Mingguan Malaysia 8.7.2007
KETIKA cahaya matahari petang mengerdip bersama calitan warna pinang masak di kaki langit, dia melangkah lesu menuju ke rumah Penghulu Kadir, Penghulu Mukim Bakai, yang berusia empat puluh tahun.
Semacam dia tahu, Penghulu Kadir akan ada di rumah ketika itu. Kadang-kadang hampir tengah malam baru dia sampai ke halaman rumah penghulu yang beristeri dua itu. Dan seperti selalu juga, petang itu dia bertanya kepada penghulu tentang anak dan suaminya yang belum pulang ke rumah.
“Bukankah anak dan suamimu dah mati. Kubur Mat Piah ada di hujung kampung!” Akhirnya terpelantinglah ucapan itu dari mulut Penghulu Kadir. Apabila mendengar kata-kata itu, dia yang berusia enam puluh tahun itu tersenyum bodoh. Tetapi Penghulu Kadir tetap melayannya dengan sabar, seperti dia sabar melayani ibunya yang sudah tua. Dan dia sangat faham akan kerenah orang tua.
Petang suram itu, dia sampai ke rumah penghulu ketika pasangan itu baru saja selesai mandi. Dan kedua-duanya menyambut kehadirannya dengan senyum ramah. Mereka seolah-olah cukup gembira dengan kedatangannya pada petang yang berangin itu.
“Aku cari Using!” Kata Mek Som, serius.
“Hah, cari Using?” isteri penghulu tersenyum lagi. Dia bergeleng. Dia tahu, itulah jawapan Mek Som sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila ada orang bertanya mengenai dirinya.
Cari
“Hey! Using dah mati, nak cari apa lagi?” Tiba-tiba Penghulu Kadir bersuara sambil mempamerkan giginya yang separuh kuning kerana terlalu banyak merokok dan menggonyeh daun sirih.
“Tidak. Using tak mati, dia belum balik. Dia ambil ayam darimu kan?” Balas Mek Som, memacakkan pandangannya ke wajah penghulu yang berusia empat puluh tahun itu.
Mek Som masih teresak-esak di sisi isteri muda Penghulu Kadir. Dan sesekali perempuan yang berusia tiga puluh tahun itu membelai rambut Mek Som yang kusut masai. Apabila berbuat begitu hidungnya dapat terhidu bau hapak minyak kelapa yang terbit dari kulit kepala Mek Som yang tidak mengenal syampu itu. Tetapi perempuan itu tetap membelai rambut Mek Som yang mengerbang dan kusut masai dengan penuh kasih sayang.
“Gila! Cari apa lagi? Using dah mati dalam sungai. Mat Piah juga dah mati dua tahun lalu. Dah lupakah, ramai askar tanam mayat Mat Piah, dulu?” Tiba-tiba Penghulu Kadir menyergah isterinya yang tersenyum-senyum di sisi Mek Som. Dan perempuan yang masih berkemban itu diam. Setelah melihat isterinya diam Penghulu Kadir bergeleng dan wajahnya mencuka.
“Jangan suka cakap bohong dengan Mek Som, tak baik! Dah mati dikatakan masih hidup. Abang tahu, ramai orang kampung ini cakap begitu kepada Mek Som. Dia percaya pula. Kita inilah yang jadi pendusta besar!” ujar penghulu lagi, bersungguh, sambil menajamkan matanya ke halaman wajah isterinya yang membisu. Perempuan itu dilihatnya tiba-tiba berwajah muram.
Dan Perempuan itu terus diam. Menikus. Tapi jari-jarinya yang lembut itu masih membelai rambut Mek Som.
“Using dah lama tak balik rumah. Dia tak suka aku ke? Aku nak jumpa Mat Piah, nak beritahu dia..., Using dah tak sayang aku lagi!” tiba-tiba Mek Som, bersuara. Matanya terpejam rapat. Tangisan yang singkat itu telah terhenti. Kini matanya terbuka. Tajam membaham wajah Penghulu Kadir yang murung.
“Benar, tuk. Dah lama Using tak balik, ke mana dia bawa lari ayam yang kerajaan beri tu?” Ujar Mek Som lagi, sambil merenung wajah Penghulu Kadir yang sedikit lesu. “Ah, takkan Using jual harta kerajaan? Jahil-jahil Using dia tak pernah curi dan jual harta kerajaan, tuk” kata Mek Som, serius.
“Saya akan pelihara ayam ini, tuk, Memang saya perlukan ayam kerana banyak ayam saya digalas musang!” Itu kata-kata Using lebih kurang lima tahun yang lalu, ketika lelaki itu datang mengambil ayam pemberian kerajaan di rumahnya.
Waktunya hampir hari orang membuang undi. Dia masih ingat benar, pada tahun itu Using tidak “memangkah.” Bukan. Using tidak jadi pengundi pada tahun itu.
“Ayam ni mesti dijaga baik-baik. Sing! Ini hak kerajaan dan harta kerajaan mesti dijaga sungguh-sungguh!”
“Saya faham. Tuk. Memang betul hak kerajaan adalah hak kita juga,” ujar lelaki itu, lalu mengandar dua raga besar yang berisi anak-anak ayam yang masih bersih dan comel.
“Senja-senja begitu, jalan baik-baik, Sing!” pesannya sambil melihat lelaki itu berjalan menuju ke arah titi itu.
Ketika itu warna senja semakin kelam dan warna kelam itu telah bertebar di mana-mana!
“Terima kasih, tuk!” dengan kata-kata itu Using pun hilang dalam warna senja musim tengkujuh yang sedang merusuh dan Penghulu Kadir tidak tahu ke manakah menghilangnya Using, kerana sejak senja itu sesiapa pun tidak lagi berjumpa dengan Using.
Orang-orang kampung juga tidak pernah terserempak dengan Using di mana-mana. Baik di kampung, di sungai atau di dalam kebun getahnya di Kuala Kemecah. Tidak. Akan tetapi ramai orang kampung yakin, Using terpelanting ke dalam arus deras Sungai Bakai, ketika mengandar ayam subsidi itu pulang ke rumahnya di seberang sungai. Buktinya? Pagi berikut orang yang mencarinya menemui satu selipar Using tersangkut pada ranting kayu yang “tergedik-gedik” di tengah arus sungai yang menggila itu. Mereka yakin, batang tubuh Using yang rincing itu hanyut dalam arus yang kencang, pada lima tahun yang lalu!
Sudah puas orang kampung mencari mayat Using di dalam sungai itu. Polis juga mencarinya, anggota Rela juga mencarinya tetapi mayat lelaki yang menjadi suami Mek Som itu tidak ditemui hingga ke hari ini.
Dan masing-masing yakin benar, jasad Using telah terbenam di dasar sungai atau sudah berkubur di dasar laut.
“Aku suka ayam, tuk. Tapi Using tak balik lagi... ayam kami yang habis dikerkah musang...” tiba-tiba tangan Mek Som melambai dan menggamit-gamit sesuatu. Matanya tunak memerhati sungai yang berarus deras itu. Mungkin dia ternampak wajah Using menjelma di permukaan sungai itu? Penghulu Kadir dan isterinya bergeleng.
“Aku akan suruh Solehah tangkap ayam untukmu, Som!”
“Tuk nak beri ayam kat aku? Seronoknya aku, tuk! Bolehlah aku pelihara ayam tu dengan Using bila dia balik nanti, ” kata Mek Som dengan wajah ceria.
Dari pangkin kayu bulat itu Penghulu Kadir melaung nama isterinya yang masih di dapur. Dia akan menyuruh Solehah menangkap seekor ayam untuk diberikan kepada Mek Som. Biar Mek Som terhibur dengan ayam itu, fikrinya.
“Tolong tangkap ayam barang seekor, berikan kepada Mek Som!” kata si suami sambil mengulum senyum dan menuding ke arah seekor ayam jantan yang sedang berlari di halaman rumahnya.
Beberapa yang lain sedang mencakar tanah mencari makanan masing-masing. Dan berhampiran bangsal kayu terpakai, kelihatan seekor ayam bapak sedang menindih belakang seekor ayam betina yang galak petang. Mata Penghulu Kadir terpacak pada ayam yang sedang “bersuka ria” itu dan tiba-tiba dia teringat kepada Solehah, isterinya yang bertubuh gempal itu. Dia tersenyum meleret. Bukan. Dia teringat sesuatu yang menyenangkan.
Kaya
Perempuan itu baru dikahwininya lebih kurang sepuluh bulan yang lalu. Solehah, janda berasal dari Kampung Hulu Seputih. Dia diceraikan oleh “seorang jantan” tahi judi yang sering “berkubang” pagi, petang siang malam di belakang Pekan Malau. Dia tahu benar itu. Mihat Pom Kaki judi belangkas dan tikam ekor. Akan tetapi Mihat Pom tidak pernah kaya pun.
Akan tetapi setelah mengahwini Solehah sepuluh bulan, perempuan itu belum memperlihat tanda untuk mengandung. Namun Penghulu Kadir sedar, semua itu dalam ketentuan Ilahi. Sekiranya, Dia hendak memberinya anak, malam ini pun Solehah boleh mengandung dan awal pagi esok dia boleh menerankan seorang bayi untuknya. Itulah kekuasaan Ilahi. Sesungguhnya juga Allah Maha Mengetahui. Dia bersifat dengan “Ilmu”. Dia tahu benar itu. Tahu sungguh-sungguh.
Segalanya amat mudah di sisi Allah, fikirnya lagi. Bukan. Segalanya tidak mustahil bagi Allah. Allah Maha Mengetahui dan Berkuasa atas segalanya.
Tetapi fikirnya lagi, kalau Allah tidak mengizinkan, Solehah cuma boleh digomol dan ditiduri siang malam tapi perutnya tetap kempis macam tayar motosikal tersusuk paku.
Dan dia menyerahkan persoalan itu kepada Allah. Biarlah Allah menentukan sama ada perut Solehah boleh buncit atau kempis. Dia tidak mahu “mengganggu” tugas-tugas Allah. Bukankah dia cuma hamba Allah yang terlalu kerdil dan lemah?
“Er, ayam ni abang nak berikan kepada Mek Som?” Tiba-tiba suara halus itu mengecaikan khayalannya yang berjela itu. Dia terperanjat sedikit. Wajah isterinya ditatapnya.
“Apakah dia tak boleh bela ayam?” dia menatap pula mata isterinya yang berkaca-
kaca.
“Nanti ayam ni mati, baru abang tahu! Solehah bergeleng, menyesali sikap suaminya yang akan menyerahkan ayam jantan itu kepada Mek Som untuk dipeliharanya, sedangkan Mek Som “tidak begitu sihat” otaknya. Dia tahu, tahu Mek Som akan membiarkan ayam itu begitu saja nanti, akhirnya mati!
“Itu ayam kerajaan, bahagian kita, kita berikan pada dia, dia pun ada hak juga.”
“Tapi adakah dia boleh pelihara ayam ini?” tanya Solehah lagi, bersungguh-sungguh.
“Kita suruh dia jaga ayam ni baik-baiklah!”
“Kalau orang gila boleh pelihara ayam, saya rasa tak lama lagi dunia ini akan kiamat, bang!” sindir Solehah sambil tersenyum. Dia melihat suaminya bergeleng.
“Huh, orang waras pun ada yang tak tahu bela ayam! Kerajaan berikan seratus ekor, tinggal tiga ekor!” sindir Penghulu Kadir pula.
Wang
“Ah, itu bukan orang waras tapi orang malas. Jual harta kerajaan kerana terlalu laparkan duit,” kata Solehah sambil menghulurkan ayam itu kepada Mek Som yang tidak sabar hendak memegang ayam yang berbulu cantik itu.
“Ambillah, Mek Som... jaga ayam tu baik-baik” kata Penghulu Kadir dengan wajah ceria. Tapi wajah Solehah masam kedam macam orang memamah isi kelubi.
“Oooi, ayam ni gemuk betul... tentu Mat Piah suka ayam ni, tuk!” kata Mek Som sambil menyambut ayam itu dari tangan Solehah. Kemudian Mek Som mencium belakang dan balung ayam beberapa kali. Dia gembira kerana mendapat seekor ayam daripada Penghulu Kadir.
“Aku akan cari Mat Piah. Aku nak beri ayam ini kepada dia. Biar dia bela... di rumah aku ada gok ayam!” ujar Mek Som lalu meninggalkan pasangan suami isteri itu. Warna senja semakin kelabu. Sebentar lagi akan masuk waktu solat Maghrib.
“Aku akan cari Mat Piah, aku akan cari Using... ayam ni siapa nak jaga kalau tak ada Using? Mat Piah?” suara itu bergema sayup-sayup berhampiran titi batang pinang, tetapi Penghulu Kadir cuma mendengar saja ucapan Mek Som itu.
Dia tahu perempuan itu masih teringat kepada anak dan suaminya yang kembali menghadap Allah Yang Maha Esa. Dia tahu, Mat Piah meninggal dunia dalam satu kemalangan di Sarikei, Sarawak. Mat Piah mengalami pendarahan teruk setelah terak askar yang dinaikinya bertembung dengan lori balak, dalam hujan renyai-renyai, di Sarikei. Dia mati sebagai perajurit. Bukan. Dia mati sebagai bunga bangsa. Mayatnya diterbangkan dari Kuala Lumpur ke kampung ini, kemudian dikebumikan di hujung kampung lebih kurang dua tahun yang lalu.
Dia belum lupa lagi, ramai orang kampung mengiringi jenazah pahlawan negara yang sering bermalam di punggung-punggung gunung itu ke tanah perkuburan Islam Kampung Bakai.
Kerandanya ditutup dengan sehelai bendera Malaysia. Dia juga masih ingat, ketika beberapa das tembakan dilepaskan ke udara petang pukul empat, dalam upacara yang penuh adat istiadat ketenteraan, Mek Som tiba-tiba berdebuk ke tanah, kemudian tubuhnya yang lembik macam kain buruk itu diusung ke rumahnya.
Dia perempuan tidak tahu apa-apa tentang upacara penuh kemeriahan di tanah perkuburan tua itu. Yang dia tahu dari dulu sampai kini, ialah tentang Mat Piah tidak pulang. Baginya, anaknya itu masih menggalas senjata di hutan-hutan Sarawak!
Selepas kemeriahan itu tamat, kata orang kampung, Mek Som tidak pernah melawat pusara anaknya. Tidak. Dia masih menganggap anaknya berada di Sarawak. Bukan. Dia masih mengatakan anaknya sedang berkhidmat untuk negara.
Mat Piah ke mana, Som? Lama betul dia tak balik?” usik seorang anak muda ketika melihat Mek Som melewati warung kopi Munah, janda Usop kedai dua tiga hari yang lalu. Dan Penghulu Kadir yang ada di warung, ketika itu, tersenyum pahit apabila terdengar usikan anak muda yang “kurang sopan” itu.
“Anakku kerja askar, susah nak balik. Anakku ada senjata tau? Bukan macam kamu, ada motosikal dah megah, merempit siang malam, ganggu anak bini orang tidur. Kamu yang merempit memang tak ada otak, Heh, susah betullah... otak kamu tu beri kat akulah!” jawab Mek Som dengan lancar dan geram. Tapi anak muda itu ketawa terkial-kial.
Merempit
Kata-kata Mek Som tidak diendahkan. Kami tak mengganggu orang, Mek Som. Cuma merempit saja!” kata anak muda itu lagi sambil menghirup kopi panasnya. Munah yang sedang membancuh kopi untuk Penghulu Kadir ketika itu tidak berkata apa-apa. Dia meneruskan tugas. Sesekali dia tersenyum dan menjeling ke arah Mek Som yang tersenyum bodoh.
“Yalah, memang tak ganggu orang, tapi kalau jatuh mampus ketika merempit siapa yang susah? Bukankah mak bapak juga yang susah. Kena beli kain kapan dan korek liang lahad kan?” Kata Mek Som dengan geramnya. Kemudian dia tersenyum bodoh.
“Eh, Mek Som ni... aku tanya ngapa anakmu tak balik tapi mengapa membebel pulak?” anak muda itu mula naik angin.
“Mat Piah akan balik, dia balik tak lama lagi, dia akan kahwin dengan anak Tok Penghulu yang mengaji sekolah tinggi di Kuala Lumpur. Heh, Mat rempit macam kamu perempuan mana yang ndak?” Mek Som menajamkan matanya kepada pemuda yang tersengih itu. Dan apabila mengingati kata-kata Mek Som tempoh hari, Penghulu Kadir tersenyum sendirian. Lucu betul bila difikir-fikirnya.
Memanglah, Siti Aswad anak tunggal dengan isteri tuanya itu belajar di Kuala Lumpur. Kini Siti Aswad sudah tamat belajar di universiti dan baru sebulan lebih dia bertugas sebagai peguam di Pulau Pinang.
Pejabatnya terletak berhadapan dengan pejabat Utusan Melayu, di Jalan Argyll, George Town. Siti Aswad juga sudah berkahwin. Suaminya doktor, kini bertugas di klinik Universiti Sains Malaysia. Orang Padang Malau, Perlis.
Siti Aswad tidak pernah berkahwin dengan anak . Mek Som. Bukan. Dia tidak bernikah dengan Mat Piah. Malah Mat Piah itu pun mungkin Siti Aswad tidak kenal. Yang dia tahu, Mat Piah seorang perajurit. Kini lelaki itu telah menjadi arwah. Dia gugur sebagai bunga bangsa. Mat Piah tidak pernah jadi suami Siti Aswad.
Dan kata-kata Mek Som tempoh hari memang cukup merapu. Begitu fikirnya. Akan tetapi dia tidak ambil kisah tentang semua bebelan Mek Som itu. Orang seperti Mek Som boleh berkata apa saja yang terlintas di fikirannya. Begitu fikirnya lagi lambat-lambat.
Ketika Solehah melipat kain telekungnya, Penghulu Kadir masih meneruskan doanya kepada Ilahi. Dia berdoa kepada Allah supaya rezekinya murah dan diberkati-Nya. Dia juga berdoa agar Allah menjadikan umurnya yang panjang dirahmati Allah. Namun dia dan isterinya belum tahu-menahu, bahawa anak buahnya yang bernama Mek Som binti Awang Kecik telah “habis umur” di dalam arus deras Sungai Bakai yang semakin menggila itu!
No comments:
Post a Comment