Thursday, February 21, 2008

ORANG-ORANG BE4RJUANG - Muhammad ASli Atan

Oleh Muhammad Ali Atan
Mingguan Malaysia 4.8.2007


AKHIR-AKHIR ini sesudah solat subuh mata Lukman Hashim tidak mahu terkatup lagi seperti pagi-pagi sebelumnya. Halimah, pembantu rumah yang setia akan mendudukkannya di atas kerusi roda dan menyorongnya ke sisi jendela, menanti kunjungan cahaya mentari pagi.
Dalam keheningan itu memori masa lalu mengunjunginya membawa panji-panji kebangsaan berkibar megah di puncak hidupnya, apabila satu demi per satu yang diperjuangkannya terlaksana dan seluruh masyarakat menikmati sejahtera. Dan cahaya mentari pagi yang menyimbahi alam dinikmatinya penuh asyik bagai burung yang terbang bebas di angkasa dan berkicau ria di ranting pohon yang merendang.
Tok!Tok!Tok! Lamunannya terputus. Halimah masuk ke bilik menatang dulang berisi secawan kopi, segelas air kosong, roti bakar dan berbagai-bagai jenis pil serta kapsul.
“Bawa aku ke bilik stor...”
“Tuan mesti bersarapan dan makan ubat.”
“Hah, aku tak lapar, buat apa makan. Bawa aku nak ke bilik stor.”
“Nanti Datuk Yusof marah.”
“Aku ini,” katanya sambil memandang tajam ke muka Halimah.
“Ayahnya... dia tidak berhak paksa aku... marah aku... juga engkau...”ujarnya mencari nafas di antara sela-sela kata yang terputus menandakan keuzurannya. Halimah serba salah. Lukman Hashim mempamerkan kedegilan dengan cuba memegang alat kawalan kerusi roda dengan tangan kanannya. Tangannya menggigil. Dicuba juga. Gagal. Apakah tangan kanan ini juga akan mengikut jejak kematian tangan kiriku? Jerit hatinya .
Halimah mengalah. Lukman Hashim membisu. Dia merenung tangan kanannya. Tangan inilah yang dahulu teramat gagah memecahkan belenggu di leher rakyat. Tangan inilah yang telah membangunkan rakyat dari tidur lena yang panjang. Tangan inilah yang meniup semarakkan semangat kebangsaan di dada rakyat. Tangan ini juga dahulu yang membela hak-hak dan nasib rakyat! Kini tangan ini telah hilang upayanya seperti tunggul mati yang tidak berguna!
Halimah membuka pintu bilik stor. Kebimbangan mengelabut hatinya. Datuk Yusof sudah mengingatkannya berulang kali agar memastikan bapanya bersarapan pagi dan makan ubat seperti yang dipreskripsikan oleh doktor peribadinya. Datuk Yusof juga melarang Halimah menurut kehendak Lukman Hashim yang mahu ke bilik stor itu. Dia tidak tahu mengapa larangan itu dikenakan. Namun hati Lukman Malaya sekeras kerikil. Terpaksalah Halimah melayan.
“Kau ambil itu,” kata Lukman Hashim menunjuk ke satu arah dengan bibirnya. Halimah menurut. Berhati-hati dikeluarkan buku skrap daripada selitan buku-buku lama yang diselimuti habuk. Hati Lukman Malaya diruntun keharuan. Buku-bukunya tersepuk seperti barang tidak berguna.
Halimah membuka buku skrap yang berisi keratan akhbar lama di depan Lukman Hashim. Pada setiap halaman itu terlekat keratan-keratan akhbar yang sudah kekuningan Dan matanya yang dibantu oleh cermin mata berkanta tebal berbingkai besar itu cuba menjamah ayat demi ayat dan gambar demi gambar yang kabur. Ada keratan yang menolak otot pipi kendurnya ke kiri dan ke kanan menayangkan gusi yang tak bergigi.
Ada keratan yang menarik keningnya bercantum kanan dan kiri. Ada keratan yang mendorongnya bermonolog sendirian. Ada keratan yang menekan kepalanya ke bawah, dengan keharuan yang meramas-ramas sukmanya sehingga menzahirkan air mata. “Halimah,” panggil Lukman Hashim setelah beberapa ketika dihanyutkan kenangan lampau. Bibi membawa Lukman Hashim ke biliknya. Dan merebahkan tubuh uzurnya di atas katil. Inilah dunianya kini. Antara bilik tidur, bilik air, bilik stor sejak akhir-akhir ini dan ruang tamu sekali sekala. Roti bakar dimakannya separuh. Kopi diteguknya setengah cawan. Dan sewaktu Halimah menyuakan ubat kepadanya, dia merenung butir-butir ubat itu lalu berpaling ke arah lain.
