Thursday, February 21, 2008

LELAKI CANTIK TIDAK PERNAH BERPAKAIAN


Oleh Roslan Jomel
Mingguan Malaysia, 13 Mei 2007


Saya bermata bundar seperti Angelina Jolie dan memiliki pinggul melentik sebagaimana dirujuk aset yang menaikkan bintang Jenifer Lopez. Namun saya bernama Zainab.
Janggal untuk membawa aliran Hollywood. Mengelak identiti kekampungan, saya menyalut nama baharu demi memodenkan pembawaan personaliti di kota metropolitan. Nama itu penting. Jangan kerana keganjilan nama, seseorang itu akan menderita di depan masyarakat kerana menjadi objek jenaka di belakang hari.
Saya malu akan darjah kekolotan mereka. Demikian orang kampung. Fakta yang selalu disembunyi di kalangan artis ialah nama dan umur sebenar. Pintu peribadi yang jarang mahu dibuka walau separuh pun. Umur saya? Perlukah saya dedahkan di sini? Biarlah rahsia. Latar status pendidikan saya sekadar tersangkut pada tahap SPM. Sah pelajar Melayu. Memadailah buat seorang perempuan moden dan glamor seperti saya. Sekurang-kurangnya saya sudah memiliki pekerjaan. Di luar sana, ramai siswazah masih menganggur atau menjadi beban moral masyarakat. Hidup biar mudah.
Sudah seminggu saya bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah residensi mewah seorang duta bersama keluarganya. Tugas saya ini kurang popular. Janganlah saudara ketawa pula. Tidak hina pun pekerjaan ini. Masyarakatlah yang selalu melabel negatif. Dipanggil jaga atau guard. Untuk menyiniskan sesiapa yang menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan ini, begini ukuran kelasnya dari pandangan masyarakat kita: Pihak lelaki digelar - Pak Guard. Pihak wanita pula – Mak Cik Guard.
Menyandar
Duta lelaki berusia lingkungan 50-an dari wilayah Asia Barat itu wujud melintas bagai imej di skrin TV dengan duduk menyandar di bahagian kerusi belakang kereta jenis BMW. Jarang-jarang meringankan mukanya ke arah tempat saya berdiri di depan pintu pos kawalan. Sambil menekan butang suis pintu, saya memberi tabik hormat, etika ini yang diajar semasa berkursus. Macam robot sahaja jadinya. Sebaik sahaja pagar tinggi berwarna hitam terbuka tepat pada pukul 9.30 pagi setiap hari, saya kembali normal. Duduk di kerusi dan mula terdampar ke halaman gosip selebriti. URTV, Mangga dan HAI diselak. Bermaklumat semua majalah-majalah ini. Kandungan-kandungan beritanya boleh mengisi perbualan saya dengan Mak Cik Cleaner dari Indonesia nanti.
Saya mengatur tudung kepala yang menurun ke dahi. Sempat menoleh ke cermin dari laci. Gincu masih ok. Sebungkus Milo ais yang tergantung di dinding belakang pintu disedut. Fikiran artis-artis nampaknya diblok oleh masyarakat. Populariti itu dijana peratusan undi SMS dan media, sifat utamanya: Pemanipulasi isu. Lagi tidak seronok untuk didedah, semakin mahallah bahan itu nanti kepada audiens. Kapitalisme. Keuntungan. Ya, apa lagi? Adakan menjadi seorang artis, tidak perlu guna sijil? Seperti saya? Nama Zainab, saya singkirkan. Sekarang – Tasya.
Biarkan sahaja orang-orang cerdik pandai bersama timbunan buku tebal mereka. Berdebat di dalam forum di dalam saluran TV. Wah! Saya tidak faham langsung sepatah perkataan pun yang disebut dari ahli panel jemputan. Apa agaknya yang mereka cari? Adakah orang kampung mengikuti siaran intelektual sebegini? Sains dan Islam. Penglobalisasi Idea. Kesedaran Sivik Bermula dari Ibu Bapa. Dan macam-macam lagi tajuk yang membawa retorika tinggi. Satu jam berbicara! Ah! Mengantuknya!... Namun, saya akan tersenyum sinis sebagai jawapan kepada golongan yang sentiasa kelihatan berpakaian kemas itu, sebaik sahaja tangan putih bersih mereka digari oleh polis. Lihatlah wajah yang penuh berkarisma itu dilindungi dengan menggunakan helaian surat khabar kerana didakwa atas kelakuan rasuah, salah laku seks, menyapu wang simpanan rakyat atau menghendap di bilik air wanita.
Eh? Apa sebenarnya yang berlaku? Tetapi media tidak akan memberi ampun. Pihak polis malah berasa kurang selesa dengan penglibatan media yang terlebih dahulu di depan. Ahli Parlimen era baharu. Wartawan TV3, calon utamanya. Sudah tentu. Inikan sumbangan dan tanggungjawab sosio melalui kerja sebenar media rakyat. Menyampai dan memberitahu. Program kebangsaan.
Saya selesa dengan kehidupan saya. Kecil dan tidak memerlukan seksaan otak. TV, majalah-majalah pop, lipstik, maskara, losen. Teman setugas dari pihak Pak Cik Guard senang-senang menggelar saya, cermin tandas.
Apa yang penting, saya tidak hipokrit mahupun plastik. Itu istilah kewartawanan bidang hiburan. Tetapi persepsi massa kolot. Luaran menyalin unsur-unsur dalaman. Apa yang dipakai, menggambarkan putih hitam hempedu individu itu. Jarang benar saya untuk mempercayai pegangan konvensional. Moral terlalu mudah ditampal pada susun atur pemakaian seseorang. Seseorang yang berkot mewah dan memandu Mercedes dikatakan lebih tinggi tamadunnya daripada seorang lebai yang sekadar berkain pelikat dan berselipar Jepun ketika berjalan kaki. Bagaimana kita boleh tahu? Akhlak seseorang agak berlapis. Siapakah tokoh sosio tempatan yang mengajar sesempit itu? Bukankah ia kosmetik semata-mata? Dan laporan akhbar pada setiap hari adalah jawapan ironiknya. Mengubah budaya tidak semudah menekan alat kawalan jauh TV.
Pesalah-pesalah berprofil tinggi itu sudah tentu ditelanjangkan di depan publik. Dimalukan oleh personaliti dan kecemerlangan akademik masing-masing. Tetapi, bagi yang memiliki kabel ghaib, pintu penjara boleh ditutup dengan menggunakan kertas wangi dan pautan kuasa tertentu. Inikan zon negara-negara ketiga? Beberapa buah buku karangan cendekiawan terbilang tempatan pernah menulis tentang gejala seperti itu. Malah, diberi bahasa yang berbunyi saintifik – barah negara. Sektor politik lokasi awalnya. Saya tidak perlu berasa keliru terhadap fenomena ini.
Saya ke bilik air. Cermin di dinding tahu saya hendak bersolek. Merapi sisa keropok yang menyangkut di sudut kanan bibir. Apa yang saya makan telah membuat pipi mudah tembam? Kemudian duduk semula memandang kasut hitam yang berkilat. Eh? Saya kena membuat rondaan di sekeliling resindensi mewah ini. Aktiviti wajib buat pengawal keselamatan. Tukang kebun sedang memotong rumput dengan mesin. Rokok tidak pernah putus-putus menyepit bibir. Gemuk-gedempol susuk tubuhnya. Orang lelaki sentiasa sahaja mahu kelihatan macho di mana-mana.
Kebosanan
Bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan menyarung seragam lengkapnya, tidak menyebabkan seseorang itu perlu bermuka keras atau lurus mahupun buat-buat kering seperti tembok simen. Saya masih dibenarkan membawa set TV. Menghilangkan kebosanan. Jikalau orang lelaki menonton cerita-cerita kartun, dari Superman hingga ke Ultraman, itu disebabkan mereka belum mencapai tahap kematangan. Otak mereka sekosong watak kartun. Apabila sudah mencapai usia dewasa, tingkah laku keanak- anakan sukar untuk dikikis walaupun sudah berkeluarga. Bergaduh dengan isteri. Tidak berasa puas hati, anak-anak pula menanggung keganasan seterusnya supaya kehendak ego tercapai. Saya tahu ini semua. Walaupun belum berkeluarga sendiri, pengalaman adik-beradik yang sudah berkeluarga membuktikannya di depan mata saya. Tunggang- langgang divakum sifat patriaki si lelaki kolot
Saya melihat katastropa ini bukan sekadar jenayah dalaman rumah tangga. Seksaan psikologi akan mengekori perjalanan sahsiah individu. Mengajar saya: Bahawa realiti perkahwinan, barangkali terhad selama seminggu atau sebulan. Hidup ini berbentuk teka-teki. Tuhan tidak memberi jawapan segera. Selalu melindungkan cahaya hikmah-
Nya. Itu perenggan yang saya ingat dari sebuah buku kejiwaan di MPH, Bangsar Baharu. Niat saya hanya hendak mencari CD Koleksi Senario. Barangkali kebetulan. Terlalu pelbagai rupa kepalsuan yang dilapisi roman percintaan. Saya tahu kadang-kadang lelaki dilahirkan belum cukup bulan. Sisi kehidupan itu sendiri adalah tidak sepenuhnya hitam putih berwarna. Saya maklum benar, sebab saya datang dari sebuah keluarga yang porak-peranda. Dan alam perkahwinan, khasnya kakak-kakak saya diconteng dengan kesengsaraan. Sehingga saya tidak percaya, adakah ini takdir.
Fikiran saya melayang sambil memerhati titisan air panas dari pili yang menerjah ke dalam bekas minuman. Saya amat geli hati membaca di ruangan kesihatan lelaki di akhbar mingguan. Kepuasan yang bagaimana dapat melepasi tahap maksimum keinginan berahi mereka? Setiap kali meneliti ruangan yang berbentuk surat untuk diadukan kepada Doktor Seksualiti Anda, perasaan saya dikeliru oleh fantasi orang lelaki. Kesimpulan dibuat oleh massa: Seks untuk hidangan lelaki, manakala objek seks tetap dilabel kepada kaum perempuan. Dengan terminologi sesenget itu, lelaki semakin selesa me- nyarung seragam musang berjanggut. Sukar untuk mengenali syaitan yang berpakaian dan bertutur seperti manusia. Media yang menyemarakan tetapi gagal untuk memadamkannya sekian lama.
Saya tidak emosional. Saya berpijak di bumi nyata. Pengalaman mengatur akal saya agar bersikap realis.
Opps...! Air sudah penuh. Sebaik sahaja melangkah, imej pinggul saya (seperti yang saudara maklum rupa visualnya! ) terus melekat dan mengacau ketenteraman otak si tukang kebun. Biarkanlah lelaki hidup di dalam angan-angannya.
Mata kembali ditumpu ke skrin TV bersaiz 5 inci. Menonton hikayat percintaan ala Aishwarya Rai dan Abishek Bachchan memang mengasyikkan perasaan. Saya boleh sahaja melayang ke angkasa lepas. Nescafe O berasap di sisi pasu bunga. Biskut Cream Cracker sudah pun dipatah dua untuk direndam. Tetapi mata saya dihanyut pada adegan romantik yang memeras tangisan. Pertemuan dan perpisahan dibentuk skripnya. Dada saya mudah dinipiskan untuk turut berlakon di depan skrin TV. Sapu tangan mula lembik digenggam. Orang lelaki hanya akan menonton pada babak tarian bergeleknya sahaja. Saya tahu apa yang terpapar itu adalah palitan aksesori kehidupan di alam mimpi. Ekstravaganza semata-mata. “Realiti adalah dongeng di dalam filem”, kata Azman Hussin pada cerpen Sampah Masyarakat.
Saya adalah anak ke-empat dari 13 orang adik-beradik. Saya bernasib baik antara adik-beradik yang lain. Ada yang langsung tidak pernah mengenali apa itu sekolah. Keluarga miskin sering dikaitkan kelahiran bilangan anak yang melebihi daripada kemampuan ekonomi. Mana ada perancangan. Semula jadi seperti kejadian alam. Semua adik-beradik dilahirkan di dalam rumah. Klinik atau hospital jauh di pekan. Rumah saya terletak di hujung sungai yang dibaris pokok nipah di sepanjang tebing sungai. Pemikiran emak ayah saya bertumpu di situ. Emak ayah saya beranggapan bahawa setiap kelahiran anak-
anaknya, turun bersama dengan pemberian rezeki. Emak ayah tidak perlu melawan takdir Tuhan. Demikian Tuhan menetapkan firman buat makhluk-Nya agar jangan membantah. Saya berharap ia wujud di depan mata. Apa yang saya nampak tidak berubah. Dinding plywood dan tikar mengkuang.
Ayah cuma pekerja di sebuah kilang papan lapis. Emak pula menjaga adik-beradik. Wang tidak mungkin berkembang dari atas telapak tangan ayah yang buta huruf dan pendiam. Saya dan adik-beradik hidup di bawah inferiority complex. Masyarakat sekadar menghukum dari dalam rumah mewah mereka. Maka, kakak-kakak saya disuruh segera berkahwin. Jalan fikiran menyelesaikan beban kepayahan hidup sekeluarga. Tetapi, kebahagiaan itu menuntut wang. Lebih daripada kandungan psikologi. Jangkaan sebegini bertentangan dengan anjuran seniman.
Pada hari perkahwinan saya. Buat pertama kali saya terhidu bau bir, atau Guiness Stout. Saya dapat mengecam jenis-jenis minuman beralkohol itu kerana di persekitaran kediaman saya, saya mudah terserempak mereka yang meminumnya di luar rumah. Saya mula pening dan terperangkap oleh kebusukan dari nafas suami. Dia membebel seorang diri di atas tilam kekabu. Mencarut dan memaki. Saya membersih kesan muntahan di sekeliling mulutnya. Saya mengelap tompokan nasi yang bercampuran makanan lain di atas lantai. Di dalam bilik pengantin pada malam pertama, saya hanya menghidu bau arak dan suami yang terlentang di atas katil kerana kemabukan. Saya berasa bahang neraka sedang menitis di dalam tangisan pergaduhan setiap hari. Emak ayah diumpat jiran selepas itu. Saya menjadi perhatian mata masyarakat.
Tiada sesiapa dari masyarakat datang menyuluh permasalahan moral dengan cahayanya sekali. Kecuali menghina. Emak ayah didorong kegelapan fikiran. Manakala saya amat memerlukan pembimbing untuk menyelamatkan perkahwinan yang berada di tepi gaung curam. Tetapi, suami saya diperbuat daripada bahan plastik. Pemikirannya dilarut alkohol. Pada mata kosongnya, cuma dentingan botol-botol arak. Saya lemas oleh kejahilan hidup. Percintaan yang menemukan saya dengannya di pekan namun penderaan mengikatkan sepasang tangan saya pada perkahwinan yang sia-sia. Suami saya hadir bersama sebilah parang dapur di tangannya pada hujung alam perkahwinan. Emak ayah menolaknya daripada hubungan keluarga di luar pintu rumah.
Cengkaman
Setelah bercerai dari cengkaman lelaki pemabuk yang tersesat memasuki alam remaja saya. Itulah yang saya rasai selepas bercerai. Dinasour telah mati di belakang masa hadapan saya. Bebas. Janda bukan calitan kotor untuk pihak wanita. Biarlah masyarakat memberi pahala percuma kepada saya, ketika mereka bertutur memperkatakan kedudukan status saya. Demikianlah, bagaimana saya tiba ke kota dan kini bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan. Matahari yang saya pandang, bersinar lebih terang dari semalam.
Saya ke bilik air. Jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Sebentar sahaja lagi duta dan kereta Mercedesnya akan balik. Dan saya harus bersiap-sedia di depan pintu untuk menekan butang suis pagar depan. Macam robot. Saya tidak perlukan seorang lelaki buat masa sekarang. Saya tidak mampu menjadi artis bukan kerana kekurangan fizikal. Malah terlalu mudah menjadi artis pada masa sekarang. Ada gelarannya: Artis mi segera. Saya ingin menikmati kehidupan ini tanpa perlu menjadi mangsa kenaifan seorang wanita. Lelaki-lelaki di luar sana terlalu mencurigakan di sebalik senyuman dan budi baik. Pengalaman di kota membantu saya supaya skeptikal kepada golongan ini. Saya fikir, dunia akan mengecil setiap hari oleh permasalahan manusia-manusianya. Akan bertambah sempit diroboh siri peperangan nuklear atau dirubah bencana-bencana gempa bumi. Kiamat melintas di depan mata dalam bentuk bayangan. Namun tidak. Alam ini difirmankan oleh Tuhan – sentiasa diperluaskan. Sentiasa mengembang. Pada tahun 1925, Edwin Hubble telah menggunakan alat canggih untuk meneropong ke langit dan mendapati alam ini sememangnya sentiasa berkembang. Saintis masa sekarang pula berupaya mengukur kelajuan pergerakan alam. Bukankah ini menunjukkan, bahawa hidup perlu memandang ke hadapan. Lelaki sekadar memerintah dunia tetapi bukan memilikinya walaupun seinci bumi.
Saya tidak perlu menunggu kelahiran lelaki cantik di muka bumi ini. Semoga Tuhan memberi seorang lelaki jernih suatu masa nanti di alam lain. Dapat saya padang tanpa perlu menanggalkan pakaian saya di hadapannya.
Alamak! URTV, Mangga, HAI cepat-cepat saya simpan di dalam laci. Kereta Mercedes tuan duta memberi hon berulang-kali di luar pagar.

No comments: