Raihani Mohd Saaid
Mingguan Malaysia, 29.4.2007
1. INT / DEWAN KULIAH /SIANG“Ready for take! Silence! Lights on! Camera running! Scene two take two, action!”
Dewan kuliah besar tetapi sunyi. Azroll memetik satu instrumental di piano. Loy Chee Luen menangkap aksi Azroll dari kamera videonya. Jabat Mijilon membuat catatan cakar ayam. Tulisan doktor, hujah bela dirinya apabila orang lain sukar menghadam tulisan tersebut. Masing-masing memusatkan sepenuh perhatian.
Petikan piano Azroll menjadi sumbang tiba-tiba. Keluh besar dari Loy dan Jabat. Azroll mengangkat tangan, menyeringai. Nampak giginya yang elok teratur walau ‘rajin’ juga merokok.
“Ini tauge-tauge aku lambat bacalah!” Rujuk Azroll pada nota-nota muzik di gagang piano.
“Macam mana kau, nak jadi seniman serba boleh?” Jabat, anak leluhur Ranau, Sabah membuat muka kepada Azroll. “Okey, audio masuk kemudian. Suruh budak muzik main!”
2. EXT/LUAR DEWAN KULIAH /SIANG
Azroll menyalakan rokok dengan gaya tersendiri – membaling rokok dua tiga kali ke udara dan menyalakan mancis bagai samseng filem noir. (Kata Azroll, guna mancis lebih klasik). Asap berkepul menutup wajahnya. Loy yang baru sahaja ingin menyimpan kamera videonya, kalut semula menangkap aksi spontan Azroll. Cantik dan bersahaja.
Sebuah poster besar terlekat di pintu bilik seminar bersebelahan dewan kuliah. “Seminar Pembangunan Filem Melayu: Menjana Kembali Kreativiti. Panel: Datuk A. Mohsein.”
“Menjana kembali kreativiti?” Asap rokok Azroll makin menipis. Lensa kamera Loy terarah pula kepada poster tadi. “Kita ni semua hidup dalam nostalgialah!” Pintas Loy tiba-tiba.
“Azroll tu yang menghidupkan nostalgia Seniman Rajemee. Makan tidur tak pernah sebut nama seniman atau seniwati lain! Cubalah sebut nama hmmm…siapa ya? Miss Lenny Tonggek?” Jabat memekik seronok. Suaranya direndahkan kembali apabila pintu bilik seminar terkuak. Datuk A.Mohsein keluar, dikerumuni para pelajar filem.
“Yang ramai-ramai tu betulkah minat filem Melayu?” Azroll melempar puntung rokoknya ke dalam pasu bunga berdekatan, juga dengan gaya tersendiri.
“Yang ramai-ramai tu urus setia sahaja. Yang betul-betul pelajar filem tak sampai pun 15 orang, semuanya kena tunjuk muka. Pensyarah suruh buat assignment!” Loy membuat suara gontai.
“Tanyakan Datuk…ehem! Seniman Datuk A.Mohsein fasal Seniman Rajemee, nak? Untuk projek spoof kita?” Jabat menduga dengan senyum nakal.
“Tak kuasa aku!” Azroll menunjal dahi Jabat dan kemudian mengangkat kaki dari tempat tersebut, masih dengan lagak samseng filem noir. Jabat hanya tersengih. Loy merakam aksi itu lagi.
“Datuk A.Mohsein tak pernah baik dengan Seniman Rajemee walaupun seniman itu mentornya. Dia selalu banggakan yang dia anak Melayu pertama belajar filem di luar negara.” Jabat menggiat.
“Seniman Rajemee pun sekolah tinggi. Fasih cakap orang putih. Suka pelakon-pelakonnya boleh baca rumi.” Balas Loy pula.
“Tapi Datuk A.Mohsein pernah beritahu pengkaji yang nak tulis memoir dirinya bahawa Seniman Rajemee suka bercakap seorang diri!” Jabat mengangkat punggung, mengikut jejak Azroll. “Aku rasa semua orang seni suka cakap seorang diri, kan?”' Suara Jabat sayup-sayup. Loy mengejar dengan kamera video.
3. EXT / GERAI MAJALAH /MALAM
Azroll memborong sebanyak mungkin majalah yang memuatkan ulasan filem, khususnya dan industri seni tanah air, umumnya. Termasuk juga komik Pedang Setiawan dan Raja Rimba. “Gua nak balik kampung, kena beli siap-siap. Di sana susah mahu cari semua ni.”
Apek surat khabar seringai lebar ketika Azroll menghulurkan secekak duit dari perbelanjaan bulanannya yang harus disisihkan untuk bahan bacaan dan tontonan sebagai pelajar filem.
“Kampung mana?”
“Taman Bunga Mawar, Kulim.”
“Dekat HQ polis ka? Bapak lu polis?”
“Bukan. Cikgu bahasa, Sekolah St.Anne Convent.”
Kata dua rafik akrabnya, Jabat dan Loy, Azroll gilakan Seniman Rajemee. Mengigau pun kutip dialog-dialog bernas dari filem Seniman Rajemee. Buat tesis tentang Seniman Rajemee. Projek spoof dan berderet lagi projek kampus pasti terselit Seniman Rajemee. Kini Azroll mencari sela masa menekuni teori asas muzik, belajar membaca notasi supaya boleh memainkan lagu-lagu ciptaan seniman serba boleh pujaannya. Jenuh Azroll memujuk ibunya keluarkan duit pencen untuk beli keyboard supaya boleh berlatih di rumah sewanya di Shah Alam.
4. INT / RUMAH SEWA AZROLL / MALAM
Matanya masih segar. Rokok dinyalakan. Dalam kepulan asap, terngiang suara ibunya. Hang tak jadi naga tak boleh ka? Dia dan ibunya sebetulnya telah menjalin persefahaman tak bertulis; ibunya tidak akan mengadu tentang tabiat merokoknya kepada ayah ataupun berleter tentang rambutnya yang makin panjang. Ada doktrin yang mengatakan pelajar seni kena simpan rambut panjang? Ada doktrin mengatakan orang berambut panjang tak boleh belajar seni? Begitu pernah terjadi sesi dialog antara dia dengan ayahnya yang lazimnya singkat tetapi mendung, kadang-kadang guntur juga.
Dia tidak faham mengapa ayahnya yang mengajar bahasa dan bertanggungjawab membenihkan minatnya terhadap seni dan sastera pernah mengungkit hal-hal kontra menjadi pelajar filem. Keras suara ayahnya ketika bidang itu ditandakan sewaktu mengisi borang pengajian tinggi. Subjek art banyak yang bagus ni. Ambil law?(Azroll geleng) TESL? (Cukuplah cikgu-cikgu yang dah ada di rumah ni! Jadi seni dan sastera hanya boleh jadi hobi? Tidak boleh jadi kerjaya serius?) Hang nak meminang anak orang dengan buat filem?
Sesi dialog itu cuma sejak akhir-akhir ini tidak berlangsung. Seisi rumahnya sudah boleh menerima andai Azroll tiba-tiba bertempik menyumpah ulasan filem dangkal yang dibacanya di media atau ketika menonton wacana filem di mana terlalu ramai yang ingin jadi polis moral tetapi tidak belajar ilmu logik dan realiti filem. Dengan ayahnya juga seperti sudah terjalin satu persefahaman tidak bertulis; buatlah apa hang nak buat, asalkan hang pi jenguk muka di masjid depan rumah tu dan setiap semester nama menempel di senarai dekan!
Azroll mencapai VCD filem Nippon Melayu, memasang komputer riba dan projektor LCD. Imej dari VCD ditembak ke dinding rumah sewanya. Nippon Melayu sudah ditonton enam kali tahun ini sahaja. Azroll melajukan filem sehingga adegan pemuda-pemuda Melayu di kilang bijih Eastern Smelting. Mereka bertepuk bersorak mengelilingi hero yang bernama Remy, yang sedang bermain ukulele. Azroll terasa matanya berat sehingga dia terlihat seseorang di dalam kelompok pemuda tadi. Dirinya sendiri.
5. EXT /STUDIO FILEM NUSA TAHUN 1957/SIANG
Papan tanda EASTERN SMELTING. Azroll menghampiri kelompok pemuda tadi. ‘Remy’ sudah berhenti bermain ukulele dan pemuda-pemuda lain bertepuk gembira.
“Mainlah satu lagu lagi, Remy. Kami suka mendengar suara kau!”
“Tidakkah kau takut bila kita bersuka-suka begini, tauke datang melihat kita curi tulang?'' Jawab ‘Remy’.
“Kami lebih takut pada anjing-anjing Jepun yang datang mencari heiho!”
“Aku juga bekerja di sini untuk melarikan diri dari anjing-anjing Jepun itu. Baiklah, satu lagu lagi!”
Sorakan tambah kuat. Azroll menangkap bahawa lagu yang dimainkan ‘Remy’ sama dengan instrumental piano yang dimainkannya siang tadi. Sedang rancak, tiba-tiba permainan ukulele ‘Remy’ menjadi sumbang.
“Cut!Cut! Break setengah jam ya!”
Azroll memerhati keliling dan menyedari yang dia terlontar di tengah-tengah penggambaran filem Nippon Melayu pada tahun 1957. Remy tidak lain adalah Seniman Rajemee yang dikaguminya. Mereka berbalas pandang sehingga Azroll menyedari sekali lagi bahawa tiada siapa di situ yang dapat melihat dirinya kecuali Seniman Rajemee.
Seorang lelaki awal 30-an, Majid, datang mengambil ukulele dari tangan Seniman, sambil menghulurkan segelas air.
“Kenapa, bang?” Tanya Majid kepada sutradara tersebut. Resah.
“Entahlah, Majid. Aku macam ternampak…ah! Tak ada apa-apalah! Sudah dapat ekstra yang mukanya macam Jepun? Esok aku nak buat scene budak-budak sekolah Nan Shio Koin lawan judo.”
Seniman Rajemee meninggalkan tapak penggambaran, Azroll mengekorinya sehingga mereka tiba di sebuah bilik persalinan. Terpampang tulisan SENIMAN RAJEMEE di muka pintu. Di dinding penuh dengan poster-poster filem keluaran Studio Nusa.
6. INT /BILIK PERSALINAN SENIMAN RAJEMEE /SIANG
Di hadapan sebuah cermin panjang, Seniman Rajemee membuat beberapa pergerakan judo sambil mulutnya kumat-kamit berdialog di dalam bahasa Jepun. Azroll menghampiri Seniman lambat-lambat.
“You ekstra ka? Sudah fitting baju? Sudah jumpa assistant director, Majid?”
Antara terkejut, takut dan kagum, Azroll terlongo beberapa detik sebelum membuka mulut. “Nama saya Azroll. Saya datang cuma nak tengok kerja abang. I really like your work.”
Seniman mencapai sebatang rokok dan menyalakannya saling tak ubah seperti yang Azroll sering lakukan. Bak samseng filem noir, komen Jabat dan Loy. Mulut Azroll terlopong kembali. Bertambah kagum.
“Pandai speaking ni? Sekolah tinggi ya? Senior Cambridge?” Seniman mengasak, mesra dan menghulurkan sebatang rokok kepada Azroll.
“Uni…uni…” Azroll teragak-agak. Otaknya kebas seketika, begitu juga otot tangannya, terfikir sama ada mahu menerima rokok dari tangan Seniman atau tidak.
“Universiti Malaya? Belajar mau jadi doktor? Lawyer? Majistret?”
Ibu Mertuaku! Azroll membatin, takjub. “Saya belajar sastera, bang.”
Serentak itu, A.Mohsein menjengah muka di bilik persalinan tersebut. Azroll terlongo kembali melihat wajah muda dan naïf A. Mohsein yang juga seakan bingung melihat Seniman bercakap seorang diri.
“A.Mohsein! Abang nak buat script reading dengan kau. Projek baru, filem ketiga. Pergi minta skrip sama Majid!”
“Saya jadi supporting ke, bang?” Balas A.Mohsein, penuh hormat dan sedikit takut-takut. Sangat berbeza dengan Datuk A.Mohsein yang dilihatnya di seminar filem.
“Pergi jumpa Majid. Nanti kau tahulah!” Seniman senyum. A.Mohsein meninggalkan bilik persalinan dengan teragak-agak.
“Itu budak A.Mohsein memang bagus. Boleh jadi bintang filem. Abang tukarkan namanya dari Awang Hussin, ada star value kan? Nama abang pun kena tukar. Syed Razimi Al-Usmani tukar pada S.Rajemee, barulah dengar macam nama film star. Nama abang macam nama alim ulama, macam nama orang pandai-pandai! Orang cerdik pandai, sekolah tinggi macam kau tidak datang ke tempat bikin filem ni!”
“Bikin filem juga perlu orang cerdik pandai, bang!”
Azroll terasa bahunya ditepuk. “Selepas 25 filem, baru Studio Nusa beri kepercayaan pada pengarah Melayu. Itu pun selepas orang-orang Utusan, Gelanggang Filem dan Mestika mendesak. Penonton makin meluat dengan cerita-cerita pinjam, watak pipih, dialog kosong tak ada jiwa, macam dihafal. Tony Tauke, bos abang sudah lihat proposal skrip yang abang tulis. Maksud abang, hasil perah otak dan kerjasama dengan kawan-kawan abang di Utusan dan Gelanggang Filem. Orang sastera, orang kuat bahasa.”
“Jadi, itu yang lahir Amran Skuter? Filem pertama berpengisian Melayu?”
“Ada orang tidak setuju kerana Amran Skuter kisah orang bandar. Cerita samseng Melayu, memburukkan orang Melayu. Tetapi yang tidak suka itu sedikit. Yang bosan dengan cerita-cerita khayalan dari pengarah India lebih banyak. Filem itu berjaya, Tony Tauke kembung! Abang dapat peluang bikin satu lagi filem.”
Mata Azroll tidak berkedip.
“Apa itu filem berbudaya tempatan? Berjiwa Melayu? Hero masuk kampung cari maraparupa dengan silat, makyung, songket atau makan belacan, baru Melayukah? Ada lagi soal yang lebih besar. Soal pemikiran, soal jiwa.”
7. INT / STUDIO NUSA / SIANG
Azroll berjalan-jalan di sekitar set penggambaran Studio Nusa, mengekori Seniman. Mereka melalui sekumpulan penari wanita sedang berlatih rumba. Salah seorang darinya Azroll cam, Miss Lenny. Heroin jelita nan manja yang sering menjadi pilihan Seniman untuk filem-filemnya. Istimewanya Miss Lenny di mata penggemar filem, terutamanya lelaki ialah punggungnya. Tonggek, seperti kata Jabat.
“Itu Miss Lenny. Abang suka ambil dia jadi heroin. Boleh baca rumi. Cakap orang putih pun pandai. Heroin lain ramai yang merajuk. Mereka baca Jawi pun tidak boleh. Abang tak suka susahkan Majid.”
“Tapi mereka berbakat besar, bang. Yalah, perempuan! Siapa mahu hantar ke sekolah?” Azroll memintas.
Seniman tidak menjawab. Dari depan, datang dua orang pengarah berbangsa India yang Azroll kenal, G.Ananda dan Dhiresh K. Wajah mereka mencuka. Di tangan mereka masing-masing sekeping dokumen.
“Hei, budak Melayu! You datang sini saja, kami Indian directors tak boleh cari makan!” G.Ananda hampir mengangkat tinju ke muka Seniman. Azroll sedikit kaget. Seniman tenang.
“You pegang kerusi director, kami kena buang kerja tau! Filem baru you apa yang bagus? Ada fantasy juga. Cerita tiru, tidak asli!” Dhiresh K pula bertempik.
“Maharung Mahawangsa itu karya besar bangsa saya. Saya ada tanggungjawab sampaikan cerita besar itu pada semua orang!”
“Ya, cerita besar! Fasal you lubuk emas besar Tony! Gaji 30 ribu ringgit, 10 kali lipat gaji kami. Ini tidak fair, Jemee!”
Azroll perhatikan, misc-en-scene di hadapannya benar-benar seperti sebuah filem samseng. Seniman masih tenang menghadapi ancaman dua orang pengarah India yang mencekak leher bajunya seraya mengangkat tinju ke udara. Suasana tegang.
“Budak Melayu belum pandai mengarah!” Dhiresh K melaung. Kali ini Seniman meletup. Tinjunya yang naik dahulu ke udara.
“Lari, Azroll! Lari!”
8. INT / RUMAH SEWA AZROLL/ MALAM
I Mobile 601 milik Azroll melengking. Azroll kalut menggagau dari atas sofa.
“Helo, tauke… Saya tidak mahu mengarah kalau orang India tu kacau di set!” Azroll mamai.
“Aku dah cakap, engkau kalau mengigau pun kutip dialog Seniman! Malam ni kita nak tangkap bulan penuh, ingat tak? Cepat siap!” Sergah Jabat di hujung talian. Perbualan mati. Azroll buntang kembali, mengetukngetuk kepalanya.
9. EXT / SEKITAR TAMAN TASIK SHAH ALAM / MALAM
Loy menadah cahaya bulan penuh dengan kamera videonya. Azroll masih termenung.
“Mimpi kau tu… ops, maaf! Kembara batin kau tu kalau disusun ikut format lakon layar Joseph Campbell, boleh box-office kawan!” Jabat menggiat Azroll.
“Kau tak bagi tahu Seniman apa yang berlaku lepas Studio Nusa bungkus? Kau tak cakap yang di belakang hari A.Mohsein akan lawan dia punya sifu?” Loy bersuara selepas menyimpan kameranya.
“Kita tak boleh kacau perjalanan masa. Tak boleh kacau sejarah.” Azroll membalas dengan tenang, seakan meminjam ketenangan Seniman. “Kalau dikacau pun, kau fikir cuaca filem tempatan akan berubah?”
Loy menjuih bibir. Jabat mendengus.
“Kita masih hidup dalam nostalgia, kan? Eh, Azroll… Miss Lenny tu betulkah punggungnya tonggek?”
No comments:
Post a Comment