Oleh S.M. Zakir
Mingguan Malaysia, 27.7.2007
Suatu pagi Mustofa membuka jendela. Matahari tiba-tiba jatuh terjelepuk di hadapan matanya. Mustofa mengambil matahari dan menyangkutnya kembali ke langit.
Perlahan-lahan Mustofa menutup jendela, khuatir matahari terjatuh lagi. Mustofa kemudian beredar dari jendela dan mengambil tempat di sudut rumah yang besar itu. Rumah ini adalah sebuah rumah Melayu yang besar, disebut rumah Limas. Kata orang limas itu bermaksud lima emas, iaitu lima kata-kata emas atau lima prinsip utama. Keagungan, kedamaian, kesopanan, kemakmuran dan kesejahteraan: Lima prinsip atau lima kata emas inilah menjadi pasak kepada rumah ini. Dan ia disebut kemudiannya sebagai rumah limas. Tidak tahu mengapa, Mustofa mendengar kata-kata itu sebagai sebuah romantisme dari zaman yang sudah lama mati. Rumah ini sudah begitu lama berdiri. Walaupun masih teguh dan utuh namun warna tuanya jelas kelihatan. Sudah tiada emasnya lagi; romantismenya sudah lama mati.
Rumah yang didirikan pada hari Isnin menghadap matahari terbit ini dibina tidak berpaku dan disambung kepingan kayunya dengan suguan lanang betina. Rumah ini mempunyai empat belas ruang dalam rumah ini. Besar kecilnya beragam. Keempat-empat ruang itu pula diisi oleh empat belas orang manusia yang juga beragam sifatnya. Penghuni rumah ini sudah berkali-kali bertukar ganti, hingga akhirnya menetap sejumlah empat belas orang manusia sejak lima puluh tahun yang lalu.
Mustofa berjalan ke ruang gegajah, ruang induk rumah ini. Di situ Mustofa melihat dua orang penghuni rumah ini sedang berduaan memadu kasih. Piere Mungge Andre dan Amani Tatou, dua teruna dara yang tidak segan silu untuk berpelukan walau di mana mereka berada. Terutamanya Amani Tatou, gadis Melayu yang dikatakan keturunan syariff Arab cucu cicit Rasulullah yang bukan sahaja tidak tahu lagi memakai pakaian yang boleh menutup tubuhnya tetapi juga (sengaja) tidak tahu lagi bercakap bahasa Melayu. Piere Mungge Andre, pemuda Melayu tetapi oleh ketololan ibu bapanya memberi nama akhirnya menjadi Portugis cucu-cicit Alburqueque yang berperang menakluki Melaka untuk membawa agama Kristian itu. Amani Tatou, yang keliru untuk menjadi bangsa apa itu akhirnya memilih untuk menjadi bangsa Eropah Perancis dengan nama Tatounya. Walaupun suatu ketika dia berada di Eropah, dia pernah diludah oleh pemuda-pemudi skinhead Eropah yang membenci orang- orang Asia. Piere Mungge Andre yang sentiasa menyumpah-nyumpah ketololan ibu bapanya memberinya nama itu, bersama seorang lagi kawannya juga senasib mempunyai ibu bapa Melayu yang tolol memberi namanya Hitler berkongsi membuka syarikat filem. Mereka berdua kemudian menghasilkan filem-filem hantu yang cukup menguja jiwa orang-orang Melayu yang sentiasa hidup dalam tahyul. Anehnya filem-filem mereka mengaut keuntungan yang begitu besar, walau mereka hanya mencelup wajah Amani Tatou dengan arang untuk menjadi hantu diterbangkan dengan tali yang terjulur. Lalu ketika mereka bertiga ketawa besar-besar, mereka sepakat bersetuju bahawa ketololan ibu bapa mereka dan ketololan orang-orang Melayu adalah perkara yang paling berharga dalam hidup mereka. Maka mereka kekal dengan nama dan kehidupan mereka yang tidak mempunyai apa-apa kecuali keseronokan yang tolol itu. Ketika rumah ini hancur dibelit ular cap raya, Piera dan Amani mati berpelukan.
Mustofa terdengar bunyi bising terhentam di luar. Mustofa keluar ke ruang pagar tenggalung atau serambi rumah itu. Mustofa melihat angin jatuh bergulung-gulung di ruang tenggalung itu. Cuba melepaskan dirinya. Mustofa menyepak angin hingga terlempar ke tanah. Angin pun terlepas dan berlalu pergi. Di pagar tenggalung itu Mustofa melihat Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Basuk sedang bermain terup. Mereka bermain tanpa ingin menyedari apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka berdua memang telah kaya-raya dengan segala projek mega di samping perniagaan judi, cetak rompak, lari cukai dan segala macamnya. Tetapi seperti lubang hitam, tenggorok mereka terus menelan dan menelan tanpa henti. Terus menelan dan menelan tanpa mengira-ngira. Sedang bermain terup itu juga, mulut mereka ternganga dan menelan apa-apa sahaja yang lalu di hadapan mereka. Kedua-dua mereka adalah tokoh politik dan korporat yang sangat berkuasa. Dengan kuasa politik di tangan mereka, apa-apa sahaja mudah untuk mereka telan.
Berkuasa
Asalnya Tan Sri Pek Kung ini keturunan ketua kongsi gelap Ghi Hin yang berkuasa di Larut pada zaman pembukaan lombong bijih timah dahulu. Larut ketika itu terkenal dengan kegiatan samseng dan samun-menyamun. Pada suatu ketika berlaku pertempuran besar antara kongsi gelap Ghi Hin dengan orang-orang Melayu di situ. Puncanya seorang hartawan Melayu dan keluarganya telah dirompak dan dibunuh oleh samseng Ghi Hin. Maka orang-orang Melayu membalas dendam dengan merompak pejabat samseng Ghi Hin dan membunuh beberapa orang samseng Ghi Hin di situ. Kejadian rompakan itu begitu besar kesannya kepada pedagang-pedagang Cina di Melaka, yang menjadi penyalur modal kepada lombong-lombong di Pantai Barat Tanah Melayu termasuk di Larut. Ramai pemodal Cina di Melaka jatuh bankrap oleh kehilangan wang dan emas mereka di Larut, yang disimpan dalam perlindungan samseng Ghi Hin. Marah dengan keadaan itu, samseng Ghi Hin lalu menyerang semua orang Melayu di Larut dan membunuh tidak kira lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Apabila terdengar peristiwa itu, orang- orang Melayu menjadi sangat marah. Seorang Daeng dari Riau datang bersama pengikut-pengikutnya menyerang samseng Ghi Hin habis-habisan. Daeng ini berperang dengan ketua samseng Ghi Hin yang bernama Ah Chong sehari suntuk, akhirnya berjaya membunuh Ah Chong dalam kedai kopi. Daeng itu kemudian melurut kapak Ah Chong menjadi sebilah keris. Samseng Ghi Hin terhalau keluar sebelum masuk kembali tidak lama kemudian dan berbaik-baik dengan orang Melayu. Samseng Ghi Hin inilah juga kemudian bersama-sama pembesar-pembesar Melayu membuka lombong di Kuala Lumpur, menguasai kekayaan dan kuasa sehingga sekarang ini.
Inilah Tan Sri Pek Kung, cucu cicit kepada Ah Chong ketua samseng Ghi Hin yang sekarang bersama-sama Datuk Seri Basuk, keturunan Daeng dari Riau itu yang kini menguasai politik dan ekonomi yang berakar kukuh tanpa dapat digoncang lagi. Keris kepunyaan moyang Datuk Seri Basuk itu kini dijadikan lambang kepada perpaduan kuasa dan kekayaan mereka berdua. Tan Sri Pek Kung tetap menjadi ketua samseng Ghi Hin yang melindung segala modal saudagar Cina, sementara Datuk Seri Basuk, tetap menjadi pembesar Melayu yang mengawal segala tanah di sini. Kedua-dua mereka adalah sahabat yang paling rapat dalam kegiatan menelan segala kekayaan dan kuasa di sini.
Di samping Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Busuk, berkumpul Nashlee Ya, Enrique Chan, Salvatore Dionisyus Linggam, Herman Selulosa dan Penelope Gonzalez. Mereka menunggu setiap masa untuk menelan sisa-sisa yang dilepaskan Tan Sri Pek Kung dan Datuk Seri Basuk. Nashlee Ya, hidupnya hanya untuk mengiakan apa sahaja dan menjadi pegawai yang memungut rasuah untuk pihak Datuk Seri Basuk. Enrique Chan menjual isteri, anak dan ibu bapanya untuk menjadi kaya dan kemudian datang menetap di rumah ini menjadi pengikut setia Tan Sri Pek Kung. Salvatore Dionisyus Linggam, seorang peguam yang tidak henti-henti bercakap dan akhirnya terlupa dia bukan seorang Inggeris atau Eropah. Herman Selulosa asalnya Melayu-Jawa yang bekerja melapah kulit lembu, kini menjadi jutawan lebuh raya dan teknologi maklumat oleh hubungan baiknya dengan Datuk Seri Basuk, walau sehingga kini Herman tidak pernah tahu menggunakan komputer dan tidak pernah mengenal antara simen untuk membuat bangunan dengan simen yang membalut pesakit patah. Penelope Gonzalez, katanya keturunan kacukan 20 bangsa, tetapi pipinya yang terbonjol oleh Botox dan hidung mancung oleh pembedahan plastik tidak dapat menghilangkan penyakit bau badannya yang akan tiba-tiba mengeluarkan bau seperti ikan masin apabila matahari jatuh. Kesemua mereka adalah juak setia sesiapa yang berkuasa dan penghuni rumah ini. Semasa rumah ini hancur dibelit ular cap raya, kesemua mereka berada dalam rumah ini dan disyaki terkorban.
Mustofa tiba-tiba teringat akan mesin yang dipasangnya semalam di ruang kiyam. Mesin itu adalah tuil dan takal yang diberikan oleh seorang fakir yang singgah di rumah ini suatu ketika dahulu. Kata fakir itu, tuil dan takal yang patah-patah dan berserakan itu adalah sebuah mesin peninggalan seorang jurutera pelayar Arab yang datang bersama Maulana Syed Abdul Aziz yang mengislamkan raja Melaka yang kemudian digelar Sultan Muhammad Syah. Mesin ini, kata fakir itu lagi adalah alat cerap pergerakan alam semesta raya, yang dapat memberikan haluan dan kadar perjalanan angin, bulan, bintang, yang berhubungan dengan pergerakan bumi mahupun manusia di dunia ini. Mesin ini diperbaharui daripada mesin ciptaan seorang jurutera pelayar Arab terdahulu yang mula mengetahui tentang angin mawsim yang kemudian digelar sebagai angin monsun. Mesin ini, lantaran keupayaannya mencerap pergerakan semesta membolehkan penggunanya mengetahui bukan sahaja apa-apa yang berlaku di seluruh dunia tetapi juga apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semalam Mustofa mencuba teori baru tentang kaedah pemasangannya setelah hampir enam bulan berhempas pulas berusaha memasangnya. Hari ini Mustofa mahu menyambung kerjanya.
Mustofa yang bergegas ke ruang kiyam hampir berlanggar dengan Auntie Khatty yang berambut perang dan berbaju sendat hingga menampakkan seluruh alur tubuhnya itu. Auntie Khatty ini akan mengamuk apabila dipanggil nama sebenarnya Mak Tijah. Auntie Khatty sudah berumur 50 tahun tetapi masih melaram seperti gadis belasan tahun itu selalu buat-buat terlupa apabila bila ditanya usianya. Dia cuma teringat usianya ketika malaikatulmaut datang kepadanya semasa ular cap raya turun membelit dan menghancurluluhkan rumah ini. Dia gemarkan lelaki muda kerana katanya Syaiditina Khadijah isteri Rasulullah juga mengahwini Rasullullah yang lebih muda usianya. Mustofa meninggalkan Auntie Khatty tanpa sempat menegur.
Mustofa masuk ke ruang kiyam, iaitu ruang tempat menelaah ilmu di rumah ini. Di situ Mustofa melihat Profesor Alam sedang santai menyalin kata-kata di kulit-kulit buku. Profesor Alam, walaupun tidak pernah menulis hatta sebuah buku pun tetapi diangkat tinggi sebagai tokoh intelektual negara. Ini tidak menghairankan kerana kebanyakan profesor dan sarjana hanya bekerja untuk menyelesaikan tuntutan perut mereka. Selebihnya mereka cuma berusaha menambah gelar di hadapan nama mereka sepanjang yang mungkin dan mengangguk sebanyak yang mungkin. Cuma satu kehebatan Profesor Alam iaitu kebijakannya menampal segala kata-kata orang lain dalam kertas-kertas kerjanya. Suatu ketika, Profesor Alam meninggal dunia, otaknya dibedah untuk mengetahui isinya. Alangkah terkejutnya para doktor melihat otak Profesor Alam hanya kosong berisi hampas kelapa. Profesor Alam mati sebelum ular cap raya datang memusnahkan rumah ini.
Mustofa sampai kepada tuil dan takal yang mula disusun itu. Mustofa mula menekuni kerjanya memasang mesin itu. Sambil itu otak Mustofa menjalar ke merata. Rumah ini berdiri begitu lama, tetapi sejarahnya mula ditulis kira-kira 50 tahun yang lalu setelah bahasa dan budaya asal rumah ini dipunahkan dengan dahsyat sekali. Maka segala orang pun mengaku mempunyai hak yang sama rata di rumah ini. Mustofa ada kalanya tidak tahu berapa penghuni sebenar rumah ini. Mungkin Mustofa terlupa mengira Imam Rasu dan Thulug Beg yang mengurung diri di kamar masing-masing itu. Mustofa teringat Thulug Beg. Ya, Thulug Beg mempunyai formula yang menarik tentang mesin ini. Thulug Beglah satu-satunya penghuni rumah ini berminat tentang mesin yang dipasang Mustofa.
Membantu
Thulug Beg banyak membantu Mustofa menterjemah tulisan Arab lama yang ditinggalkan oleh si fakir bersama tuil dan takal itu. Pada suatu hari, ketika saat bintang Zuhrah berada dalam posisi 27 darjah dari bintang pisces, Thulug Beg menulis huruf dalam kotak rajah dengan misik dan zakfaran di atas sehelai kain putih. Kemudian Thulug Beg mencuci kain putih itu dan memberi Mustofa minum airnya. Tiba-tiba, Mustofa berasa tubuhnya ringan, otaknya berputar cerdas dan pekertinya bertukar baik sekali. Kata Thulug Beg, kini Mustofa sudah bersedia untuk memasang mesin itu.
Sebenarnya Mustofa tidak pernah memberitahu sesiapa tentang apa yang dilihatnya. Cuma kemudian ketika Mustofa menggelupur kesakitan semasa dibawa ke rumah sakit akibat dihempap segala tuil dan takal yang disusunnya seperti piramid itu, barulah dia bercerita kepada atendan di situ. Mustofa menceritakan bahawa penghuni-penghuni rumah itu sebenarnya bukan manusia, tetapi adalah moluska. Ya, mereka semua adalah moluska yang keluar masuk dari satu cangkerang ke satu cangkerang hingga kemudiannya tidak dapat dipastikan yang manakah cangkerang sebenar masing-masing.
Suatu hari Khamis, Mustofa menemui kaedah memasang mesin itu, setelah kod Arab lama itu dipecahkan oleh Thulug Beg. Ketika bintang zuhrah bertemu dengan bintang Musytari dan membentuk buruj beruang di langit tepat pada waktu asar, maka kain putih yang ditulis dengan huruf dalam rajah oleh air raksa diletak di tanah. Kain putih itu pula ditulis pada saat qomar bertemu athorid pada hari Khamis dalam bulan empat adik-beradik. Tujuh batu kecil diletak di empat penjuru. Ketika itu sebuah rajah muncul seperti warna pelangi terpampang di udara. Thulug Beg segera menyuruh Mustofa menyalin rajah yang terapung di udara itu. Berpandukan rajah itu, Mustofa kemudian berjaya memasang mesin itu menjadi seperti sebuah piramid.
Dari mesin itu, alangkah terkejutnya Mustofa apabila dia melihat semua penghuni rumah termasuk dirinya bukannya manusia sebaliknya adalah moluska yang merangkak masuk dari satu cangkerang ke cangkerang yang lain. Mustofa tidak dapat mengetahui yang mana sebenarnya cangkerang asli masing-masing. Mustofa teringat Imam Rasu. Ya, kata Thulug Beg dahulu, hanya kerana Imam Rasu masih ada, Tuhan tidak menurunkan ular cap raya yang besarnya boleh membelit tujuh kali rumah ini dan mengerapnya hingga hancur. Tetapi, Imam Rasu telah hilang pada suatu hari, dan sebulan selepas itu ular cap raya turun membelit dan menghancurkan rumah ini termasuk semua penghuninya sekali. Mustofa memasuki ruang belakang tempat Imam Rasu bersuluk. Imam Rasu yang tahu tentang tujuan kedatangan Mustofa itu mengatakan memang sebenarnya mereka telah bertukar menjadi moluska sejak rumah ini mengamalkan dasar liberal dan sekular, setelah Islam dipisahkan, setelah bahasa Melayu dibunuh, setelah budaya Melayu dikacaubilaukan, dan setelah kata-kata Melayu ditiada dan dipadam dari semua tulisan dan tutur kata. Mustofa melihat moluska-moluska begitu banyak merayap ke sana ke sini dalam rumah itu. Mustofa lari keluar meninggalkan Imam Rasu.
Mustofa kini cuba memahami wajah-wajah moluska di rumah ini dengan melihat buruj-buruj di angkasa. Namun malangnya, Mustofa terlupa memasukkan sebutir delima merah di mata piramid itu pada saat bintang zuhal muncul dikelilingi 13 bintang. Mesin itu bergegar dan runtuh menimpa Mustofa.
Itulah sahaja yang diketahui oleh orang ramai dan pekerja di rumah sakit itu tentang sebuah rumah Melayu yang pernah wujud di satu daerah yang terletak di bawah titik jejari matahari. Iaitu daripada mulut atendan yang mendapat cerita daripada seorang pesakit yang mendakwa datang dari rumah yang telah lama mati itu. Rumah itu hancur dibelit oleh tujuh lilit badan ular cap raya. Mereka kemudian hanya menjumpai moluska-moluska yang merayap di merata tempat beribu-ribu, berjuta-juta. Dan mereka semua pun tidak lama kemudian menjadi moluska merayap di merata tempat beribu-ribu, berjuta-juta.
Keluar masuk dari satu cangkerang ke satu cangkerang lain dan tidak pernah lagi menemui cangkerangnya sendiri!
No comments:
Post a Comment