“Tuan, nanti Datuk Yusof marah sama saya.”
“Buangkannya,” Halimah serba salah apabila berhadapan dengan kedegilan Lukman Hashim. Lukman Hashim pasti memaki dan mencarutnya tidak tentu biji butir jika dipaksakan sesuatu. Tiada sesiapa dapat membantahnya melainkan Datuk Yusof. Setelah Halimah keluar dari bilik, Lukman Hashim menatap bolong syiling biliknya. Sungguh itulah yang diingininya. Merdeka daripada kesan dadah ubat moden. Merdeka daripada tangan-tangan yang membelenggu.
Biarpun kesunyian memenuhi biliknya. Biarpun kematian sentiasa mengintai dari segala penjuru. Kedegilan hati menjadikannya kebal terhadap kegentaran pada bayangan kematian. Namun tubuh uzurnya tidak mampu untuk terus melayan semangatnya yang sentiasa menyala-nyala itu. Sebelum kesedarannya hilang, dia berharap mimpi yang bakal mengunjunginya adalah babakbabak perjuangan lalu yang telah mengisi hampir seluruh hayatnya!
Malam itu setelah makan bersama, Datuk Yusuf dan Lukman Hashim duduk di ruang tamu menonton berita. Berita Semasa TV 4 menyediakan laporan khas sempena kemerdekaan negara. Wajah para pemimpin dan politikus menghiasi laporan itu dengan kronologi peristiwa semasa hendak merdeka.
“Ketika ini saya masih lagi seorang guru dan perkembangan inilah membangkitkan semangat saya untuk menjadi ahli politik yang berjuang demi negara,bangsa dan agama,” kata Datuk Yusof cuba memancing minat bapanya untuk berbual. Lukman Hashim tidak bereaksi dengan kata anaknya itu. Fikirannya melayang jauh ke masa lalu. Lukman Hashim tidak akan lupa zaman itu.
Zaman perjuangan golongan wartawan-sasterawan menyeru kebangkitan umat Melayu, memperjuangkan kepentingan dan hak-hak Melayu serta menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Lukman Hashim memejamkan mata serapat-rapatnya. Gambar peristiwa dan suara rakan wartawan seperjuangan berbahas bercampur gelak tawa bersilih ganti dalam memorinya. Dan orang yang paling disanjungi dan dianggapnya bapa pejuang bangsa, agama dan negara terpacul di hadapan matanya. Dialah Abdul Rahim Kajai wartawan-sasterawan dan mahaguru kepada para wartawan sezaman.
Benar. Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin dengan Al-Imam dan Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi bersama Al-Ikhwan mendahuluinya. Bezanya terletak kepada keluasan medan juangnya. Kajai bukan sekadar reformis agama malah Kajai juga nasionalis bangsa. Walaupun Kajai menentang kejumudan, taklid buta serta adat resam yang menyekat kemajuan Melayu seperti seruan Syeikh Jalaluddin dan Syeikh Al-Hadi, Kajai pada masa yang sama juga menyeru Melayu mempertahankan adat dan budaya selari dengan Islam. Kajai menyedari kepentingan jati diri sebagai pasak peribadi Melayu agar tidak melayang-layang disapu ribut pembaharuan seperti sesetengah reformis muda yang jahil dengan keperibadian dan wajah bangsanya!
Lukman Hashim menarik nafas panjang mencari jejak-jejak pemikirannya yang diselaputi habuk zaman. Ketika cengkaman imperialis kukuh mendarahi Tanah Melayu, Kajai dengan bersungguh menolak satu per satu jari raksasa Inggeris itu dengan obor kewartawanan. Begitu bijaksananya Kajai.
Kajai memanfaatkan bidang kewartawanan sebagai wadah perjuangan untuk membakar semangat Melayu. Kajai menegaskan bangsa Melayu adalah bangsa termulia dan amat taat kepada pemerintahnya ketika Melayu diikat dengan rasa rendah diri yang dicipta oleh kolonial. Masih segar di ingatan Lukman Hashim pada rencana akhbar dan rencana pengarang yang ditulis oleh Kajai menyeru semua lapisan masyarakat bersatu dan bekerjasama demi kemajuan bangsanya.
