Thursday, February 21, 2008

PETALA RENGSA DALAM DADA

Oleh Mawar Shafei
Mingguan Malaysia, 16.12.2007



“ISTERI saya belum mahu bercakap. Maaf. Mungkin masih terkejut dengan apa yang dilihatnya.” Dia memeluk isterinya yang masih membatu. Perut godang itu diusap-usap. Sekali sekali ada esakan yang masih bersisa. Tangan lelaki itu digenggam.
Belum pernah dia merasa genggaman sebegitu padu, sebegitu dingin. Masih berbaki ketar yang beralih ke tangannya. Dan dia tahu genggaman itu bersatu pula dengan seribu rasa cemas dan kejutan yang tidak terucapkan. Sekali-sekala silau cahaya dari kamera jurugambar bagai kilat di tengah malam yang begitu menyeramkan. Wartawan yang masih memegang buku catatan masuk ke klinik.
Dinihari itu dia membaca surah ar Rum, barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat. Seusai membaca ayat 20 itulah dia disergah isteri yang kelihatan menahan sakit yang amat. Dia separuh gelisah dan selebihnya begitu bimbang. Sudah tibakah saat untuk bayi mereka keluar dari kantung rahimnya? Namun menurut hitungannya, tarikh lahir bayi ialah pada dua bulan menjelang. Sekonyong-konyong sahaja dia berasa terlalu ngilu yang belum pernah terasakan. Dia hampir mendengar debar dalam dada sendiri. Petala rengsa begitu menyesakkan setiap inci ruang yang ada. Perempuan yang menjadi teman jiwanya hampir tiga tahun ini, didakap seraya memujuknya berkali-kali. Ingatkan Tuhan, katanya. Dalam perjalanan ke klinik, setiap kali pedal minyak yang ditekan, seperti masa pula yang menekan belakang lelaki itu berkali-kali.
Mereka akhirnya tiba di hadapan klinik. Tanpa menunggu dibukakan pintu kereta seperti biasa, si isteri keluar sendiri dengan perut godangnya. Dia segera mengunci pintu. Sejurus itulah jeritan perempuan itu menguasai sepanjang jalan kecil yang dikepung deretan rumah kedai yang antaranya merupakan klinik saya. Dia melihat saya yang terlentang di hujung sandal isterinya. Dari cahaya lampu jalan dan klinik, dia pasti dapat melihat bahagian dada kemeja putih saya yang penuh dengan serakan warna merah kehitaman. Ada tompokan warna yang sama di simen jalan. Maha Suci Tuhan! Dan lelaki itu ialah sahabat lama saya.
Dia masih merangkul isterinya yang terasa sangat di dadanya bahawa dia sangat perlu melindungi. Ada riuh-rendah di bank berhampiran. Dia langsung tidak mahu peduli. Saya tahu dia hanya mahu isterinya kembali tenang dan bayi mereka tidak mengalami kesan kejutan. Saya tahu juga dia pastinya terkaku dengan kematian saya di hadapannya. Sebelum beredar wartawan tadi sempat bersalaman dengan sahabat saya itu seraya berkata, “Ada rompakan di mesin wang. Perompak cemas dengan bunyi penggera lalu lari ke klinik!"
(i) Kisah kami
BEBERAPA malam ini saya pasti tertidur seusai maghrib. Sama ada masih lengkap bersarung, saya boleh sahaja terbaring di atas sejadah. Atau dengan al-Quran yang masih terbuka, saya boleh tersandar di kerusi rehat di kamar peribadi. Akhirnya isteri yang akan membangkitkan sama ada menggerakkan lengan atau menutup halaman al-Quran yang entah di mana saya terhenti sebelum terlena. Entah mengapa saya mudah sahaja melelapkan mata. Termasuk malam tadi sudah seminggu, saya mempunyai rutin baru. Serasi dengannya, saya mula membawa balik beberapa kerja pejabat yang perlu diteliti.
Benarlah, dinihari begini merupakan saat yang paling menenangkan. Dan ia mudah sahaja pecah dengan bunyi apa sekalipun. Tiba-tiba telefon tangan saya berbunyi. Ada mesej nakal dari sahabat saya. Dia doktor di sebuah klinik 24 jam. Tulisnya, klinik terlalu sunyi, hanya dia dengan pembantu di luar. Hah, giliran saya mengusik, ada pengawal CCTV yang perhatikan kau! Dia sahabat lama, sahabat sejak di kampung. Bermain-main waktu kecil dia sebagai doktor, menjadikan sahabat saya begitu apabila dewasa. Berkahwin pula dengan teman sekuliah, mereka kini mempunyai klinik sendiri. Saya menumpang bangga, pastinya. Isteri saya sering juga ke klinik mereka. Sehinggalah akhirnya isteri saya berbadan dua, dia menjalani pemeriksaan bulanan di sana. Kata isteri saya, menyokong perniagaan sahabat sendiri. Saya menyanggah, bukan perniagaan, itu perkhidmatan, mereka memulangkan apa yang dipinjam dari masyarakat. Namun suatu yang mencelah antara kemanisan kami menanti zuriat ini, menurut isteri saya, bayaran yang tinggi dikenakan isteri sahabat saya itu. Maka saya mengusiknya kembali, itu baru benar perniagaan dan bukan perkhidmatan.
“Tapi bagaimana dengan layanannya? Memuaskan?"
Isteri saya mengangguk. Namun masih bertapi. Ubat, masa rawatan dan tujuan rawatan yang sama diperoleh temannya yang lain dengan harga yang jauh lebih murah.
(ii) Kisah Dia
Saya tidak tahu ke mana lagi harus saya melangkah. Ternyata luka di kaki yang kian membiak, tidak membenarkan saya berjalan lebih jauh. Akhirnya saya berhenti di hadapan klinik 24 jam berhampiran bank. Saya pernah bekerja di bank itu beberapa tahun sudah sebagai pengawal. Namun selepas saya mendapat musibah dan kaki saya tidak dapat mempertahankan kedudukan tugas itu, saya diberhentikan. Apa lagi yang boleh saya lakukan. Dengan kemahiran dari almarhum datuk saya pengukir batu yang banyak membuat kerja untuk rajanya, saya mewarisi kehandalan itu. Namun untuk terus bersama Tuhan yang saya cinta dan isteri saya yang pergi dahulu bersama anak sulung kami, saya memilih jurus mengukir batu untuk kematian. Ya, sekarang saya adalah pengukir batu nisan.
Saya mendengar cerita doktor di klinik 24 jam ini, sangat budiman orangnya. Doktor perempuan yang murah dengan senyuman dan selalu beramah tamah dengan pesakitnya. Setelah berkira-kira, saya melangkah masuk. Dia mungkin tidak mengingati saya. Kami pernah berselisih jalan sewaktu saya masih bekerja di bank. Kadangkala dia bersama lelaki yang saya percaya suaminya yang juga seorang doktor. Saya percaya doktor budiman itu dapat membantu kaki saya. Saya bernasib baik tidak ada pesakit yang menunggu. Maka cepatlah saya dapat berjumpa doktor dan menceritakan tentang kaki saya yang sudah hampir berlubang ini. Oh, dia ternyata ciptaan Tuhan yang luar biasa. Dia mempunyai mata yang cantik, hidung yang molek, bibir yang mengeluarkan kata-kata yang begitu memujuk dan meleburkan segala kesakitan yang ada. Denyutan dan bisa di kaki saya hampir sahaja tidak terasakan sehinggalah saya terlihat lubang yang bila-bila sahaja akan terbentuk.
Ubat
Dengan menggunakan sarung tangan, dengan lembut kaki saya ditekan-tekan. Tidak sakit akibatnya, hanya denyut dan bisa seperti biasa yang masih merayap di kaki kiri saya. Sesekali berkerut keningnya. Sesekali dia melihat muka saya dan mengaju soalan. Antara katanya, saya perlu menghentikan pengambilan gula, kurangkan nasi, roti, jus dan daging kambing. Saya akan diberi ubat. Saya tidak tahu menyebut nama ubat yang keluar dari mulut manis doktor cantik ini. Setelah mengucap terima kasih, saya terus diserang petala rengsa dalam dada. Berdiri di hadapan kaunter ubat, membuat saya seperti orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin. Bagaimana kalau bayarannya begitu tinggi. Saya tidak berfikir langsung tentang duit. Sepanjang berjalan sebelum masuk ke klinik ini, bekal saya hanya doa dan harapan bersandarkan cerita doktor budiman ini. Segera saya menyeluk saku seluar yang sudah berhari-hari dipakai. Ada sehelai, dua helai kertas.
Perempuan muda yang memanggil nama saya, menghulur beberapa bungkusan ubat. “Pak cik makan dulu yang ini, nanti datang lagi,” seraya menyisip sehelai kertas jumlah wang yang harus saya bayar. Menurutnya dengan wajah manis, bayaran adalah untuk perundingan dan harga ubat. Ah, dari mana kekuatan untuk saya katakan bahawa jumlah bayaran ternyata berganda-ganda daripada wang yang ada dalam saku seluar saya. Mata perempuan muda itu sedikit terbeliak. Ada beberapa pesakit lain yang sedang menunggu giliran. Pasti saya disumpah dalam hati mereka, kerana saya urusan rawatan tergendala. Perempuan muda di kaunter farmasi keluar masuk kamar doktor. Saya masih berdiri sebagai orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin namun amat memerlukan rawatan. Saya berkira-kira, bagaimana saya boleh melunaskan bayaran. Sementara menunggu perempuan muda itu, debar dan petala rengsa dalam dada kembali reda. Saya bersyukur kepada Allah yang memberi jalan.
“Lain kali pak cik fikir dulu sebelum datang. Ini klinik swasta, bayarannya mahal. Doktor kata, pak cik boleh bayar esok. Tapi mesti esok.” Saya teragak-agak. Doktor yang manis itu berkata begitu? Entah dari mana kekuatan yang ada, saya minta izin dari perempuan muda di kaunter farmasi, saya ingin berjumpa doktor sebentar. Saya mahu katakan kepadanya begini, “Saya tidak dapat membayar wang hampir seratus ringgit itu esok, doktor. Tapi saya boleh membayarnya dengan beberapa batu nisan yang akan saya ukir cantik untuk ahli keluarga doktor dan doktor sendiri. Saya harap ia dapat melunaskan bil rawatan saya tadi.”
Takdir Tuhan melangkaui segala yang ada.
Mahal
Sesungguhnya, saya tidak sempat menelan ubat mahal itu. Dengan kaki luka dan bisa yang hampir menampakkan lohong, saya memaksa diri melangkah pulang ke rumah kecil saya yang bersebelahan dengan kawasan perkuburan. Sepanjang perjalanan menyelusuri tepian jalan raya dengan lampu kereta atau lori yang merejah cahaya, saya berulangkali membaca surah Tuhan, barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat. Perlahan-lahan seperti surah Tuhan itu luruh ke dalam diri orang tua bodoh, konyol dan terlalu miskin ini bersama rebas hujan malam. Ternyata ketika itu saya terlalu rindukan Tuhan dan isteri bersama anak sulung kami. Kali terakhir saya melihat lampu lori yang besar seperti hilang kawalan dan mengepung pandangan.
(iii) Kisah Saya
Seperti biasa saya mengambil alih menjaga klinik selepas pukul 10. Isteri saya bersama anak-anak di rumah. Kadangkala mereka tidur di klinik juga. Malah kami bercadang untuk membeli tingkat atas klinik ini untuk didiami dan itu akan memudahkan kami menyelenggara klinik. Itulah usul isteri saya yang menggunakan wang simpanannya membeli klinik ini dua tahun lalu. Ah, isteri saya memang penjimat, mewarisi sifat ayahnya. Dia amat kritis tentang kewangan.
Sedang melayan kantuk yang bergantungan di hujung mata, lewat SMS saya mengusik seorang sahabat lama yang akhir-akhir ini juga berjaga waktu dinihari. Mengirim dan menerima mesej, pintu bilik rawatan diketuk setelah pembantu memaklumkan ada pesakit sedang menunggu. Jarang sekali ada pesakit pukul tiga pagi.
Saya didatangi seorang tua yang lohong kakinya. Berdasarkan rekod dia datang minggu lalu dan dirawat isteri saya. Ternyata nanar diabetes mellitus sudah menular dan saya tahu petala rengsa dalam dadanya yang tebal, dari matanya yang mohon dirawat segera. Saya melihat dia seperti almarhum ayah saya. Setelah memberi satu dua nasihat antaranya dia memerlukan suntikan insulin, saya masih berasa aneh, mengapa dia datang dinihari begini.
Jawabnya, dia sudah mengambil ubat dari isteri saya minggu lalu. “Saya hanya datang untuk membayar hutang.” Lelaki tua itu meriba bungkusan surat khabar. Kelihatan isinya agak berat dan bersaiz satu hasta Sebelum menyudahkan kerja meleraikan ikatan bungkusan itu, dia tersenyum dan saya berasa sedikit hairan. Dia membaca satu ayat dan saya tahu itu dari kitab suci Tuhan. “Barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat.”
Saya melihat isi bungkusan itu. Separuh menjerit, saya bangun keluar dari bilik meninggalkan orang tua itu. Berlari ke arah pintu utama, saya hampir tidak melihat pembantu di kaunter pendaftaran. Wah, ini memang petala rengsa yang penuh petaka dalam dada saya! Hasrat saya hanya satu, mahu lari keluar dan melepaskan rengsa ini. Belum sempat saya menolak pintu, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali dengan muka separuh ditutup dan parang di tangan, menolak pintu dari luar. Saya dapat merasakan antara teragak-agak akhirnya parang itu tenggelam dalam dada saya. Lelaki itu berpaling ke arah kaunter dan terus keluar semula. Segalanya berlaku sepicing mata. Saya dengan tangan menekap dada, mahu mengejar lelaki itu. Tapi saya jatuh di hadapan klinik sendiri.
Siapa yang pernah menduga, suatu ketika setelah bersahabat lama, saudara akan bersama dengan sahabat itu pada saat kematian saudara sendiri. Nah, itulah yang saya depani saat ini. Saat kematian saya, di hadapan sahabat saya sendiri dan isterinya. Saya tahu dalam ketika begitu petala rengsa bersusun dalam dada sesiapa sahaja.

No comments: