Saifullizan Tahir
Mingguan Malaysia, 14.01.2007
Sejak dari mula tanah itu dibuka. Para bakal penghuninya bagaikan tahu, tapak keramat itu akan menjadi besar dan terus berkembang hingga menjadi kota metropolitan. Malahan setiap bilah rumput dan zarah tanah juga dapat merasakannya.
Bagai semua kota besar dan ajaib di dunia, ia terletak di tebing sungai. Sungai yang juga merupakan jalan perhubungan. Tempat mereka yang merantau menepi, tempat sumber rezeki pertama dijamah. Dari sungai itu jugalah katanya kota itu diberi nama.
Dari hanya penempatan mereka yang kalah perang, dari sebuah rumah menjadi longgokan kampung, dari mukim menjadi pekan dan seterusnya menjadi kota yang gah. Memang mereka yang membuka tempat ini merupakan mereka yang kalah perang. Mereka yang pernah berasa manisnya hidup dan peritnya untuk terus hidup. Mereka yang mula-mula menapak di situ adalah mereka yang telah berasa. Tiada yang hijau, semua mereka merah dengan darah sendiri ataupun kelabu dengan kesan luka yang parah. Malahan ketua mereka sendiri jalan menepok. Entah kesan dari bedilan meriam ataupun libasan pedang.
Setelah kumpulan pertama menetap, ramai lagi yang datang berhijrah. Rata-rata kerana mendengar betapa aman dan damainya kawasan ini. Mereka datang meredah belukar menyusur sungai. Yang dari kuala bermudik, yang dari hulu menongkah. Hanya kerana mahu memulakan hidup di tempat penuh keramat ini. Air sungainya jernih, batu sungainya putih bagai mutiara, pasirnya kuning bagai emas kati. Bukan mereka ini sahaja, malahan menurut dongengnya. Barang siapa yang meneguk air sungai itu (walau hanya untuk melepas dahaga) akan serta-merta menebas hutan dan terus mendirikan rumah dan tangga.
Orang bangsawan dan hambanya hidup aman berganding bahu. Semasa itu tiada lagi kasta yang memisah. Sedikit demi sedikit, status orang kaya yang dilihat dari ramainya hamba dan gundik sudah tidak dipakai. Mereka bersama membangunkan tempat itu ataupun yang malas, hanya hidup menunggu mati. Hutan yang dulu sarat dan tebal makin menipis, gunung-ganang yang dahulunya sayup semakin rapat. Rumah mereka bina dari pokok-pokok dan segala sumber asli. Adat membuat rumah kini bermula, dari mencari tapak sehingga ke upacara menaik tiang seri. Jampi serapah berselang-seli dengan ayat- ayat kitab dari langit.
Pembangunan memang ada harganya yang tersendiri. Harimau yang dahulunya bebas merayau kini hilang tempat bermain. Gagah-gajah yang dulunya aman mencari makanan kini masuk ke kampung bila terasa ingin melepas geram. Monyet-monyet terpinga-pinga melihat kawasan baru yang tak berpokok. Kerbau liar kini dipelihara, untuk membajak atau dibuat kenduri.
Segala tabiat harian mereka menjadi adat. Dari adat menjadi budaya. Kota itu kini mempunyai budaya menyapa yang unik dari yang lain. Bukan itu sahaja, cara makan, minum, tidur dan bersenggama juga berbeza dari yang ada di tempat lain. Bila masyarakat lain melihat mereka begitu terpegun dengan segala yang mereka ada. Ada yang mengikut ada juga yang pelik ternganga.
Tanpa disedari seratus tahun telah berlalu. Sungai bukan lagi sebagai alat penghubung, sungai hanya tempat mereka menghala segala longkang dan sarap. Jalan raya berselirat bagai akar bakau di paya. Penduduknya semakin ramai. Waris-waris peneroka, baik dari golongan bangsawan atau hamba menikmati tempat tertinggi dalam masyarakat. Malahan mereka menulis kembali sejarah tempat itu. Ada di antara keturunan hamba sahaya yang kini sudah menjadi seseorang, menulis hikayat yang mereka dari kelahiran para dewa yang turun dari langit kayangan. Ada juga yang dari keturunan bangsawan kini merempat di lorong-lorong gelap bandar itu. Menjadi pujangga, pelukis, dan juga pelarian.
Penjajah
Seperti semua kota yang yang maju, ada sahaja mereka yang cuba menjajah. Ada yang berjaya banyak yang kecundang. Penjajah datang dan pergi. Seringnya mereka membawa sekali orang-orang yang lain sangat bahasa dan budaya. Mereka merubah landskap dan meresapkan budaya mereka dalam kehidupan kota itu. Budaya dan tradisi yang mereka dukung semakin lama semakin melondeh dari bahu. Kota itu sudah mula ada rumah hiburan dan lapangan terbang. Mereka juga membawa sama agama dan teknologi dunia yang lain rupa. Tak lama kemudian bukan sahaja agama-agama langit yang ada di sana, segala macam agama dunia mula menapak. Mulanya aman kemudian ada pergaduhan, kemudian aman kembali. Bergaduh, aman kembali.
Masyarakat menjadi semakin kompleks. Bentuk politik juga bertukar, dari menyembah raja kepada cabutan pemimpin. Revolusi industri terjadi, kumpulan menengah menjadi majoriti dalam struktur masyarakat. Yang melarat melata, dan yang kaya tak menentu semakin berkurang. Kualiti kehidupan menjadi semakin baik.
Kota menjadi semakin mewah, tanah itu bukan sahaja subur tetapi ada kawah emas dan perigi minyak yang dalam tak berdasar. Bandar-bandar jiran yang dahulunya jauh semakin dekat, akhirnya bersatu dan bergabung sekali. Bandar-bandar baru pula dibuka. Tetapi semua dibuat seperti bongkak pelukis menyakar kanvas, peduli apa busut atau bukit yang melintang. Bangunan disusun bagai kiub domino. Jalan lurus dan bersilang umpama papan catur. Menaranya pula tinggi melewati gunung menujah awan. Asap kelabu berkepul di langit.
Ketika itu ada cendekiawan yang mula sedar. Sudah kurang pokok di kota. Tak terdengar lagi kicau burung, hanya deru kereta dan bising kontraktor membuat bangunan. Lagi sekali mereka membuat perancangan, cuba menghijaukan kembali tempat ini. Menjernihkan kembali sungai hitam hapak.
Kandungan karbon dioksida yang tinggi menambah partikel dalam zarah udara. Udara panas bumi tak terlepas ke atas. Kata mereka juga lapisan ozon semakin nipis. ‘The Greenhouse Effect’ diperkata oleh semua orang. Malahan kanak-kanak tadika juga bergaduh tentangnya.
Bila satelit pertama dilancar dan mereka melihat gambar kota itu dari langit, para ahli sains dan ahli falsafah mula berfikir. Kota dilihat sebagai tompokan kelabu dari hijau dan biru bumi sekeliling. Mereka mula mempertikai kewujudan kota itu dan peranan manusia di dunia. Adakah manusia ini hanyalah virus merebak yang hanya akan menukar hijau bumi kepada kelabu pudar? Rebakan yang bagai tak ada hentinya. Sedangkan para ulama agama mengatakan manusia ini khalifah di bumi. Tapi jika benar, kenapa semakin rosak dunia dibuatnya? Tapi akhirnya mereka membuat kesimpulan, ada juga khalifah yang zalim.
Usaha
Semenjak dari hari itu, segala pembangunan dibuat dengan mengambil kira imbangan ekologi. Mereka juga sedar bukan salah gajah dan harimau dahulu memasuki kampung-kampung. Kini semua cuba dibuat dengan seimbang, apa yang diambil akan cuba diganti semula. Yang boleh dikitar semula, diguna kembali sampai lupus. Segala kesilapan generasi sebelumnya cuba diperbetulkan. Dan ya, dengan usaha sebegini dapat meningkatkan lagi kualiti hidup di dunia yang sementara ini, buat sementara.
Mereka hidup dengan selesa. Ini berlanjutan untuk beberapa kurun. Kota itu menjadi semakin masyhur. Setiap minggu ada sahaja lawatan dari menteri-menteri, datuk bandar, arkitek dan ahli perniagaan dari serata dunia. Mereka yang datang ingin belajar dan meniru segala kejayaan yang telah kota ini capai. Kota-kota klon kota itu, merebak di serata dunia. Tiada siapa yang tidak tahu jika disebut nama kota itu, kota yang terbesar di dunia.
Malapetaka terjadi juga, banjir besar menelan separuh dari kota itu. Ribuan penduduk menjadi mangsa. Namun kota itu membangun kembali. Jalan baru yang dibina semakin luas. Bangunan semakin tinggi. Kawasan rendah semua dijadikan taman merangkap kawasan tadahan. Pembangunan baru semua di atas bukit. Kini segala bukit penuh dengan bangunan dan lembah pula menjadi hijau. Ketika itu mereka lupa dalam kitab langit mengatakan bahawa gunungganang adalah tiang bumi. Mereka hanya turun ke lembah untuk berkelah dan beriadah. Keadaan stabil seketika.
Akhirnya, perang besar pula terjadi. Perang merebut minyak dan segala harta perut dan kulit bumi. Tentera dari kota yang lain datang bagai anai-anai pulang ke busut. Ledakan bom tangan yang memulakan perang, disudahi dengan bom atom cendawan racun. Bandar menjadi kontang, rata bagai pinggan ayan makanan kucing.
Mereka yang sempat, lari ke tempat yang lebih selamat. Yang tinggal hanyalah mereka yang tua, merempat dan cacat. Yang mati bukan ribuan tapi berjuta. Sisa yang hidup melihat kulit mereka mengelupas dan pintalan otot kering mereka melorot ke tanah. Tiada apa yang dapat menyelamatkan kota itu. Peperangan yang terakhir ini melenyapkan segala tamadun yang ada. Mereka yang lari dari perang memulakan hidup bagai datuk moyang mereka yang dahulu. Di satu tebing sungai yang lain.
Ratusan tahun berlalu. Sepi, hanya deru sungai yang terdengar. Hutan kembali menutup segala. Hanya runtuhan bangunan yang tertinggal. Tempat itu kembali dipenuhi dengan haiwan dan unggas yang sememangnya rindu untuk pulang. Kemudiannya kawasan itu hanya menjadi tempat pelancongan pasangan berbulan madu. Mereka cuba berasa kembali bagaimana hidup di zaman purba lampau. Bila berjalan melewati timbunan konkrit yang pelik, mereka cuba membayangkan tamadun yang tak pernah mereka fahami. Ataupun menjadi tempat sang pujangga mencari ilham dan cuba mencermin erti kehidupan.
Kini tiada siapa yang ingat nama sebenar kota purba itu. Sejarah yang tertulis pun tidak pasti mana satu yang sahih. Tiada siapa yang tahu bagaimana mereka hidup ketika itu. Tuhan mana yang mereka sembah. Pemimpin bagaimana yang mereka pilih. Kota itu hanyalah wujud dalam buku-buku dongeng kanak-kanak ataupun novel hantu murahan.
Sungainya sahaja yang tetap sama, mengalir lesu bagai kata pujangga yang entah dari zaman mana.
No comments:
Post a Comment