Kajai menegaskan tugas utama Raja-Raja Melayu adalah mempertahankan hak-hak mutlak orang Melayu. Dan sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu bertindak memelihara kepentingan Melayu dan melindunginya daripada dirampas bangsa-bangsa asing. Lukman Hashim dapat merasakan gelombang kekhuatiran Kajai bahawa pada suatu masa nanti berkemungkinan besar orang Melayu akan hilang rumahnya, perniagaannya, kampung, tanah-tanahnya dan hak-hak Melayu di bandar-bandar akan bertukar tangan. Api semangat yang direbakkan melalui akhbar-akhbar ketika itu benar-benar membakar jiwa mudanya sehingga dirinya ditarik ke medan kewartawanan kerana jelas di mata hatinya perjuangan maha penting bangsa dan tanah air ketika tahun-tahun 30-an hingga 40-an itu.
“Parti politik adalah punca kekuatan perpaduan dan medan juang umat Melayu,” getus Datuk Yusof sewaktu televisyen menayangkan sejarah penubuhan parti-parti politik tanah air. Lukman Malaya merengus keras. Selalunya apabila melihat pada pohon yang rendang dan buah yang ranum, orang akan mudah melupakan pada akar yang menjalar ke dalam bumi mencari air dan mineral buat menegakkan batang, mengukuhkan dahan, mengembangkan ranting dan menghijau sihatkan daun.
Lukman Hashim merenung tangan kanannya. Dia mengembangkan jari jemarinya sambil melawan kegigilan otot tangannya. Sewaktu tangan ini masih gagah, tangan ini juga seperti tangan Kajai. Dan ungkapan Kajai dalam sebuah rencana pengarangnya yang menyatakan bahawa ‘selagi roh kebangsaan itu belum bertiup maka tiadalah boleh diharap pergerakan yang dibanggakan kepada kebangsaan itu boleh berjaya’ menari-nari di depan mata Lukman Hashim.
Walaupun Kesatuan Melayu Singapura telah wujud sejak tahun 30-an lagi perjuangannya hanya bersifat semi-politik. Sementelah pula Kajai mahu melihat persatuan Melayu tumbuh di Semenanjung Tanah Melayu itu sendiri. Justeru Kajai dan wartawan seangkatan termasuk dirinya telah melibatkan diri dalam pergerakan berunsur politik dan memberikan pandangan yang membina terhadap penubuhan persatuan serta mencari pemimpin yang betul-betul berminat kepadanya. Sesudah itu tumbuhlah Persatuan Melayu Perak dan Persatuan Melayu Selangor. Tetapi bagi Kajai ia umpama ‘kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tidak mahu’.
Kajai mahu persatuan-persatuan Melayu digerakkan oleh orang-orang yang tulus ikhlas. Akhirnya seruan itu disahut dengan terlaksananya Kongres Melayu se-Malaya diadakan pada tahun 1939. Pada tahun itu juga akhbar Utusan Melayu didirikan. Kajai bersama kakitangan-kakitangan akhbar Warta Malaya termasuk dirinya menyertai Utusan Melayu kerana didorong semangat untuk berkhidmat kepada bangsa dan agama.
Dimiliki
Benar. Akhbar Warta Malaya terlebih dahulu memperjuangkan hak dan nasib Melayu namun ia dimiliki oleh Syed Hussein Al-Sagof yang berketurunan Arab. Utusan Melayu dimodali dan dikendali oleh orang Melayu jati. Kajai memberikan nyawa kepada Utusan Melayu sebagai penyambung lidah cita-cita nasionalisme, agama dan bangsa. Kajai berada di kemuncak keunggulan sebagai wartawan ketika di Utusan Melayu. Dan Utusan Melayu simbolik puncak kemajuan bangsa Melayu pada masa itu. Ya! Aku menyaksikannya Yusof. Aku sanggup membuktikannya sebagai benar. Jerit hati Lukman Hashim yang sekadar bersiponggang dalam diri sendiri.
Dan Kongres Melayu se-Malaya pada 1946 yang diketuai Dato’ Onn adalah detik penting sejarah perjuangan bangsa apabila UMNO ditubuhkan. Mata Lukman Hashim bergenang. Inilah benih dan akar kepada kewujudan parti-parti politik. Air dan zat mineralnya adalah kesedaran berpolitik yang digerakkan golongan wartawan ketika itu.
Dan engkau Yusof, pemimpin-pemimpin politik terkemudian dan orang-orang Melayu yang telah sedar akan hak-haknya adalah dahan, ranting dan dedaunan yang harus berterima kasih kepada kami! Kerana buah-buah yang berbagai-bagai jenis dan rasa tidak akan ranum dan sihat dinikmati generasi kini tanpa akar, air dan zat mineral yang dibekali kami. Tegas sukma Lukman Hashim lalu merapatkan jari-jemarinya menjadi satu genggaman padu yang menggigil-gigil.
Berada di atas pentas itu bersama Datuk Yusuf dan pemimpin-pemimpin parti yang lain bukanlah sesuatu yang asing bagi Lukman Hashim. Dalam beberapa tahun belakangan ini itulah yang diamanahkan Datuk Yusof kepadanya. Berucap di hadapan rakyat tentang perjuangan menegakkan kemerdekaan di bumi bertuah ini. Namun entah mengapa pula pada malam ini Lukman Hasim merasakan kekosongan mengisi segenap ruang hatinya. Mata tuanya menatap seluruh wajah rakyat berbilang bangsa dan agama yang menengadah memandang ke pentas.
Lukman Hashim merasakan beribu-ribu pasang mata menghunjam ke arahnya adalah mata rakan-rakan seperjuangan yang menjadikan pena sebagai api penyedar yang marak membakar jiwa-jiwa rakyat. Mereka hanya mempunyai akhbar dan majalah sebagai medan juang. Dan wartawan sebagai nakhoda dan pejuangnya. Lukman Hashim merenung tangan kanannya bersungguh-sungguh. Tangan yang mengingatkannya kepada satu tangan yang mendidiknya mengarang demi memerdekakan jiwa rakyat. Tangan Kajai yang mengetuai dan menginsipirasikan tangan para wartawan dan sasterawan terkemudian berjuang dan terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Tangan yang berohkan kejujuran dan kecintaan.
Tiba-tiba hati Lukman Hashim dibisikkan sesuatu. Sesuatu yang amat penting untuk disampaikannya di saat keemasan itu. Kerusi roda Lukman Hasim disorong di hadapan dan mikrofon sedia menggemakan suaranya ke seluruh pelosok padang yang penuh sesak Skrip ucapan yang terbentang di depannya dipandangnya sekilas. Ah, inilah masa terbaik untuk mengetepikannya! Semangat Kajai tiba-tiba merasap dalam hatinya. Lukman Hashim menegakkan tubuh tuanya setegak-tegaknya sebagaimana kemudaan yang meremajakan usianya dahulu. Dan matanya di bulat besarkan menatap seluruh wajah-wajah yang menanti ucapan daripada mulutnya.
“Kehidupan adalah perjuangan. Perjuangan yang akan berterusan dari zaman ke zaman dan saya sebagai wartawan yang hidup pada era kolonial, memperjuangkan kemerdekaan, kesedaran dan pengisian kemerdekaan itu ingin menyatakan bahawa janganlah sesekali kami dilupakan. Tidak mengapa saudara saudari sekelian tidak mengenali saya.
Tetapi kenali, hayati, contohi dan hargailah siapa dia Abdul Rahim Kajai Bapa Kewartawanan Melayu Moden yang mengorbankan seluruh usia dan tenaga fikirannya demi kemerdekaan dan negara tercinta ini,” kata Lukman Hashim terhenti. Air matanya mengalir. Pembantu Datuk Yusof memandang Datuk Yusof menagih kepastian. Datuk Yusof hanya mendiamkan diri dan menahan sebaik sahaja pembantunya itu mahu mengambil tindakan. Barisan pemimpin parti terpaku mendengar kata Lukman Hashim itu seolah-olah baharu mengenal satu episod sejarah lama. Lukman Hashim meneguhkan hatinya. Rakyat di bawah turut sama dipukul ombak simpati dan keterharuan.
“Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhammad, A. Samad Ismail, Zainal Abidin Alias, Ramle Hj. Tahir, A. Samad Ahmad, Ibrahim Hj. Yaakub, Syed Abdullah Abd Hamid, Mohd Dahlan Mas‘od, Mohamad Sallehuddin dan seterusnya para wartawan sezaman adalah pejuang bangsa dan negara. Kenangkan kami sebagai orang-orang berjuang walau sedetik cuma menjelang kemerdekaan negara kita, agar kita tahu dari mana kita bangkit dan berjuang. Daripada tangan kamilah terasuh jiwa dan lahirnya para pemimpin yang disanjung dan dikenang oleh kita sehingga kini sampai bila-bila. Ya kenanglah kami sebagai orang-orang berjuang!”
Sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya itu Lukman Hashim merasakan dadanya bagaikan ditumbuk dengan seribu tumbukan. Tubuh tuanya tersentap-sentap. Datuk Yusof menerpa kepada ayahnya itu. Dalam simbahan cahaya lampu di atas pentas itu, Lukman Hashim menggenggam tangan anaknya. Dia berbisik. “Anakku, aku menyayangimu seperti kami menyanyangi agama, bangsa dan negara kami.” Air mata Datuk Yusof berderai. Tanpa penafian. Tanpa perdebatan. Dan berangkatlah roh Lukman Hashim ke hadrat Tuhan Semesta Alam setelah kalimah syahadah diucapkannya dengan sempurna. Sesempurna cintanya terhadap tanah air!

No comments: