, tangannya merentap selimut Dik Lin. “Bangun Lin, kakak kata kau tak malu dengan burung?” Dik Nur melempar selimut Dik Lin ke pintu. Dik Lin masih merengkut. Rambut panjangnya berjurai menutupi bantal. “Biarlah, burung tu bukan puasa. Kalau bangun pun tak boleh makan,” kata Dik Lin. Matanya terpejam rapat. Aku senyum. Adik-adikku jika tidak ke sekolah selalu saja lambat bangun tidur.
Aku disorong ke bilik air. Kerusi rodaku menjadi laju ditolak Dik Nur. Rambutnya yang selalu lepas ke bahu berjurai panjang. “Kakak puasa tak?” tanyanya. Mataku menjeling ke atas. Dik Nur gelak-gelak kecil. “Mama tinggalkan nasi goreng bawah tudung saji untuk kakak tapi dah tinggal sikitlah,” katanya. Aku sudah menerka. Sebelum kerusi roda mencecah lantai bilik air, aku sempat mengutil lengan Dik Nur. “Makan dengan siapa ha? Pagi-pagi sudah buka puasa,” cecehku. Dik Nur tidak mengendahkan.
Menggosok
Dia menyalin tubuhku dengan kain basahan sebelum menjurus rambut dan badanku. Sejuk. “Sebelum mama keluar tadi, mama pesan jaga kakak baik-baik,” cerita Dik Nur. Tangannya ligat menggosok tubuhku dengan sabun. Hatiku terusik. Kasihan mama dan abah, hari minggu pun terpaksa bekerja kuat. Apakah kerana hari raya yang bakal menjelma? “Mama kata nak beli baju gaun putih dan kasut tumit tinggi untuk Dik Nur,” kata Dik Nur. “Kalau Dik Nur puasa penuhkan?” aku menyampuk. “Alah kakak tu tak pernah puasa pun...” Dia mencebik. “Kakak lain.” aku mengetap bibir. Dik Nur mengeringkan rambutku yang tinggal beberapa helai. Badan kurusku dibalut tuala bersih sebelum disorong kembali ke bilik.
Kamar sudah bersih. Tilam tempat baringku berganti cadar putih. Hatiku bergetar kala tubuhku dibaringkan Dik Nur ke tilam. Entah mengapa, bila melihat saja warna putih serasa ajalku semakin dekat. Walaupun Dik Nur selalu berkata, “Kak Hana akan cantik nanti bila rambut Kak Hana panjang.” Tetapi, sempatkah rambutku panjang? “Rambut Kak Hana panjang dalam kubur saja Dik Nur,” balasku selalu lantas dijerkah Dik Lin, “Kak Hana jangan tinggalkan kami,” katanya sambil menangis teresak.
“Dik Nur, entah-entah esok Kak Hana masuk kubur.” Tiba-tiba dadaku berasak. Sudah setahun aku menderita kanser tulang. Sejak umurku 10 tahun. Kematian yang selalu digambarkan dalam televisyen sering mengganggu tidur malamku. “Dik Nur takutlah Kak Hana. Jangan sebut lagi,” kata Dik Nur. Perkataan kubur mungkin amat rapat dengan ‘hantu’ bagi kami kanak-kanak. Tetapi, sejak aku sakit, sering aku berfikir bahawa kubur paling aman untukku melepaskan diri daripada kesakitan. Mengapa orang dewasa jarang untuk bercerita tentang kubur dan kehidupan kekal di akhirat? Malahnya, apabila aku bertanya pada mama atau abah, mereka diam dan memujukku, “Hana akan kembali sihat.” Sebenarnya, aku ingin tahu wajah alam yang bakal manusia tuju bila mereka mati. Allah itu Maha Penyayang, tentu aku akan bahagia di sana. Bertemu dengan Allah, bertemu dengan Rasulullah s.a.w.,bermain-main dalam syurga bahkan boleh meminta apa sahaja hatta kapal terbang sekalipun akan dimakbulkan. Ah! Mengenangkan impianku untuk naik kapal terbang, semangat hidupku kembali cerah.
“Lin, siapa makan nasi goreng bawah tudung saji?” Aku terdengar Dik Nur memekik kepada adik kembarnya di dapur. Aku memejam mata, membayangkan kapal terbang MAS sedang mendarat. “Kenapa kau makan? Itu nasi Kak Hana. Kau ni Lin...” Aku membuka mata. Suara Dik Nur kuat di dapur. Aku tidak pula mendengar suara Dik Lin. Sudah-sudahlah adik-adikku, kakakmu ini lebih kepingin naik kapal terbang daripada nasi goreng sejuk tu, rungut hati kecilku. “Mana Lin tahu, Lin lapar sangat tadi,” tingkah Dik Lin. “Habis Kak Hana nak makan apa? Nanti mama marah tak jaga kakak baik-baik.” Aku tersentuh mendengar suara Dik Nur. Sedih sekali jika aku mati awal dan berpisah dengan adik-adikku.
“Kak Hana, Dik Nur turun kedai belikan kakak roti. Lin dah habiskan nasi goreng kakak...” kata Dik Nur. Aku senyum. Mengejip-ngejipkan mata. “Rupanya, dua-dua adik kakak tak puasa,” balasku. Dik Nur tersengih malu sambil menggaru rambutnya yang mengurai. Dik Nur keluar. Entah di mana Dik Lin? Mataku terpandangkan tiga kuntum bunga plastik yang disepit Dik Nur di belakang pintu bilik kami. Sekuntum berwarna hijau, dua kuntum berwarna merah. Agakanku, sekuntum yang hijau itu adalah aku, manakala dua kuntum yang merah itu buat sepasang kembar yang comel, Dik Nur dan Dik Lin. Tapi, agakanku silap kerana kata Dik Nur, “Yang hijau itu Dik Nur, kakak dan Lin dua bunga merah.”
Menguji
“Kenapa? Kakak bukan kembar Lin,” aku pernah mengujinya. “Dik Nur nak juga rasa tak ada pasangan kembar. Nak sorang-sorang,” jawapannya buat aku ketawa. Mengenangkan kata-kata itu, aku jadi bimbang semula, aku bakal seorang-seorang bila aku mati. Mama, abah, Dik Nur dan Dik Lin akan menghantarku ke kubur. Sebaik sahaja aku masuk ke liang lahad, mereka akan pulang meninggalkan aku kegelapan dalam tanah yang sempit.
Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak masakan Allah memberiku mama yang baik, abah yang baik juga Dik Nur dan Dik Lin yang baik. Allah memberi kami rumah sebagai tempat tinggal. Allah memberi kami makanan dan pakaian. Allah menyelamatkan hidup kami dari orang-orang jahat. Ah! Tak terhitung nikmat Allah. Nyawaku yang masih berdenyut ini juga pemberian Allah.
“Mama, bagaimana kalau tiba-tiba ada orang jahat kacau keluarga kita? Allah tak kasihan pada kitakah?" Tanya Dik Nur suatu ketika. Aku teringat lagi jawapan abah bagi pihak mama.
“Allah selalu kasihan pada kita sayang. Kalau ada orang jahat kacau keluarga kita, bukan Allah tak jaga tapi Allah nak uji supaya kita jadi orang yang sabar. Orang sabar ni dekat dengan Allah. Di akhirat, Allah bagi dia syurga yang paling besar dan cantik.”
“Jadi, Kak Hana sakit ni sebab Allah nak uji dialah?” Tanya Dik Lin pula. Mama mengangguk. Kali ini mama pula menjawab “Sebab Allah sayang sangat pada Kak Hana. Kita pun tak boleh sayang Kak Hana macam Allah sayang pada dia.”
Aku tenang sekali dengan jawapan mama. “Nanti Kak Hana dapat syurga paling besar dan cantik, jelesnya,” teringat lagi kata Dik Nur.
“Dik Nur pun boleh dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana tapi dengan syarat…” kata-kataku dipotong abah “Dik Nur kena sabar setiap kali ada kesusahan menimpa.”
“Termasuk kena kacau dengan orang jahat?” Tanya Dik Nur. Kami semua mengangguk dan tersenyum kepada Dik Nur. Entah mengapa, air mataku mengalir deras. Terbayang wajah Dik Nur sedang menggosok tubuhku dengan sabun di bilik air tadi. Tuhan, peliharalah adik-adikku kerana aku tidak mampu bergerak untuk menjaga dan mengawasi mereka.
Senja mulai merona suram. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang di ufuk Kampung Kerinchi. Abah dan mama pulang dengan menjinjit plastik makanan begitu banyak. Aku terbaring lemah kerana memikirkan Dik Nur yang masih tidak pulang-
pulang sejak awal pagi. Dik Lin sudah tiga kali meronda seluruh kawasan flat kami, tapi bayang Dik Nur tidak kelihatan. Kami berdua serba-salah di hadapan mama dan abah.
“Dik Nur hilang?” Mama mengerut dahi.
“Adalah tu dekat-dekat kawasan ni. Dia nak hilang ke mana? Agaknya di rumah Imron” kata abah menyusun kuih dalam pinggan.
“Tak ada, Lin dah cari rumah Imron, rumah Dina, rumah Nora, semua tak ada abah,” jelas Dik Lin. Abah diam meneruskan suapan makanan.
“Dik Nur belum balik?” Wajah abah terjengul di muka pintu. Kali ini tona mukanya tidak setenang tadi. Mama yang resah bertambah kacau dengan tangisku.
“Dia turun nak beli roti untuk Hana tapi tak balik-balik.” Entah mengapa aku berasa paling bersalah apabila melihat gelisahnya abah dan mama.
“Saya cuba cari dulu dengan orang surau,” kata abah kemudian turun semula ke surau flat kami.
“Mama, kalau Nur tak balik, dia tidur mana malam ni?” tanya Dik Lin. “Kalau mama tahu, mama suruh dia tidur di rumah sayang,” jawab mama. “Kawan-kawan Lin tak nampak Nur kat kedai pagi tadi?” Dik Lin menggeleng.
“Abang kedai tu kata Dik Nur datang kedai semalam je, hari ni tak datang,” kata Dik Lin. Mama mengerut dahi. “Abang kedai mana?” “Yang selalu bagi gula-gula pada kami. Abang yang ada kucing comel tu.” Aku memandang Dik Lin, abang itukah yang selalu berkirim salam padaku melalui Dik Nur atau Dik Lin? Kata Dik Nur, abang itu sangat baik. “Pelik betul. Semalamkan kita semua teman Kak Hana di hospital,” jawab mama. “Lin nak panggil kawan-kawan sekejap.” Dik Lin berlari ke pintu.
Memerhati
“Mama! Beg siapa ni?” Aku hanya memerhati langkah mama yang laju. “Mama!!! Dik Nur!!” jerit Dik Lin sehabis suaranya.
Segala-galanya sangat pantas. Seperti seekor burung yang terbang bebas kemudian dilastik batu, ia jatuh ke bumi lalu mengerang mati. Aku memang suka memerhatikan burung. Cicipnya menemani hari-hariku di jendela flat ini. Burung selamat kembali ke sarang malam ini tapi Dik Nur hanya singgah sebentar di rumah kemudian akan kembali ke sarang yang abadi; kubur! Ya Allah, betulkah apa yang terjadi hari ini? Kami tidur bersama semalam, Dik Nur memandikan aku, menyiapkan aku dan melayaniku. Matanya yang bulat, senyum begitu mesra dan rambutnya yang berjurai panjang kini hanya terpotret di gambar. Di hadapan kami sekarang adalah Dik Nur yang malang seperti mayat seekor kucing yang ditoreh sesuka hati. Siapakah manusia yang memiliki akhlak begitu dahsyat meratah kehormatan kanak-kanak Dik Nur? Sampai hati dia. Sampai hati sanggup menerima kutukan alam dan menyerah diri kepada kemurkaan Allah. Mama pengsan lagi. Abah di sisi jenazah Dik Nur tidak bersuara apa-apa. Matanya yang merah bak saga menjelaskan sengsara hatinya menerima kematian Dik Nur dengan cara begitu zalim. Mayat Dik Nur dijumpai dalam beg atas rak kasut depan rumah kami sahaja. Apakah manusia sekarang bebas melakukan apa sahaja termasuk meratah tubuh kanak-kanak, membunuhnya kemudian memulangkan kembali kepada kami? Manusiakah itu?
Dik Lin menyembam muka ke bahuku. Tangan tulangku mengelus-ngelus rambut panjangnya seperti aku mengelus-ngelus rambut Dik Nur. “Kak Hana, Dik Nur dah pergi, Kak Hana jangan pergi,” katanya. Aku mengucup Dik Lin. “Abah dan mama masih ada. Mereka akan jaga Dik Lin baik-baik.” “Kalau abah dan mama tak ada?” “Kenapa pula?" aku mengerut dahi. “Lin dengar abah dan mama nak kena tangkap sebab tak jaga Dik Nur baik-baik...” tangisnya makin tinggi. “Dik Lin, Allah ada. Allah akan jaga kita semua sayang. Jangan bimbang. Orang sabar akan dapat syurga besar tau,” pujukku. Dik Lin memelukku erat. Suara bacaan yasin semakin kuat berseli ingatanku pada kata-kata Dik Nur, “Kalau ada orang jahat kacau, Dik Nur nak sabar sebab Dik Nur nak dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana.” Aku mengetap bibir yang basah. Dik Nur, selamat pulang ke syurga yang abadi. Tunggu kakak di sana.

No comments: