Thursday, February 21, 2008

KERANDA 152

Razali Endun
Mingguan Malaysia, 17.12.2006


Abah belum mati lagi. Tetapi sekampung sudah sibuk mahu buat kenduri tahlil untuk abah. Bilal Usin sudah siapkan kain kapan. Malah keranda untuk abah pun sudah ditempahnya. Imam Kusnin mencari-cari surah talkin untuk dibacakan nanti pada pengebumian abah. Ibu pasrah. Dia semacam tidak dapat berbuat apa-apa. Semuanya ditentukan oleh imam dan pegawai masjid.
Abang Nasir, abang sulung kami kepada dua belas adik-beradik membantah. Katanya, abah masih bernyawa lagi kenapa mesti diadakan kenduri tahlil. Biasanya kenduri tahlil diadakan apabila seseorang itu sudah menjadi arwah. Akan tetapi abah masih bernyawa lagi. Masih bernafas walaupun dia sedang nazak. Ini perbuatan gila! Gila! Gila!, jerit Abang Nasir.
Abang Ngah dan adik-beradik yang lain tidak ambil peduli. Kecuali abang Alang dan Andak yang menyokong abang Long. Mereka mempertahankan bahawa abah seharusnya diselamatkan untuk dia terus hidup. Abah tidak seharusnya dibiarkan mati, apa lagi mahu mentalkinkan sebelum kematiannya.
Usia abah belum pun lima puluh tahun. Pada 31 Ogos tahun 2007 ini baru genap usia abah lima puluh tahun. Pada ketika usia kanak-kanak dan remaja abah memang sihat walafiat. Tidak ada tanda-tanda abah diserang sebarang virus. Akan tetapi semenjak imam masjid menukarkan bacaan khutbahnya dari bahasa Melayu ke dalam bahasa Arab, abah membantah. Kata abah, khutbah mesti difahami oleh makmum.
Rata-rata makmum masjid ialah orang Melayu, berbahasa Melayu. Maka dengan itu adalah wajar khutbah disampaikan dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Arab. Imam mempertahankan tindakannya itu. Kata imam, bahasa Arab ialah bahasa al-Quran. Justeru itu bahasa Arab seharusnya menjadi pengantara di antara umat Islam. Sebagai permulaan dia menggunakan bahasa Arab dalam penyampaian khutbahnya.
Hirau
Abah terus membantah. Imam Kusnin tidak hiraukan bantahan abah. Selagi dia menjadi imam masjid itu, khutbah akan terus disampaikan dalam bahasa Arab. Dan dia juga akan memastikan bahawa imam-imam yang akan menggantikannya nanti akan mengikuti acuan yang sudah disediakan.
Abah bilang ini kerja gila. Kerja sia-sia. Tidak ada ertinya khutbah yang berjela-jela itu kalau tidak difahami oleh makmum. Ianya ibarat mencurah air di daun keladi. Imam Kusnin tetap degil. Dia masih mempertahankan pendiriannya. Abah juga sama degil macam imam Kusnin. Abah juga mempertahankan pendiriannya. Tidak ada tolak ansur dalam isu ini, ujar abah.
Suatu hari selepas solat Jumaat, abah ajak para jemaah berdemonstrasi di hadapan masjid. Yang menyertainya tidak ramai, boleh dihitung dengan jari. Selebihnya tidak ambil kisah. Mereka tidak ambil berat perkara itu. Mereka terus pulang selepas solat. Hanya tinggal abah, abang Long, Abang Alang, Andak dan beberapa orang sahaja yang berada di pekarangan masjid.
Imam Kusnin naik berang. Imam itu mendapat sokongan Bilal Usin dan ahli jawatankuasa masjid. Imam itu menuduh abah menghasut jemaah membuat porak peranda di dalam kariahnya. Abah pun sama berang dengan imam Kusnin. Abah bersemuka dengan imam itu. Dia memandang imam itu dengan tatapan mata bernuansa permusuhan. Hampir-hampir abah melepaskan penumbuk sulungnya ke muka imam itu. Suasana semakin runyam. Masing-masing tidak mahu bertolak ansur.
Akhirnya Imam Kusnin telefon polis. Enam trak polis antirusuhan datang dengan 100 anggotanya lengkap bersenjata. Jeritan siren dari kereta polis itu membingitkan sekampung. Abah diheret ke balai polis. Dia kemudiannya ditahan di bawah Akta Hasutan, tanpa bicara.
Selepas setahun abah ditahan, dia diserang strok. Berbulan-bulan dia berubat di hospital, penyakitnya tidak juga sembuh. Akhirnya abah dibebaskan kerana penyakitnya, bukan kerana dia dilepaskan oleh mahkamah. Kerana dia tidak pernah dibawa ke mahkamah semenjak penahanannya.
Abah dibawa pulang ke rumah. Ibulah yang menjaga abah hingga ke hari ini. Keadaan abah kadangkala sedar dan kadang-kala pula makin tenat. Saya lihat mata abah menerawang jauh menerpa langit-langit kelambu yang kusam. Mulutnya bergerak-gerak bagaikan mahu berkata-kata. Dia membuka mulutnya, bukan suara yang keluar, tetapi air liurnya yang meleleh di sudut mulutnya. Ibu menyapu air liur itu penuh setia dengan sapu tangan yang dikhaskan untuk itu.
Saya dapat merasakan bahawa abah sudah tahu apa yang berlaku. Dari gerak-gerinya yang terbatas itu dia cuba melahirkan bantahannya. Matanya berbinar-binar bagaikan buah saga. Mulutnya terus berkumat-kamit mahu menyatakan sesuatu. Sesekali dia cuba mahu bangun, tetapi tidak berdaya.
Abah kuatkan semangatnya. Abah mahu terus hidup. Abah tidak mahu mati sebelum ajalnya tiba. Perbuatan imam Kusnin amat ganjil dan zalim. Jadah apa yang telah merasuk imam itu? Abah amat kesal dengan tindakan bodoh imam itu.
Kudrat abah semakin lemah. Semangat abah tetap kuat dan kental. Dia melihat sekeliling dengan mata kusam bagaikan melihat syurga yang suram. Dia cuba senyum apabila ternampak Abang Long, Abang Alang, Andak dan saya, anak bongsunya, setia menunggu di sisinya. Mata kusamnya kembali bersinar bagaikan melihat syurga di hadapan mata. Kehadiran kami di sisinya bagaikan memberi harapan kepadanya untuk terus hidup. Abah menghela nafas panjang, kemudian melepaskan nafas itu perlahan-lahan, bagaikan memberi isyarat bahawa dia tidak akan mati.
Maruah
Kamilah yang sentiasa memberi semangat kepada abah. Semenjak abah diserang angin ahmar itu, kamilah yang membawanya ke hospital seminggu sekali untuk terapi. Abang Alang juga menjemput tukang urut untuk mengurut urat saraf abah. Kami semua berikhtiar mahukan abah terus hidup. Abah tidak seharusnya dibiarkan mati. Abah adalah segala-galanya bagi kami. Abah adalah maruah dan jati diri serta tamadun hidup kami. Abah mesti diselamatkan walau dengan apa cara sekalipun.
Keadaan semakin ruwet. Orang kampung sudah membanjiri rumah kami. Mereka datang untuk membaca tahlil untuk abah. Sidang Usman sudah sampai membawa kain kapan dan peralatan pengebumian yang dikirim oleh Bilal Usin. Imam Kusnin belum sampai. Biasanya imam hanya pergi ke kubur untuk baca talkin. Kerja-kerja urusan jenazah dilakukan oleh bilal masjid dari memandikan, mengapankan dan menyembahyangkan.
Abang Long naik angin. Mata abah terbelalak melihat kain kapan yang diletakkan oleh Sidang Usman di sisinya. Tangannya digerak-gerakkan semacam mahu mencapai kain kapan itu dan mahu melontarkannya jauh-jauh. Tangan layurnya tidak cukup bertenaga untuk digerakkan sebegitu rupa. Saya melihat ada manik-manik kristal menakung di kelopak mata suramnya.
Abang Long berasakan ianya semacam dicabar oleh Imam Kusnin dan koco-koconya. Ini suatu perbuatan dan perilaku yang tidak beretika. Kemarahan Abang Long sampai kemuncak apabila melihat sebuah van jenazah membawa keranda di dalamnya. Keranda itulah yang ditempah khas oleh Bilal Usin untuk abah.
Keranda itu dibawa keluar dari van itu dan dipikul oleh empat orang pemuda kampung. Jelas tertera tulisan di keranda itu ‘Keranda 152.’ Itulah keranda khas yang ditempah oleh Bilal Usin untuk abah, keranda 152.
Sebelum sempat keranda itu diletakkan di serambi rumah, Abang Long sudah menjerit dengan suara lengking dan lantang. “Hentikan! Hentikan! Apa jadahnya ini! Kamu semua gila! Gila! Gila!”
Pemuda-pemuda itu terhenti di anak tangga sengkuap. Mata mereka melolot berbinar-binar memerhati Abang Long di hujung sengkuap yang sedang berang itu. Mata orang-orang kampung di laman rumah turut menyorot ke muka merah abang Long. Mereka termangau-mangau.
“Tapi, kami diperintah oleh imam Kusnin supaya mengembumikan abah kamu,” salah seorang pemuda itu memberanikan hati menjawab Abang Long yang sedang naik minyak. Abang Long merenung tajam pemuda itu dengan pandangan setajam pisau terasah. Suasana semakin gawat. Orang kampung tidak tahu apa perlu dibuat. Mahu mendengar arahan Abang Long atau Imam Kusnin. Bilal Usin dan Imam Kusnin belum sampai. Mereka semacam hilang kemudi.
“Arahan imam Kusnin perlu dipatuhi. Ikut sahaja arahan itu!” tiba-tiba Sidang Usman menyampuk dari kejauhan. Semua biji mata terlambak ke muka kedut Sidang Usman. Ungkapan Sidang Usman bagaikan menyiram minyak di atas bara.
Berani
“Sudah! Sudah! Kalau kalian mahu kebumikan, kebumikan sahaja keranda itu tanpa abah saya,” lengking Abang Long sepontan dengan mata berpinar-pinar menahan marah. Suasana senyap seketika. Tiada sesiapa yang bersuara. Sekonyong-konyong Sidang Usman menyahut, “Benar juga kata si Nasir tu, mari kita kebumikan keranda ini.”
Semua biji mata melolot lagi ke arah Sidang Usman. Tiada siapa yang berani bersuara. Akhirnya keempat-empat pemuda yang sedang memikul keranda itu mengambil keputusan membawa keranda itu ke tanah perkuburan. Penduduk kampung pun berduyun-duyun mengiringi keranda 152 ke tanah perkuburan.
Sebaik-baik sampai di tanah perkuburan, kubur sudah siap digali oleh si penggali kubur. Imam Kusnin pun sudah sedia menanti. Tanpa berlengah-lengah, keranda itu di masukkan ke dalam lubang kubur. Sejurus kemudian ditimbusi tanah dan diinjak-injak oleh orang-orang kampung bagi melindis agar tanah itu cukup mampat supaya sukar digali oleh binatang buas.
Seusai proses timbus-menimbus, imam Kusnin pun membacakan talkin. Panjang talkinnya. Talkinnya pun dibacakan dalam bahasa Arab. Mereka yang hadir hanya mendengar tanpa memahami biji butirnya. Selesai, mereka pun pulang.
Dalam perjalanan pulang imam Kusnin bertembung dengan Abang Alang. Dia mengucapkan takziah kepada abang Alang kerana musibah yang menimpa. Dia menasihati agar abang Alang dan semua keluarga kami bersabar dengan takdir Allah. Jadikan musibah itu sebagai pengajaran. Dia suruh kuatkan iman.
“Abah saya belum mati lagi. Dia ada di rumah. Dia sudah boleh duduk. Nampaknya bertambah sihat,” tukas Abang Alang, entah untuk menghiburkan, entah untuk menyindir.
“Apa!” seakan menjerit imam Kusnin. “Jadi, siapa yang dikebumikan tadi?” dia bertanya, dan memang pun dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Keranda! Keranda 152 tanpa jenazah abah saya,” jawab Abang Alang dengan suara lirih tetapi tegas.
“Masya-Allah!” seru imam Kusnin menepuk dahi. Serbannya hampir terungkai. Dia rebah. Mujur ada Sidang Usman di sisinya. Sidang Usman menyambut tubuh langsing imam Kusnin yang rebah bagaikan batang pisang dicantas. Tubuh imam Kusnin diusung pulang ke rumahnya.
MaklumanPara penulis dikehendaki menyertakan foto terkini bersama cerpen yang dihantar untuk tujuan penyiaran di Mingguan Malaysia.

No comments: